11 Stereng Lori
Nia
mengayuh basikalnya perlahan-lahan. Perutnya masih sebu dengan makanan tengah
hari. Sebiji beg kain yang berisi senaskah kitab suci al-Quran diletakkan di
dalam raga basikalnya. Dia menyusuri di tepi jalan kampung berturap tar itu
supaya dapat dinaungi bayang pokok-pokok besar daripada pancaran terik
matahari.
Tidak
jauh dari belakang Nia, seorang budak lelaki comot sedang kelam-kabut mengayuh
basikal. Basikalnya mengeluarkan bunyi berkeriut-keriut seiring dengan kelajuan
kayuhannya dan sesekali berdentam dentum pula bila menerjah lubang ataupun
terlanggar batu. Nampaknya budak lelaki ini sedang mengejar Nia.
Nia
menoleh ke belakang. Tanpa melihat pun Nia sudah dapat mengagak siapa yang
berada di belakangnya. Budak lelaki comot ini seorang sahaja di kampung ini
yang menaiki basikal yang bunyinya dapat didengari dari sejauh tiga tiang
elektrik lagi. Nia menjuihkan bibirnya.
Budak
lelaki comot ini akhirnya berjaya berada seiring dengan Nia.
“Aaa!
Ah aa aa!” tegur budak lelaki comot itu pada Nia. Tangannya menunjuk-nunjuk
arah depan. Nia hanya mengangguk.
Budak
lelaki comot ini tidak tahu bercakap dengan betul. Orang-orang kampung
memanggilnya dengan nama Din Bisu. Entah mengapa orang menganggapnya bisu,
tidaklah diketahui. Sebenarnya dia bukan bisu. Lagipun sewaktu kecil-kecil
dahulu, raungannya cukup kuat setiap kali menangis. Dia boleh bersuara, cuma
orang lain yang tidak faham akan bahasanya.
Tentu sekali Din
Bisu tidak bertutur dalam bahasa melayu. Malah orang Cina, Punjabi atapun Burma
sekali pun tidak akan faham bahasa percakapannya. Din Bisu sebenarnya pekak.
Ini kerana apa juga yang orang lain cakap tidak dapat difahaminya, walau bahasa
sastera peringkat tinggi sekali pun digunakan. Sesiapa yang mahu berkomunikasi
dengan Din Bisu harus menggunakan bahasa isyarat.
Din Bisu adalah
seorang budak yang istimewa, yang mana dikategorikan oleh kerajaan sebagai
orang kelainan upaya. Umurnya sudah melewati lima belas tahun. Namun saiz
tubuhnya yang kecil serta akalnya yang belum boleh dianggap mumayyiz,
membuatkan dia kelihatan sebaya dengan Imi dan rakan-rakannya di darjah dua.
Din
Bisu ini sangat nakal. Sifatnya membuatkan semua orang pening kepala,
termasuklah ibu dan bapanya sendiri. Dia adalah jenis budak yang tidak mahu
mendengar kata, mengikut ibunya. Memanglah, sudah pekak. Larang macam mana pun
dia tidak akan dengar. Marah macam mana pun dia tidak akan faham. Dia hanya
akan betul-betul faham bila emaknya mengangkat penyapu lidi. Dan biasanya dia
akan bertidak melarikan diri.
Namun
begitu, di sebalik segala kekurangan yang ada, Din Bisu sebenarnya seorang
budak yang kreatif. Hasil tangannya selalu membuatkan orang kampung terpegun.
Salah satu inovasi ciptaannya yang selalu mendapat pujian ialah basikalnya. Rasanya,
Din Bisulah orang yang pertama di dunia menggunakan stereng lori sebagai ganti
kepada ‘handle’ pada basikalnya.
Stereng itu diambilnya daripada sebuah bangkai lori buruk yang telah lama
ditinggalkan mereput di tebing sungai.
Satu lagi
aksesori tambahan yang tidak kurang juga dahsyatnya ialah sebiji botol Clorox
diikat pada batang rangka hadapan basikalnya. Ia kelihatan seperti botol air
minuman yang ada pada mountainbike
para pelumba profesional. Tidak dapat dipastikan sama ada Din Bisu telah mencuci
botol Clorox itu sebersih-bersihnya atau tidak. Dan tiada siapa pula pernah
melihatnya meminum air dari botol Clorox itu. Entah-entah botol itu masih lagi
berisi dengan cecair peluntur Clorox, siapa tahu…
“Aiaaa..
aa haa aa..” kata Din Bisu lagi. Nia hanya membalasnya dengan senyuman.
