9. Dimaaf Separuh, Makbullah Separuh
Dalam waktu yang sama, di dalam sebiji karung guni, Belukang tercungap-cungap menahan bau maung busuk sampah. Sebelum terus lemas, dia perlu mendapatkan udara segar. Belukang mengintai ke luar. Memang benar dia berada di atas lori sampah yang sedang bergerak laju sekarang. Segala sampah sarap yang menjijikan berada sekelilingnya.
Belukang merangkak keluar daripada karung guni. Dia termanggu-manggu berfikir bagaimana mahu turun daripada lori itu. Hendak terjun, dia tidak berani. Sudahlah lori itu tinggi, laju pula. Silap terjun boleh patah riuk. Apa lagi kalau terjun dengan karung guni yang berat itu.
Belum pun apa-apa idea masuk ke kepalanya, Belukang merasakan kelajuan lori itu semakin berkurangan. Nampaknya lori itu memasuki simpang ke lorong berbatu kasar. Terhuyung-huyung lori itu menerjah lopak dan permukaan jalan tidak rata. Akhirnya lori itu memasuki satu kawasan berpagar di mana Belukang mendapati di sana sini terdapat banyak sekali gunung-gunung sampah.
Selepas mendaki sebuah bukit sampah, lori itu semakin perlahan dan akhirnya berhenti. Kemudian lori mengundur sambil membelok ke sebelah tebing. Sebaik sahaja Belukang terfikir apa yang akan dibuat oleh lori itu seterusnya, bahagian kotak yang didudukinya bersama sampah-sampah itu terjungkit. Dia tidak sempat berpegang pada dinding kotak lori itu lalu jatuhlah ke bawah bersama-sama sampah lain. Yang sempat dicapainya hanyalah karung guninya sahaja.
Belukang ditimpa bertubi-tubi oleh sampah-sampah yang jatuh terkemudian darinya. Dia langsung tidak sempat lari menyelamatkan diri. Sesuatu benda menerjah masuk ke mulutnya, tetapi dia tidak dapat melihatnya kerana gelap. Belukang benar-benar tertimbus di bawah timbunan sampah sarap. Dia cuba menguak-nguak tangannya ke luar.
Setelah sedikit cahaya dapat masuk, barulah Belukang dapat melihat. Rupa-rupanya sebatang kaki bangkai seekor kucing telah memasuki mulutnya. Patutlah rasanya pahit dan hanyir! Dengan segera Belukang berusaha melonjak-lonjak tubuhnya ke atas. Selepas bersusah-payah, akhirnya dia berjaya juga keluar dan terus mendaki tebing. Sebaik tiba di atas bukit sampah itu, Belukang mendapati lori sampah tadi sudah tiada lagi di situ.
Tiada siapa pun kelihatan di situ untuk Belukang meminta pertolongan. Nun di pinggir sekeliling lautan sampah itu hanyalah pokok-pokok hutan. Belukang tidak tahu di mana dia berada sekarang. Dia belum pernah sampai ke tempat pelupusan sampah itu sebelum ini. Fikirannya menjadi kacau. Bagaimana dia hendak ke gua tempat abahnya ini? Pasti abahnya sedang menunggu dengan kelaparan sekarang. Paling tidak pun, dia perlu pulang ke rumah, tetapi bagaimana?
Tiba-tiba Belukang teringat pula pada karung-karung dan roda-roda penyamun tadi. Lantas dia turun semula dan berusaha menggali sampah mencarinya semula. Sejam bertungkus lumus akhirnya Belukang berjaya menaikkan karung-karung guni dan roda-roda yang berat itu ke atas. Dia terdampar keletihan. Satu lagi masalahnya sekarang, bagaimana dia akan membawa pulang barang-barang yang berat itu.
Sedang termanggu-manggu itu, Belukang terlihatlah sebiji kerusi roda di kaki sebuah bukit sampah. Setelah memeriksanya, Belukang mendapati sebelah pemegangnya patah, tetapi keempat-empat rodanya masih elok. Kerusi roda ini pasti dapat membantu meringankan bebannya. Maka Belukang memunggah karung-karung dan roda-roda penyamun ke atasnya. Berlebih-lebihan muatannya sehingga Belukang terpaksa mengikatnya dengan tali supaya tidak terjatuh.
