Kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Memang semua orang ada kemahuan, tetapi masalahnya, tidak semua orang mahu berjalan. Atau tidak rela menggerakkan kudrat untuk mencari jalannya.
Pepatah melayu lama juga ada mengatakan, ikan di laut, asam di darat. Dalam kuali bertemu jua. Itu akan terjadi jikalau ikan ditangkap, disiang dan akhirnya dimasak bersama asam dalam kuali. Jika tiada usaha dicurahkan dari peringkat menangkap ikan itu lagi, seumur hidup hatta sesudah mati pun, ikan itu tidak akan berpeluang bertemu asam. Kecualilah ada buah asam gelugur gugur ke dalam sungai, itu cerita lain.
Pepatah cina pula ada mengatakan, kalau mereka mahu makan ikan, jangan beri ikan, berilah pancing. Bidalan ini mengajar para pemimpin mendidik rakyat, guru mendidik murid serta ibubapa mendidik anak-anak agar berdikari. Masalahnya, tidak semua orang sukakan pancing. Pancing tidak boleh dimakan, kata mereka yang berakal pendek. Mereka hanya berharap diberikan ikan setiap kali mereka mahu makan, hinggakan ada yang sanggup tebalkan muka merengek di sana-sini!
Sebuah pepatah india kuno yang hampir dilupai orang mengatakan, apabila pohon terakhir telah ditebang, ikan terakhir telah ditangkap, sungai terakhir telah kering, maka manusia baru sedar bahawa wang yang ada tidak boleh dimakan.
Bidalan ini sangat bagus maknanya, tetapi hanya bagi mereka yang faham sahaja. Kekayaan wang ringgit walau sebanyak mana pun, tidak akan menjamin segala kesenangan hidup. Perlu berpada-pada dalam mencari duit dan harta, jangan sampai melampau-lampau hingga mengabaikan perkara lain. Namun apa yang parahnya, ada orang yang tidak ambil kisah langsung akan banyak atau sedikitnya pohon, ikan, sungai dan wang yang ada waktu ini.
Begitulah bahana sikap manusia-manusia pemalas. Tiada ubat yang boleh menawarkan sikap malas, kecuali diri sendiri yang berusaha membuangnya. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11)
Di sebuah pondok buruk, dengan mata yang masih lagi kuyu Pak Belukang memandang ke luar jendela. Matanya merenung pada air sungai yang mengalir lesu, selesu semangatnya. Sungai yang terletak hanya kira-kira dua puluh langkah sahaja dari rumahnya pernah menjadi sumber rezeki hidupnya. Sungai yang selebar dua puluh meter itu juga sentiasa mewah dengan isinya.
Di sana-sini permukaan air sungai itu beriak-riak bentuk bulatan. Bermula daripada satu titik, bulatan itu membesar dengan cepat, tetapi semakin jauh semakin melemah dan akhirnya lenyap. Ia dihasilkan oleh pelbagai jenis ikan yang menghuninya. Masyarakat sungai itu juga ditambah-meriahkan lagi dengan keanggotaan kura-kura, labi-labi, biawak dan ular air yang membina rangkaian ekosistem di situ.
Dulu Pak Belukang sentiasa memancing ikan di sungai ini. Dengan menggunakan sampan kayu kecilnya, dia meredah banyak lubuk ikan. Namun hasilnya hanya sekadar lepas makan minum dan belaja harian sahaja. Ini kerana tangkapan dengan menggunakan pancing tidaklah banyak. Tambahan pula menunggu ikan mengena mata kail adalah memakan masa. Sehari suntuk memancing, sebakul ikan pun belum tentu penuh.
Pak Belukang mula terfikir yang dia perlu menggunakan kaedah lain untuk menangkap ikan dengan lebih banyak dalam masa yang singkat. Jika hasil tangkapan sedikit-sedikit macam itu, sampai bila pun dia tidak akan kaya. Permintaan ikan di pasar memang tinggi, tetapi dia tidak mampu memenuhinya dek kerana kekangan teknik ‘sekali hulur pancing, dapat seekor ikan’.
