7. Gatal Miang Keladi Tua
Malam itu Jamilkhir tidak juga pulang ke rumah. Liafara menyumpah-nyumpah kesal. Awal-awal lagi Jamilkhir sudah tidak berlaku adil. Sepatutnya giliran madunya itu diselang-selikan dengan dirinya. Ini tidak, sudah dua malam suaminya menghilangkan diri tanpa khabar berita.
Keesokan paginya, sekali lagi Liafara datang ke pejabat agama. Kali ini dia tidak lagi membawa keretanya seperti semalam. Dia telah mengesyakki wujudnya mata-mata yang memberikan maklumat akan kehadirannya menunggu di tempat parkir pejabat agama itu kepada Jamilkhir.
Liafara meninggalkan keretanya di stesen teksi lalu mengambil teksi untuk ke pejabat agama. Kali ini dia tidak lagi mahu menunggu sejak dari awal pagi, sebaliknya dia akan datang mendadak pada jam sepuluh pagi. Biarlah kelibatnya tidak dapat dilihat awal-awal supaya Jamilkhir fikir dirinya selamat untuk masuk berkerja hari itu.
Benar seperti yang diduga Liafara. Apabila teksi yang dinaikinya masuk sahaja ke perkarangan pejabat agama daerah, dia ternampak akan kereta Jamilkhir diletakkan di tempat parkir yang biasa digunakannya. Nampaknya plan Liafara kali ini bejalan lancar. Dia meminta pemandu teksi membawanya ke pintu belakang bangunan pejabat agama itu.
Pintu belakang ini amat jarang digunakan, apalagi kepada pelawat-pelawat. Ia biasanya digunakan hanya oleh pekerja-pekerja pembersihan sahaja. Liafara tahu akan selok-belok bangunan itu kerana seringkali juga dia mengikut Jamilkhir datang dahulu semasa rumah terbuka hari raya, hari keluarga dan juga aktiviti gotong-royong.
Liafara melangkah dengan laju tanpa menghiraukan pengawal keselamatan di ruang legar. Dia terus memanjat tangga. Sebaik sahaja masuk ke dalam ruang pejabat Unit Undang-undang Keluarga, Liafara terus menerpa ke bilik Jamilkhir. Razi yang berada di mejanya terpinga-pinga melihat kemunculan Liafara secara tiba-tiba itu.
Sebaik menolak pintu, Liafara mendapati Jamilkhir tiada di mejanya. Namun dua tiga fail yang terbuka berserta secawan kopi yang sudah tinggal separuh isinya di atas meja menandakan Jamilkhir masuk ke pejabatnya hari ini.
“Kak Fara,” panggil Razi.
“Mana Jamilkhir!” jerkah Liafara dengan lantang.
Razi terperanjat, namun dia cuba menenangkan Liafara. “Sabar puan, ini pejabat…”
“Aku tak kira. Mana Jamilkhir?” jerit Liafara memintas kata-kata Razi.
Unit Undang-undang Keluarga menjadi gempar. Pekerja-pekerja lain tertanya-tanya sesama sendiri. Tiga empat orang mula berkejar ke bilik Jamilkhir. Ada pula yang menelefon bilik pengawal keselamatan.
Waktu itu Jamilkhir baru sahaja keluar dari bilik air. Dia terperanjat melihat Unit Undang-undang Keluarga riuh rendah. Bertambah terperanjat dia apabila mendapati ramai anak-anak buahnya mengerumuni Liafara di dalam biliknya. Liafara menjerit-jerit memaki-hamun bagai tidak ingat dunia. Nasib baiklah Jamilkhir cepat-cepat berselindung.
“Aduh, taufan dah melanda. Apa aku nak buat ni?” keluh Jamilkhir sendirian.
Sepatutnya sebagai suami dia harus tampil menenangkan Liafara. Namun dia bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk. Dia faham sangat akan perangai Liafara. Kalau dia sudah marah, bukan senang-senang saja dapat pujuk. Kalau dipujuk dia akan terus mengganas. Mungkin boleh runtuh bilik pejabatnya itu dikerjakan Liafara nanti. Dia perlu dibiarkan mereda dengan sendirinya. Bila sudah tenang sikit nanti, barulah pujuk rayu berkesan.
Jamilkhir menapak perlahan-lahan meninggalkan unit itu. Dia masuk ke dalam bilik simpanan rekod dan duduk mengecilkan diri di celah-celah rak di situ. Sayup-sayup dia mendengar suara teriakan Liafara. Suaranya seorang menenggelami suara-suara anak-anak buah Jamilkhir yang sedang memujuknya. Jamilkhir menekup telinga.
