Memancing Orang
Seorang budak lelaki menghayun batang jorannya sekuat hati dari atas tebing sungai. Mata kail meluncur terbang di udara sebelum jatuh mencecah permukaan sungai kira-kira seratus kaki daripada kedudukannya. Dengan pantas dia menggulung tali pancingnya. Tali pancingnya teasa berat ketika mata kailnya hampir keluar dari permukaan air sungai dan melalui celah-celah batu. Budak itu terus berusaha menggulung sehingga kailnya menaikkan hasil.
Budak lelaki itu mengeluh. Bukannya ikan yang dia dapat, tetapi sebiji botol syampu telah dicangkuk oleh mata kailnya. Botol syampu itu nampaknya masih baru dan masih mempunyai isinya. Selepas menanggalkannya daripada mata kail, budak itu melemparkan mata kail sekali lagi ke tengah sungai. Kemudian dia menggulung lagi tali pancingnya dengan berhati-hati. Dia mengamat-amati kalau-kalau ada rasa sentapan pada tali pancing yang menandakan mata kailnya telah disambar ikan.
Hampa juga budak itu bila masih tiada ikan yang tertarik pada umpan ‘spoon’nya, walaupun rupa umpan itu persis seekor anak ikan. Ia akan kelihatan cantik berkilat-kilat bila terkena pantulan cahaya matahari ketika ditarik di dalam air. Sampai sahaja ke atas, sekali lagi budak itu berasa pelik apabila melihat sehelai kain tuala tersangkut pada mata kailnya. Bingung juga fikirannya. Tadi dapat botol syampu, sekarang dapat kain tuala pula.
Malas hendak berfikir panjang lagi, budak itu terus menanggalkan kain tuala tersebut daripada mata kail. Dengan membaca bismillah, dia membaling kali ke tiga dengan harapan kali ini mata pancingnya berjaya disambar ikan. Terdetik di hatinya, mungkin tadi dia menggulung tali terlalu pantas sehinggakan ikan tidak sempat menyambar umpannya. Jadi, sekarang dia menggulung tali pancing dengan perlahan-lahan pula.
Seperti tadi juga, mata kailnya terpaksa melalui celah-celah batu besar di bawah tebing itu sebelum tiba di atas. Tiba-tiba tali pancingnya terasa sangat berat. Hatinya melonjak, ikan besar sudah mengena! Namun semakin lama talinya semakin berat ditarik dan akhirnya dia tidak dapat menggulung lagi. Nampaknya mata kailnya telah tersangkut pada batu.
Ketika budak itu mahu terjun turun ke bawah tebing untuk mendapatkan mata kailnya, dia terperanjat apabila seorang perempuan separuh usia tiba-tiba muncul daripada sebalik batu besar.
“Belukang! Kamu memancing ikan atau memancing orang, hah?” jerkah perempuan itu dengan marah.
“Eh, Makcik Selamah?” budak yang dipanggil Belukang itu tergaman.
“Kamu tidak tengok orangkah hendak memancing? Tengok ini, mahu rabak hidung aku!” tengking Makcik Selamah lagi.
Belukang lagi terkejut apabila melihat mata pancingnya menyangkut hidung Makcik Selamah. Perempuan separuh umur itu pula terkial-kial memegang tali pancing bagi mengurangkan kesakitan akhibat ditarik oleh Belukang. Hidungnya terpaksa didongakkan ke atas dalam susah payahnya memanjat tebing berbatu itu. Keadaannya tidak ubah seperti seekor lembu yang telah dicucuk hidung sedang ditarik oleh tuannya.
Sebelum ini Belukang hanya pernah mendengar kata-kata perumpamaan ‘bagai lembu dicucuk hidung’. Bidalan ini merujuk kepada golongan manusia yang sudah termakan budi seseorang terpaksa mengikut sahaja kata orang tersebut, walau baik ataupun buruk sekalipun. Tidak jauh keadaannya dengan Makcik Selamah sekarang ini. Untuk mengelakkan hidungnya rabak, mahu tidak mahu Makcik Selamah terpaksa menurut tarikan tali pancing itu sehingga dia datang rapat pada Belukang.
