Isnin, 30 April 2012

Madu Tiga Suku - Bab 12


12.  Silat Lincah Silap Rebah

            Sejam kemudian Jamilkhir mendail semula nombor telefon Ayahda. Dia sudah mempunyai pelan rundingan yang menarik untuk Ayahda. Cepat sahaja panggilan itu disambut Ayahda bagaikan tidak sabar-sabar lagi menunggu mangsa terbaru memasuki jeratnya. Setelah berbasa-basi seketika, Jamilkhir pun mula menjalankan misi sulitnya.
             “Saya betul-betul terdesak ini, Ayahda. Pihak perempuan mendesak supaya saya kawin hari ini juga. Jiak tidak, mereka akan terima lamaran seorang lelaki lain yang sedang menunggu. Saya sanggup bayar Ayahda lima ribu ringgit, tetapi Ayahda kena datang tempat kerja saya hari ini juga. Saya tidak ada masa pergi ke Siam sepanjang minggu ini. Cuti tidak diluluskan sebab kerja pejabat banyak menimbun,” kelentong Jamilkhir dengan lancarnya.
            “Hari ini tidak sempatlah, Marang Terengganu jauh tu. Kalau esok bagaimana? Awak cuba tenangkan pihak perempuan. Minta tempoh lagi satu hari,” kata Ayahda.
            “Kalau begitu akan saya usahakan minta penangguhan. Tetapi Ayahda mesti datang besok pagi, ya!” desak Jamilkhir.
            “Kalau saya bertolak pagi dari Pengkalan Hulu ini, petang sikit baru boleh sampai ke Terengganu rasanya,” kata Ayahda mencongak-congak.
            “Tidak apalah, janji Ayahda datang secepat mungkin. Selamatlah saya. Hanya Ayahdalah harapan saya sekarang. Kalau Ayahda tidak datang, alamat melepaslah saya nak kawin. Ini antara hidup dengan mati saya, Ayahda,” gesa Jamilkhir lagi. Sayu suaranya merayu, tetapi hatinya tergelak sakan.
            “Sabar. Ayahda janji akan sampai petang besok, paling awal rasanya pukul dua petang. Jangan bimbang, semuanya akan selesai esok. Malam esok awak sudah boleh bawa pulang isteri ke rumah,” Ayahda memberi jaminan lalu tertawa.
            “Tapi kamu kena fakskan dokumen-dokumen yang diperlukan segera. Ayahda akan buat sijil nikah kamu hari ini juga,” tambah Ayahda lagi.
            “Baiklah Ayahda. Saya akan fakskan dokumen-dokumen yang Ayahda mahu sekejap lagi. Bayarannya saya akan serahkah sewaktu Ayahda datang menghantar sijil nikah saya besok, ya,” balas Jamilkhir.
            Sebaik menamatkan perbualan telefon dengan Ayahda, Jamilkhir segera mengeluarkan kad pengenalan daripada dompetnya. Kad pengenalannya itu kemudian diimbas dan imejnya dibawa ke paparan komputer. Dia mengedit nama, nombor kad pengenalan serta butir-butir dirinya yang lain. Kemudian dia mendapatkan satu gambar lelaki lain daripada internet dan ditampalkan ke atas gambarnya pada salinan kad pengenalan itu. Selapas itu dia membuat sekeping lagi kad pengenalan palsu untuk Rudjini dengan cara superimposed yang sama. Begitu juga dengan dokumen-dokumen lain yang diperlukan, semuanya dipalsukan juga.
            Setelah siap, dia menghantar dokumen-dokumen itu melalui faks kepada nombor yang telah Ayahda berikan. Dia juga memaklumkan penghantaran itu pada Ayahda dengan SMS. Tidak berapa lama kemudian Jamilkhir menerima SMS balasan yang mengesahkan penerimaan dokumen-dokumen faks itu daripada Ayahda.
            Pagi besoknya, Jamilkhir menerima panggilan daripada Ayahda yang memaklumkan padanya yang dia baru sahaja bertolak.
            Bagus! Jerit hati Jamilkhir. Tidak sabar rasanya dia menunggu petang untuk melayan kunjungan Ayahda. Dia meneka-neka bagaimana reaksi Ayahda sewaktu menerima kejutan darinya nanti. Pasti Ayahda akan ingat sampai ke mati. Jangan dirinya dimusuhi Ayahda sampai ke mati, sudahlah.
            Seperti yang dijangka, sebaik sahaja tamat waktu rehat tengah hari itu, Jamilkhir menerima panggilan daripada Ayahda yang memaklumkan dia sudah tiba di bandar Marang.
            “Ok, Ayahda jalan terus, bila jumpa dengan simpang yang ada replika sotong besar di tengahnya, Ayahda masuk simpang yang ke kanan. Selepas itu, dalam jarak dua ratus meter, Ayahda akan jumpa sebuah bangunan berwarna putih empat tingkat di sebelah kanan. Itulah pejabat tempat saya berkerja,” terang Jamilkhir.
            Tidak sampai sepuluh minit kemudian, telefon bimbit Jamilkhir berbunyi lagi.
            “Ya, Ayahda,” jawab Jamilkhir.
            “Ayahda sudah sampai ini,” kata Ayahda. Nada suaranya tiba-tiba kasar pula.
            “Dah, sampai? Naiklah ke pejabat saya di tingkat dua,” pinta Jamilkhir. Dia bangun ke tepi tingkap. Dia meninjau-ninjau ke bawah.
            “Tapi ini pejabat agama. Awak ni biar betul! Awak main-mainkan sayakah?”  Ayahda meninggikan suara.
            “Saya tidak main-main. Saya memang mahu Ayahda datang ke sini,” balas Jamilkhir.
            “Cakap betul-betul di mana awak. Saya mahu datang ajar awak,” Ayahda menengking pula.
            “Marilah, saya di atas ni. Oh, saya nampak, kereta Ayahdakah Toyota Fortuner itu? Cuba Ayahda lihat ke tingkat dua, saya sedang melambai tangan di tepi tingkap ini,” kata Jamilkhir dengan melambaikan tangan kirinya tinggi-tinggi.
            “Kamu ini siapa?” kedengaran suara Ayahda bertempik dari corong suara telefon bimbit Jamilkhir. Mungkin dia sudah mengenal pasti kedudukan Jamilkhir itu.
            “Saya pegawai penguatkuasa undang-undang keluarga di Pejabat Agama Daerah Marang ini. Jemputlah masuk cepat, saya sudah tidak sabar-sabar lagi nak bernikah ini,” jawab Jamilkhir dengan tenang, tetapi sinis.
            “Celaka kau! Penat aku datang dari jauh,” kata Ayahda disertai dengan sumpah seranah kata-kata kesat sebelum telefonnya dimatikan. Kereta Toyota Fortuner itu kemudiannya beredar dan memecut pergi dalam sekelip mata. Jamilkhir ketawa berdekah-dekah di muka tingkap.
            Selepas peristiwa petang itu, Jamilkhir sudah tawar hati untuk pergi berkawin di Siam. “Jika ejen ini menipu, apa jaminannya ejen-ejen lain tidak menipu? Awal-awal lagi sudah nampak nak merompak macam lanun. Kalaulah aku ikut sampai ke Siam nanti, entah apa lagi yang akan terjadi,” keluh Jamilkhir sendirian.