Apabila diluahkan masalahnya pada seorang peniaga ikan lain, Pak Belukang disarankan menuba ikan di sungai menggunakan racun rumpai. Pak Belukang sungguh teruja mendengar hasil tangkapannya yang berkoyan-koyan. Lantas dia mencari racun rumpai yang dikatakan itu. Bukan sukar sangat hendak mendapatkannya. Pak Belukang terus memborongnya sebanyak lima botol racun rumpai daripada kedai Agrochem. Nafsu tamaknya mahu menuba ikan dalam sungai itu semua sekali.
Pulang sahaja ke rumah, Pak Belukang terus menuang sebotol racun rumpai ke dalam sungai. Dia tidak sabar-sabar lagi hendak melihat beratus-ratus ikan timbul seperti yang diceritakan oleh rakannya. Memang benar, setengah jam selepas itu, banyak ikan mulai timbul. Ikan-ikan itu seperti pening dengan berenang tidak tentu hala. Tanpa berlengah, Pak Belukang terus menyauknya.
Dalam masa yang singkat sahaja, perahu kecil Pak Belukang sarat dengan ikan. Dia terpaksa memunggah dahulu ikan-ikan itu ke darat sebelum menyambung menyauk lagi. Ada ikan lampan, jelawat, haruan, patin dan bermacam-macam lagi. Namun masih banyak lagi ikan-ikan yang perlu dikutipnya. Makin banyak yang disauk, makin banyak lagi yang timbul.
Sehingga ke remang-remang senja, Pak Belukang kepenatan. Sudah lima kali dia memunggah ikan ke darat. Ikan yang dia dapat sudah terlalu banyak. Namun ikan yang timbul di sungai belum habis lagi di kutip. Untuk turun menyauk lagi dia sudah tidak larat. Lagipun hari sudah gelap. Akhirnya dia memutuskan untuk berhenti sahaja dan menyambung kembali pagi esok.
Keesokkannya, Pak Belukang mendapati lebih banyak ikan yang timbul memenuhi pinggir tebing sungai. Kesemuanya sudah mati. Dia terus menyauk ikan-ikan tersebut. Semua tangkapan itu diangkut ke pasar. Oleh kerana ikannya terlalu banyak, Pak Belukang terpaksa menjualnya dengan harga murah. Ada juga yang dijual secara borong. Ikan-ikan itu terpaksa dihabiskan juga untuk mengelakkannya daripada membusuk.
Terdetik juga rasa sesal di hati Pak Belukang kerana sikap tamak halobanya menggunakan terlalu banyak racun untuk menuba. Sepatutnya dia mencuba sedikit sahaja dahulu agar tangkapan ikan sepadan dengan permintaan. Ini untuk mendapatkan harga jualan yang tinggi dan mengelakkan pembaziran. Pun begitu, Pak Belukang puas hati kerana duit jualannya hari ini berkali ganda lebih banyak daripada hari-hari sebelum ini.
Esoknya, setibanya di pasar dengan bekalan ikan yang baru dituba, Pak Belukang tersenyum lebar kerana melihat pelanggan-pelanggan yang membeli ikannya semalam sudah sedia menunggunya.
“Sabar. Sabar. Tak akan lari ikan dikejar,” kata Pak Belukang.
“Kami sudah tidak boleh sabar lagi, Pak Belukang,” sahut seorang pelanggan dengan kasar.
“Kalau ya pun, biarlah saya susun dulu ikan-ikan ini,” pujuk Pak Belukang.
“Tidak perlu! Kami datang bukan hendak beli ikan, tetapi kami hendak Pak Belukang kembalikan duit yang kami bayar semalam,” ujar pelanggan yang lain.
“Pulangkan semula duit? Kenapa? Saya bukan pinjam duit tuan-tuan,” Pak Belukang merasa pelik.
“Pak Belukang sudah menjual pada kami ikan-ikan beracun. Habis keluarga kami sakit perut dan muntah-muntah kerana makan ikan Pak Belukang. Sekarang kami mahu tuntut ganti rugi,” tegas seorang lelaki bersuara parau.
“Saya sudah jual ikan dan tuan-tuan semua sudah membelinya. Jadi selepas itu kalau tuan-tuan sakit perut atau muntah, itu tanggungjawab tuanlah. Bukan masalah saya. Hari ini kalau mahu ikan lagi, silalah beli sekarang. Kalau tidak mahu beli, silalah beredar dari sini,” bentak Pak Belukang yang mula panas hati.
