12. Wakil
Rakyat Kangkung Jaya
Seorang
lelaki berusia sekitar empat puluh tahun sedang mengira-ngira kepingan tebal
not-not duit lima puluh ringgit. Duit-duit itu diikat dengan gelang getah
apabila tebalnya mencapai kira-kira setengah inci. Ketulan-ketulan duit yang
diikat itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sampul surat yang berasingan. Pada
setiap sampul surat itu pula ditulis pula dengan nama-nama cawangan Parti
Parang dalam kawasan Parlimen Kangkung Jaya.
“Hui…
duit, duit, duit… banyaknya duit,” lelaki yang digelar YB Sumbing itu bersungut
seorang diri.
“Untungnya
jadi wakil rakyat. Duit datang dengan tak perlu bersusah payah, heh heh heh…”
YB Sumbing buat-buat ketawa pula.
“Ini
baru duit peruntukan kerajaan. Yang ini pun sudah penat nak kira. Belum campur
lagi duit kopi, duit penaja,” katanya lagi.
Duit-duit
itu adalah dana untuk program-program bersama rakyat yang akan dijalankan oleh
jawatankuasa parti di setiap cawangan. Dana yang banyak itu disumbangkan
kerajaan pusat sebagai peruntukan tetap untuk setiap ahli parlimen bagi tujuan
kebajikan dan pembangunan rakyat di kawasan parlimen masing-masing. Sesiapa
sahaja yang kesempitan boleh memohon bantuan untuk khairat kematian, yuran anak
sekolah, belanja rawatan penyakit kronik, memperbaiki rumah dan sebagainya.
Namun
bagi lelaki ini, dana ini juga memberikan faedah peribadi padanya. Di setiap
aktiviti dan program yang akan dijalankan dengan dana itu nanti, sudah pasti dia
akan diwar-warkan sebagai penaung ataupun penyumbangnya. Namanya akan dipuja
dan dicanang ke merata kampung. Sudah tentu ini adalah ‘political mileage’
untuknya dalam usaha mengempen untuk merebut kerusi Pengetua Parang Kangkung
Jaya Parti daripada Dato’ Kontot nanti.
“Runtuh
Bina Construction nak beri lima persen. Dengan Sedut Tambak Engineering, aku
akan dapat seratus ribu. Loba Lobi Consultant pula janji nak beri kereta BMW X6
sebiji…” YB Sumbing bergurindam gembira.
Dengan
menggenggam ketulan-ketulan duit itu, mulutnya mencicit sambil
menggeleng-gelengkan kepala. “Hai, berderu-deru orang nak bagi duit pada aku.
Peminta sedekah kaki lima pun tidak macam ini. La la la la la… hai sudahlah nasib badan…” ujarnya lagi dengan
menyanyi-nyanyi.
“Kalau
sudah ada kedudukan tinggi, macam inilah jadinya. Tubuh badan aku ini sudah
jadi macam magnet duit pula sekarang…” YB Sumbing menjuih bibir seorang diri
pula.
Nama
sebenar lelaki ini ialah Mat Som Bin Haji Fatah. Dialah yang memegang jawatan
Wakil Rakyat di Parlimen Kangkung Jaya waktu ini. Dia memang berbakat besar di
bidang politik. Mat Som menyertai Parti Parang sejak remaja lagi. Dia mudah
dikenali dengan gigi jongang yang dimilikinya. Dia juga memang terkenal dengan
keberaniannya. Dia adalah antara orang hadapan dalam jentera kempen parti dalam
setiap pilihanraya di kawasan parlimen itu.
Dalam
satu kejadian berebut tempat untuk menampal poster dengan parti lawan,
pergaduhan tercetus. Mat Som disembam ke atas permukaan jalan menyebabkan dua
batang gigi depannya yang jongang itu patah serpih. Kedua-duanya menjadi
runcing seperti paku dan jelas kelihatan seperti terselit di celah bibirnya.
Lebih seram jika dilihat semasa dia sedang bercakap ataupun makan. Kalau dalam
filem seram Inggeris, kehebatan rupa drakula ialah pada taringnya, tetapi rupa
Mat Som lebih hebat. Dengan gigi kapak depannya yang tajam dan runcing itu,
boleh jadi drukula pun kecut bila melihatnya.