            Untuk mengurangkan risiko yang memeningkan kepala, Jamilkhir membuat keputusan untuk melangsungkan sahaja pernikahan ke tiganya ini di rumah nenek Rudjini. Apa kurangnya kampung itu? Jauh dari bandar dan tiada siapa yang mengenalinya di sana. Jadi, keadaan ini juga selamat. Tiada sebab untuk Liafara mahupun Hasnina ke sana. Pilihan ini juga menyelamatkan hati nenek Rudjini daripada terluka kelak.
            Tiga hari selepas itu, Jamilkhir bergerak ke kampung nenek Rudjini.Dia berbohong pada Liafara dan Hasnina yang dia telah diarahkan oleh Ketua Pengarah Biro Agama Negeri untuk menjalankan satu penyelidikan kefahaman agama islam penduduk di kawasan pedalaman. Liafara mahu mengikut, tetapi dihalang oleh Jamilkhir dengan alasan masalah ketiadaan penginapan dan pengangkutan yang sesuai. Jamilkhir juga memperdayakan Hasnina dengan memberitahu yang dia terpaksa meredah dan tinggal di hutan tebal untuk ke penempatan orang asli. Lagi pun pemergiannya hanyalah lima hari sahaja.
            Pemergian Jamilkhir bernikah ini hanya ditemani oleh Razi seorang sahaja. Tiada rombongan dengan berdulang-dulang hantaran mengiringinya. Di sebelah pihak perempuan pun tidak mengadakan majlis yang besar, cuma ala kadar sahaja kendurinya untuk diraikan oleh hanya sanak-saudara dan jiran-jiran tetangga.
            Ini adalah majlis perkawinan ke dua bagi Jamilkhir untuk tahun ini yang selang masanya hanya sebulan sahaja. Bulan lepas dia mengadakan majlis perkawinannya dengan Hasnina di hotel lima di tengah kota dengan penuh ‘meriah’. Hari ini dia mengadakan majlis kenduri kawin dengan Rudjini secara sederhana di kampung pula. Apa yang diharapkan oleh Jamilkhir ialah semuanya berjalan lancar tanpa apa-apa gangguan.
            Sewaktu Jamilkhir dan Rudjini bersanding di atas pelamin, ramai tetamu tampil merenjiskan air mawar dan menepung tawar. Satu ketika, muncul seorang lelaki aneh di depan pelamin. Dia kelihatan memakai lilitan kain kepala yang menutup hampir keseluruhan mukanya. Jamilkhir menyangkakan pada mulanya lelaki itu mungkin juga mahu menepung tawar padanya, namun lelaki itu hanya berdiri tegak sahaja di depan pelamin sambil memandang Jamilkhir dengan tajam.
            Lelaki itu memberikan tunduk hormat kepada pengantin. Kemudian dia berpusing seketika ke sisi kanan, ke belakang dan ke sisi kiri. Pada setiap sisi dia memberi tunduk hormat kepada orang ramai. Akhirnya dia kembali mengadap pengantin. Dia bertafakur dengan mulutnya terkumat-kamit. Gelagatnya ini mengundang rasa saspens pada setiap orang yang ada di situ.
            Lelaki itu membuka kuda-kuda dengan menjarakkan kaki kirinya agak jauh ke depan. Dia mendepangkan tangan lalu menghayunkan ke kiri dan ke kanan bersilih ganti, disertai juga gerakan badan dan langkah kaki yang amat lincah. Rupa-rupanya lelaki aneh ini mahu mempertunjukkan silat. Walaupun acara ini tiada dalam agenda, masing-masing beranggapan ia adalah acara surprise untuk majlis itu.
            Bunyi tepisan tangan dan hentakan kaki yang padat pada bumi menandakan buah-buah silatnya kemas dan padu. Pasti lelaki ini bukan calang-calang orang, sungguh tinggi ilmu silatnya. Manakan tidak, sekali lompat dia berupaya mambuat dua balik kuang berturut-turut. Gerak silatnya kelihatan sungguh tangkas bagaikan seorang mahaguru silat lincah yang mahir.
            Ada juga tetamu yang nakal menepuk buntut baldi berulang kali bagaikan memalu gong lagaknya. Irama yang terhasil merancakkan lagi suasana. Lelaki itu terus mempersembahkan buah-buah silatnya. Bergegar-gegat pelamin disebabkan hentakan dan tendangan kuat lelaki itu. Lelaki itu tiba-tiba melompat ke atas pelamin pengantin pula. Jamilkhir dan Rudjini serta kebanyakan tetamu terjerit terperanjat.
            Sekarang lelaki itu berhadapan dengan Jamilkhir. Tiba-tiba dia menghunus keris daripada sarung yang tersisisp di pinggang Jamilkhir. Kedua-dua pengantin itu terkejut bukan kepalang lagi. Lelaki itu terus bersilat dengan mengacah-ngacah Jamilkhir dengan lebasan-libasan keris. Walaupun keris itu hanyalah replika yang tidaklah tajam sangat, Jamilkhir terpaksa mengelaknya dengan menyendeng ke kiri dan ke kanan bagi mengelakkan dirinya mendapat kecederaan.
            Satu ketika Jamilkhir terpaksa menolak badannya ke belakang apabila lelaki itu cuba menikam perutnya.
            Bam! Kerusi pelamin yang diduduki Jamilkhir terbalik terlentang ke belakang. Jamilkhir jatuh dengan paha dan kakinya menghenyak tubuh. Habis kain renda dan hiasan latar belakang pelamin luruh bersama disauk oleh kerusi Jamilkhir. Separuh binaan pelamin juga runtuh merudum.
            Lelaki aneh itu berhenti bersilat lalu mendapatkan Jamilkhir. Jamilkhir menyangkakan dia mahu tolong mengangkatnya dan meminta maaf. Sebaliknya lelaki itu mencekak leher baju Jamilkhir dengan kasar lalu menariknya bangun.
            Lelaki silat itu pun membuka kain yang menutup mukanya. Sekali lagi Jamilkhir terperanjat besar! Mukanya menjadi pucat lesi kebiruan. Jika ditoreh, mungkin tiada darah yang mengalir. Jantungnya pula bagaikan mahu berhenti berdenyut. Lelaki aneh itu rupa-rupanya adalah Abdul Hakim, ayah Hasnina, yang juga bapa mertuanya!
            Dia hadir ke majlis itu sebagai tetamu kehormat. Nenek Rudjini telah menjemputnya kerana dia telah banyak terhutang budi dengan lelaki itu. Abdul Hakim adalah seorang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang selalu datang membantunya. Dia seorang yang baik hati, peramah dan sungguh perihatin. Namun hari ini dia sanggup mencemar duli bersilat apabila mendapati pengantin lelaki itu adalah menantunya!
            Rahsia yang telah bersungguh-sungguh cuba disembunyikan Jamilkhir terkantoi juga akhirnya.
            “Menantu bertuah! Ini rupanya kerja kamu ya?” tempiknya.
            “Ampunkan Jamil, papa,” Jamilkhir melutut di kaki Abdul Hakim.
            “Tambah bini saja kamu tahu. Bini-bini yang kamu sudah ada tu belum lagi berdamai, kamu pandai-pandai kawin lagi ya?” marah Abdul Hakim lagi.
            Walaupun dihujani pebagai tuduhan oleh Abdul Hakim. Jamilkhir berjaya juga mengawal keadaan. Dengan menggunakan kepintaran ilmu psikologinya, dia berjaya mempengaruhi Abdul Hakim supaya merahsiakan perkara itu buat sementara waktu. Dia juga berjanji untuk berlaku adil kepada semua isterinya.