Kecut perut Belukang apabila Makcik Selamah memandangnya dengan bengis tanpa berkelip. Namun bila Belukang melihat umpan spoon yang tergantung berayun-ayun pada hidung Makcik Selamah, dia berasa mahu tergelak pula. Ada iras-iras Amisha Patel yang memakai subang hidung gayanya.
Rupa-rupanya Makcik Selamah sedang mandi dengan riangnya di sungai itu tadi. Bagaimanapun, dia segera menyelinap bersembunyi di celah-celah batu apabila Belukang datang hendak memancing di situ. Entah mengapa dia bertindak begitu. Mungkin dia malu agaknya. Manakan tidak, Makcik Selamah mandi di sungai dengan hanya berkemban dengan kain batik sarung sahaja!
Dengan takut-takut, Belukang tolong mencabut mata kailnya dari hidung Makcik Selamah. Meleleh-leleh darah dari hidung Makcik Selamah. Sakitnya usahlah diceritakan lagi. Dengan hanya mendengar becoknya mulut Makcik Selamah menyumpah seranah itu sahaja sudah boleh diagak betapa sakit hidungnya. Terjegil-jegil mata Makcik Selamah melihat jari jemari Belukang menjolok-jolok dan menuas-nuas lubang hidungnya. Maklumlah, untuk mencabut sendiri, Makcik Selamah tidak nampak macam mana kedudukan mata kail itu mencangkuk bawah hidungnya.
Akhirnya dapat juga mata kail itu dicabut. Hari itu Makcik Selamah mendapat satu lagi lubang pada hidungnya. Setelah meminta maaf, Belukang cepat-cepat pergi dari situ. Sempat juga dia berpaling sekejap pada Makcik Selamah untuk menunjukkan botol syampu dan kain tuala di tepi sebiji batu yang dikailnya sebelum itu. Kini Belukang terpaksa mencari tempat baru untuk membaling mata pancingnya. Tempat tadi tiada ‘ong’ kata orang cina. Malah telah mendatangkan nasib yang kurang baik pula padanya.
Begitulah perihalnya dengan Belukang. Setiap hujung minggu ataupun bila ada kelapangan, dia gemar menangkap ikan. Bukan sahaja dengan memancing, dia juga biasa menahan pukat, bubu dan menggunakan serampang. Selain itu Belukang juga selalu mancari lokan dan ketam yang membuatnya sentiasa bergelumang dengan lumpur. Sememangnya dia memang gemar bermain lumpur, sesuailah juga dengan namanya, Belukang.
Sebenarnya Belukang mempunyai kerja tetap. Dia bekerja di sangkar ternakan ikan tilapia kepunyaan seorang ushawan cina. Rutin harian kerjanya serupa seperti orang lain yang kerja di pejabat. Pergi kerja waktu pagi dan pulang ke rumah di petang hari. Kadang-kala terpaksa pulang malam apabila banyak kerja yang perlu diselesaikan. Dan ada kalanya pula dia diminta bermalam di sangkar menggantikan pengawal yang mengambil cuti.
Belukang sudah mahir mengendalikan banyak urusan pelantar terapung yang mempunyai tiga puluh buah sangkar itu. Setiap sebiji sangkar berbentuk segi empat tepat dengan panjang setiap sisi empat meter dan setinggi setengah meter daripada permukaan air. Sering kali sangkar-sangkar ikan itu menjadi ‘swimming pool’ pada Belukang. Apabila cuaca panas di tengah hari, dengan selamba sahaja dia terjun ke dalam sangkar dan berenang-renang bersama ikan-ikan tilapia yang jagaannya.
Struktur kerangka sangkar itu diperbuat menggunakan bahan plastik HDPE (High density polyethlene) yang lebih ringan dan tahan lama daripada kayu. Saiz mata pukat berukuran dua puluh lima milliliter yang digunakan itu cukup sesuai untuk pertukaran air yang maksimum. Kedalaman jaring pukat kurungan ikan adalah sekitar dua meter. Jarak daripada jaring pukat ke dasar sungai pula dipastikan tidak kurang daripada semeter.
