Rabu, 17 Ogos 2011

Cintan Si Cilik bab 2


2          Maikel Jeksen

Di atas sebatang dahan pokok rambutan yang mendatar, dua orang kanak-kanak yang sebaya sedang asyik bergurau. Sambil menatap sebuah majalah hiburan, mereka becok berbual. Sesekali kedengaran gelak ketawa mereka.
            Si budak lelaki bertubuh kecil, Imi nama panggilannya. Dia tinggal selang lima buah rumah dari situ. Dia yang memakai baju T bergambar Doraemon paling lebat bercakap. Ada-ada saja ideanya membuat lawak, membuatkan budak perempuan di tepinya tak berhenti-henti ketawa.
Si gadis kecil yang comel itu pula Nia nama pendeknya. Wajahnya seiras pelakon Catherine Zeta Jones, heroin dalam filem Zorro. Umurnya lebih muda beberapa bulan daripada Imi, tetapi Nia kelihatan lebih tinggi di antara mereka berdua.
Mereka juga belajar di sekolah dan di kelas yang sama. Malah mereka telah berkawan rapat sejak daripada pra sekolah lagi. Di sebabkan mereka tinggal berdekatan, mereka selalu pergi dan pulang dari sekolah bersama. Di waktu petang pun mereka bermain bersama-sama.
            Nia mengeluarkan gula-gula bebola coklat dari poket bajunya. Dia mengunjukkan beberapa biji kepada Imi. Kemudian dia mengupas sebiji lalu mencampakkan ke dalam mulut. Mengherot-herot mulutnya mengulum coklat itu. Tidak berapa lama kemudian, dia meludahkan sesuatu ke tanah.
            “Eh, kenapa kau buang biji kacang tu?” tanya Imi hairan.
            “Aku tak mahu makan kacang. Nanti tumbuh jerawat macam Kak Anis,” jawab Nia selamba.
            “Kalau kau tak nak biji kacang tu, bagi akulah,” kata Imi.
            “Nah, ambil ni,” kata Nia yang tiba-tiba meluahkan biji kacang lain ke tangannya lalu sepantas kilat dia menyumbat ke dalam mulut Imi.
            Nia ketawa bila melihat Imi tersedak. Selepas terbatuk-batuk, Imi juga turut ketawa.
            “Kalau nak beri pun elok-eloklah,” ujar Imi sambil menyapu lelehan air yang keluar dari hidungnya.
            “Ok,” balas Nia.
            Selepas itu Nia hanya mengulum dan menghisap cokelat sahaja, biji kacangnya diberikan pada Imi. Romantik juga budak kecik dua orang ini.
            “Kau tau tak, atuk aku kalau makan cokelat ni, dia akan beri biji kacangnya pada nenek juga,” kata Nia. Imi berhenti melihat majalah dan berpaling padanya.
            “Eh, ye ke?”
            “Iye. Kau nak tahu kenapa?”
            “Sebab atuk engkau pun takut kena tumbuh jerawat juga kan?”
            “Hehehe… Orang tua mana ada tumbuh jerawat lagi dah. Sebabnya, atuk aku dah tak ada gigi nak kunyah biji kacang ni,”
            Mereka ketawa lagi.
            “Kalau nak makan sirih pun atuk aku kena gobekkan dulu tau,” kata Nia lagi.
            “Nenek kau tak tolong kunyahkan dulu ke? Lepas tu suaplah pada atuk kau,” kata Imi lalu gelak mengekek.
            “Tak ada pula aku tengok nenek buat macam tu. Kau ni pandai-pandai sajalah,” kata Nia lalu mencubit rusuk Imi. Imi membalas dengan mencucuk rusuk Nia pula. Mereka saling acah-mengacah antara satu sama lain.
            “Sudahlah tu. Jatuh aku karang,” Nia akhirnya mengalah.
            Yes!” kata Imi selepas mencuit rusuk Nia kali terakhir.
“Cantik baju kawin mereka ni,” kata Nia sambil nunjukkan gambar dalam majalah di tangannya.
“Nanti bila aku kawin, aku nak pakai baju kawin macam ini juga,” tambah Nia lagi.
Imi menjuihkan bibir. “Aku nak pakai baju lagi cantik dari ini bila kawin,”
“Kau nak pakai baju apa?”
“Aku nak pakai baju macam sultan pakai. Siap ada gantung pingat-pingat sekali,”
“Hah, pengat? Pengat apa? Pengat pisang?”
“Bukan pengatlah. Pingat… kan ada benda macam keping-keping besi yang berkilat-kilat dilekatkan pada dada baju sultan. Lepas tu ada macam rantai emas panjang sultan pakai,”
“Orang laki-laki mana boleh pakai rantai emas,”
“Itu yang sultan ada pakai, boleh je. Kalau tak percaya, kau tengok nanti gambar dia dalam bilik guru,” kata Imi.