Dari
itulah dia kemudiannya dipanggil Mat Sumbing Gigi Patah, yang berbunyi hampir
dengan nama asalnya. Setelah berjaya menjadi wakil rakyat, gelaran ini dinaik-tarafkan
sedikit menjadi YB Sumbing. Walaupun sudah berduit banyak, dia tidak tergerak
hati pun untuk memperbaiki gigi sumbingnya itu. Mungkin dia selesa begitu.
Boleh jadi pada fikirannya, dia kelihatan ‘macho’ dengan bergigi sumbing itu.
Pada hal, gigi itu jugalah yang pernah memalukan dirinya dalam satu majlis
makan malam, di mana sebiji gelas pecah di mulutnya ketika dia mahu meneguk
air.
Semenjak
menjadi wakil rakyat juga, YB Sumbing tidak lagi seagresif dulu. Dalam banyak
keadaan, dia berusaha menjadi lebih bersopan bagi menjaga protokol sebagai
wakil rakyat. Semua tugas-tugas lasak dan yang membabitkan kontoversi
diserahkan kepada anak-anak buahnya untuk diuruskan. Sememangnya hampir semua
kerja YB Sumbing dibuat oleh orang lain. Dia cuma perlu mengeluarkan arahan
ataupun menurunkan tanda tangan sahaja. Hatta jika hendak menyarung seluar
dalam sekali pun, boleh sahaja dia meminta pembantunya melakukannya, jika dia
mahu.
Selesai
mengira duit, YB Sumbing terlentang bersandar di kerusi mewahnya. Sambil
mengurut-ngurut dagu, fikirannya merangka-rangka strategi yang akan dijalankan
untuk membolehkan dia berjaya menjadi Pengetua Parang Kangkung Jaya nanti.
Yang
menjadi masalah padanya sekarang ialah, lebih daripada separuh ketua-ketua
cawangan parti di Parlimen Kangkung Jaya ini adalah pengikut setia Dato’
Kontot. Adalah tidak bijak jikalau dia menyalurkan terus dana-dana ini kepada
ketua-ketua cawangan itu . Sudah tentu mereka akan menggunakan dana itu bagi
kepentingan mereka sendiri pula, yang juga akan menaikkan nama Dato’ Kontot
nanti. Akhirnya nanti YB Sumbing hanya masuk angin keluar asap sahaja.
YB
Sumbing terpaksa mencari dan melantik orang-orang yang setia padanya untuk
mengetuai gerak kerja kempen di cawangan-cawangan yang dikuasai oleh Dato’
Kontot. Ini termasuklah cawangan di Kampung Kangkung Kering, di mana Pengerusi
Cawangannya adalah orang kuat Dato’ Kontot sejak dahulu lagi. Untuk mengubah
arah sokongannya adalah hampir mustahil.
*****
Hari
ini YB Sumbing turun padang menjayakan program gotong royong yang diadakan di
Cawangan Kampung Kangkung Kuning yang terletak bersebelahan dengan Kampung
Kangkung Kering. Terdapat banyak penyokong
YB Sumbing di sini, termasuklah para pemimpin cawangan. Dengan itu, program
aktiviti gotong-royong ini dapat dikelolakan dengan baik sekali. Orang ramai
daripada cawangan lain di sekitar juga dijemput, temasuklah dari Kampung Kangkung
Kering untuk bersama-sama menyemarakkan aktiviti gotong-royong ini.
Pak
Belukang tidak melepaskan peluang besar ini. Dia bersama-sama Belukang
awal-awal pagi lagi sudah hadir ke tempat pelancaran program gotong-royong itu.
Memang ramai orang yang hadir dengan pelbagai peralatan seperti parang, mesin
rumput, kereta sorong dan tong sampah beroda. YB Sumbing tiba bersama isteri
dan anaknya Seri Ayu kira-kira lima minit sebelum program bermula. Sebaik selesai
dirasmikan oleh YB Sumbing, peserta-peserta gotong-royong terus bertebaran ke
segenap kampung untuk memugut sampah. Ada pula yang menebas pokok-pokok kecil
di kaki lima jalan.