Belukang menolak kerusi roda yang sarat dan berat itu perlahan-lahan keluar daripada kawasan pelupusan sampah. Dia tidak pasti ke manakah arah kampungnya. Namun dia memutuskan untuk menyusuri sahaja jalan yang dilalui oleh lori sampah yang membawanya masuk ke situ tadi. Di kiri dan kanan jalan hanya ada hutan, paya dan padang. Tiada langsung rumah orang. Sesekali dia melintasi kawasan kebun dan dusun, tetapi masih tidak berjumpa dengan orang.
Sehingga ke petang, Belukang masih belum menemui penghujung jalan itu. Ketika Matahari hampir terbenam, Belukang memutuskan untuk berhenti rehat di pangkal sebatang pokok di tepi jalan. Dia makan bekalan ubi rebus dan air yang mahu diberikan pada ayahnya. Dalam kekenyangan dan keletihan yang amat sangat itu, Belukang akhirnya terlelap.
Belukang tersedar semula apabila mukanya terasa hangat. Rupa-rupanya hari sudah siang! Semalaman dia tidur mati akhibat keletihan. Belukang bersarapan dengan seketul ubi rebus yang mulai berbau tengik itu bersama dengan air kosong. Dia mesti meneruskan perjalanannya secepat mungkin. Hari ini dia berazam untuk sampai ke rumah sebelum hari malam walaupun dia tidak pasti sejauh mana lagi dia perlu berjalan. Yang penting, dia tidak mahu tidur di bawah pokok lagi. Memikirkan bagai mana dia boleh tidur di situ sepanjang malam seorang diri, dia berasa seram.
*****
Secara tiba-tiba, pagi itu Dato’ Kontot bersama pemandunya serta Pengerusi JKKK datang menjemput Pak Belukang untuk pergi ke bengkel. Mengikut pemandu Dato’ Kontot, mekanik telah menelefonnya secara tiba-tiba dan mengatakan dia menghadapi banyak masalah dalam memasang komponen-komponen motosikal itu. Ada komponen yang berspesifikasi lain, sementara ada pula komponen yang tidak cukup.
Tiba di bengkel, mereka disambut oleh mekanik dengan air muka yang sungguh tertekan. Dengan senyum yang dipaksa-paksa, mekanik itu pun menunjukkan motosikal yang dipasanganya. Maka terjegillah lapan biji mata sebesar bola ping pong sebaik melihat sebuah kenderaan yang keadaannya separuh motosikal dan separuh lagi basikal.
Lebih-lebih lagi Dato’ Kontot. Dia amat terperanjat sehingga merah padam mukanya. Tidak dapat digambarkan perasaannya apabila melihat sebuah motosikalnya yang pelik itu. Badan dan tayar belakangnya adalah motosikal, tetapi tayar hadapan, handle dan tempat duduknya adalah basikal. Bahagian enjinnya pula hanya separuh sahaja yang ada.
“Hoi! Apa yang kamu sudah buat pada motosikal aku! Jahanam motosikal Vulcan aku, Jahanam!” jerit Dato’ Kontot. Tidak akan tergamak dirinya menunggang motosikal terencat macam itu. Sahlah nanti orang akan mengatakan Dato’ Kontot sudah gila.
“Maafkan saya, Dato’. Ini sahaja yang saya mampu lakukan,” kata si mekanik.
“Mengapa dipasang barang basikal buruk pada motosikal saya? Kamu mahu main-mainkan saya, hah?” tengking Dato’ Kontot lagi.
“Bukan. Saya hanya terima separuh sahaja komponen motosikal semalam. Separuh lagi komponen basikal. Saya sudah beritahu Pak Belukang, tetapi Pak Belukang suruh pasang juga walaupun bukan komponennya, Dato’,” jelas mekanik itu dengan suara terketar-ketar.
“Pak Belukang, apa cerita sekarang. Tolong jelaskan,” Dato’ Kontot merenung tajam anak mata Pak Belukang.
“Ehem, sebenarnya Dato’…” Pak Belukang tercari-cari jawapan yang sesuai.
“Ya?” Dato’ Kontot mendesak.