Seorang lelaki tampil ke depan dengan memegang sebatang kayu beluti. “Jika Pak Belukang tidak mahu memulangkan duit kami, kami akan belasah Pak Belukang beramai-ramai,” katanya sambil memukul-mukul kayu beluti itu ke sisi pehanya.
Pak Belukang nampaknya tiada pilihan lagi, tetapi dia tidak membawa duit yang banyak untuk membayar mereka.
“Baiklah, tetapi biar saya jual ikan ini dulu. Bila dapat duit nanti, saya akan bayar duit kamu semua,” kata Pak Belukang dengan nada merendah semula.
“Kami tidak peduli. Kami mahu duit kami sekarang juga,” ujar lelaki yang memegang kayu beluti dengan keras.
“Saya tidak ada duit sekarang. Kalau awak pukul saya pun tiada guna. Awak tidak dapat duit itu. Biar saya pulang ambil duit di rumah dahulu,” kata Pak Belukang.
Lelaki yang memegang kayu beluti itu terdiam seketika. “Baiklah, Pak Belukang boleh pulang sekarang. Kami tunggu Pak Belukang di sini,” katanya kemudian.
Pak Belukang pun pulang dengan ikan-ikannya yang belum sempat dijual. “Kalau sudah kecoh macam ini, sudah tentu tiada orang mahu beli ikan aku hari ini. Kalau aku pulangkan duit mereka, rugilah aku. Duit habis, ikan pula tidak akan laku,” Pak Belukang bercakap seorang diri.
Pak Belukang memutuskan untuk tidak memulangkan duit pelanggannya. Dia juga tidak akan kembali semula ke pasar untuk menjual ikan. Sebaliknya ikan-ikan itu dibahagi-bahagikan kepada jiran-jiran dan selebihnya disimpan untuk dimakan sendiri. Dan tengah hari itu per tama kali Pak Belukang memasak dan makan ikan hasil tubaannya sendiri.
Petang itu, seorang budak yang sedang melastik burung telah tersasar bidikan ke arah rumah Pak Belukang. Dia mendengar suara Pak Belukang mengerang kesakitan. Bila menghampiri rumah Pak Belukang, budak itu terkejut melihat tubuh Pak Belukang terjuntai dari jendela. Menyangkakan Pak Belukang telah mati terkena anak batu peluru lastiknya, budak itu pulang ke rumah dengan menangis terketar-ketar. Dia memberitahu bapanya yang dia telah membunuh Pak Belukang dengan lastiknya dengan tidak sengaja.
Bapa budak itu terkejut besar lalu berkejar ke rumah Pak Belukang. Walaupun fikirannya sangsi bagaimana sebiji anak batu lastik mampu membunuh orang dewasa, darahnya berderau juga bila melihat Pak Belukang terjuntai dari jendela dan tidak sedarkan diri. Jikalaulah tidak kerana pinggangnya tersangkut pada bingkai jendela kecil itu, sudah pasti Pak Belukang jatuh dengan kepala memacak ke tanah. Air liur hijau meleleh-leleh dari mulut dan hidungnya.
Setelah diperiksa, rupa-rupanya Pak Belukang masih hidup. Dia hanya lemah tidak bermaya selepas muntah dengan banyaknya disebabkan oleh keracunan makanan, bukannya terkena anak batu lastik. Dan petang itu gemparlah juga dengan hampir sekampung mengalami keracunan makanan sama. Semuanya adalah akhibat memakan ikan pemberian Pak Belukang. Nasib baik tiada yang meninggal walaupun ada beberapa orang yang tidak sedarkan diri.
Selepas peristiwa itu Pak Belukang serik untuk menggunakan racun tuba lagi. Sudahlah semua orang kampung marah dan menyalahkannya, dia sendiri pun separuh mati merasai seksanya akhibat penangan ikan yang ditubanya dengan racun rumpai. Racun-racun rumpai yang belum digunakannya lagi dijual semula.
Namun keazaman Pak Belukang untuk menangkap ikan dengan banyak belum padam. Atas nasihat kawannya yang tidak bertauliah itu, dia disaran pula menggunakan bom ikan. Menurutnya, bom adalah lebih selamat kerana tidak beracun. Pasti tiada lagi orang yang mengalami keracunan selepas ini. Cara-cara membuat bom ikan juga diajar langkah demi langkah. Tidaklah sesusah mana, tetapi perlu dicari dahulu bahan-bahannya iaitu belerang, klorat, arang kayu, batang paip berdiameter dua inci, tar hitam, mentol lampu suluh, tiga biji bateri dan wayar-wayar sambungannya.