Pak Belukang awal-awal lagi berpakat dengan
Belukang untuk berada serapat mungkin dengan Seri Ayu. Mereka mencari peluang
untuk bertegur sapa dengan Seri Ayu. Lagi baik kalau dapat berbual mesra. Namun
keadaan nampaknya tidak mengizinkan. Seri Ayu sentiasa berada tidak jauh
daripada YB Sumbing dan isterinya. Jikalau Pak Belukang merapati terus Seri Ayu
begitu sahaja, bahaya. Nampak sangat dia mengada-ngada. Lagi naya kalau dia
disyaki mahu melakukan perkara yang tidak baik pula.
“Aduh,
macam mana abah nak pergi dekat dengan Seri Ayu ini, Belukang? Dia tak nak
berenggang dari mak ayahnya pula,” keluh Pak Belukang pada anaknya dengan
berbisik.
“Terpaksalah abah gunakan plan ke dua,”
Belukang berbisik balas.
Ya,
Pak Belukang ada menyediakan plan ke dua, bagai strategi hendak berperang pula.
Jikalau dia tidak berjaya menegur Seri Ayu, dia berharap sekurang-kurangnya dia
dapat menyampaikan sekeping surat cinta pada Seri Ayu. Surat itu ditulisnya
siap-siap semalam lagi. Walaupun tulisannya buruk dengan ejaan tunggang
terbalik, Pak Belukang yakin maksudnya akan dapat difahami oleh Seri Ayu nanti.
Tugas penyerahan surat itu diberikan pada Belukang.
Akhirnya
peluang yang ditunggu-tunggu pun tiba. Semakin jauh mereka berjalan, semakin
luas kawasan yang diredahi. Seri Ayu mula berenggang daripada YB Sumbing.
Begitu juga dengan isteri YB Sumbing, yang sudah menyertai kelompok peserta
yang lain. Perkembangan ini dipantau dengan cermat oleh Pak Belukang dan
anaknya. Satu ketika, Seri Ayu nampaknya tertarik dengan longgokan pelepah dan
manggar kelapa berhampiran dengan umbi sebatang pokok kelapa.
Seri
Ayu dengan pantas menuju ke situ tanpa mengesyaki apa-apa. Pak Belukang memberi
isyarat pada Belukang untuk menjalankan misi plan ke dua mereka. Belukang
mengangguk dengan tersenyum lalu mengekori Seri Ayu. Dia merapati dengan
perlahan-lahan supaya tidak dicurigai oleh Seri Ayu. Matanya juga sesekali
menjeling pada YB Sumbing dan isterinya untuk memastikan mereka tidak menyedari
akan tindakannya itu.
Belukang
melihat Seri Ayu melewati ke sebalik pohon kelapa, tetapi dia tidak pula muncul
selepas itu. Belukang termanggu-manggu menanti. Boleh jadi dia berselindung di
belakang batang kelapa untuk berhenti melepaskan penat, detik hati Belukang.
Ini sudah peluang yang sangat baik padanya. Belukang akan dapat menyerahkan
surat cinta ayahnya dengan selamat tanpa dilihat orang di belakang batang
kelapa itu nanti. Dengan segera dia menuju ke belakang pohon kelapa.
Alangkah
terperanjatnya Belukang apabila mendapati Seri Ayu tiada di situ. Adakah dia
ghaib? Ajaib sungguh! Ataupun Seri Ayu diculik oleh makhluk halus? Ada
kemungkinan juga dia diterkam dan dilarikan oleh binatang buas. Fikiran
Belukang diterpa dengan pelbagai soalan yang membimbangkannya.
“Ah,
tidak mungkin,” getus hati Belukang. Matanya meninjau-ninjau pula ke arah
kumpulan peserta-peserta gotong-royong yang lain. Manalah tahu kalau-kalau Seri
Ayu boleh lari memecut ke arah mereka sepantas kilat bak Usain Bolt. Tidak pun
Seri Ayu sudah melintasinya ke sana dengan ilmu halimunan. Namun Belukang tidak
nampak pula kelibat Seri Ayu di antara mereka. Sah, Seri Ayu mesti masih ada di
situ lagi.