Ini adalah untuk mengelakkan air berlumpur dan berkeladak memenuhi dalam jaring pukat, juga menghindarkan ikan-ikan ternakan lebih terdedah kepada bakteria patogenik yang banyak terdapat di dasar sungai yang mana boleh mempengaruhi kesihatan ikan-ikan ternakan itu. Walaupun begitu, Belukang tidak ambil pusing sangat akan hal ini. Ini kerana dia tidak pernah pula mendapat sakit akhibat daripada selalu bermain dengan lumpur.
Pagi-pagi lagi sebaik tiba di sangkar, Belukang terus menjalankan tugas pertamanya iaitu menabur pallet makanan ikan ke dalam setiap sangkar. Jenis dan kuantiti pallet ini diberikan berbeza mengikut usia ikan. Setiap kali Belukang menabur pallet, maka berebut-rebutlah ikan-ikan tilapia menyambarnya. Entah kenapa ikan-ikan tilapia ini suka sangat makan pallet, Belukang tidak tahu. Warna pallet ini kelabu dan bentuknya pula macam pasir, tidaklah menarik sangat. Tambahan lagi bau pallet ini amatlah tidak menyenangkan. Ada hawa-hawa bau bangkai sedikit. Namun apalah ikan-ikan itu kisahkan. Mereka bukan ada lubang hidung pun untuk menghidu.
Anak-anak ikan tilapia mula dilepaskan ke dalam sangkar ini ketika berusia dua atau tiga bulan dengan berat antara lima puluh hingga tujuh puluh gram seekor. Setiap sangkar boleh menempatkan sehingga lima ratus ekor anak ikan tilapia. Anak-anak ikan ini dibeli oleh tauke sangkar daripada pusat penetasan ikan. Telur-telur ikan tidak boleh terus ditetaskan di sangkar kerana anak-anak ikan yang baru menetas perlukan penjagaan rapi dan perlu diasuh dahulu di kolam khas. Hanya anak-anak ikan yang berkualiti baik sahaja dipilih untuk dilepaskan di sangkar.
Pengurusan pemakanan anak-anak ikan tilapia ini secara sempurna boleh mengurangkan kos pengeluaran dan memendekkan tempoh masa ternakan kepada empat atau lima bulan sahaja sebelum dituai. Kadar pemberian makanan ikan mesti diubah setiap bulan mengikut kadar anggaran berat badan ikan-ikan tersebut. Cara yang tauke sangkar ini buat adalah dengan menangkap sepuluh ekor ikan tilapia di setiap sangkar dan ditimbang bagi mendapatkan purata berat badan seekor ikan. Seterusnya jumlah makanan setiap sangkar dikira mengikut anggaran lima peratus daripada jumlah berat semua ikan dalam setiap sangkar tersebut.
Ikan tilapia dituai apabila beratnya mencapai sekitar setengah kilogram seekor. Bagi pasaran restoran, keutamaan diberi kepada ikan yang beratnya melebihi setengah kilogram seekor dan dijual hidup-hidup. Manakala ikan yang beratnya kurang daripada itu lebih sesuai dijual di pasar tani dan pasar malam sahaja.
Selepas semua sangkar ditabur dengan pallet makanan, Belukang menjalankan tugas ke duanya pula. Dia memeriksa keadaan setiap sangkar. Jika ada sampah atau daun-daun kayu hanyut tersangkut pada jaring, dia akan bersihkan. Begitu juga dengan najis-najis ikan dan sisa-sisa makanan yang sudah membusuk. Jika ada ikan-ikan yang mati, ia perlu disauk dan dibuang segera agar tidak membawa penyakit kepada ikan-ikan yang lain. Yang kelakarnya, banyak kali juga Belukang membawa pulang ikan-ikan yang sudah mati, tetapi masih elok untuk dibuat lauk.
Selain itu, Belukang juga mencuci pelantar. Segala kotoran, daki dan lumut di pelantar diberusnya sebelum disimbah dengan air yang diceduk dari sungai. Apa yang mengkagumkan Belukang, kadang-kadang tauke cinanya itu turut melakukan kerja-kerja mencuci bersamanya. Taukenya itu tidak segan bergelumang dengan kotoran, malah kelihatan lebih ‘kuli’ dari Belukang. Pernah tauke cina itu menyelam ke bawah sangkar untuk membetulkan jaring pukat, tetapi belukang dan pekerja lain membantu dan mengawasinya dari atas sahaja.
