Isnin, 29 Ogos 2011

Ahmad Alkebab bab 2


Dimanosajo. Itulah namanya yang dikenali oleh setiap pelanggannya. Nama asal Siamnya ialah Dteemanoj Srajokutropong. Oleh kerana ianya agak sukar untuk di sebut, nama itu diubah kepada Dimanosajo. Tauke kebab Benggali yang juga bekas majikannya dululah yang memberikan nama baru itu. Lagipun nama itu sinonim untuknya yang menjelajah di mana sahaja untuk menjaja kebabnya.
“Kamu siapa nama?” tanya tauke kebab selepas pemuda Siam itu bersetuju menjadi pembantunya.
“Nama ana Dteemanoj Srajokutropong,” kata pemuda Siam itu.
“Apa nama kamu?” soal tauke kebab itu semula.
“Dteemanoj Srajokutropong, ana orang Siam,” ulang pemuda Siam itu.
“Dimano… macam mana kamu sebut?” tauke Benggali itu mengerutka dahi.
“Dteemanoj Srajokutropong,” kata pemuda Siam.
“Di mano sajoku teropong?” tauke Benggali cuba menyebut.
“Dteemanoj Srajokutropong,” pemuda Siam itu memperbetulkan.
“Dimanosajo… susah betul aku nak sebut. Aku panggil kamu Dimanosajo sajalah. Senang sikit aku sebut,” kata tauke kebab itu akhirnya.
“Tuan pula siapa nama?” tanya Dimanosajo pula.
“Nama aku Balaichand. Kamu boleh panggil aku Pak Balaichand,” jelas tauke kebab.
“Pak Belacankah? Pak Belacan tinggal di mana?” soal Dimanosajo lagi.
“Hoi! Jangan tukar aku punya nama. Balaichandlah,” Pak Balaichand mengingatkan.
“Belacan, belacan, belacan,” Dimanosajo menyebut berulang-ulang untuk cuba membetulkan lidahnya, tetapi tiada perubahan.
“Ayyo! Bukan belacanlah. Balaichand,” tauke kebab itu menepuk dahi.
“Belacanlah, senang ana sebut. Tuan pun sebut nama ana tidak betullah,” ujar Dimanosajo.
“Baiklah, belacan pun belacanlah,” kata Pak Balaichand mengalah.
“Jadi, tuan suka makan belacankah?” soal Dimanosajo tiba-tiba.
“Nama aku tiada kaitan sama itu belacan. Kamu mahu tahu apa makna Balaichand?” soal Pak Balaichand.
“Mahulah,” balas Dimanosajo dengan cepat.
“Balai maknanya kepala. Chand maknanya bulan…” kata-kata Pak Balaichand.
“Belacan itu maknanya kepala bulanlah,” potong Dimanosajo dengan cepat.
“Bukan. Balaichand maknanya bulan yang bersinar terang, faham?” tegas Pak Balaichand.
“Faham, faham,” Dimanosajo mengangguk-angguk.
“Kalau kamu faham, bagus. Sekarang mari tolong aku tutup gerai ini. Lepas itu kita pulang ke rumah aku. Esok kamu mula kerja,” ajak Pak Balaichand.
“Boleh saja,” sahut Dimanosajo.
Setelah mereka mengemas dan menutup gerai, mereka pun berjalan beriringan menuju ke rumah Pak Balaichand yang terletak tidak jauh dari situ. Rupa-rupanya Pak Balaichand tinggal seorang diri di rumah itu. Menurutnya, dia pernah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, tetapi mereka hidup berasingan setelah tidak sehaluan lagi dengan bekas isterinya. Masuk sahaja ke dalam rumah, Dimanosajo mencari tempat berehat. Tidak pun lama dia duduk di sofa, dia terus tertidur kerana keletihan.
Dimanosajo tersenyum sendirian bila mengingati hari-hari pertamanya di kota Permaisuri. Dia terus mengayuh basikal beroda tiganya sambil menyanyi…

Kebab kambing kebab bebiri,
            Kebab unta dan burung unta,
            Kebab Dimanosajo kebab dicari,
            Sekali rasa terus jatuh cinta.