Tiba-tiba
sesuatu terlintas di fikiran Belukang. “Mungkin Seri Ayu sudah panjat pokok kelapa
ini,” ujarnya sendirian. “Manalah tahu kalau dia mahu memetik kelapa muda pula.
Dalam cuaca yang panas ini, kalau dapat menghirup air kelapa muda, alangkah
enaknya,” bebel Belukang lagi.
Belukang
pun terdongak-dongak ke atas pokok kelapa yang tingginya lebih daripada tiga
puluh kaki itu. Walaupun agak mustahil untuk gadis selembut Seri Ayu memanjat
pokok kelapa yang setinggi itu, tetapi kebarangkalian itu tetap ada. Dengan
bergerak mengelilingi pokok kelapa itu tanpa melihat ke bawah, tiba-tiba kaki
Belukang terjerlus ke dalam satu lubang. Dia yang tidak sempat berbuat apa-apa
terus terjerumus ke dalamnya. Rupa-rupanya lubang besar itu adalah sebuah
perigi buta.
Belukang
sempat melihat ada sekujur tubuh seseorang meringkuk di dasar perigi sebelum
dia menghempapnya. Dalam menahan senak, Belukang terkejut apabila mendapati
orang itu adalah Seri Ayu. Nampaknya Seri Ayu tidak sedarkan diri, tetapi
dadanya kelihatan turun naik menandakan dia masih bernafas. Nasib baik perigi
itu kering kontang. Jika berair, tentu Seri Ayu akan lemas. Belukang cuba menyedarkan
Seri Ayu untuk diberikan surat, tetapi tidak berjaya. Belukang tiada pilihan
lain lagi. Dia memasukkan surat cinta ayahnya itu ke dalam saku seluar Seri
Ayu.
Belukang
memanjat keluar dari dalam perigi dengan bergantung kepada pokok-pokok kecil
yang tumbuh di dindingnya. Setelah tiba di atas, dia menjumpai sebelah selipar
Seri Ayu di situ lalu memungutnya. Ketika itu jugalah Belukang baru teringat
dia pernah jatuh ke dalam perigi buta itu sedikit masa dahulu. Kisah itu
bermula dengan Belukang memanjat pokok kelapa di tepi perigi itu untuk memetik
beberapa biji kelapa muda diatas permintaan tuannya.
Seekor
biawak besar yang sedang nyenyak tidur di atas satu pelepah berasa terganggu
dengan kehadiran Belukang. Belukang pula terkejut besar apabila biawak itu
menjulurkan lidah hampir ke mukanya. Maka tergopoh-gapahlah Belukang menuruni
pokok kelapa itu apabila dikejar oleh biawak itu . Pada ketinggian kira-kira
dua meter daripada tanah, Belukang melepaskan batang kelapa lalu melompat
terjun. Malangnya dia tidak mendarat di pangkal pokok kelapa, tetapi langsung mendarat
di dasar perigi buta itu . Sebab itulah perigi buta itu tidak asing baginya,
cuma dia hanya terlupa hari ini.
Belukang
cepat-cepat membawa selipar Seri Ayu itu pada ayahnya. Pak Belukang yang sedang
memungut daun-daun kering tercengang bila melihat Belukang meluru ke arahnya
dengan cemas.
“Abah,
Seri Ayu sudah jatuh dalam perigi buta,” kata Belukang dengan termengah-mengah.
“Jatuh
dalam perigi? Di mana?” tanya Pak Belukang kaget.
“Di
belakang pokok kelapa nun,” Belukang menunjukkan pokok kelapa itu .
Mereka
segera berkejar ke situ. Memang perigi itu agak tersorok di sebalik rimbunan
lalang serta pokok-pokok kecil. Sesiapa pun yang lalu pasti tidak perasan
adanya lubang perigi di situ. Hati Pak Belukang meruntun sayu bila dia
menjenguk ke dalam perigi. Seri Ayu pujaannya meringkuk di dasarnya dalam
keadaan yang menyedihkan.