Dahulu Belukang bersama ayahnya, Pak Belukang sama-sama bekerja di sangkar ternakan ikan tilapia itu. Pada hal, Pak Belukanglah yang membawa Belukang berkerja di situ. Belukang memang rajin belajar dan aktif pula. Sebab itulah dalam masa yang singkat sahaja tauke menjadi begitu sayang padanya, melebihi pekerja-pekerja lain termasuklah Pak Belukang sendiri.
Sebaliknya Pak Belukang pula semakin lama semakin bosan untuk datang kerja. Dia mulai datang lewat. Semakin lama semakin kerap dia datang lewat. Dan semakin lama semakin melampau kelewatannya. Selepas diberi amaran bekali-kali, Pak Belukang akhirnya diberhentikan kerja. Majikan mana tidak marah kalau pekerjanya datang kerja pukul dua belas tengah hari? Apa lagi kalau alasannya sungguh mudah, iaitu baru bangun dari tidur.
Itulah tabiat buruk Pak Belukang. Dia amat sukar hendak berenggang dengan selimut dan bantalnya di waktu pagi walaupun Belukang telah berusaha mengejutkannya. Paling bagus pun, Pak Belukang hanya membuka mata.
“Kamu pergilah dulu, Belukang. Abah nak tidur sedikit lagi,” kata Pak Belukang.
“Apalah abah ini. Matahari sudah tinggi, tidak mahu bangun-bangun lagi. Bapak ayam pun boleh bangun berkokok sebelum waktu subuh lagi. Abah tidak malu dengan bapak ayamkah?” tanya Belukang.
“Apa kau membebel pagi-pagi ini, Belukang? Buat apa abah nak malu dengan bapak ayam? Dia rajin-rajin bangun awal pun, nanti akan disembelih dan dimakan juga. Setakat nak bangun awal untuk berkokok, abah pun boleh buat. Bukannya kenyang pun dengan berkokok itu,” balas Pak Belukang mematikan hujah anaknya itu.
“Lepas berkokok, bapak ayam itu terus cari makanlah, abah. Bangunlah Abah. Kita pergi kerja bersama-sama, ya?” gesa Belukang lagi.
“Sudah, jangan ganggu abah lagi. Pergilah dulu, abah akan menyusul kemudian,” kata Pak Belukang dalam keadaan matanya tertutup kembali.
Belukang pun terpaksa pergi kerja seorang diri. Dia tahu Ayahnya tidak akan bangun selagi bahang panas matahari tidak berkuap di dalam pondok buruk mereka itu. Kalau pun ayahnya datang kerja hari itu, pasti kelibatnya akan muncul di sangkar ikan ketika hampir semua kerja utama sudah dibereskan.
Suasana pondok buruk Pak Belukang kembali hening dan nyaman membuatkannya sangat selesa. Sekejap sahaja dia tiba di satu pelantar sangkar ikan yang luas. Ada lebih dari seratus sangkar ikan di situ. Di tengah-tengah pelantar itu ada binaan berbentuk rumah yang menempatkan pejabat pengurusan, stor dan ruang kerja untuk sangkar ikan itu. Di pintu masuknya ada tertampal label Ternakan Ikan Pak Belukang Sdn Bhd. Ya, sangkar ikan itu adalah miliknya.
Ramai pekerjanya di serata pelantar sedang tekun berkerja. Ada yang menaikkan ikan-ikan dari sangkar. Ada yang mengangkutnya ke tempat timbang. Ada yang mengasing-ngasingkan ikan mengikut gred. Dan ada pula yang mengangkat kotak-kotak berisi ikan ke atas lori. Apabila lori itu penuh dengan susunan kotak-kotak ikan, seorang lelaki cina datang menghulurkan sekeping cek padanya. Pak Belukang menyambut cek itu dengan berjabat salam dan ucapan terima kasih. Dia tersenyum lebar bila melihat ada lima angka di ruangan nilai pada cek tersebut.
Setelah lori ikan itu pergi, sebuah kereta Mercedes mewah tiba di sangkar Pak Belukang. Seorang lelaki berpakaian kemeja batik yang mahal bersama dua orang wanita keluar daripada perut kereta. Pak Belukang kenal akan lelaki itu. Itulah YB Sumbing, wakil rakyat di kawasan itu. Wanita yang sebaya usia dengan YB Sumbing itu adalah isterinya, manakala seorang lagi wanita muda yang sungguh cantik dan manis itu sudah tentulah anak mereka.