Rabu, 25 April 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 12


12.      Wakil Rakyat Kangkung Jaya
            Seorang lelaki berusia sekitar empat puluh tahun sedang mengira-ngira kepingan tebal not-not duit lima puluh ringgit. Duit-duit itu diikat dengan gelang getah apabila tebalnya mencapai kira-kira setengah inci. Ketulan-ketulan duit yang diikat itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sampul surat yang berasingan. Pada setiap sampul surat itu pula ditulis pula dengan nama-nama cawangan Parti Parang dalam kawasan Parlimen Kangkung Jaya.
            “Hui… duit, duit, duit… banyaknya duit,” lelaki yang digelar YB Sumbing itu bersungut seorang diri.
            “Untungnya jadi wakil rakyat. Duit datang dengan tak perlu bersusah payah, heh heh heh…” YB Sumbing buat-buat ketawa pula.
            “Ini baru duit peruntukan kerajaan. Yang ini pun sudah penat nak kira. Belum campur lagi duit kopi, duit penaja,” katanya lagi.
            Duit-duit itu adalah dana untuk program-program bersama rakyat yang akan dijalankan oleh jawatankuasa parti di setiap cawangan. Dana yang banyak itu disumbangkan kerajaan pusat sebagai peruntukan tetap untuk setiap ahli parlimen bagi tujuan kebajikan dan pembangunan rakyat di kawasan parlimen masing-masing. Sesiapa sahaja yang kesempitan boleh memohon bantuan untuk khairat kematian, yuran anak sekolah, belanja rawatan penyakit kronik, memperbaiki rumah dan sebagainya.
            Namun bagi lelaki ini, dana ini juga memberikan faedah peribadi padanya. Di setiap aktiviti dan program yang akan dijalankan dengan dana itu nanti, sudah pasti dia akan diwar-warkan sebagai penaung ataupun penyumbangnya. Namanya akan dipuja dan dicanang ke merata kampung. Sudah tentu ini adalah ‘political mileage’ untuknya dalam usaha mengempen untuk merebut kerusi Pengetua Parang Kangkung Jaya Parti daripada Dato’ Kontot nanti.
            “Runtuh Bina Construction nak beri lima persen. Dengan Sedut Tambak Engineering, aku akan dapat seratus ribu. Loba Lobi Consultant pula janji nak beri kereta BMW X6 sebiji…” YB Sumbing bergurindam gembira.
            Dengan menggenggam ketulan-ketulan duit itu, mulutnya mencicit sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Hai, berderu-deru orang nak bagi duit pada aku. Peminta sedekah kaki lima pun tidak macam ini. La la la la la…  hai sudahlah nasib badan…” ujarnya lagi dengan menyanyi-nyanyi.
            “Kalau sudah ada kedudukan tinggi, macam inilah jadinya. Tubuh badan aku ini sudah jadi macam magnet duit pula sekarang…” YB Sumbing menjuih bibir seorang diri pula.
            Nama sebenar lelaki ini ialah Mat Som Bin Haji Fatah. Dialah yang memegang jawatan Wakil Rakyat di Parlimen Kangkung Jaya waktu ini. Dia memang berbakat besar di bidang politik. Mat Som menyertai Parti Parang sejak remaja lagi. Dia mudah dikenali dengan gigi jongang yang dimilikinya. Dia juga memang terkenal dengan keberaniannya. Dia adalah antara orang hadapan dalam jentera kempen parti dalam setiap pilihanraya di kawasan parlimen itu.
            Dalam satu kejadian berebut tempat untuk menampal poster dengan parti lawan, pergaduhan tercetus. Mat Som disembam ke atas permukaan jalan menyebabkan dua batang gigi depannya yang jongang itu patah serpih. Kedua-duanya menjadi runcing seperti paku dan jelas kelihatan seperti terselit di celah bibirnya. Lebih seram jika dilihat semasa dia sedang bercakap ataupun makan. Kalau dalam filem seram Inggeris, kehebatan rupa drakula ialah pada taringnya, tetapi rupa Mat Som lebih hebat. Dengan gigi kapak depannya yang tajam dan runcing itu, boleh jadi drukula pun kecut bila melihatnya.
            Dari itulah dia kemudiannya dipanggil Mat Sumbing Gigi Patah, yang berbunyi hampir dengan nama asalnya. Setelah berjaya menjadi wakil rakyat, gelaran ini dinaik-tarafkan sedikit menjadi YB Sumbing. Walaupun sudah berduit banyak, dia tidak tergerak hati pun untuk memperbaiki gigi sumbingnya itu. Mungkin dia selesa begitu. Boleh jadi pada fikirannya, dia kelihatan ‘macho’ dengan bergigi sumbing itu. Pada hal, gigi itu jugalah yang pernah memalukan dirinya dalam satu majlis makan malam, di mana sebiji gelas pecah di mulutnya ketika dia mahu meneguk air.
            Semenjak menjadi wakil rakyat juga, YB Sumbing tidak lagi seagresif dulu. Dalam banyak keadaan, dia berusaha menjadi lebih bersopan bagi menjaga protokol sebagai wakil rakyat. Semua tugas-tugas lasak dan yang membabitkan kontoversi diserahkan kepada anak-anak buahnya untuk diuruskan. Sememangnya hampir semua kerja YB Sumbing dibuat oleh orang lain. Dia cuma perlu mengeluarkan arahan ataupun menurunkan tanda tangan sahaja. Hatta jika hendak menyarung seluar dalam sekali pun, boleh sahaja dia meminta pembantunya melakukannya, jika dia mahu.
            Selesai mengira duit, YB Sumbing terlentang bersandar di kerusi mewahnya. Sambil mengurut-ngurut dagu, fikirannya merangka-rangka strategi yang akan dijalankan untuk membolehkan dia berjaya menjadi Pengetua Parang Kangkung Jaya nanti.
            Yang menjadi masalah padanya sekarang ialah, lebih daripada separuh ketua-ketua cawangan parti di Parlimen Kangkung Jaya ini adalah pengikut setia Dato’ Kontot. Adalah tidak bijak jikalau dia menyalurkan terus dana-dana ini kepada ketua-ketua cawangan itu . Sudah tentu mereka akan menggunakan dana itu bagi kepentingan mereka sendiri pula, yang juga akan menaikkan nama Dato’ Kontot nanti. Akhirnya nanti YB Sumbing hanya masuk angin keluar asap sahaja.
            YB Sumbing terpaksa mencari dan melantik orang-orang yang setia padanya untuk mengetuai gerak kerja kempen di cawangan-cawangan yang dikuasai oleh Dato’ Kontot. Ini termasuklah cawangan di Kampung Kangkung Kering, di mana Pengerusi Cawangannya adalah orang kuat Dato’ Kontot sejak dahulu lagi. Untuk mengubah arah sokongannya adalah hampir mustahil.
                                                                        *****
            Hari ini YB Sumbing turun padang menjayakan program gotong royong yang diadakan di Cawangan Kampung Kangkung Kuning yang terletak bersebelahan dengan Kampung Kangkung Kering.  Terdapat banyak penyokong YB Sumbing di sini, termasuklah para pemimpin cawangan. Dengan itu, program aktiviti gotong-royong ini dapat dikelolakan dengan baik sekali. Orang ramai daripada cawangan lain di sekitar juga dijemput, temasuklah dari Kampung Kangkung Kering untuk bersama-sama menyemarakkan aktiviti gotong-royong ini.
            Pak Belukang tidak melepaskan peluang besar ini. Dia bersama-sama Belukang awal-awal pagi lagi sudah hadir ke tempat pelancaran program gotong-royong itu. Memang ramai orang yang hadir dengan pelbagai peralatan seperti parang, mesin rumput, kereta sorong dan tong sampah beroda. YB Sumbing tiba bersama isteri dan anaknya Seri Ayu kira-kira lima minit sebelum program bermula. Sebaik selesai dirasmikan oleh YB Sumbing, peserta-peserta gotong-royong terus bertebaran ke segenap kampung untuk memugut sampah. Ada pula yang menebas pokok-pokok kecil di kaki lima jalan.
             Pak Belukang awal-awal lagi berpakat dengan Belukang untuk berada serapat mungkin dengan Seri Ayu. Mereka mencari peluang untuk bertegur sapa dengan Seri Ayu. Lagi baik kalau dapat berbual mesra. Namun keadaan nampaknya tidak mengizinkan. Seri Ayu sentiasa berada tidak jauh daripada YB Sumbing dan isterinya. Jikalau Pak Belukang merapati terus Seri Ayu begitu sahaja, bahaya. Nampak sangat dia mengada-ngada. Lagi naya kalau dia disyaki mahu melakukan perkara yang tidak baik pula.
            “Aduh, macam mana abah nak pergi dekat dengan Seri Ayu ini, Belukang? Dia tak nak berenggang dari mak ayahnya pula,” keluh Pak Belukang pada anaknya dengan berbisik.