Din Bisu pun
turut tersengih pada Nia. Terserlahlah akan giginya yang rongak. Kebanyakannya
sudah tinggal tunggul, tak kurang juga yang hilang langsung. Gigi hadapannya
cuma tinggal sebatang di atas, dan dua batang di bawah. Itu pun barisannya
sudah tidak lagi selari, condong ke sana dan ke mari. Warnanya pula, kalau
tidak keterlaluanlah, hampir menyamai warna gigi emas, cuma tak berkilat saja.
Giginya
Din Bisu rosak kerana tidak dijaga. Ada yang reput dan patah sendiri walaupun
baru tumbuh dua tiga tahun. Ada juga yang terpaksa dicabut selepas akar
sarafnya dijangkiti kuman. Ini kerana Din Bisu tidak tertahan menanggung
deritanya. Walaupun hanya sebatang gigi yang bemasalah, kesannya menyebabkan
hampir sebelah muka Din Bisu kembang membengkak.
Itulah
kisah yang berlaku lima tahun lepas. Selepas Ibunya tidak sanggup lagi
melihatnya asyik menjerit dan melolong sepanjang hari, Din Bisu dibawa ke
klinik gigi. Pada hal Din Bisu tidak tahu ke mana dia akan dibawa pergi. Dia
telah dipakaikan dengan baju dan seluar yang cantik-cantik. Mukanya dibedak dan
rambutnya disisir rapi. Jadi Din Bisu menyangka dia akan dibawa berjalan-jalan
di kompleks membeli-belah seperti selalu. Keseronokan jelas tergambar di
wajahnya dan tidak sabar-sabar lagi untuk meninjau pelbagai barang dari kedai
ke kedai.
Namun
apabila tiba, Din Bisu merasa tempat itu adalah asing baginya. Tiada kedai yang
berwarna-warni. Ramai orang yang berpakaian putih di situ lalu-lalang dan ramai
pula orang yang hanya duduk menunggu. Suasana ini sungguh tidak menyeronokkan
Din Bisu. Dia mula gelisah dan merengek. Malah sakit gigi yang dilupainya
kerana kegirangan sejak bertolak dari rumah tiba-tiba menyerangnya kembali. Apa
lagi, Din Bisu terus melolong.
Sampai
waktu gilirannya, Din Bisu dibawa masuk berjumpa doktor. Dia dibaringkan di
atas kerusi khas dan ada lampu di atas kepala yang menyilaukan matanya. Di
tepinya ada sebekas dulang yang berisi jarum suntikan dan alat-alat perkakas
lain. Situasi ini menggerunkan Din Bisu. Dia mula merasa terancam, mungkin akan
diapa-apakan. Dia cuba bangun tapi ditahan oleh bapanya.
Din Bisu
meronta-ronta. Dia terpaksa di pegang oleh ibu dan bapanya dengan dibantu oleh
tiga orang kakitangan klinik. Untuk membuka mulutnya doktor terpaksa menekan
kuat kiri dan kanan pipinya. Kemudian satu alat besi khas digunakan sebagai
penyendal di antara rahang atas dan rahang bawah Din Bisu. Sekarang, sekuat
mana pun Din Bisu cuba menggigit, mulutnya menjadi kaku.
Kerja-kerja
seterusnya pun menjadi lebih senang. Satu tiub plastik dihulur ke dasar tekak
Din Bisu untuk menyedut air liurnya. Kemudian ubat pelali disuntik pada gusi di
bawah gigi yang sakit. Din Bisu tidak menghiraukan semua itu. Dia terus
melolong dalam serba kepayahan. Selepas dua minit, doktor menyepit gigi Din
Bisu yang sakit dan menggoyang-goyangkannya ke kiri dan ke kanan.
Prap! Tiba-tiba
Din Bisu terasa seperti direnjat elektrik. Kemudian doktor menunjukkan padanya
gigi yang telah dicabut. Jururawat terus mencuci mulut Din Bisu dengan memancutkan
air antikuman ke dalamnya, sebelum disedut keluar semula oleh tiub plastik.