Apabila semua bahan berjaya dikumpulkan, Pak Belukang memulakan proses membuat bom. Arang kayu ditumbuk halus dan dibancuh bersama belerang dan klorat dengan nisbah tertentu. Bancuhan yang dinamakan serbuk peledak ini kemudiannya diisi ke dalam batang paip besi. Setiap lubang pada batang paip ditutup dengan tar hitam supaya bom ini kalis air. Mentol lampu kecil digunakan sebagai fius dan disambungkan kepada wayar penghubung. Satu lagi hujung wayar itu akan disambungkan kepada tiga biji bateri yang sudah diikat kemas. Satu suis ringkas dibuat dengan wayar itu sendiri.
Pak Belukang membawa bom rekaannya itu ke tengah lubuk ikan dengan menggunakan sampan kecilnya. Sebaik tiba ditempat yang difikirkanya sesuai, dia mengangkat pendayung dari air ke atas sampannya. Malangnya, hujung pendayung itu telah menimpa ke atas suis bom tanpa sengaja. Apalagi, bom itu terus meledak dengan kuatnya.
Sampan kecil Pak Belukang terputus dua. Dengan momentum yang dihasilkan oleh ledakan bom itu, bahagian haluan sampan yang diduduki Pak Belukang tertolak ke tebing sungai sebelah rumahnya, sementara bahagian belakang sampan tertolak ke tebing sungai seberang sana. Alunan air besar yang terhasil juga mengejar dari belakang. Bimbang ia akan merempuh separuh badan sampan yang didudukinya, Pak Belukang cuba mendayung sekuat tenaga dengan menggunakan kedua-dua tangannya di haluan sampan.
Namun separuh badan sampan itu dirempuh juga oleh alunan air yang besar. Sekelip mata sahaja Pak Belukang bersama bahagian haluan sampannya tenggelam ke dalam air sebelum sempat tiba ke tebing sungai. Separuh badan sampan itu memang tidak mampu membuat apungan menanggung berat Pak Belukang. Lagi pun kayuhan Pak Belukang tidak cukup pantas untuk mengatasi hambatan alunan air daripada menerjah ke dalam kepala perahunya.
Pak Belukang terpaksa berenang ke tepi menyelamatkan diri. Bahagian haluan sampannya tidak sempat diselamatkan dan lenyap ke dasar sungai. Walaupun dia berusaha menarik bersamanya, badan sampannya itu terpaksa dilepaskan kerana tiadalah terdaya oleh kudratnya. Pak Belukang sunggul termenung di atas tebing. Dia bukan sahaja tidak dapat hasil ikan yang banyak dengan memakai bom, malah dia turut kehilangan sampan yang hanya satu-satunya dia punyai itu.
Walaupun bom meledak begitu hampir padanya tadi, Pak Belukang sungguh berbasib baik. Dia hanya mendapat luka calar-balar sahaja pada badan terkena sepihan bom dan kayu sampannya. Ledakan itu menghala ke bawah, iaitu perut sampannya. Kalaulah ledakan bom itu menghala ke arah Pak Belukang, berkemungkinan besar dia pula yang terputus dua.
Pak Belukang mengucap syukur kerana masih bernyawa. Tuhan masih sayangkan dirinya. Tuhan tidaklah sekejamnya yang hendak membunuh ikan, yang juga makhluk tuhan dengan cara sekejam Israel, iaitu dengan menggunakan bom. Akhirnya Pak Belukang memaksa diri pulang. Dia bukan sahaja hanya tinggal sehelai sepinggang, malah pakaiannya turut koyak rabak dan basah kuyup lagi.
Pak Belukang buntu. Sudahlah ikan tidak dapat dibom, sampannya pula putus. Kehilangan sampan umpama hilang sebelah kaki. Hidupnya kini menjadi tempang. Selepas ini pergerakannya untuk menangkap ikan sudah terbatas dari tebing sungai sahaja. Dia tidak dapat lagi ke lubuk ikan. Semangatnya untuk menangkap ikan dengan banyak mulai kendur. Tetapi dia harus juga menangkap ikan kerana itulah satu-satunya kemahiran yang dimiliki.