“Ya, memang betul ini sahaja yang saya dapat daripada penunggu-penunggu itu, Dato’. Dahulu, Dato’ menceroboh tempat mereka dan membuang air yang telah mengotori taman permainan anak-anak mereka. Jadi mereka sangat marah lalu menukarkan motosikal besar Dato’ menjadi sebuah basikal buruk. Saya berusaha sedaya upaya saya memujuk mereka dan menyatakan yang Dato’ sudah memohon maaf,” kata Pak Belukang.
“Saya pohonkan juga supaya mereka menukarkan kembali basikal itu kepada bentuk motosikal yang asal. Malangnya, hanya separuh sahaja daripada penunggu-penunggu di situ memaafkan Dato’. Sebab itulah hanya separuh sahaja bahagian basikal buruk itu dapat bertukar kembali menjadi Motosikal asal. Yang sebahagian lagi terus kekal dalam bentuk basikal buruk selagi baki penunggu-penunggu itu tidak memaafkan Dato’,” terang Pak Belukang dengan panjang lebar.
Terpegun semua orang di situ mendengarnya. Muka Dato’ Kontot menjadi kelat.
“Tetapi Dato’ jangan bimbang. Mereka boleh memaafkan Dato’ sepenuhnya jika Dato’ sudi memenuhi permintaan mereka,” ujar Pak Belukang.
“Permintaan apa pula? Mereka mahukan saya buat pemujaan dengan pulut kuning dan ayam panggangkah?” soal Dato’ Kontot yang menyingga.
“Bukan. Penunggu-penunggu di situ meletakkan syarat, jikalau Dato’ mahu dimaafkan sepenuhnya, Dato’ mesti menolong mereka mendapatkan taraf warganegara. Sekarang ini mereka dianggap seperti pendatang haram. Segala hak mereka telah dinafikan oleh manusia. Manusia menceroboh hutan tempat tinggal mereka untuk dijadikan ladang sawit dan kebun getah tanpa meminta izin dan berbincang dengan puak mereka. Kampung mereka dimusnahkan. Mereka kehilangan tempat tinggal. Mereka tiada tempat hendak mengadu,” jelas Pak Belukang.
“Dengan taraf warganegara, mereka dapat hak sama rata dengan manusia. Dapat guna klinik kerajaan dengan murah. Dapat hantar anak ke sekolah bantuan penuh kerajaan. Dapat banyak subsidi seperti manusia seperti subsidi petrol dan subsidi gula. Mereka juga mahu Dato’ luluskan peruntukan untuk bina gelanggang futsal di taman permainan mereka itu,” tambah Pak Belukang lagi.
Pak Belukang tahu memanglah mustahil permintaan itu untuk dipenuhi. Dan memang dia mahu Dato’ Kontot tidak berbuat begitu. Sebenarnya Pak Belukang mahukan Dato’ Kontot mengalah dan menerima sahaja motosikalnya yang terkacuk dengan basikal itu. Manalah dia mampu lagi hendak mencari bahagian-bahagian motosikal yang hilang.
“Mengarut!” bentak Dato’ Kontot. “Pak Belukang tidak usah menakut-nakutkan saya. Saya tidak percaya. Saya juga tidak ada masa nak melayan semua ini. Saya beri tempoh tiga hari pada Pak Belukang untuk mendapatkan kembali semua bahagian motosikal saya. Kalau tidak, saya mahu semua duit deposit saya dikembalikan. Termasuklah juga duit saguhati yang saya beri kepada Pengerusi JKKK kerana bersubahat,” gertaknya lagi sebelum mengajak pemandunya pergi.
Pak Belukang dan Pengerusi JKKK hanya mampu melihat kereta Brabus Dato’ Kontot menderu pergi dengan mata yang terkelip-kelip. Kemudian Pengerusi JKKK memandang Pak Belukang. Pak Belukang pula melarikan matanya dan memandang pula mekanik bengkel. Mekanik bengkel pula memandang Pengerusi JKKK, yang beralih semula memandang Pak Belukang. Begitulah ketiga-tiga orang itu saling bermain mata berulang-ulang kali tanpa sepatah kata.
“Ah, sudahlah Pak Belukang. Mari kita pulang,” kata Pengerusi JKKK akhirnya.