Kemudian Jamilkhir menyembamkan mukanya ke lutut. Malunya! Mengapalah kejadian ini berlaku di pejabat, di depan anak-anak buah dan rakan sejawatannya yang lain. Kalaulah berlaku di rumah, tiadalah orang luar tahu. Ataupun jika berlaku di tepi pantai, tidaklah ramai orang tahu. Kalau ada pun, tentu orang-orang yang tidak mengenali mereka.
Liafara yang tidak berpuas hati kerana Jamilkhir tidak muncul-muncul. Oleh kerana tiada seorang pun yang bersimpati ataupun menyebelahinya, Liafara pun keluar daripada bilik Jamilkhir dan langsung menonong keluar daripada Unit Undang-undang Keluarga. Yang lain-lain terdiam, tetapi perlahan-lahan mereka mengekori Liafara. Di sebalik pintu, mereka melihat Liafara memanjat tangga ke tingkat tiga yang menempatkan pejabat kadi Daerah Marang.
Liafara memulas tombol pintu dan menolaknya tanpa meminta izin daripada Tuan Kadi. Dia terus menerjah masuk juga tanpa memberi salam.
“Tuan Kadi! Saya mahu tahu. Kenapa Tuan Kadi nikahkan suami saya tanpa izin saya?” tengking Liafara.
“Hoh?” spontan sahutan Tuan Kadi yang sudah separuh abad itu kerana sungguh terkejut. Terlepas sebiji ciritnya yang ditahan sejak tadi. Dia terpinga-pinga dengan serangan Liafara itu.
Tuan Kadi melihat Liafara tanpa berkelip, kemudian melihat pintu biliknya yang ternganga. Selepas itu melihat Liafara semula. Kemudian melihat pintunya lagi. Sesungguhnya dia tidak tahu menahu sebab munasabab dan hujung pangkalnya dia diserang begitu.
“Awak siapa?” soal Tuan Kadi dengan memaut sedikit cermin mata kecil yang dipakainya ke batang hidung.
“Saya Liafara, isteri Jamilkhir yang sebenar,” balas Liafara dengan keras.
“Isteri Jamilkhir? Isteri yang sebenar?” Tuan Kadi mengusap-ngusap pipinya dengan ibu jari. “Oh… baru saya ingat, Liafara bukan?”
Tanpa mengiakan pertanyaan Tuan Kadi, Liafara menyoalnya kembali, “saya mahu Tuan Kadi jelaskan pada saya, kenapa Tuan Kadi menikahkan suami saya dengan perempuan lain?”
Tuan Kadi mendiamkan diri seketika sambil memandang Liafara.
“Awak duduk dulu. Kita bincang apa masalahnya,” kata Tuan Kadi.
Liafara meregus kasar sambil menarik kerusi lalu duduk.
“Baiklah, ceritakan masalah awak sekarang,” pinta Tuan Kadi.
“Adakah Tuan Kadi yang menikahkan Jamilkhir semalam?” Liafara masih menyerang dengan soalan.
Dengan mengangguk-angguk Tuan Kadi pun menjawab, “Ya, sayalah yang menikahkannya. Awak ada masalah dengannya?”
“Memang ada masalah! Saya tak setuju perkawinan itu. Kenapa Tuan Kadi tidak meminta kebenaran saya?” Liafara membentak.
“Eh, apa pula tak setuju. Dalam borang awak kata setuju, ada cap jari lagi,” tingkah Tuan Kadi pula.
“Jamilkhir menipu. Dia ambil cap jari saya masa saya tidur,” ujar Liafara.
“Subhanallah! Jadi awak tidak tahulah yang Jamilkhir nak kawin lain? Jamilkhir tak berbincang dulu dengan awakkah?” Tuan Kadi menggeleng-gelengkan kepala.
“Dia tidak cakap langsung nak kawin lagi. Saya dapat tahu ini pun secara tidak sengaja. Allah bukakan hati saya untuk mengikut kawan yang dapat jemputan ke majlis perkawinannya,” jelas Liafara kesal.
“Tapi mengikut hukum syarak, perkawinan ke dua Jamilkhir itu tetap sah. Sama ada isteri pertama setuju atau tidak, itu tidak dikira. Persetujuan isteri pertama hanyalah inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia semata-mata demi kebaikan isteri pertama saja,” terang Tuan Kadi.
“Sebab itulah saya mahu Tuan Kadi membatalkan perkawinan Jamilkhir dengan isteri barunya,” tegas Liafara.
“Bukan bidang kuasa saya membatalkan perkawinan orang. Itu kerja mahkamah. Memang Jamilkhir melakukan kesalahan, tetapi tidaklah sampai ke tahap batal perkawinannya,” ujar Tuan Kadi.
“Saya tidak peduli! Saya tidak boleh terima perempuan itu sebagai madu saya. Saya juga mahu Tuan Kadi buat undang-undang supaya lelaki tidak boleh berkawin lebih daripada seorang,” bantah Liafara.