             “Terpaksalah abah gunakan plan ke dua,” Belukang berbisik balas.
            Ya, Pak Belukang ada menyediakan plan ke dua, bagai strategi hendak berperang pula. Jikalau dia tidak berjaya menegur Seri Ayu, dia berharap sekurang-kurangnya dia dapat menyampaikan sekeping surat cinta pada Seri Ayu. Surat itu ditulisnya siap-siap semalam lagi. Walaupun tulisannya buruk dengan ejaan tunggang terbalik, Pak Belukang yakin maksudnya akan dapat difahami oleh Seri Ayu nanti. Tugas penyerahan surat itu diberikan pada Belukang.
            Akhirnya peluang yang ditunggu-tunggu pun tiba. Semakin jauh mereka berjalan, semakin luas kawasan yang diredahi. Seri Ayu mula berenggang daripada YB Sumbing. Begitu juga dengan isteri YB Sumbing, yang sudah menyertai kelompok peserta yang lain. Perkembangan ini dipantau dengan cermat oleh Pak Belukang dan anaknya. Satu ketika, Seri Ayu nampaknya tertarik dengan longgokan pelepah dan manggar kelapa berhampiran dengan umbi sebatang pokok kelapa.
            Seri Ayu dengan pantas menuju ke situ tanpa mengesyaki apa-apa. Pak Belukang memberi isyarat pada Belukang untuk menjalankan misi plan ke dua mereka. Belukang mengangguk dengan tersenyum lalu mengekori Seri Ayu. Dia merapati dengan perlahan-lahan supaya tidak dicurigai oleh Seri Ayu. Matanya juga sesekali menjeling pada YB Sumbing dan isterinya untuk memastikan mereka tidak menyedari akan tindakannya itu.
            Belukang melihat Seri Ayu melewati ke sebalik pohon kelapa, tetapi dia tidak pula muncul selepas itu. Belukang termanggu-manggu menanti. Boleh jadi dia berselindung di belakang batang kelapa untuk berhenti melepaskan penat, detik hati Belukang. Ini sudah peluang yang sangat baik padanya. Belukang akan dapat menyerahkan surat cinta ayahnya dengan selamat tanpa dilihat orang di belakang batang kelapa itu nanti. Dengan segera dia menuju ke belakang pohon kelapa.
            Alangkah terperanjatnya Belukang apabila mendapati Seri Ayu tiada di situ. Adakah dia ghaib? Ajaib sungguh! Ataupun Seri Ayu diculik oleh makhluk halus? Ada kemungkinan juga dia diterkam dan dilarikan oleh binatang buas. Fikiran Belukang diterpa dengan pelbagai soalan yang membimbangkannya.
            “Ah, tidak mungkin,” getus hati Belukang. Matanya meninjau-ninjau pula ke arah kumpulan peserta-peserta gotong-royong yang lain. Manalah tahu kalau-kalau Seri Ayu boleh lari memecut ke arah mereka sepantas kilat bak Usain Bolt. Tidak pun Seri Ayu sudah melintasinya ke sana dengan ilmu halimunan. Namun Belukang tidak nampak pula kelibat Seri Ayu di antara mereka. Sah, Seri Ayu mesti masih ada di situ lagi.
            Tiba-tiba sesuatu terlintas di fikiran Belukang. “Mungkin Seri Ayu sudah panjat pokok kelapa ini,” ujarnya sendirian. “Manalah tahu kalau dia mahu memetik kelapa muda pula. Dalam cuaca yang panas ini, kalau dapat menghirup air kelapa muda, alangkah enaknya,” bebel Belukang lagi.
            Belukang pun terdongak-dongak ke atas pokok kelapa yang tingginya lebih daripada tiga puluh kaki itu. Walaupun agak mustahil untuk gadis selembut Seri Ayu memanjat pokok kelapa yang setinggi itu, tetapi kebarangkalian itu tetap ada. Dengan bergerak mengelilingi pokok kelapa itu tanpa melihat ke bawah, tiba-tiba kaki Belukang terjerlus ke dalam satu lubang. Dia yang tidak sempat berbuat apa-apa terus terjerumus ke dalamnya. Rupa-rupanya lubang besar itu adalah sebuah perigi buta.
            Belukang sempat melihat ada sekujur tubuh seseorang meringkuk di dasar perigi sebelum dia menghempapnya. Dalam menahan senak, Belukang terkejut apabila mendapati orang itu adalah Seri Ayu. Nampaknya Seri Ayu tidak sedarkan diri, tetapi dadanya kelihatan turun naik menandakan dia masih bernafas. Nasib baik perigi itu kering kontang. Jika berair, tentu Seri Ayu akan lemas. Belukang cuba menyedarkan Seri Ayu untuk diberikan surat, tetapi tidak berjaya. Belukang tiada pilihan lain lagi. Dia memasukkan surat cinta ayahnya itu ke dalam saku seluar Seri Ayu.
            Belukang memanjat keluar dari dalam perigi dengan bergantung kepada pokok-pokok kecil yang tumbuh di dindingnya. Setelah tiba di atas, dia menjumpai sebelah selipar Seri Ayu di situ lalu memungutnya. Ketika itu jugalah Belukang baru teringat dia pernah jatuh ke dalam perigi buta itu sedikit masa dahulu. Kisah itu bermula dengan Belukang memanjat pokok kelapa di tepi perigi itu untuk memetik beberapa biji kelapa muda diatas permintaan tuannya.
            Seekor biawak besar yang sedang nyenyak tidur di atas satu pelepah berasa terganggu dengan kehadiran Belukang. Belukang pula terkejut besar apabila biawak itu menjulurkan lidah hampir ke mukanya. Maka tergopoh-gapahlah Belukang menuruni pokok kelapa itu apabila dikejar oleh biawak itu . Pada ketinggian kira-kira dua meter daripada tanah, Belukang melepaskan batang kelapa lalu melompat terjun. Malangnya dia tidak mendarat di pangkal pokok kelapa, tetapi langsung mendarat di dasar perigi buta itu . Sebab itulah perigi buta itu tidak asing baginya, cuma dia hanya terlupa hari ini.
            Belukang cepat-cepat membawa selipar Seri Ayu itu pada ayahnya. Pak Belukang yang sedang memungut daun-daun kering tercengang bila melihat Belukang meluru ke arahnya dengan cemas.
            “Abah, Seri Ayu sudah jatuh dalam perigi buta,” kata Belukang dengan termengah-mengah.
            “Jatuh dalam perigi? Di mana?” tanya Pak Belukang kaget.
            “Di belakang pokok kelapa nun,” Belukang menunjukkan pokok kelapa itu .
            Mereka segera berkejar ke situ. Memang perigi itu agak tersorok di sebalik rimbunan lalang serta pokok-pokok kecil. Sesiapa pun yang lalu pasti tidak perasan adanya lubang perigi di situ. Hati Pak Belukang meruntun sayu bila dia menjenguk ke dalam perigi. Seri Ayu pujaannya meringkuk di dasarnya dalam keadaan yang menyedihkan.
            “Dia masih hidup, abah,” ujar Belukang.
            “Macam mana kamu tahu?” soal Pak Belukang.
            “Tengok itu, dadanya bergerak. Itu tandanya dia masih bernafas,” kata Belukang.
            “Hmm…” keluh Pak Belukang dengan menarik nafas panjang.
            Pak Belukang sedar, kudratnya bersama Belukang sahaja tidak akan mampu menaikkan Seri Ayu. Dia harus melakukan sesuatu. Ya, sesuatu yang memberikan keuntungan padanya. Secara spontan, Pak Belukang mendapat satu akal bila melihat selipar Seri Ayu di tangannya.
            “Mari, Belukang,” ajak Pak Belukang sambil menarik anaknya pergi.
            “Mahu kemana, Abah? Kita tidak boleh tinggalkan Seri Ayu dalam perigi itu,” ujar Belukang tidak berganjak dari tempat berdirinya.
            “Kita akan selamatkan Seri Ayu dengan cara yang lebih baik,” kata Pak Belukang lalu membisikkan sesuatu pada telinga Belukang.
            Sebentar kemudian Belukang tersenyum dan menganggguk-angguk tanda faham. Sempat juga dua beranak itu melagakan ibu jari tanda bersetuju. Tanpa membuang masa, mereka terus bergerak mencari Isteri YB Sumbing.
            “Hah, itu dia,” ujar Belukang dengan menunjuk pada seorang wanita yang sedang berdiri memegang sebiji beg plastik sampah. Orang lain bersilih ganti datang mengisi sampah ke dalam beg plastik itu. Dengan selamba, Pak Belukang memintas depan Isteri YB Sumbing. Dia mencampakkan selipar Seri Ayu ke tanah tanpa di sedari oleh wanita itu.
            “Eh, cantiknya selipar!” teriak Pak Belukang. Sengaja dia kuatkan sedikit suaranya untuk menarik perhatian Isteri YB Sumbing. Seperti yang dijangka, Isteri YB Sumbing tertarik pada selipar yang sedang dipungut oleh Pak Belukang. Pak Belukang berlagak seperti tidak tahu apa-apa dan membawa selipar itu kepada Isteri YB Sumbing.