“Apa khabar Pak Belukang?” sapa YB Sumbing dengan mesra.
“Khabar baik, YB,” balas Pak Belukang dengan bersungguh-sungguh menggenggam jabat salam mereka. Maklumlah, bercakap dengan wakil rakyat mesti tunjukkan jiwa sepenuh minat.
“Macam mana bisnes hari ini? Mesti banyak yang masuk. Tadi saya tengok lori yang keluar besar sungguh. Muatannya sarat dengan kotak-kotak ikan,” ujar YB Sumbing.
“Kalau saya kata saya tidak untung, tentu YB tidak akan percaya. Kalau saya kata untung banyak sangat, tidak masuk akal pula. Adalah dapat untung sikit-sikit, YB. Cari makan,” balas Pak Belukang bergurau. Mereka sama-sama ketawa.
“Mesti untung punya. Tauke besar!” puji YB Sumbing.
“YB, mari kita masuk berbual dalam pejabat. Di sini panas,” ajak Pak Belukang.
“Yalah. Mari kita masuk Ling, Seri Ayu,” balas YB Sumbing sambil memberi isyarat tangan pada isteri dan anaknya.
‘Oh, anaknya bernama Seri Ayu. Cantik namanya secantik rupa orangnya,’ desis hati Pak Belukang.
“Saya kira kedatangan YB ke sini mesti ada tujuan yang besar. Jika tidak mana mungkin YB mahu jejak di atas pelantar sangkar yang kotor ini,” kata Pak Belukang berbasa-basi setelah masing-masing mengambil tempat duduk.
YB Sumbing berdehem sekali. “Saya berhajat nak menawarkan Pak Belukang untuk membuka projek ternakan ikan sangkar yang lebih besar tahun depan. Saya mendapat maklumat yang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan disediakan peruntukan besar untuk pembangunan sektor pertanian dalam belanjawan negara tahun depan,” katanya dengan anak mata galak menyoroti mata Pak Belukang.
“Bagus sangatlah tu, YB. Kalau YB sudi bermurah hati memberi peruntukan, takkan saya hendak menolak pula. Tidak cukup tapak tangan, pelantar ini saya tadahkan,” kata Pak Belukang dengan gembira.
“Bukan saya yang memberikan peruntukannya. Saya hanya mahu membantu Pak Belukang mendapatkan peruntukan daripada kementerian. Saya akan membawa permohonan Pak Belukang ke hadapan dengan senang, tanpa tapisan dan karenah birokrasi lain. Saya juga akan beri sokongan dan melobi bagi pihak Pak Belukang. Saya yakin kita akan dapat sekurang-kurangnya lima juta ringgit,” Ujar YB Sumbing dengan yakinnya.
“Wah, banyaknya! Kalau begitu, saya akan jadi tauke ikan paling besarlah dalam negeri ini, YB,” Pak Belukang merasa takjub.
“Ya, sudah tentu. Bukan itu sahaja. Pak Belukang juga akan saya letakkan ke jawatan penting dalam parti kawasan ini. Bila sudah ada jawatan nanti, macam-macam peluang bisnes yang Pak Belukang akan dapat. Pak Belukang tengok sajalah nanti,” janji YB Sumbing lagi.
Hati Pak Belukang sudah berbunga-bunga. “Ya, ya. Saya setuju benar. Terima kasih banyaklah YB kerana sudi menolong saya ini. Budi YB ini tidaklah mampu saya balas, tetapi akan saya kenang sampai mati,” katanya dengan gembira.
“Tiada apa sangatlah untuk dibalas dikenangkan. Cuma saya perlukan sedikit sahaja pertolongan daripada Pak Belukang,” kata YB Sumbing dengan perlahan.
“Tolong macam mana itu, YB?” tanya Pak Belukang pantas.