Tuan Kadi menegerutkan dahi. “Mana saya boleh suka-suka buat undang-undang begitu? Itu hukum islam, tiada siapa pun yang dapat mengubahnya, walau raja sekalipun,” tegasnya.
Liafara terdiam. Dia sudah kehabisan hujah untuk berdebat. Dia menggigit-gigit bibirnya. Matanya mula berkaca-kaca dan sedetik kemudian setitis air matanya jatuh ke meja.
“Awak bertenanglah. Dengar apa yang saya nak terangkan ini. Poligami ini adalah kaedah timbal balik untuk para suami yang berkeinginan kuat dan memerlukan lebih dari seorang isteri. Wanita yang lemah pula memerlukan perlindungan. Kini bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki. Pasti kaum wanita ini perlukan kepada suami. Tidak semua keadaan atau bukanlah keadilan mutlak kalau kita berpegang kepada kaedah monogamy, iaitu satu lelaki untuk satu perempuan. Sudah tentu ada lebihan wanita yang tidak dapat bersuami. Jikalau ini berlaku, ia akan menyebabkan kepincangan dalam masyarakat,” kata Tuan Kadi dengan lemah lembut. Liafara tidak memberikan respon positif. Dia hanya mengelap air matanya dengan tisu.
“Hukum poligami ini sudah termaktub di dalam al-Quran, surah an-Nisaa’ ayat 3 yang bermaksud; Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (gunakan) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman,” sambung Tuan Kadi lagi.
Melihatkan Liafara yang tidak mahu menyahut ataupun bertanya itu, Tuan Kadi menambah lagi, “Ayat ini membenarkan lelaki berkawin sehingga empat orang isteri untuk satu-satu masa. Namun, perlu difahami bahawa ayat ini menunjukkan keharusan untuk berpoligami dan bukannya suatu tuntutan, gesaan mahupun seruan kepada kaum lelaki untuk berpoligami. Malah ayat ini jelas memberitahu akan syaratnya yang ketat iaitu kepentingan untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri, supaya tak melakukan kezaliman. Jika takut tidak mampu berlaku adil, maka lebih baik beristeri satu saja.”
Liafara terus membatu. Tuan Kadi menyambung lagi, “Dalam ayat 129 dalam surah an-Nisa ini pula, Allah berfirman yang bererti: Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.”
“Maksud ayat ini adalah kita sebagai manusia ini, atau suami yang berpoligami khususnya, sekali-kali tidak dapat berlaku adil dalam rasa cinta, kecondongan hati dan berhubungan intim. Ini kerana untuk menyamakan perkara-perkara batiniah ini kepada para isteri sangatlah tidak mungkin dan ini di luar kemampuan manusia, kecuali jika Allah menghendakinya.”“Dan telah diketahui bahawa, Aisyah radhiyallahu ‘anha lebih dicintai Rasulullah daripada isteri-isteri baginda yang lain. Walaupun begitu, hal-hal yang bersifat lahiriah seperti tempat tinggal, makan pakai, wang belanja dan giliran waktu bermalam, wajiblah bagi seorang suami yang mempunyai isteri lebih daripada seorang untuk berlaku adil dan saksama. Jika keadilan lahiriah ini gagal dipenuhi, islam tidak mengizinkan lelaki berkahwin lebih daripada satu.”
“Ada banyak sebab kelebihan berpoligami ini diharuskan kepada para suami. Pertamanya sebab kemandulan. Isteri tidak mampu melahirkan zuriat untuk si suami. Islam mengharuskan suami untuk berpoligami sebagai satu usaha untuk memperolehi zuriat sendiri,”
“Yang keduanya ialah penyakit. Isteri mengidap penyakit yang menghalang si suami untuk menikmati kehidupan rumahtangga secara sempurna, kerana isteri gagal memberi layanan yang sewajarnya kepada suami, Islam mengizinkan suami untuk berpoligami sebagai satu ganjaran terhadap kesabaran suami yang sanggup menjaga dan menanggung isteri yang berpenyakit.,”
“Yang ke empatnya nafsu. Suami memiliki keupayaan seksual yang luarbiasa dan tidak mampu ditampung oleh seorang isteri, apatah lagi sekiranya si isteri berada dalam haid dan nifas. Islam mengharuskan suami berpoligami untuk memelihara kesucian agama dari terjebak ke lembah maksiat.