*****
Hari sudah beransur malam. Namun Pak Belukang masih lagi termenung di muka pintu. Dia tidak nampak anaknya, Belukang sejak dia meninggalkan rumah malam semalam lagi. Menyesal Juga Pak Belukang kerana menyuruh Belukang menghantar makanan ke gua seorang diri. Entahkan Belukang sudah dibaham harimau atau dibelit ular sawa sebelum sempat dia tiba ke gua itu, bisik hatinya. Jika tidak, masakan Belukang tidak pulang-pulang. Untuk mengatakan yang belukang sesat, sungguh tidak mungkin kerana dia sudah mahir seelok belok denai dalam hutan belukar di situ. Pak Belukang sudah cuba mencarinya semula di sekitar gua itu, tetapi jejak Belukang gagal dikesan sama sekali.
Pak Belukang terpaksa memendam masalah ini seorang diri. Jika dia membuka mulut bertanyakan pada orang lain di mana anaknya, pasti mereka berasa pelik. Tidak mungkinlah seorang ahli nujum yang handal mencari barang-barang hilang, tidak dapat menilik anak sendiri yang hilang pula. Jikalau Pak Belukang berterus-terang, dia akan dicap sebagai kaki penipu. Orang kampung pasti membenci dan menyisihnya nanti. Dato’ Kontot juga mulai sangsi padanya. Hendak memulangkan duitnya belum tentu lagi Pak Belukang mampu kerana sudah digunakannya separuh, tambah malang lagi jikalau Dato’ Kontot mengemukakan saman malu padanya juga.
“Belukang!” terpancul dari mulut Pak Belukang tiba-tiba.
Pak Belukang tersentak apabila ternampak Belukang tiba-tiba muncul di perkarangan rumah. Diperhatinya betul-betul, memang sahlah itu anaknya Belukang sudah pulang. Hatinya berbunga gembira, tetapi dia tertanya-tanya akan keadaan Belukang yang comot teruk itu. Apa lagi melihat Belukang menolak kerusi roda yang sarat dengan muatan dengan lemah tidak bermaya lagi.
“Eh, ke mana engkau pergi dua hari hilang, Belukang? Abah suruh kamu hantar makanan ke gua, kamu tidak muncul-muncul. Abah balik rumah pun tidak jumpa kamu. Kamu hilang terus. Sekarang kamu tiba-tiba timbul macam toyol pula menolak karung guni. Apa benda semua ini? Apa pasal kamu nampak sudah separuh nyawa? Kamu ini dari mana dengan kotor dan kusut masai macam ini?” bertubi-tubi Pak Belukang menyoal.
“Ini Belukang bawa pulang barang besi yang dicuri oleh penyamun yang sama dengan sebelum ini. Abah boleh buat bisnes menilik lagi. Nanti pemilik barang ini akan bayar upah dengan duit pada abah,” kata Belukang sambil menunjukkan muatan di atas kerusi roda yang dibawanya.
“Eh, roda apa itu, Belukang? Macam roda motosikal sahaja,” tanya Pak Belukang sambil menunjukkan salah satu roda itu.
“Nanti pasti ada orang yang hilang roda motosikal datang tanya abah,” kata Belukang.
“Tanya apanya? Tayar motosikal Dato’ Kontot memang belum lagi dijumpai. Jangan-jangan inilah tayarnya,” kata Pak Belukang lalu membelek-belek roda itu. “Tapi yang ini pula macam roda basikal,” tambahnya lagi lalu mengangkat roda basikal buruk kepunyaan pemilik cangkul dahulu.
“Eh, betullah. Di bengkel sudah ada satu roda motosikal dan satu roda basikal,” kata Pak Belukang lalu membuka karung guni pula.
“Eh, ubi rebus? Siapalah yang hilang ubi rebus ini? Takkanlah orang hilang ubi rebus pun hendak suruh abah tilikkan?” tanya Pak Belukang.