“Itu rantai emas palsulah,”
“Mana kau tahu?”
“Aku tahulah…” ujar Nia sambil meninggikan hidungnya. “Eh, kalau kau nak pakai rantai, boleh aku pinjamkan,” katanya lagi.
“Kau ada rantai emas ke?”
“Bukan aku punya. Tapi Maikel Jeksen punya. Rantai besi ajelah,”
“Maikel Jeksen? Beruk bapak kamu tu? Rantai beruk nak buat apa!” tempelak Imi. Nia ketawa sakan.
“Nanti kalau kawin biar aku pakai rantai Maikel Jeksen saja,” kata Nia sambil mengembang-ngempiskan hidungnya.
“Kalau kau pakai rantai beruk, aku tak nak kawin dengan kau. Kau kawin dengan Maikel Jeksen sajalah. Hahahaha…” Imi bantai gelak besar pula.
“Kamu berdua nak kawin?” suara garau menegur dari belakang tiba-tiba. Imi dan Nia menoleh serentak. Didapati Pak Kadir sedang menghampiri mereka.
“Kamu berdua dah berangan nak kawin?” Pak Kadir mengulang soalannya.
Untuk seketika, budak-budak berdua itu terdiam.
“Nanti bila kawin, dapat pakai baju cantik macam ni,” kata Imi sambil menunjukkan gambar pada majalah di tangannya.
Pak Kadir menggeleng-gelengkan kepala. “Jangan cakap pasal kawin lagi. Kamu berdua masih kecil sangat,”
“Budak kecil tak boleh kawin ke, Pak Kadir?” tanya Imi.
“Tak boleh. Orang dewasa sahaja yang boleh kawin,”
“Lambat lagilah kita dapat pakai baju cantik macam ni,” kata Imi pada Nia.
“Orang kawin bukan semata-mata nak pakai baju cantik,” ujar Pak Kadir.
“Habis tu, untuk apa pula orang kawin?” tanya Imi.
“Untuk dapat anaklah,” potong Nia.
Pak Kadir menggeleng-geleng kepala lagi. “Bukan. Tapi nanti kamu tahu juga,” katanya sebelum berlalu pergi.
“Kenapa budak-budak tak boleh kawin, ya?” Imi bertanya sambil anak matanya mengekori Pak Kadir yang sudah jauh ke dalam kebun.
“Entah,” balas Nia pendek.
“Ha, aku tahu kenapa,”
“Kenapa?”
“Budak perempuan tak boleh kawin sebab dia belum tahu masak lagi, macam engkaulah,” kata Imi sambil menolak bahu Nia.
“Eleh, mengata orang. Budak lelaki pun tak boleh kawin sebab tak ada banyak duit lagi, tak boleh beli kereta,” balas Nia sambil menolak bahu Imi pula.
Imi menolak Nia kembali dengan kuat. Nia hilang keseimbangan dan tubuhnya menghuyung ke belakang. Walaupun tangannya sempat berpengang pada dahan yang didudukinya, dia tidak dapat menahan tubuhnya daripada berpusing. Nia membuat satu balik kuang sebelum mendarat ke tanah dalam keadaan tertiarap.
“Aduh!” jerit Nia. Nyaris mukanya tersembam ke akar rambutan yang timbul.
“Padan muka kau,” ejek Imi dari atas.
“Kau jahat. Tunggu kau,” marah Nia. Dia mengambil sebatang kayu panjang lalu menjolok punggung Imi.
“Woi, jangan jolok! Hahaha…” jerit Imi sambil ketawa.
“Nah rasakan! Hehehe…”
“Jangan jolok, hahahaha…” jerit Imi lagi. Dia bangun berdiri dan cuba melompat ke dahan lain. Tetapi kakinya tersauk pada kayu yang dipegang Nia.
Imi jatuh terjerumus. Ketika cuba menampan berat tubuhnya daripada terhempas ke tanah, tangannya terlipat ke depan menyebabkan sendi pergelangan tangannya terkehel. Sakitnya bukan kepalang. Nasib baiklah tidak teruk sangat.
“Aduh!” giliran Imi pula menjerit kesakitan.
            “Sedap tak?” tanya Nia sinis. Dia tunduk dengan riak muka mengejek.
            “Sakit ni, kau tahu tak,” marah Imi.
            “Tau pun sakit. Yang kau tolak aku sampai jatuh tadi, kau ingat tak sakit?” tempelak Nia. “Mari sini aku tengok,” pintanya pula. Dia mencapai tangan Imi yang terkehel itu.