Akhirnya segumpal kain kasa disumbat ke tempat gigi yang dicabut untuk menyerap
darah yang keluar.
Selepas
penyendal rahang dibuka, Din Bisu meraung sekuat kuat hati. Dia segera dibawa
keluar dan terus dimasukkan ke dalam kereta. Raungannya menarik perhatian
setiap orang yang berada di klinik itu. Bertungkus-lumus ibu Din Bisu
merangkulnya daripada terus meronta-ronta. Din Bisu terus meraung dengan
menyiat mulut dengan seluas-luasnya.
Satu ketika, Din
Bisu terus ternganga. Mulutnya tidak dapat dikatup lagi. Dia kelihatan seperti
kekejangan, namun terus menangis dalam keadaan ternganga itu. Darah keluar dari
tempat gigi yang dicabut memenuhi mulut Din Bisu. Bimbang sesuatu yang buruk
terjadi, entah-entah mungkin Din Bisu akan mati terlalak jika terus dibiarkan,
bapanya berpatah balik ke klinik. Nasib baik klinik belum lagi jauh
ditinggalkan.
Din Bisu terus
diberi rawatan kecemasan. Rupa-rupanya Din Bisu telah mengalami ‘jaw dislocation’, ataupun sendi rahang
telah terlucut daripada tempat asalnya. Menurut doktor, keadaan boleh ini
terjadi jika seseorang itu menganga mulut terlalu luas. Dan itulah yang terjadi
pada Din Bisu akhibat menyiat mulut terlalu luas semasa melalak tadi.
Untuk
mengembalikan kedudukan sendi rahang kepada asal, hanya orang-orang yang mahir
sahaja dapat melakukannya. Nasib baik di klinik itu ada seorang pembantu
perubatan senior yang berpengalaman dapat melakukannya. Dia menekan hujung
rahang Din Bisu dengan cermat sebelum menolaknya masuk ke tempat asal. Selepas
itu rahang dan pipi Din Bisu diurut-urut seketika.
Akhirnya rahang
Din Bisu dapat dipulihkan. Dia pun sudah tidak meraung lagi. Tempat giginya
yang dicabut masih mengeluarkan darah telah disumbat lagi dengan kain kasa.
Ibunya diberi bekal beberapa ketul kain kasa lagi untuk menggantikan kain kasa
yang sedia ada bila sudah lenjum dengan darah.
Sampai
sahaja di rumah, ketika ibu Din Bisu mahu menukar kain kasa digusinya, kain
kasa asal didapati telah tiada. Selepas ditanya, Din Bisu menunjukkan isyarat
yang dia telah menelan kain kasa itu. Dia juga memberi isyarat bagus, tanda
sedap. Ibunya hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil meletakkan kain kasa
yang baru. Begitulah juga terjadi kepada kain kasa itu dan yang seterusnya,
semuanya telah ditelan oleh Din Bisu! Sama ada kain-kain kasa itu dapat keluar
semula dari perut Din Bisu atau tidak, tidaklah diketahui sehingga kini.
Tiba di Rumah
To’ki Wahid, suara budak-budak mengaji kedengaran riuh rendah. Sudah ramai
rakan-rakan sepengajian Nia telah tiba dahulu. Ketika Nia menongkat basikalnya,
Din Bisu cuba berkata sesuatu. Dia kelihatan seperti tergesa-gesa. Nia yang
tidak dapat memahaminya hanya mengangguk dan senyum.
Kemudian Din
Bisu terus berlalu. Dia mengayuh basikalnya dengan pantas ke arah jalan yang
menuju ke rumahnya. Nia memandangnya dengan rasa hairan hingga lenyap di
selekoh. Malas untuk memikirkan sangat tentang Din Bisu, Nia terus memanjat
tangga rumah To’ki Wahid untuk menyertai rakan-rakan mengaji al-Quran.
Din
Bisu datang semula kira-kira sepuluh minit kemudian. Kali ini dia membawa
sesuatu yang baru lagi istimewa. Dia mahu menunjukkannya pada Nia. Namun
begitu, waktu itu Nia sedang mengaji al-Quran. Kenalah dia menunggu pula. Dia
mundar-mandir di halaman rumah To’ki Wahid tanpa menghiraukan terik matahari
petang yang membakar kulitnya.