“Sebab yang ke lima ialah pertambahan bilangan janda, balu dan andartu. Bertambahnya bilangan kumpulan ini secara tidak langsung menambahkan bebanan sosial dan mempengaruhi kerosakan akhlak di kalangan masyarakat. Keadaan ini mendorong sesiapa yang berjiwa mulia untuk berpoligami dengan niat memelihara kehormatan dan kemulian kaum wanita,”
“Musafir juga dibolehkan berpoligami. Para suami yang banyak bermusafir keluar negara dalam tempoh yang agak lama diatas urusan tertentu juga adalah antara faktor yang membolehkan lelaki untuk berpoligami. Kerana dengan itu ia dapat mengelak dari terjebak kepada dosa dan zina.
“Waktu ini, pertambahan bilangan perempuan sangat ketara. Perkara ini berlaku disebabkan kadar kelahiran perempuan lebih banyak berbanding lelaki. Keadaan ini juga boleh disebabkan oleh kadar kematian lebih tinggi berlaku pada kaum lelaki. Seperti yang saya katakan awal-awal tadi, ini juga adalah antara sebab sosial yang mengharuskan poligami dilakukan,”
“Berpoligami ini ada hukumnya. Bukan semua orang boleh berpoligami. Hukumnya akan jatuh kepada wajib apabila dibimbangi membawa kepada zina dan maksiat, harus bila suami berkemampuan dan berkeinginan untuk berpoligami, haram apabila tidak mampu menunaikan hak yang sepatutnya kepada isteri-isterinya, dan makruh apabila si suami gagal menunaikan beberapa hak isterinya dan dengan keredaan isteri. Apakah poligami harus digalak atau harus dihindari terserahlah kepada penilaian suami yang bijaksana,” Tuan Kadi menamatkan penerangannya bila mendapati Liafara semacam tidak berminat dengannya.
“Awak ada mahu penjelasan lanjut mana-mana perkara yang awak tidak faham?” Tuan Kadi memancing untuk mengajak Liafara bercakap. Namun Liafara hanya menggelengkan kepala.
“Yang akhir sekali, mahukah awak tahu satu berita yang sangat menarik pasal poligami ini?” tanya Tuan Kadi.
Liafara mengangguk. Riak mukanya menggariskan jalur-jalur ceria. Akhirnya ada juga sirna datang untuknya menyuluh jalan keluar daripada kegelapan masalahnya ini.
“Sekarang saya sedang mencari seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri,” kata Tuan Kadi dengan senyum lebar.
Muka Liafara terkedu pula dengan tiba-tiba. Bukan ini benda yang mahu didengarinya. “Apa… Tuan Kadi nak kawin lagi?” terpancul soalan dari mulutnya.
“Ya, saya nak cukupkan kuota yang ada,” Tuan Kadi mengiakan.
Liafara terus melenting. Hatinya kembali panas mendadak. “Oh, jadi Tuan Kadi ni nak sindir sayalah ya? Tuan ini kadi ke keladi, ha? Gatal mengalahkan keladi! Kenapa susah sangat nak faham aduan saya? Saya tidak mahukan yang pelik-pelik. Saya hanya mahukan suami saya tidak kawin lain. Itu saja. Suami saya itu milik saya seorang sahaja, tahu tak?” bentak Liafara dengan keras.
“Saya pun berpoligami juga. Saya sudah ada tiga orang isteri lagi. Suami awak baru saja kawin dua. Itu pun awak sudah anggap macam dunia hendak kiamat. Rilekslah,” kata Tuan Kadi bersahaja.
“Kalau Tuan Kadi nak rileks, tuan boleh pergi ke shopping complex. Dasar Tuan Kadi tak sedar diri. Dah tua-tua masih miang merenyam, gatal keladi!” Liafara menyumpah-seranah.
“Sabar, sabar... saya belum habis cerita lagi,” kata Tuan Kadi lagi. Main-main saja nada suaranya.
“Sudahlah! Saya dah tak ingin nak dengar cerita Tuan Kadi lagi. Tuan Kadi pergi cerita pada dinding itu lagi bagus. Tak guna saya datang jumpa Tuan Kadi. Ingatkan Tuan Kadi boleh tolong, tapi lagi menyakitkan hati adalah,” marah Liafara berapi-api.
“Saya nak tolonglah ini…” Tuan Kadi masih bercakap tenang.
“Tak apa, terima kasihlah banyak. Saya akan dapatkan pembelaan di mahkamah nanti. Saya akan perjuangkan hak saya seorang wanita,” tegas Liafara. Dia mencapai beg tangannya lalu bangun dari kerusi.
“Saya akan saman Jamilkhir dan Tuan Kadi pula akan saya sabitkan sebagai defenden ke dua sebab bersubahat menikahkan suami saya tanpa kebenaran. Kita jumpa lagi di mahkamah. Selamat tinggal,” kata Liafara lalu melangkah pergi. Tuan Kadi pula hanya mampu terpegun di kerusinya dengan mata terkelip-kelip melihat Liafara menghempaskan pintu dengan kuat.