“Begini Pak Belukang. Pemilihan Pengetua Parang Kangkung Jaya dan anggota kepimpinan lain parti di kawasan kita ini akan diadakan tidak lama lagi. Saya berharap benar dapat merampas kerusi Pengetua Parang Kangkung Jaya daripada Dato’ Kontot. Saya sedar yang pengaruhnya sungguh kuat. Jadi saya harap Pak Belukang sudi mengeluarkan sedikit peruntukan untuk duit saguhati pada orang-orang di atas pagar supaya mereka bersetuju menyokong saya,” YB Sumbing menerangkannya dengan sudara perlahan. Bimbang juga didengari orang lain di luar pejabat.
Kemudian YB Sumbing menyambung lagi, “Saya akan adakan satu majlis keraian untuk mengempen orang-orang ini. Saya akan menjemput kira-kira dua ratus orang yang mempunyai potensi untuk datang. Dalam majlis itu nanti, setiap seorang akan diberikan duit saguhati sebanyak lima puluh ringgit.”
“Lima puluh ringgit seorang bermakna… sepuluh ribu ringgitlah untuk dua ratus orang?” Pak Belukang meminta kepastian. Kalaulah betul bermakna nilai cek yang diberikan oleh pemborong ikan sebentar tadi akan tinggal baki hanya beberapa puluh ringgit sahaja padanya. Dia mula teragak-agak.
“Betul, tu. Inilah yang saya memohon Pak Belukang bantu sangat-sangat,” rayu YB Sumbing dengan lunak.
“Biasanya kalau diberi setiap orang makan sebungkus nasi lemak dan secawan air teh pun sudah cukup untuk majlis kempen yang macam itu, YB,” kata Pak Belukang.
“Benar. Itu memang cara biasa. Calon lawan saya pun akan buat macam itu. Jadi saya perlukan lakukan cara yang lebih menarik daripada biasa. Pasti mereka akan lebih gembira menerima duit lima puluh ringgit berbanding nasi lemak dengan air teh sahaja,” ujar YB Sumbing meyakinkan.
Pak Belukang terdiam kehabisan kata. Suaranya tersekat di kerongkong. Nak diluah salah, nak ditelan pun salah.
“Came on Pak Belukang. Jangan berfikiran kontot, nanti jadi macam Dato’ Kontot. Apalah sangat melabur sepuluh ribu ringgit itu berbanding dengan peruntukan lima juta ringgit yang Pak Belukang akan terima nanti? Fikirlah dalam-dalam,” pujuk YB Sumbing lagi.
“Jika saya menang nanti, Pak Belukanglah orang pertama yang saya akan lantik sebagai orang kanan saya,” sekali lagi YB Sumbing menabur janji.
“Bolehlah Pak Belukang,” pujuk Isteri YB Sumbing bila melihat Pak Belukang masih berdiam diri.
“Jangan bimbang, abang Belukang. Selepas YB menang nanti, abang Belukang pasti akan jadi lebih kaya,” Seri Ayu pula berkata. Lunak merdu suaranya. Luruh segala kesangsian dan rasa was-was di hati Pak Belukang. Dan sekarang Pak Belukang nampak ada peluang baik yang lain pula, iaitu jika dia berhubungan baik dengan YB Sumbing, sudah tentu peluangnya untuk rapat dengan Seri Ayu juga terbuka luas.
“Baiklah, saya setuju,” kata Pak Belukang akhirnya. Dia berpaling ke arah Seri Ayu. Seri ayu mengenyitkan mata sambil tersenyum manis padanya. Aura senyuman itu memancar ke muka Pak Belukang menyebabkan matanya silau dan mukanya terasa panas.
Pak Belukang terpaksa menoleh ke arah lain. Silaunya hilang, tetapi panasnya semakin perit. Dia terpaksa memusingkan badannya ke arah lain pula.
Buk! Tubuh Pak Belukang menghempas lantai. Pak Belukang terjaga. Rupa-rupanya dia terjatuh dari katil kayunya. Aura yang silau dan panas tadi rupa-rupanya adalah cahaya matahari yang merobos masuk melalui pecahan cermin jendelanya.
“Sudah hampir tengah hari,” keluh Pak Belukang. Dia harus pergi ke tempat kerja sekarang. Sudah terlelu lewat.
Pak Belukang menggosok-gosok mata yang masih berat. Wajah Seri Ayu yang cantik jelita masih terbayang-bayang lagi di depan matanya.
“Oh, Seri Ayu…” terpancul dari mulutnya tanpa disedari.