Khamis, 5 April 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 11


11.      Pengetua Parang Kangkung Jaya

            Dato’ Kontot. Itulah gelaran yang diberikan kepada seorang lelaki yang berumur 56 tahun. Nama sebenar yang tertera dalam kad pengenalannya ialah Kamaruddin bin Othman. Sepatutnya dia perlu dipanggil Dato’ Kamaruddin Othman sebagai menghormati kedudukannya. Namun gelaran Dato’ Kontot lebih sinonim dengannya. Nama itulah yang mempopularkannya sejak mula menyertai bidang politik. Nama itu senang disebut dan diingati oleh semua orang. Terdapat unsur lelucon pada nama ini yang juga sering menjadi persendaan dan bahan gurauan.
            Yang bagusnya Dato’ Kontot tidak kisah pun, malah bangga bila nama gelarannya itu sentiasa menjadi sebutan. Keadaan fizikalnya yang agak rendah dengan rangka badan yang besar menyumbang kepada terciptanya gelaran ini. Dia tidak merasakan satu kekurangan kerana bertubuh pendek, malahan dia kelihatan sentiasa lincah bergerak ke sana ke mari. Itulah kelebihan Dato’ Kontot yang dieksploitasi sepenuhnya, disamping memiliki suara yang lantang dan nyaring.
            Pada usia emas begini sepatutnya beliau sudah boleh bersara. Boleh tumpukan pada ibadat dan menghabiskan masa dengan cucu. Tiada apa sangatlah lagi hal keduniaan yang perlu dikejarnya. Duit pencen yang akan diterimanya nanti pun tidak termakan. Itu belum lagi duit dan harta yang dimilikinya yang boleh menanggung hidupnya sehingga ke anak cucu. Dia juga mampu pergi menunaikan fardu haji di Mekah setiap tahun, kalau dia mahu.
            Namun manusia yang empunya gelaran Dato’ Kontot ini tidak pernah rasa cukup. Dia tidak kenal erti puas. Mungkin juga tidak pernah bersyukur dengan segala apa yang telah dicapai selama ini. Yang jelasnya, dia selalu mengeluh dan merungut sejak akhir-akhir ini. Dia amat kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon wakil rakyat di Parlimen Kangkung Jaya dalam pilihan raya umum yang lepas. Pada hal, dia telah menyandang jawatan itu selama tiga penggal sebelum ini. Entah macam mana, dia tidak lagi dikehendaki mempertahankannya pada penggal ini. Sebagai orang yang paling senior dalam barisan kepimpinan, dia merasakan dialah yang sepatutnya diberi jawatan itu.
            Dato’ Kontot sedar, ini adalah usaha-usaha untuk menyingkirkannya dari arena politik. Ada di kalangan pimpinan atasan tidak menyenanginya. Mereka menggantikannya dengan YB Sumbing sebagai calon wakil rakyat. Sudah tentu YB Sumbing berjaya dalam pilihanraya itu memandangkan parti lawan bukanlah tandingan Parti Parang di Kangkung Jaya. Dato’ Kontot kehilangan kuasa dan sumber peruntukan. Yang lebih dikesalinya, dia turut kehilangan sebahagian penyokongnya juga.
            Sekarang, jawatan yang tinggal pada Dato’ Kontot hanyalah Pengetua Parang Kangkung Jaya sahaja. Jawatan ini juga dijangka akan turut dirampas sedikit masa lagi. Untuk pemilihan pimpinan parti di peringkat bahagian nanti, YB Sumbing awal-awal lagi sudah menyatakan perdirian untuk mencabar kedudukan Dato’ Kontot dalam jawatan pengerusi. Dato’ Kontot mengesyaki ada orang atasan yang mendorong YB Sumbing berbuat begitu. Kalau tidak, masakan YB Sumbing yang begitu setia padanya selama ini tiba-tiba berpatah arang berkerat rotan dengannya.
            Sebelum ini, jawatan pengerusi dan timbalannya tidak pernah dipertandingkan. Proses pemilihan pemegang jawatan ini hanyalah melalui muafakat. Semua ahli Parti Parang di Kangkung Jaya bersatu waktu itu, tidak seperti sekarang yang sudah berpecah kepada dua pasukan. Satu pasukan yang menyokong Dato’ Kontot digelar Geng Parang Kontot, manakala satu pasukan lagi yang menyokong YB Sumbing digelar Geng Parang Sumbing. Pertembungan dua geng parang ini sudah tidak dapat dielak lagi.