            “Siapalah yang buang selipar yang masih cantik lagi ini. Tentu tuannya pun cantik macam seliparnya ini juga. Apa boleh buat, selipar cantik ini sudah menjadi sampah. Kena buang sahajalah,” kata Pak Belukang lalu memasukkan selipar itu  ke dalam beg plastik sampah yang dipegang oleh Isteri YB Sumbing. Isteri YB Sumbing mengeluarkan kembali selipar itu.
            “Eh, ini selipar Seri Ayu,” kata Isteri YB Sumbing yang terperanjat. “Di mana awak jumpa?” tanyanya.
            Ya, tepat sekali namanya Seri Ayu! Sama seperti nama gadis dalam mimpi aku! Hati Pak Belukang menjerit gembira. Bagaimanapun dia tetap berlakon tidak mengetahui apa-apa.
            “Di situ,” kata Pak Belukang dengan menunjukkan tempat dia memungut selipar itu tadi.
            Isteri YB Sumbing mengerutkan muka. “Awak jumpa selipar saja? Mana Seri Ayu?” tanyanya cemas dengan meninjau-ninjau sekeliling.
            “Saya tidak tahu. Jikalau benar ini selipar Seri Ayu, saya boleh bantu puan mencari Seri Ayu,” kata Pak Belukang.
            Keadaan mula kecoh. Orang ramai mula mengerumuni  Isteri YB Sumbing. YB Sumbing sendiri datang menerpa. Pak Belukang menerangkan padanya Seri Ayu hilang dan meninggalkan sebelah seliparnya.
            “YB jangan bimbang. Saya boleh bantu mengesan di mana Seri Ayu berada,” kata Pak Belukang dan seterusnya menawarkan khidmat tilikan hipnosisnya.
            Dengan menggunakan selipar sebagai sahabat rapat Seri Ayu, Pak Belukang mula berlakon menilik bagi menjejakinya. Seperti yang biasa dilakukan sebelum ini Pak Belukang memegang selipar itu dengan tangan lurus ke depan. Kemudian dia berpusing-pusing mencari arah aura Seri Ayu yang dikesan oleh selipar itu .
            “Di sana,” kata Pak Belukang dengan menunjukkan pada pokok kelapa tadi. Dia pun bergerak ke situ dengan lagak waspada dan cermat. YB Sumbing dan isterinya, serta perserta-peserta gotong royong yang lainnya mengekori dari belakang dengan berhati-hati. Sebaik tiba di pangkal pokok kelapa, Pak Belukang membengkokkan tangannya ke bawah sambil menggeletar.
            “Aura Seri Ayu sungguh kuat sekarang. Datangnya dari arah situ,” kata Pak Belukang sambil menunjukkan tempat perigi buta. Semua orang menyerbu perigi buta itu .
            Akhirnya Seri Ayu pun dapatlah diselamatkan. Dia dinaikkan beramai-ramai dari dalam lubang perigi itu. Mujurlah sebelum diangkat Seri Ayu pun sedar, jadi kerja itu menjadi lebih mudah. Andai kata Seri Ayu hilang nyawa disebabkan Pak Belukang melengahkan masa untuk berlakon tadi, pasti Pak Belukang akan menyesal seumur hidup. Seri Ayu diberi minum dan keadaannya diperiksa. Nampaknya tiada kecederaan luaran yang serius selain sedikit calar-balar pada tangan dan muka. Walaupun masih dalam keadaan lemah dan terkejut, Seri Ayu mampu tersenyum dan mengucapkan terima kasih pada Pak Belukang.
            YB Sumbing mengarahkan supaya kerja-kerja gotong-royong disambung semula. Dia meminta diri untuk membawa Seri Ayu ke klinik untuk dirawat jika ada apa-apa kecederaan dalaman. Dia turut mempelawa Pak Belukang pergi bersama. Selepas Seri Ayu diperiksa dan disahkan sihat oleh doktor, YB Sumbing sekeluarga terus pulang ke rumah bersama Pak Belukang. Di atas jasanya menyelamatkan nyawa Seri Ayu, Pak Belukang diraikan dengan makan tengah hari bersama YB Sumbing sekeluarga. Bagaimanapun, Pak Belukang agak kecewa kerana Seri Ayu tidak turut makan bersama kerana disuruh berehat oleh YB Sumbing.
            “Saya lihat Pak Belukang ini ada kebolehan istimewa. Bagaimana kalau saya tawarkan Pak Belukang menyertai saya dalam pasukan Gantot?” tanya YB Sumbing ketika mereka sedang menjamu selera.
            “Pasukan Gantot? Apa benda itu?” tanya Pak Belukang kehairanan. Tidak pernah didengarinya Pasukan Gantot sebelum ini.
            “Pasukan Gantot ini adalah pasukan elit yang saya tubuhkan, yang mana terdiri daripada orang-orang yang hebat,” jelas YB Sumbing.
            “Mengapa YB namakan pasukan itu Gantot? Buruk sangat bunyinya. Kalau tukar kepada nama Tottenham Hotspur cantik sikit,” ujar Pak Belukang.
            “Ini bukannya pasukan bola sepak. Ini pasukan kempen saya untuk melawan pasukan Dato’ Kontot. Memang buruk nama Gantot itu, tapi sesuailah padanya. Gantot ini singkatan untuk perkataan Gerakan Anti Dato’ Kontot. Daripada namanya pun Pak Belukang sudah tahu yang gerakan ini ditubuhkan semata-mata untuk menjatuhkah Dato’ Kontot daripada kedudukan Pengetua Parang Kangkung Jaya,” jelas YB Sumbing lagi.
            “Kalau saya sertai Gantot, apa yang saya kena buat?” tanya Pak Belukang.
            “Kebetulan sungguh saya perlukan orang daripada Cawangan Kampung Kangkung Kering untuk menjalankan misi Gantot ini. Pak Belukang pula muncul tepat pada masanya. Pak Belukang pun sedia maklum yang Kampung Kangkung Kering adalah kubu kuat penyokong Dato’ Kontot. Jadi, saya perlukan Pak Belukang untuk mengalih sokongan orang-orang kampung Pak Belukang itu pada saya,” jelas YB Sumbing.
            Pak Belukang mengangguk-angguk setuju. Demi untuk Seri Ayu pujaan hatinya, dia akan sanggup berbuat apa sahaja tanpa membuat pertimbangan baik buruk akhibatnya lagi.  YB Sumbing sudah membuka pintu untuknya, tinggal lagi dia perlu bijak memanfaatkan peluang keemasan ini yang tidak akan datang lagi kali keduanya di lain hari. Dia tidak kisah sangat apa jua pasal Gantot, Apa yang penting ialah matlamat cintanya pada Seri Ayu.
            Sebenarnya sudah sekian lama YB Sumbing menubuhkan Gantot, iaitu selepas dia berjaya menjadi Timbalan Pengetua Parang Kangkung Jaya dalam pemilihan terdahulu. Idea gerakan ini tercetus apabila YB Sumbing merasakan dikongkong oleh pengerusinya, iaitu Dato’ Kontot. Ketika itu, Dato’ Kontot juga adalah wakil rakyat Parlimen Kangkung Jaya.
            Dato’ Kontot menegah YB Sumbing daripada menjalankan apa-apa aktiviti parti tanpa kebenarannya. Ini adalah untuk mengelakkan YB Sumbing menjadi lebih menonjol daripadanya. Tentu sekali YB Sumbing tidak senang dengan tekanan ini. Sebagai tindak balas, dalam diam-diam dia mengumpulkan beberapa orang penyokong kuatnya dan berbincang mencari jalan. Hasilnya, maka tertubuhlah Gantot.
            Sejak itu, pelbagai strategi dirangka untuk menjalankan misi rahsianya. Pada mulanya Gantot menumpukan kaedah pujukan pada orang-orang berkepentingan secara individu. Dengan penyertaan mereka, pasukan YB Sumbing bertambah mantap sehingga mereka berjaya melobi pihak atasan untuk mengangkat YB Sumbing sebagai calon parti untuk pilihanraya umum pada tahun berikutnya.
            Apabila berjaya dalam pilihanraya dan menjadi wakil rakyat Parlimen Kangkung Jaya, kedudukan YB Sumbing semakin kukuh. Gantot mula digerakkan secara terbuka dan agresif. Dengan kekuatan kewangan dan hubungan baik dengan pihak atasan, sokongan penduduk padanya bertambah kuat. Popularitinya menenggelamkan terus nama Dato’ Kontot.
            Kini YB Sumbing berjaya merebut Pak Belukang daripada Dato’ Kontot. Walaupun sudah diberi jawatan tinggi sebagai Ahli Nujum Parlimen Kangkung Jaya oleh Dato’ Kontot serta imbuhan lain, YB Sumbing berjaya memikat Pak Belukang dengan menggunakan Seri Ayu. Ya, YB Sumbing menyedari yang Pak Belukang amat berminat pada Seri Ayu kerana mata Pak Belukang tidak putus-putus menjeling Seri Ayu, sejak dari tempat gotong-royong lagi hinggalah sampai ke rumah. Maka biarlah Pak Belukang dengan impiannya itu, YB Sumbing pun ada impiannya sendiri.
            YB Sumbing berharap akan dapat menembusi sisa-sisa kubu kuat Dato’ Kontot yang masih tinggal. Dia yakin, dengan kekurangan peruntukan untuk Dato’ Kontot, lambat laun sokongan mereka akan beralih arah padanya.  Dengan penyertaan Pak Belukang ini dalam pasukannya sekarang, satu kubu kuat Dato’ Kontot iaitu Kampung Kangkung Kering bakal ditawannya nanti!