“Dia
masih hidup, abah,” ujar Belukang.
“Macam
mana kamu tahu?” soal Pak Belukang.
“Tengok
itu, dadanya bergerak. Itu tandanya dia masih bernafas,” kata Belukang.
“Hmm…”
keluh Pak Belukang dengan menarik nafas panjang.
Pak
Belukang sedar, kudratnya bersama Belukang sahaja tidak akan mampu menaikkan
Seri Ayu. Dia harus melakukan sesuatu. Ya, sesuatu yang memberikan keuntungan
padanya. Secara spontan, Pak Belukang mendapat satu akal bila melihat selipar
Seri Ayu di tangannya.
“Mari,
Belukang,” ajak Pak Belukang sambil menarik anaknya pergi.
“Mahu
kemana, Abah? Kita tidak boleh tinggalkan Seri Ayu dalam perigi itu,” ujar
Belukang tidak berganjak dari tempat berdirinya.
“Kita
akan selamatkan Seri Ayu dengan cara yang lebih baik,” kata Pak Belukang lalu
membisikkan sesuatu pada telinga Belukang.
Sebentar
kemudian Belukang tersenyum dan menganggguk-angguk tanda faham. Sempat juga dua
beranak itu melagakan ibu jari tanda bersetuju. Tanpa membuang masa, mereka
terus bergerak mencari Isteri YB Sumbing.
“Hah,
itu dia,” ujar Belukang dengan menunjuk pada seorang wanita yang sedang berdiri
memegang sebiji beg plastik sampah. Orang lain bersilih ganti datang mengisi
sampah ke dalam beg plastik itu. Dengan selamba, Pak Belukang memintas depan
Isteri YB Sumbing. Dia mencampakkan selipar Seri Ayu ke tanah tanpa di sedari
oleh wanita itu.
“Eh,
cantiknya selipar!” teriak Pak Belukang. Sengaja dia kuatkan sedikit suaranya
untuk menarik perhatian Isteri YB Sumbing. Seperti yang dijangka, Isteri YB
Sumbing tertarik pada selipar yang sedang dipungut oleh Pak Belukang. Pak
Belukang berlagak seperti tidak tahu apa-apa dan membawa selipar itu kepada
Isteri YB Sumbing.
“Siapalah
yang buang selipar yang masih cantik lagi ini. Tentu tuannya pun cantik macam
seliparnya ini juga. Apa boleh buat, selipar cantik ini sudah menjadi sampah.
Kena buang sahajalah,” kata Pak Belukang lalu memasukkan selipar itu ke dalam beg plastik sampah yang dipegang oleh
Isteri YB Sumbing. Isteri YB Sumbing mengeluarkan kembali selipar itu.
“Eh,
ini selipar Seri Ayu,” kata Isteri YB Sumbing yang terperanjat. “Di mana awak
jumpa?” tanyanya.
Ya,
tepat sekali namanya Seri Ayu! Sama seperti nama gadis dalam mimpi aku! Hati
Pak Belukang menjerit gembira. Bagaimanapun dia tetap berlakon tidak mengetahui
apa-apa.
“Di
situ,” kata Pak Belukang dengan menunjukkan tempat dia memungut selipar itu
tadi.
Isteri
YB Sumbing mengerutkan muka. “Awak jumpa selipar saja? Mana Seri Ayu?” tanyanya
cemas dengan meninjau-ninjau sekeliling.
“Saya
tidak tahu. Jikalau benar ini selipar Seri Ayu, saya boleh bantu puan mencari
Seri Ayu,” kata Pak Belukang.
Keadaan
mula kecoh. Orang ramai mula mengerumuni
Isteri YB Sumbing. YB Sumbing sendiri datang menerpa. Pak Belukang
menerangkan padanya Seri Ayu hilang dan meninggalkan sebelah seliparnya.
“YB
jangan bimbang. Saya boleh bantu mengesan di mana Seri Ayu berada,” kata Pak
Belukang dan seterusnya menawarkan khidmat tilikan hipnosisnya.