            “Eh, tak payahlah,” bantah Imi lalu menarik kembali tangannya.
“Kau jahat. Aku tak ingin nak kawin dengan kau nanti. Kau kawin sajalah dengan Maikel Jeksen,” kata Imi lalu meninggalkan Nia yang hanya tersengih macam kerang busuk.
“Merajuklah tu. Macam perempuan!” teriak Nia. Imi menoleh dengan mengerepotkan mukanya. Imi terus berjalan pulang ke rumah sambil memegang tangannya.
            Di rumah, Mak Hendon menyapu tangan Imi yang mula membengkak itu dengan minyak afiat. Sambil meratakannya, dia mengurut-ngurut seluruh pergelangan tangan anak bongsunya itu. Imi menyerigai menahan sakit.
            “Perlahan sikit, mak. Sakit…” Imi mengeluh, tetapi Mak Hendon tidak menghiraukannya.
Tahun lepas, tangan itu jugalah yang terseliuh di sendi siku akhibat terjatuh dari tangga. Selepas berminggu-minggu dirawat dan diurut oleh Bomoh Pak Mail Kubur, sendi siku Imi pun sembuh. Namun tangannya kelihatan sedikit bengkok ke bawah apabila dia cuba meluruskan sepenuhnya. Dengan kata lain, sudut pada sendi sikunya itu kini boleh dibuka melebihi seratus lapan puluh darjah.
            Selepas puas mengurut, Mak Hendon mengambil sehelai kain perca lalu membalut pergelangan tangan Imi itu.
            “Itulah kamu, kacau anak dara orang lagi. Kan dah boleh sakit. Rasakan,” ujar Mak Hendon.
            “Imi bukan kacau Nia pun. Kami hanya tengok-tengok gambar orang kawin dalam majalah saja,” Imi menafikan tuduhan melampau emaknya.
            “Tak ada benda lain ke kamu berdua boleh buat? Tengok majalah orang kawin, apa faedahnya? Kalau tengok buku sekolah, bincang kerja sekolah yang cikgu suruh bukan ke bagus,”
            “Kerja sekolah semua dah siap, mak,”
            “Kalau dah siap pun, ulang kajilah. Bincang semula apa yang cikgu ajar di sekolah. Majalah orang kawin tak ada gunanya dibaca-baca sangat,”
“Nanti Imi pun nak kawin juga,” kata Imi lalu senyum meleret.
“Haa…? Imi nak kawin? Nak kawin dengan siapa?” tanya Mak Hendon.
“Nialah,” jawab Imi pendek.
“Hai, anak jantan aku ni kecik-kecik lagi dah ada hati nak kawin pulak,” Mak Hendon menggerutu. “Nantilah besar dulu Imi oii...”
“Sekarang tak boleh kawin ke mak?” Imi berseloroh.
“Belum lagi. Kamu jangan nak mengada-ngada,”
“Kenapa?”
“Sebab Imi kecil lagi,”
“Kenapa budak kecil tak boleh kawin, mak?”
Mak Hendon tidak segera menjawab. Dia menghelakan satu nafas panjang. “Satu hari nanti kamu akan tahu juga,” katanya.
“Imi nak tahu sekarang juga,”
“Nantilah sikit masa lagi, mak akan terangkan,” pujuk Mak Hendon. “Cuba Imi tengok, mana ada orang lain kecik-kecik dah kawin. Mereka tunggu dewasa baru kawin,” tambahnya lagi.
“Tapi kenapa, mak?” Imi masih mahu bertanya.
“Imi, jangan banyak tanya. Kalau mak cakap tak boleh, tak bolehlah,” tegas Mak Hendon. Dia mula bosan melayan soalan-soalan Imi yang melampaui had usianya.
“Mak kawin masa kecil ke, masa dewasa?” Imi bertanya soalan bodoh pula.
“Eh, budak ni. Mak kata sudah, sudahlah. Saja kamu nak bagi mak naik angin kan?” bentak Mak Hendon. Dia tahu, kalau makin dilayan, makin menjadi-jadi fi’il main-main Imi.
“Hehehe…” Imi ketawa. Dia tidak peduli yang emaknya itu sedang serius itu.
“Sebelum kamu nak jaga anak orang, jaga tangan sendiri yang nak patah itu dulu sampai sembuh. Berangan nak kawin, konon. Ingat senang ke?” Mak Hendon membebel. Imi hanya tersenyum sumbing. Dia mula mengelamun.
“Apa sengih-sengih? Kamu bersunat pun belum. Jangan nak menggatal nak usik anak dara orang lagi,” sergah Mak Hendon.
Serta-merta air muka Imi berubah cuak sebaik sahaja mendengar perkataan bersunat.