“Itu ubi rebus untuk abahlah. Bukankah abah pesan suruh hantar makanan. Belukang sudah pergi ke gua itu, tetapi abah tiada. Belukang keluarlah cari abah, tapi Belukang terserempak dengan dua penyamun itu pula. Belukang pun ikutlah belakang mereka senyap-senyap hingga sampai ke kedai besi buruk. Mereka tinggalkan bungkusan ini di belakang tong sampah dekat kedai itu. Jadi Belukang pergilah tengok selepas mereka pergi dari situ. Tiba-tiba datang lori sampah, Belukang pun masuk ke dalam karung ini. Orang pungut sampah itu angkat karung masuk ke dalam lori. Lori itu bawa Belukang ke tempat pelupusan sampah,” cerita Belukang dengan panjang lebar.
“Belukang ambil kerusi roda ini di tempat sampah itu juga. Bolehlah dimuatkan karung dan roda ini untuk dibawa pulang. Di tengah jalan Belukang berasa lapar, jadi Belukang makanlah separuh ubi rebus abah,” kata Belukang lagi.
“Eh, ini komponen motosikal, ada tulis Kawasaki Vulcan lagi. Betullah ini barang motosikal Dato’ Kontot. Yahoo…” jerit Pak Belukang gembira lalu belari berpusing-pusing di laman rumahnya sambil menjulang tangki minyak motosikal itu tinggi-tinggi di atas kepala.
Belukang hanya memandang gelagat ayahnya dengan lesu. Dia sudah tidak teruja lagi kerana kehilangan hampir seluruh tenaganya. Dia memajat tangga lalu merebahkan badan di atas beranda. Walaupun hajatnya mahu sampai di rumah sebelum malam tidak tercapai, tetapi dia tetap berasa lega. Beberapa saat kemudian Belukang terus terlena.
Pak Belukang tidak sabar lagi menunggu hari siang kembali esoknya walaupun waktu baru sahaja masuk maghrib. Jikalaulah bengkel motosikal dibuka malam-malam begini, sudah pasti waktu itu juga dia akan mengangkut komponen-komponen motosikal yang baru sahaja dibawa pulang oleh Belukang itu ke bengkel. Malam itu juga akan disuruhnya mekanik memasangnya hingga siap dan pada malam itu juga dia akan tunjukkan pada Dato’ Kontot. Pasti Dato’ Kontot akan mengiktiraf semula dirinya sebagai seorang ahli nujum yang hebat. Yang lebih penting ialah ganjarannya.
Esoknya, pagi-pagi lagi Pak Belukang dua beranak membawa sebahagian lagi komponen-komponen motosikal Dato’ Kontot dan basikal buruk pemilik cangkul ke bengkel. Setelah berunding dengan mekanik, dua hari lagi diperlukan untuk memasang kesemuanya dengan sempurna membuatkan Pak Belukang mengeluh resah.
Dua hari kemudiannya Pak Belukang mengunjungi lagi bengkel seorang diri. Kali ini Pak Belukang mahu motosikal Dato’ Kontot betul-betul siap dan boleh digunakan sebelum memaklumkan kepada Pengerusi JKKK dan seterusnya pada Dato’ Kontot juga.
Berkebetulan sungguh hari itu, di dalam perjalanan, Pak Belukang bertembung dengan pemilik basikal buruk yang dipasang bersama motosikal Dato’ Kontot dibengkel. Sememangnya pemilik basikal buruk itu mahu ke rumah Pak Belukang untuk meminta Pak Belukang menilik basikalnya yang hilang di luar pagar kebun Pak Toman dulu.
“Apalah nasib saya ini, Pak Belukang. Dulu hilang mata cangkul. Sebaik mata cangkul dijumpai, masa itu jugalah basikal saya pula yang hilang,” keluh lelaki itu pada Pak Belukang.
“Jangan bimbang, saya akan cuba tolong awak mengesan di mana basikal awak berada sekarang,” kata Pak Belukang.
“Nah, ini saya ada bawakan tiub lama basikal itu yang telah ditukar kerana bocor dahulu. Saya harap tiub ini dapat mengesan arah aura basikal saya kerana ia adalah sahabat rapat kepada basikal saya dahulu,” kata lelaki itu dengan mengunjukkan sepotong tiub basikal tanpa dipinta.
“Tiub basikal? Boleh saja,” kata Pak Belukang.
“Tapi tiub ini hanya tinggal separuh sebab saya sudah gunakan separuh lagi untuk mencucuh api untuk membakar sampah,” kata lelaki itu dengan tersenyum sumbing.