Tugas pertama Dimanosajo pada hari pertamanya sebagai pembantu tauke kebab ialah pergi membeli bahan-bahan mentah di pasar. Semua barang telah disenaraikan oleh tauke Benggali itu bersama kuantitinya dan harganya sekali, termasuklah lokasi gerai barang-barang tersebut di pasar. Dimanosajo membaca berkali-kali cebisan kertas yang menyenaraikan daging-daging dan sayur-sayuran yang diperlukan supaya tiada yang tertinggal.
Pak Balaichand juga turut memesan barang yang tidak kurang pentingnya, iaitu arang kayu. Jika tiada arang, sudah tentutlah daging kebab tidak dapat dibakar. Satu persatu gerai dijelajahi Dimanosajo. Senang sahaja barang-barang dalam senarainya diperolehi. Beberapa kali juga dia terpaksa mengangkut dahulu barang yang dibelinya itu ke basikal beroda tiga yang telah diberikan oleh Pak Balaichand.
Akhirnya Dimanosajo mencari gerai untuk barang terakhirnya, iaitu daging burung unta. Berpandukan nota yang diberi Pak Balaichand, Dimanosajo menyusuri di celah-celah gerai yang agak tidak teratur susunannya itu. Setelah beberapa kali berpusing-pusing, Dimanosajo pun terpandanglah sebuah gerai menjual daging di mana di atas gerai itu juga ada sebiji kepala burung unta. Sahlah ini gerai yang dicari-carinya.
Gerai itu dijaga oleh seorang wanita muda. Dia kelihatang sedang asyik membaca surat khabar kerana gerainya tiada pelanggan pada masa itu.
.“Unta, unta,” Dimanosajo menegur gadis itu dengan penuh ‘gentlement’. Dan seperti yang diharapkan, gadis itu berpaling. Melihat sahaja wajahnya, jantung Dimanosajo bagaikan berhenti berdenyut seketika. Matanya terpaku. Seluruh jiwa raganya terpesona dengan keayuan jelmaan bidadari di depannya ini. Sayangnya bidadari ini berkerja sebagai penjual daging burung unta, tidak duduk di singgahsana syurga, seperti yang selalu digambarkannya
“MasyaAllah, unta banyak cantiklah, unta banyak manislah,” terpancul ayat dari mulut Dimanosajo tanpa dia sedari.
Gadis itu mencengihkan muka. Terangkat hujung keningnya. Air mukanya menggambarkan dia kurang senang pada Dimanosajo.
“Unta, ana mahu ambil daging burung unta Pak Belacan punya,” Dimanosajo terus menyatakan tujuannya bila melihatkan gadis itu bagaikan tidak mahu terpikat dengan ayat-ayat cintanya,. Lagipun dia orang baru di situ. Gadis penjual daging burung unta itu belum mengenalinya. Jika membuat terlebih ramah nanti, mungkin dia dituduh membuat ganguan seksual pula. Haru. Esok lusa kan masih ada, buat apa terburu-buru, desis hati Dimanosajo.
“Siapa yang enta panggil?” tanya gadis itu. Kasar bunyinya.
“Untalah, ana tidak tahu nama unta,” kata Dimanosajo.
“Enta panggil ana unta?” tekan gadis itu.
“Salahkah?” tanya Dimanosajo kembali.
“Memang salah! Ana bukan unta,” sergah gadis itu. Matanya bersinar-sinar berapi.
“Habis, mahu panggil apa?” tanya Dimanosajo.
“Sebut betul-betullah. Enta, bukan unta,” ujar gadis itu.
“Entakah?” tanya Dimanosajo. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Budak-budak pelajar pondok selalu memanggilnya unta yang bermaksud awak, sewaktu di kampung dahulu. Dia tidak menyedari yang mereka telah menyakatnya. Nakal juga budak-budak ini.
“Yalah. Enta mana boleh panggil orang, unta? Enta memang kurang ajar,” marah gadis itu.
“Jangan marah-marah unta yang cantik manis, eh silap, enta yang cantik manis. Ana punya salah, ana minta maaflah,” kata Dimanosajo.
“Apa enta mahu?” tanya gadis itu agak keras.
“Ana mahu datang ambil Pak Belacan punya daging burung untalah,” kata Dimanosajo.
“Pak Balaichandkah? Tauke kebab burung unta itu?” tanya gadis itu.
“Yalah, samalah itu,” jawab Dimanosajo.
“Enta siapa?” Soal gadis itu lagi.
“Ana ini Pak Belacan punya assistantlah,” jelas Dimanosajo.
“Assistant Balaichand? Baiklah, tetapi enta kena bayar tunai,” kata gadis itu tegas. Nampaknya dia mengambil langkah berhati-hati.
“Saya tahu adik manis mesti tidak percaya sama saya. Jangan bimbang, ini duitnya,” kata Dimanosajo sambil menghulurkan duit.
“Nah, ini dagingnya,” gadis itu menghulurkan dua beg plastik besar daging burung unta.
“Terima kasih adik manis. Besok ana datang lagi ambil daging burung unta lagi ya?” kata Dimanosajo.
“Hmm,” balas gadis itu.
Selepas dua langkah bergerak, Dimanosajo terfikir sesuata. Dia pun berpaling semula.dan berkata, “Sebelum ana pergi, bolehkah ana tahu siapa nama unta?”
“Enta!” jerit Baiduri.
Dimanosajo terperanjat. Melihat saja mata gadis menyala-nyala, cepat-cepat dia meninggalkan gerai daging itu. Baiduri ketawa terkikih-kikih setelah Dimanosajo lesap dari pandangan. Namun hatinya berbisik, kacak juga kuli baru tauke Pak Balaichand ini.