Dengan
menggunakan selipar sebagai sahabat rapat Seri Ayu, Pak Belukang mula berlakon
menilik bagi menjejakinya. Seperti yang biasa dilakukan sebelum ini Pak Belukang
memegang selipar itu dengan tangan lurus ke depan. Kemudian dia berpusing-pusing
mencari arah aura Seri Ayu yang dikesan oleh selipar itu .
“Di
sana,” kata Pak Belukang dengan menunjukkan pada pokok kelapa tadi. Dia pun
bergerak ke situ dengan lagak waspada dan cermat. YB Sumbing dan isterinya,
serta perserta-peserta gotong royong yang lainnya mengekori dari belakang
dengan berhati-hati. Sebaik tiba di pangkal pokok kelapa, Pak Belukang
membengkokkan tangannya ke bawah sambil menggeletar.
“Aura
Seri Ayu sungguh kuat sekarang. Datangnya dari arah situ,” kata Pak Belukang
sambil menunjukkan tempat perigi buta. Semua orang menyerbu perigi buta itu .
Akhirnya
Seri Ayu pun dapatlah diselamatkan. Dia dinaikkan beramai-ramai dari dalam
lubang perigi itu. Mujurlah sebelum diangkat Seri Ayu pun sedar, jadi kerja itu
menjadi lebih mudah. Andai kata Seri Ayu hilang nyawa disebabkan Pak Belukang
melengahkan masa untuk berlakon tadi, pasti Pak Belukang akan menyesal seumur
hidup. Seri Ayu diberi minum dan keadaannya diperiksa. Nampaknya tiada
kecederaan luaran yang serius selain sedikit calar-balar pada tangan dan muka. Walaupun
masih dalam keadaan lemah dan terkejut, Seri Ayu mampu tersenyum dan
mengucapkan terima kasih pada Pak Belukang.
YB
Sumbing mengarahkan supaya kerja-kerja gotong-royong disambung semula. Dia
meminta diri untuk membawa Seri Ayu ke klinik untuk dirawat jika ada apa-apa
kecederaan dalaman. Dia turut mempelawa Pak Belukang pergi bersama. Selepas
Seri Ayu diperiksa dan disahkan sihat oleh doktor, YB Sumbing sekeluarga terus
pulang ke rumah bersama Pak Belukang. Di atas jasanya menyelamatkan nyawa Seri
Ayu, Pak Belukang diraikan dengan makan tengah hari bersama YB Sumbing sekeluarga.
Bagaimanapun, Pak Belukang agak kecewa kerana Seri Ayu tidak turut makan
bersama kerana disuruh berehat oleh YB Sumbing.
“Saya
lihat Pak Belukang ini ada kebolehan istimewa. Bagaimana kalau saya tawarkan
Pak Belukang menyertai saya dalam pasukan Gantot?” tanya YB Sumbing ketika
mereka sedang menjamu selera.
“Pasukan
Gantot? Apa benda itu?” tanya Pak Belukang kehairanan. Tidak pernah
didengarinya Pasukan Gantot sebelum ini.
“Pasukan
Gantot ini adalah pasukan elit yang saya tubuhkan, yang mana terdiri daripada
orang-orang yang hebat,” jelas YB Sumbing.
“Mengapa
YB namakan pasukan itu Gantot? Buruk sangat bunyinya. Kalau tukar kepada nama
Tottenham Hotspur cantik sikit,” ujar Pak Belukang.
“Ini
bukannya pasukan bola sepak. Ini pasukan kempen saya untuk melawan pasukan
Dato’ Kontot. Memang buruk nama Gantot itu, tapi sesuailah padanya. Gantot ini
singkatan untuk perkataan Gerakan Anti Dato’ Kontot. Daripada namanya pun Pak
Belukang sudah tahu yang gerakan ini ditubuhkan semata-mata untuk menjatuhkah
Dato’ Kontot daripada kedudukan Pengetua Parang Kangkung Jaya,” jelas YB
Sumbing lagi.
“Kalau
saya sertai Gantot, apa yang saya kena buat?” tanya Pak Belukang.