Semalaman Pak Belukang termenung mengenang kembali perbuatan salahnya, akhirnya dia insaf. Akhibat sikap tamaknya, dia pernah mendapat sakit dan kehilangan harta benda. Dia berazam tidak mahu menggunakan cara yang salah lagi. Dia pasrah sahaja dengan takdir yang menimpanya. Selepas dari itu Pak Belukang bertukar cara menangkap ikan kepada menggunakan jala. Dia tidak risau lagi memikirkan banyak atau sikitnya ikan yang akan diperolehi. Biarlah jala itu sahaja yang tentukan sebanyak mana ikan yang mahu disauknya.
Di satu hari yang cerah tatkala tiba di tebing sungai, Pak Belukang ternampak satu riak air yang menarik di permukaan sungai itu. Kemudian sesuatu benda timbul, yang tidaklah berupa seperti ikan-ikan biasa, tetapi satu objek yang mempunyai dua lubang. Pak Belukang semakin berminat hendak mengetahui ikan jenis apakah itu. Apa yang mengembirakan Pak Belukang ialah objek itu perlahan-lahan mendekatinya di tebing.
Pak Belukang tidak mahu meneka lagi apakah jenis ikan itu, sebaliknya dia terus mempersiapkan jala untuk ditebar. Tangkap sahaja dulu. Untung-untung dapat ikan arapaima besar. Apabila objek berlubang dua itu tiba pada jarak yang sesuai, Pak Belukang pun terus menebar jala. Namun sesuatu yang memeranjatkan berlaku tiba-tiba.
Di saat jala terbuka dengan seluasnya, objek itu meluncur keluar dari air dan terbang ke udara menerjah pusat tebaran jala. Pak Belukang terjerit ketakutan. Mukanya pucat lesi sementara bulu romanya tegak berdiri. Ikan yang sedang dijalanya itu rupa-rupanya seekor buaya! Dan objek berlubang dua yang timbul sebentar tadi adalah hidung buaya tersebut!
Buaya itu mendarat di atas tebing dengan jala merangkum dari muncung sehingga hampir ke ekornya. Sebelum sempat buaya malang itu mengatur nafasnya kembali bagi tindakan seterusnya, tuan jala itu sudah pun tiada lagi di situ. Cuma suara lolongannya meminta tolong sahaja kedengaran nyaring, semakin lama semakin sayup menjauh. Dan akhirnya jala itu koyak rabak dengan teruknya dikerjakan oleh buaya tersebut.
Menitis air mata Pak Belukang apabila kembali ke situ keesokkan harinya untuk mengambil jalanya. Dia memungut cebisan-cebisan jalanya yang tidak mungkin dapat dicantumkan kembali itu. Sejak darpadai peristiwa itu, minat menangkap ikan Pak Belukang langsung hilang. Dia sangat jarang turun ke sungai untuk menangkap ikan lagi. Jika ada pun dia hanya menggunakan pancing, kembali kepada cara asalnya dahulu. Namun dalam sebulan, boleh dikira dengan jari berapa kali dia turun memancing. Pada kebanyakan waktu, dia lebih senang bemalas-malas di rumah sahaja.
Itulah kejadian yang berlaku lebih sepuluh tahun dahulu. Sejak dari itu tiada lagi sesiapa yang terserempak dengan buaya tersebut di sungai itu. Entahkan pupus ataupun sudah berhijrah ke tempat lain, tidak dapat dipastikan. Atau mungkin juga menjadi pendatang tanpa izin mencari rezeki yang lebih di sungai-sungai lain yang lebih makmur, sepertimana juga Malaysia yang menjadi tumpuan warga asing masuk bekerja secara haram.
“Abah! Abah!” satu suara kanak-kanak memanggil. Pak Belukang tersedar. Itu suara anaknya, Belukang yang baru pulang dari tempat kerja. Rupa-rupanya dia masih berada di atas katil dan melangut di jendela, seperti mana keadaannya pagi tadi jua. Sekarang keadaan sudah pun remang-remang senja. Ini bermakna sudah seharian Pak Belukang mengelamun di jendela itu!