Jumaat, 20 April 2012

Cintan Si Cilik - Bab 12


12        Korek Biji Kiat

            Petang itu cuaca agak bagus. Langit mendung dengan angin bayu segar bertiup menjadikan keadaan yang nyaman untuk aktiviti luar. Sewaktu datang mengaji di rumah To’ki Wahid semalam, Imi telah bersepakat dengan Nia dan Fadli untuk memanjat pokok kiat. Pokok kiat yang dimaksudkan itu terletak di pinggir Kampung Batu Hampar, di kaki Bukit Pipit.
            Imi bersama Nia pergi beriringan dengan mengayuh basikal masing-masing. Sebaik tiba, tanpa membuang masa mereka terus memanjat pokok kiat. Mereka memetik buah kiat yang masak ranum berwarna kuning keemasan itu dengan girangnya. Buah kiat kecil sahaja, lebih kurang sebesar hujung jari kelingking. Namun rasanya yang lemak-lemak manis serta baunya yang harum sungguh mengecurkan liur.
Selepas dikupas, buah kiat dikulum dan manisan isinya dikecap. Tak sampai lima minit, mulut kedua-dua orang budak itu sebu dengan buah kiat. Mereka menelan terus bijinya sebelum menyuap lagi biji kiat yang baru. Keseronokan memetik dan memakan buah kiat menyebabkan mereka telah terlupa langsung akan Fadli.
“Hoi! Kau orang tak tunggu aku. Kurang asam,” tiba-tiba kedengaran suara Fadli berteriak. Imi dan Nia memandang ke bawah. Kelihatan Fadli termengah-mengah turun dari basikalnya. Din Bisu pun ada bersama Fadli.
“Itulah kau, lambat sangat. Dah nak habis buah kiat ni kami makan,” laung Imi.
Tanpa berlengah, Fadli berebut-rebut memanjat dengan Din Bisu. Sudah kelazimannya dalam acara apa pun, jika lebih ramai orangnya, susana lebih meriah. Begitulah juga dengan pesta kenduri buah kiat, mereka leka bergayut dan melompat-lompat ke dahan lain macam moyet. Lebih-lebih lagi Din Bisu.
Angin bertiup kencang membuatkan keadaan jadi lebih seronok. Imi, Fadli dan Nia berbuai-buai di dahan pokok sambil sahut menyahut menyanyikan lagu-lagu yang popular masa ini. Dalam pada itu mereka terus makan buah kiat dengan banyaknya.
“Aku rasa macam terbang dengan jet saja,” kata Imi. Dia duduk di satu dahan yang berbuai-buai ditiup angin. Tangannya memegang cabang kecil di dahan itu seperti gaya mengendali jet pejuang.
“Eh, aku pun nak naik jet juga,” kata Fadli sambil melompat ke satu lagi dahan dan duduk bergaya juruterbang seperti Imi.
“Aku pun nak juga,” sahut Nia pula. Dia pun melakukan perkara yang sama. “Wah! Seronoknya…” kata Nia sambil terlentok-lentok mengikut ayunan dahannya.
“Apa kata kita main perang-perang dengan jet,” cadang Imi.
“Okey!” sahut Nia dan Fadli serentak.
“Aku jadi Presiden Amerika, naik Air Force One. Nia jadi tentera Amerika naik pesawat pejuang Tom Cat. Dia escort aku…” kata Imi.
“Aku?” tanya Fadli pantas. Dia sudah tidak sabar lagi.
“Kau dengan Din Bisu jadi tentera perisik Rusia naik pesawat perang MIG29. Nanti kau orang kejar kami sebab tentera Rusia nak culik Presiden Amerika,” kata Imi lagi.
“Okey,” balas Fadli. Fadli memberi isyarat pada Din Bisu supaya duduk sepertinya. Din Bisu nampaknya faham dan menurut sahaja. Sebentar kemudian pokok kiat itu menjadi riuh dengan suara budak-budak yang membuat bunyi jet, bunyi tembakan dan bunyi ledakan bom.
            Tiba-tiba Din Bisu terjun ke tanah.
            “Nampaknya seorang tentera Rusia sudah ditembak jatuh!” jerit Imi.
            “Kita berjaya!” jerit Nia pula.
Din Bisu berlari ke sebalik sebatang pokok kundang. Kemudian dia tergesa-gesa membuka seluarnya dan terus duduk bertinggung di sebalik pokok kundang. Rupa-rupanya Din Bisu mahu buang air besar.
            Din Bisu memastikan yang budak-budak bertiga itu tidak akan dapat melihatnya dari atas pokok kiat. Dia cuba menyorok disebalik batang pokok kundang yang tidak sebesar mana itu. Keseluruhan tubuh Din Bisu terlindung, kecuali punggungnya yang menjunkit keluar. Tidak lama kemudian, ketiga-tiga budak dari atas pokok dapat melihat Din Bisu menuang ‘gula icing’ dari acuannya menjadi kek cawan berbentuk lingkaran pyramid bulat, serta ada puncak tajam yang sungguh cantik.
            “Salah seorang pengganas telah mendarat untuk buang air. Hahaha…” kata Imi.
            “Din Bisu berak! Woooo!... tak malu. Hahaha….” jerit Fadli. Mereka ketawa beramai-ramai.
            Apabila melihat budak-budak bertiga itu mentertawakannya, Din Bisu mendapatkan basikal stereng lorinya lalu pulang.
            “Nampaknya pengganas ada seorang lagi. Mari kita tembak sampai jatuh,” jerit Nia.
            “Okey! Tat tat trat tat trat tat…” sahut Imi dengan membuat aksi menembak.
            “Tentera Russia sedang menghampiri Air Force One. Dan, Eyah… tentera Russia dapat memasuki pesawat Air Force One,” kata Fadli sambil melompat ke dahan yang diduduki oleh Imi.
            “Tentera Rusia sedang mencabut enjin pesawat Air Force One,” kata Fadli.
“Pengganas sudah cabut satu enjin kapal terbang. Tom Cat, bertindak sekarang!” jerit Imi.
“Hahaha… enjin kapal terbang besar, mana larat nak cabut, hahaha…” sahut Nia lalu ketawa.
“Sekarang tentera Rusia mahu menangkap presiden Amerika,” kata Fadli sambil memeluk Imi dari belakang. Imi cuba melepaskan diri. Mereka bergelut di dahan pokok kiat itu.
Melihat situasi itu, Nia melompat ke dahan yang sama untuk membantu Imi. Dahan itu kini melentur ke bawah kerana menanggung beban lebih berat.
Air Force One mahu terhempas!” kata Imi panik.
Nia menarik Imi menyebabkan dia terlepas dari pegangan Fadli. Namun Imi tidak sempat mencapai dahan untuk dipegang. Akhibatnya dia tidak dapat mengawal diri dan terhumban ke depan. Pegangan Nia pada tangan Imi juga terlucut. Imi terus jatuh ke tanah.
Air Force One akhirnya jatuh terhempas. Tentera Rusia berjaya!” jerit Fadli bagaikan membalas dendam.
Imi jatuh menjunam. Sedaya upaya dia cuba berpusing, tetapi dia hanya mampu mengangkat kepala sahaja.
Debuk! Imi terhempas dengan dadanya dahulu yang terhenyak ke tanah.
“Aghh!...” Imi menjerit. Dadanya bagaikan mahu pecah. Nafasnya menjadi semput. Dia merengkok-rengkok kesakitan di atas tanah.
            “Presiden Amerika sudah mati, hahahaha… misi berjaya,” jerit Fadli lagi.
            “Fadli, Imi sakit tu. Jom pergi tolong,” teriak Nia.
            Fadli dan Nia berkejar turun.
            “Imi, kau tak apa-apa?” tanya Nia.
Imi meradang. Tak nampakkah orang tengah sakit ini, rungut hatinya.
“Apa kita nak buat ni?” Nia menggelabah.
Imi mendapat satu akal. Dia buat-buat pengsan. Namun setelah beberapa ketika kedua-dua rakannya itu belum bertindak apa-apa, Imi buat-buat menggelupur seperti sedang nazak mahu mati. Nia menjadi panik. Dia mengangkat kepala Imi lalu meribanya.
Seronoknya, sorak hati Imi. Dia sengaja membuat kepalanya terkulai pula. Nia mula menangis. Dia merayu-rayu supaya Imi buka mata.
Hati Imi bagaikan digeletek-geletek, tetapi ditahannya. Kemudian mengeruh kuat seperti mahu menghembus nafas yang terakhir. Nia semakin tak tentu arah.
            “Imi, mengucap Imi,” kata Nia dalam tangisannya terngongoi-ngongoi.
            “Fadli, cepat ajar Imi mengucap,” rayu Nia lagi. Fadli yang sejak tadi hanya membatukan diri.
            “Mengucap?” kata Fadli menggaru-garu kepala.
            “Ok,” Fadli bersetuju lalu tunduk mendekatkan mulut ke telinga Imi.
            “Maarobbuka…” kata Fadli.
            “Hei…” marah Nia lalu menampar bahu Fadli. Imi yang sudah tidak tertahan lagi menghamburkan gelaknya. Dia ketawa berdekah-dekah membuatkan Nia dan Fadli tergamam melihatnya.
            “Kau orang berdua ni lawak betullah, hahahaha…”
            “Nia betul-betul percaya aku nak mati, menangis betul-betul tu. Hahahahaa…”
            “Fadli pula lagi dahsyat, terus tanya macam malaikat. Macamlah aku dah ditanam dalam kubur. Hahahaha…”
            “Oo, kau tipu ya!” marah Nia lalu menolak kepala Imi ke tanah.
            “Adoi! Hahahaha… kau orang terkena, hahahaha…” Imi terus ketawa.
            Puas ketawa berguling di atas tanah, Imi bangkit berdiri. Sakit dadanya masih lagi terasa, tetapi tidaklah sekuat tadi. “Sudahlah, mari kita balik,” ajaknya.
            “Jomlah. Aku dah tak ada selera nak makan buah kiat lagi. Bau tahi Din Bisu makin kuat ni. Naik loya tekak aku,” kata Nia pula.
Budak-budak bertiga itu pun mendapatkan basikal masing-masing dan mula mengayuh perlahan-lahan pulang ke rumah.