“Kebetulan
sungguh saya perlukan orang daripada Cawangan Kampung Kangkung Kering untuk
menjalankan misi Gantot ini. Pak Belukang pula muncul tepat pada masanya. Pak
Belukang pun sedia maklum yang Kampung Kangkung Kering adalah kubu kuat
penyokong Dato’ Kontot. Jadi, saya perlukan Pak Belukang untuk mengalih
sokongan orang-orang kampung Pak Belukang itu pada saya,” jelas YB Sumbing.
Pak
Belukang mengangguk-angguk setuju. Demi untuk Seri Ayu pujaan hatinya, dia akan
sanggup berbuat apa sahaja tanpa membuat pertimbangan baik buruk akhibatnya
lagi. YB Sumbing sudah membuka pintu
untuknya, tinggal lagi dia perlu bijak memanfaatkan peluang keemasan ini yang
tidak akan datang lagi kali keduanya di lain hari. Dia tidak kisah sangat apa
jua pasal Gantot, Apa yang penting ialah matlamat cintanya pada Seri Ayu.
Sebenarnya
sudah sekian lama YB Sumbing menubuhkan Gantot, iaitu selepas dia berjaya
menjadi Timbalan Pengetua Parang Kangkung Jaya dalam pemilihan terdahulu. Idea
gerakan ini tercetus apabila YB Sumbing merasakan dikongkong oleh pengerusinya,
iaitu Dato’ Kontot. Ketika itu, Dato’ Kontot juga adalah wakil rakyat Parlimen
Kangkung Jaya.
Dato’
Kontot menegah YB Sumbing daripada menjalankan apa-apa aktiviti parti tanpa
kebenarannya. Ini adalah untuk mengelakkan YB Sumbing menjadi lebih menonjol
daripadanya. Tentu sekali YB Sumbing tidak senang dengan tekanan ini. Sebagai
tindak balas, dalam diam-diam dia mengumpulkan beberapa orang penyokong kuatnya
dan berbincang mencari jalan. Hasilnya, maka tertubuhlah Gantot.
Sejak
itu, pelbagai strategi dirangka untuk menjalankan misi rahsianya. Pada mulanya
Gantot menumpukan kaedah pujukan pada orang-orang berkepentingan secara
individu. Dengan penyertaan mereka, pasukan YB Sumbing bertambah mantap
sehingga mereka berjaya melobi pihak atasan untuk mengangkat YB Sumbing sebagai
calon parti untuk pilihanraya umum pada tahun berikutnya.
Apabila
berjaya dalam pilihanraya dan menjadi wakil rakyat Parlimen Kangkung Jaya, kedudukan
YB Sumbing semakin kukuh. Gantot mula digerakkan secara terbuka dan agresif.
Dengan kekuatan kewangan dan hubungan baik dengan pihak atasan, sokongan
penduduk padanya bertambah kuat. Popularitinya menenggelamkan terus nama Dato’
Kontot.
Kini
YB Sumbing berjaya merebut Pak Belukang daripada Dato’ Kontot. Walaupun sudah
diberi jawatan tinggi sebagai Ahli Nujum Parlimen Kangkung Jaya oleh Dato’
Kontot serta imbuhan lain, YB Sumbing berjaya memikat Pak Belukang dengan
menggunakan Seri Ayu. Ya, YB Sumbing menyedari yang Pak Belukang amat berminat
pada Seri Ayu kerana mata Pak Belukang tidak putus-putus menjeling Seri Ayu,
sejak dari tempat gotong-royong lagi hinggalah sampai ke rumah. Maka biarlah
Pak Belukang dengan impiannya itu, YB Sumbing pun ada impiannya sendiri.
YB
Sumbing berharap akan dapat menembusi sisa-sisa kubu kuat Dato’ Kontot yang
masih tinggal. Dia yakin, dengan kekurangan peruntukan untuk Dato’ Kontot,
lambat laun sokongan mereka akan beralih arah padanya. Dengan penyertaan Pak Belukang ini dalam
pasukannya sekarang, satu kubu kuat Dato’ Kontot iaitu Kampung Kangkung Kering
bakal ditawannya nanti!