“Tidak mengapa. Ini pun sudah cukup,” balas Pak Belukang lalu mengambil tiub itu. Dengan segera dia berlakon membuat gaya hipnosisnya. Dipegangnya tiub itu lurus ke depan lalu berpusing-pusing mencari arah aura basikal itu . Akhirnya Pak Belukang berhenti berpusing dan menunjukan arah bengkel motosikal.
“Ke sana,” kata Pak Belukang lalu berjalan pantas ke arah bengkel. Lelaki itu segera mengekorinya dari belakang dengan gaya penuh waspada. Walhal bukannya ada apa pun, kelentong Pak Belukang itu dipercayainya bulat-bulat.
Seperti dijangka, pemilik basikal itu gembira tidak terkata apabila mendapat kembali basikal buruknya. Dia memeluk Pak Belukang berkali-kali tanda terima kasih serta membayarnya lebih daripada dulu. Selepas membayar upah, dia mengayuh basikalnya itu pulang sambil menyanyi-nyanyi gembira bagaikan baru terjumpa dengan bini yang sudah seminggu hilang.
Dengan sedikit gementar, Pak Belukang memaklumkan pada Dato’ Kontot yang motosikalnya sudah siap. Dan apabila Dato’ Kontot tiba bersama pemandunya berserta Pengerusi JKKK, sekali lagi Pak Belukang dihujani dengan pujian dan sanjungan. Dato’ kontot amat berpuas hati dengan motosikalnya yang kembali ‘menjelma’ itu.
“Bagus Pak Belukang, bagus,” puji Dato’ Kontot dengan mengangkat ibu jari sesudah menguji tunggang motosikalnya itu.
“Ya, Pak Belukang memang ahli nujum yang hebat, Dato’. Tengok, tiada lagi bahagian basikal buruk. Semua bahagian motosikal besar Dato’ sudah kembali menjadi yang original. Semuanya tulin,” sampuk Pengerusi JKKK dengan mengangkat dua ibu jari pula. Itulah nada kebiasaannya, mengampu-ngampu.
“Saya hanya berusaha sedaya mampu saya sahaja. Demi Dato’, saya sanggup lakukan apa sahaja. Saya pujuk penunggu-penunggu itu bersungguh-sungguh, akhirnya mereka mengalah dan memaafkan Dato’ dengan rela hati. Mereka kagum dengan kebaikan dan kehebatan Dato’ setelah saya menceritakan kepada mereka. Kejayaan ini disebabkan oleh kekuatan pengaruh Dato’ sendiri, bukanlah sangat kerana kebijaksaan saya,” kata Pak Belukang dengan merendah diri.
“Terima kasih, Pak Belukang. Mulai hari ini, saya lantik Pak Belukang menjadi orang kanan saya. Apa kata kalau saya bagi gelaran Ahli Nujum Parlimen Kangkung Jaya pada Pak Belukang?” tanya Dato’ Kontot.
“Tepat sekali,” kata pemandu Dato’ Kontot.
“Ya, saya sokong,” tambah Pengerusi JKKK pula. Pak Belukang hanya tersenyum simpul.
“Dengan ini saya menambah bayaran upah untuk Pak Belukang sekali ganda lagi. Begitu juga dengan sagu hati untuk Pengerusi JKKK.” kata Dato’ Kontot.
“Keluarkan buku cek saya,” suruh Dato’ Kontot pada pemandunya. Apabila buku ceknya dibawa, dia terus mencoret-coret pada helaiannya. Selepas diceraikan dari bukunya, sekeping cek di berikan kepada Pak Belukang dan sekeping lagi kepada Pengerusi JKKK.
“Dengan duit ini, Pak Belukang pergi membeli belah petang ini. Esok pagi saya mahu Pak Belukang pakai kemas-kemas. Pemandu saya akan datang menjemput Pak Belukang bersama Pengerusi JKKK untuk datang ke majlis beramah mesra dengan Menteri Besar, sebagai tetamu kehormat,” kata Dato’ Kontot sambil menepuk-nepuk Bahu Pak Belukang.
“Baiklah, Dato’,” kata Pak Belukang dengan mengangguk-angguk.