                                       *****

            Imi tersentak. Matanya terkebil-kebil seketika. Dia meraup muka dengan tangan sebelum menggeliat melentik-lentik macam cacing. Serta merta perutnya terasa senak menyengat-nyengat. Ada stok lama yang perlu dibuangnya. Sebenarnya rasa senak perut itulah yang membuatkan dia terjaga tadi.
            Lantas Imi bangkit dan mencampakkan selimutnya ke tepi. Dia terjun dari katil lalu mencapai tualanya dan terus berlari ke bilik air.
            Setengah jam berlalu, Mak Hendon mundar mandir di depan bilik air.
            “Ini siapa dalam bilik air lama sangat ni. Imi! Kamukah di dalam?”
“Ya, mak,” sahut Imi.
“Apa yang kamu buat lama sangat kat dalam tu? Kamu tidur dalam bilik airkah?”
Pintu bilik air dibuka. Terpancul Imi dari dalamnya.
“Mak, Imi tak boleh nak buang air. Tahi tak boleh keluar. Buntut sakit,” kata Imi. Matanya merah dan berair, tandanya sudah sekian waktu dia menangis tanpa suara.
“Tak boleh buang air? Kenapa?”
“Tak tahu,”
“Mari mak tengok,”
Imi duduk mencangkung di atas mangkuk tandas dan mula meneran. Sambil meneran dia mengerang sakit. Dia meneran dan mengerang bersilih ganti, namun najisnya tidak mahu keluar juga. Mak Hendon mengurut-ngurut perut dan pinggang Imi. Sambil itu dia mengagah-ngagah memberi semangat pada Imi.
Setelah usahanya itu tidak berhasil, akhirnya Mak Hendon meraba pintu dubur Imi dengan hujung jarinya.
“Keras. Entah-entah buasir ni,” kata Mak Hendon sambil menekan-nekannya.
Mak Hendon bangun dan berlalu mendapatkan Pak Brahim di beranda. Sebentar kemudian Mak Hendon datang semula bersama Pak Brahim.
“Kecik-kecik dah dapat buasir?” sergah Pak Brahim sebaik sahaja melihat Imi berteleku sayu di atas mangkuk tandas. Pak Brahim memeriksa dubur Imi.
“Tak ada buasir pun. Tapi tahi kamu yang keras. Sebab tulah payah nak keluar,” ujar Pak Brahim kemudiannya.
Imi tersedu-sedu. Dia tidak tahu nak cakap apa sekarang. Entah bila seksa ini akan berakhir, tak tertahan lagi azabnya ini.
“Kamu makan apa semalam?” tanya Pak Brahim.
“Makan nasi dengan lauk ikan singgang,”
“Lagi?”
“Petang semalam Imi makan buah kiat,”
“Buah kiat? Bijinya kamu telan?”
Imi mengangguk.
“Patutlah. Banyak mana kamu telan biji kiat,”
“Banyak…”
Pak Brahim menyuruh Imi masuk dalam sebiji besen yang berisi air. Dengan harapan air akan menyerap masuk dan seterusnya melembutkan najisnya, Imi dipaksa terus berendam di dalam besen itu. Sambil berendam Imi menangis tersedu-sedu. Tak disangkanya buah kiat yang sedap dimakan memberikannya azab sebegini rupa akhirnya. Sementara itu Pak Brahim dan Mak Hendon pergi bersembahyang subuh.
Sehinggalah matahari sudah segalah tingginya pagi itu, najis Imi tak dapat keluar-keluar juga. Puas sudah Imi meneran, namun tidak berhasil langsung. Najisnya masih keras macam batu.
“Sudah. Mari sini,” Pak Brahim menarik Imi keluar dari besen.
Punggung Imi ditunggingkan di atas lutut Pak Brahim. Sambil berleter Pak Brahim mengorek dubur Imi. Dengan menggunakan minyak masak sebagai pelicir, sebiji demi sebiji biji kiat dikeluarkannya. Dalam pada itu, kerap kali juga Pak Brahim terbersin hingga merah hidungnya.
“Tau sajalah baunya, hui… macam apa entah!” Pak Brahim merengus sambil mengesat air hidungnya.
            Hampir penuh sebiji bekas tin susu pekat manis diisi dengan biji kiat yang dikeluarkan daripada buntut Imi. Sebaik habis semua biji kiat dikeluarkan, Pak Brahim melepaskan geramnya menepuk punggung Imi dengan kuat.
“Hari ini kalau kamu telan lagi biji kiat, abah tak akan korek buang lagi. Biar biji kiat itu buruk dalam buntut kamu saja,” Pak Brahim memberi amaran.
            Imi terus menangis tersedu-sedu sambil mengesat air mata dan air hidungnya dengan lengan baju.

Ahad, 15 April 2012

Ahmad Alkebab - Bab 11


Bab 11

Hari ini cuaca terang lagi indah. Sekumpulan anak gadis Kampung Tahi Lalat sedang bersukaria mencuci pakaian di anak sungai. Sekumpulan pemuda pula asyik mengerjakan tanah di kebun yang berhampiran. Sambil berkerja, mereka menyanyi beramai-ramai.

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si dara turun ke sungai sambil membawa baldi
Riang ria berenang-renang mandi
Juga membasuh dan mencuci

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si pemuda senang hati
Sama-sama berbakti
Tanah dicangkul tanaman disirami
Sentiasa menanam budi

Ana gembira tiada terkata
Pagi petang burung unta dijaga
Daging ada telurnya pun ada
Bila bosan tunggang burung unta
Janji senang hatiku sentiasa
Cantik comel si burung unta

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si dara turun ke sungai sambil membawa baldi
Riang ria berenang-renang mandi
Juga membasuh dan mencuci

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si pemuda senang hati
Sama-sama berbakti
Tanah dicangkul tanaman disirami
Sentiasa menanam budi

Tak ada pitis tak menjadi apa
Padang ragut office besar ana
Mat dispatch ana tukang sapu pun ana
CEO buruh ana sapu semua
Pulut manis santan kelapa
Miskin harta jiwa kaya

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si dara turun ke sungai sambil membawa baldi
Riang ria berenang-renang mandi
Juga membasuh dan mencuci

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si pemuda senang hati
Sama-sama berbakti
Tanah dicangkul tanaman disirami
Sentiasa menanam budi