Selama hampir
satu jam Din Bisu menunggu dengan sabar, akhirnya Nia dan rakan-rakannya
selesai mengaji. Sebaik sahaja melihat Nia di muka tangga, Din Bisu terus melaung
padanya. Terperanjat Nia dan rakan-rakan melihat Din Bisu. Ada sesuatu yang
aneh dipakai di kepalanya.
“Patutlah
kelam-kabut balik tadi. Ada benda yang istimewa rupanya mahu ditunjukkan,” kata
Nia.
Imi dan Fadli
yang ada bersama dalam kumpulan budak-budak itu turut tercengang-cengang.
Mereka segera mengerumuni Din Bisu.
“Wow, cantiknya
topi keledar!” tegur Fadli, disamput pula gelakkan kawan-kawan. Din Bisu tidak
menghiraukannya. Dia terus memberikan topi keledarnya pada Nia.
Nia yang turut
tertawa mengambilnya dengan senang hati. Sebenarnya, topi keledar itu diperbuat
daripada sebiji kelapa. Buah kelapa yang tidak dikupas sabutnya telah dipotong
cantik sehingga menyerupai topi keledar. Bahagian dalam tempurung telah
dibersihkan daripada isinya. Topi keledar itu dilengkapi dengan tali pengikat
dagu juga. Sekeping plastik lutsinar yang dipotong daripada botol air mineral
besar telah dipaku rapi dibahagian muka sebagai visor. Kreatif sungguh topi keledar ciptaan Din Bisu ini.
Setelah diamati,
Nia tahu yang kelapa itulah yang dipungutnya semasa mengikut bapanya memetik
kelapa tiga hari lalu. Buah kelapa itu sangat besar. Tetapi sayang, ianya telah
berlubang ditebuk tupai. Din Bisu yang kebetulan lalu di situ terus meminta
kelapa itu. Kerana kasihan, Pak Kadir telah menawarkan sebiji kelapa yang masih
elok sebagai ganti. Namun Din Bisu tetap berkeras mahukan kelapa yang telah
berlubang itu.
Pak Kadir merasa
pelik. Apa yang boleh dibuat lagi dengan kelapa yang telah ditebuk tupai itu,
tetapi dia tidak pula mahu mengecewakan Din Bisu. Din Bisu terus berlalu dengan
gembiranya setelah mendapat kelapa itu. Rupa-rupanya hari ini dia datang dengan
ciptaan baru daripada kelapa itu. Bagus juga, benda-benda yang terbuang telah
dikitar semua menjadi sesuatu yang lebih canggih!
Fadli mengambil
topi keledar kelapa itu lalu menyarungkan di kepalanya. Padan sungguh dengan
saiz kepalanya. Wajah Fadli kelihatan amat melucukan. Dia mendapatkan
basikalnya lalu menunggang di atas jalan. Fadli menggayakan seperti mat rempit
yang sedang berlumba dengan membongkokkan badannya. Mulutnya pula sibuk
membunyikan seperti enjin motosikal. Aksinya ini membuatkan rakan-rakannya
pecah perut ketawa.
Bimbang
Fadli akan membawa lari topi keledarnya, Din Bisu pun mengejar Fadli dan
merebut semula topi keledarnya. Setelah memakainya, Din Bisu pun berlalu pergi
dengan menunggang basikal berstereng lorinya itu meninggalkan Nia dan
rakan-rakannya yang terus ketawa kelucuan.
Sememangnya topi
keledar kelapa itu lebih tebal daripada topi-topi keledar biasa kepunyaan orang
lain. Ketebalan kulit bersabut yang bersifat anjal di bahagian luar itu akan
memberikan penyerapan hentakan yang efektif jika berlaku kemalangan. Sementara
tempurung di bahagian dalam pula mengukuhkan struktur topi keledar.
Sesungguhnya topi keledar ini memberikan perlindungan
maksimum kepada kepala Mat Bisu. Inilah faedah kelapa untuk kepala yang belum
diketahui oleh masyarakat umum. Tambah menarik, penemuan ini bukannya
dipelopori oleh para saintis atau pakar teknologi, tetapi oleh seorang budak
OKU kampung!