Sebaik sahaja lagu itu habis dinyanyikan, kelihatan sekumpulan manusia, lelaki dan perempuan yang berpakaian kemas dan cantik berbondong-bondong berjalan ke menuju ke bawah sebatang pokok di mana ada seorang lelaki muda duduk berteduh di situ. Shiekh Majnun mengepalai kumpulan rombongan itu.
            Sebaik sahaja tiba, Sheikh Majnun bertanya, “Hai pemuda si jaga burung unta, siapa nama kau?”
Lelaki muda itu yang sedikit terperanjat dengan rombongan manusia yang datang itu menjawab, “Nama ana Sediakawal bin Dimanosajo”. Dia merasa pelik, belum pernah ada orang datang ke ladang burung untanya sebegini ramai. Apa lagi kalau memakai pakaian cantik-cantik sebegitu. Mahu saja Sediakawal menuduh orang-orang yang tiba-tiba muncul itu adalah sekumpulan orang bunian yang mahu menyakatnya.
“Sedia kawal di mana saja? Macam nama syarikat sekuriti jaga kilang saja,” kata Sheikh Majnun. Dia turut tergelak kecil. Ayatnya itu teselit juga maksud penghinaan, tetapi Sediakawal tiadalah tersentuh hatinya. Ini kerana kerja jaga kilang yang dimaksudkan dianggap lebih tinggi tarafnya daripada kerja jaga ladang burung unta.
“Hmm… tapi kau jaga burung unta. Kena juga dengan nama canggih engkau tu, bagus… bagus… memang tepat,” tambah Sheikh Majnun lagi.
“Ada apa enta ramai-ramai datang ke tempat ana jaga burung unta ini? Mau beli burung untakah? Ana jaga saja burung unta ini. Kalau mahu beli, enta kena pergilah tanya tuan ladang ini sendiri,” kata Sediakawal.
“Aku tak mahu beli burung unta, walaupun aku suka makan kebab burung unta. Tukang masak aku boleh buat sendiri, lagi sedap daripada restoran buat,” ujar Sheikh Majnun dengan nada mengejek.
“Kalau enta tidak mahu beli burung unta tidak apalah. Enta boleh tunggang burung unta, percuma sahaja. Nanti enta berasa seronok macam inilah… macam inilah,” kata Sediakawal sambil melakonkan aksi menunggang burung unta dengan berlari mengelilingi Sheikh Majnun dan orang-orangnya, sambil itu dia melentur-lenturkan tengkuknya juga.
Sheikh Majnun tersenyum mengejek lagi. “Apa kelas tunggang burung unta. Orang kaya macam aku mestilah tunggang kuda. Aku sudah ada sepuluh ekor kuda,” katanya angkuh.
“Kuda ada empat kaki. Susah bila mahu buat balancing. Burung unta ada dua kaki saja. Senang buat U turn ataupun mahu parking,” kata Sediakawal lagi.
“Sudah, jangan merepek. Aku datang kemari sebab aku nak tanya. Mahukah engkau kawin dengan anak aku?” ujar Sheikh Majnun yang mulai bosan dengan lawak dungu Sediakawal itu.
“Kawin? MasyaAllah, mahulah. Siapa yang tak mahu kawin. Bila ana kawin, ana akan dapat isteri, hahaha... Ana tidak cemburu lagilah sama ana punya burung unta. Ana punya burung-burung unta semuanya sudah lama ada isteri. Seekor burung unta jantan ada sepuluh ekor isterilah. Ana saja yang belum punyai isteri walaupun seorang, hahaha… ” kata Sediakawal dengan gembira.
“Bagus… Baik, sekarang juga aku akan kawinkan engkau dengan anak aku ini, Mergastura,” kata Sheikh Majnun dengan menunjukkan anaknya itu kepada Sediakawal. Mergastura hanya tunduk. Wajahnya juga terlindung oleh purdah yang dipakainya.
“MasyaAllah. Ana kena kawin sekarang? Kawin di sini jugakah?” tanya Sediakawal kaget. Ekspres betul perkahwinannya. Belum pun sampai lima minit bertemu, sudah boleh kawin. Lagi cepat daripada orang yang terpaksa kawin kerana ditangkap basah.
“Tak boleh kawin di sini. Nanti orang nampak. Jatuhlah standard aku. Mari kita cari tempat yang terlindung sedikit,” kata Sheikh Majnun. Dia meninjau-ninjau sekeliling.
“Di sini tiada orang lainlah tuan sheikh. Ada burung unta saja. Tuan sheikh tidak perlu malu pada ana punya burung unta,” kata Sediakawal.
“Tidak boleh. Nanti ada paparazzi teropong kita dari jauh. Kalau masuk dalam surat khabar esok, busuk pula nama aku. Aku mahu kamu kawin dengan anak aku di tempat yang tersembunyi. Kamu tahukah ada tempat yang tersembunyi dekat-dekat tempat ini?” tanya Sheikh Majnun.
“MasyaAllah, mahu kawin pun kena bersembunyikah? Baiklah, ana tahu tempat bersembunyi yang paling bagus. Mari enta semua ikut ana,” ajak Sediakawal.
Sediakawal membawa Sheikh Majnun dan orang-orangnya masuk sedikit ke dalam sebuah hutan dara di pinggir ladang itu.
“Di sini bolehkah?” tanya Sediakawal ketika mereka berhenti di bawah sebatang pokok jelutong. Kawasan itu sedikit lapang dan rata.
“Baiklah, di sini nampaknya selamat. Kamu boleh berkahwin di sini sekarang. Tuan kadi, jalankan tugas,” kata Sheikh Majnun.
“Baik tuan sheikh,” sahut kadi.
“Tunggu dulu tuan sheikh. Berapa mas kawinnya? Ana tidak punya wang,” celah Sediakawal.
“Berapa banyak wang yang kamu ada sekarang?” tanya Sheikh Majnun.
Sediakawal menyeluk dan meraba-raba semua poket baju dan seluarnya.
“Ana mana ada banyak wang. Ana ada dua puluh lima sen saja, baki beli tepung gandum semalamlah,” kata Sediakawal sambil menunjukkan di tangannya.
“Dua puluh lima sen saja? Berapa punya miskinlah kamu. Tapi disebabkan anak aku ini mahu kawin dengan orang miskin, aku kena kawinkan dia dengan kamu juga. Mas kawin dua puluh lima sen pun aku terima,” kata Sheikh Majnun.
“Tak boleh tuan sheikh. Dua puluh sen ini, ana punya umi suruh beli garam. Tinggal lagi lima sen, ana boleh buat mas kawinlah,” kata Sediakawal.
“Ya tuhanku… lima sen saja mas kawin kamu nak beri? Apa punya malanglah nasib kamu ini, Mergastura? Padanlah dengan muka kamu. Nak sangat kawin dengan orang miskin,” ujar Sheikh Majnun. Mergastura tidak membalas. Dia hanya berdiam diri dengan muka selamba. Senyum tidak, sedih pun tidak.
“Baiklah. Kamu boleh kawin dengan anak aku dengan mas kawin lima sen. Tuan kadi, jalankan pernikahan sekarang. Aku tak mahu buang masa lama-lama lagi di sini,” arah Sheikh Majnun. Sediakawal nampaknya sungguh gembira dengan persetujuan Sheikh Majnun itu.
“Ah, dengan duit lima sen pun ana boleh kawin. Di dalam hutan ini pun ana boleh kawin. MasyaAllah, banyak senanglah mahu kawin,” kata Sediakawal. Dia pun duduk berhadapan dengan kadi di pangkal pokok jelutong itu.
“Mari kita mulakan,” kata tuan kadi. Dia pun berjabat tangan dengan Sediakawal.
“Wahai Sediakawal ibni Dimanosajo, aku nikahkan akan dikau dengan Mergastura binti Majnun Aljerunga dengan mas kawinnya, lima sen tunai,” kata tuan kadi.
“Ana terima nikahnya Mergastura binti Majnun Aljerunga dengan mas kawinnya lima sen tunai,” jawab Sediakawal lancar.
“Sah?” tanya yuan kadi.
“Sah,” jawab Sheikh Majnun dan beberapa yang lain.
“Alhamdulillah,” ucap tuan kadi
“Mergastura, sekarang kau ikut laki kau itu,” suruh Sheikh Majnun.
Mergastura mengangguk lalu mendapatkan Sediakawal.
“MasyaAllah,” Sediakawal megeluh. Dia pun bangun mendapatkan Mergastura. Mergastura pun menanggalkan purdah yang menutup separuh mukanya.
“MasyaAllah, banyak cantiklah. Enta tidak menyesalkah enta kawin sama ana?” tanya Sediakawal.
“Menyesal? Huh, ana suka kawin dengan enta,” jawab Mergastura sambil menjeling abahnya.
“Sukakah? Syukur, syukur,” ucap Sediakawal dengan menadahkan tangannya ke langit.
“Syukur, syukur,” sahut Tok Kadi pula.
Mergastura menjeling abahnya dengan penuh makna. Sheikh Majnun cepat menangkap maksud jelingan anaknya itu.
“Ooo… kau cabar aku lagi ya? Baik. Mergastura, mulai hari ini buatlah sesuka hati kau dengan laki engkau. Aku nak tengok apa yang akan terjadi nanti,” kata Sheikh Majnun dengan angkuhnya. Kemudian dia dan pengikut-pengikutnya pun beredar dari situ.
“Mergastura, mari kita pulanglah. Ana mahu tunjuk enta sama ana punya umi. Ana mahu cakap sama umi, ana sudah kawinlah,” kata Sediakawal.
“Baiklah,” sahut Mergastura.
Mereka pun berpimpinan tangan keluar dari hutan kecil itu.