            Keadaan ini tidak akan pulih selagi jawatan Wakil Rakyat Parlimen Kangkung Jaya dan Pengetua Parang Kangkung Jaya pegang oleh orang yang berlainan. Dan nampaknya ia akan terus berlarutan memandangkan tiada seorang pun daripada dua pemimpin ini mahu mengalah. Masing-masing berusaha memperluaskan pengaruh untuk meraih lebih sokongan. Kedudukan Dato’ Kontot semakin genting ekoran program-program kerajaan untuk turun padang bersama rakyat telah dikendalikan oleh YB Sumbing sepenuhnya. Dato’ Kontot terpaksa bergerak dengan inisiatif sendiri tanpa sokongan kerajaan lagi.
            Bulan Ogos ini adalah bulan kemerdekaan. Di sana sini bendera Malaysia yang dijenamakan semula sebagai Jalur Gemilang banyak kelihatan. Ada yang ditampal pada dinding-dinding dan tembok. Ada pula yang digantung pada tiang-tiang lampu dan pokok. Tidak kurang juga yang lebih kreatif menghiaskan kenderaan masing-masing dengan bendera Malaysia. Dalam satu kejadian, akhibat dihiasi dengan terlalu banyak bendera, sebuah beca dengan tiang bendera yang penuh berceracak padanya, kelihatan seperti seekor landak yang sedang merayap di atas jalan raya.
            Bagi menghidupkan lagi bulan kemerdekaan ini dengan semangat patriotik, banyak program yang berkaitan dengan bendera Malaysia diadakan di merata tempat. Sekolah-sekolah menganjurkan murid-muridnya berarak membawa bendera dengan berbasikal mengelilingi kampung. Ada persatuan yang melukis bendera terpanjang. Ada pula yang membina bendera Malaysia dengan menggunakan botol plastik terbuang yang diwarnakan. Ada juga yang membuat kek hari jadi yang bercorak bendera Malaysia.
            Namun dalam banyak-banyak orang, ada juga yang berfikiran sengal menjadikan bendera Malaysia yang dikutipnya di tepi jalan sebagai kain basahan. Orang-orang yang biadab sebegini patut digantung kewarganegaraannya!
            Petang itu, belia-belia Kampung Kangkung Kering akan mengadakan perarakan bendera Malaysia dengan bermotosikal. Acara ini akan dirasmikan oleh Dato’ Kontot, yang seterusnya juga akan mengepalai perarakan itu. Beberapa orang polis trafik akan mengiringi perarakan ini untuk memantau aspek keselamatan hampir seratus orang belia yang terlibat. Sebelum bertolak, semua peserta berkumpul dalam balairaya untuk diberi taklimat tentang tujuan tersirat dalam perarakan itu, di samping perkara-perkara yang melibatkan keselamatan jalan raya.
            Sedang seorang pegawai trafik bercakap, kedengaran bunyi enjin motosikal dihidupkan di luar balairaya. Menderam-deram bising sebelum bergerak pergi dengan bunyinya semakin menjauh dan akhirnya lenyap. Gangguan sekejap itu mengalihkan tumpuan mereka sejenak, tetapi tiada siapa pun yang berminat hendak keluar melihat. Mungkin ada anggota polis trafik yang mahu ke mana-mana dahulu sementara menunggu perarakan bermula. Maka sesi taklimat itu diteruskan sehinggalah selesai.
            Sewaktu para peserta keluar mendapatkan motosikal masing-masing untuk memulakan konvoi, Dato’ Kontot mendapati motosikal Kawasaki Vucannya tiada lagi di tempat ia ditongkat tadi. Ketua polis pengiring yang memberi taklimat tadi juga memberitahu motosikal perondanya juga turut lesap.
            “Siapa pula yang ambil motosikal saya?” soal Dato’ Kontot bengang. “Kenapa motosikal saya selalu sangat hilang?” luahnya lagi dengan kesal. Peserta-peserta konvoi tertanya-tanya sesama sendiri. Dengan segera mereka cuba membantu. Bagaimanapun, puas mereka meninjau-ninjau di sekitar balairaya, tetapi tiada apa yang dijumpai. Hanya andaian-andaian bagaimana motosikal-motosikal itu hilang sahaja mereka mampu sumbangkan.
            “Mencuri motosikal polis adalah satu kesalahan besar,” ujar ketua polis pengiring. Satu-satunya motosikal polis trafik yang berkuasa besar itu hilang mennyebabkan dia dan pasukannya terpaksa menggunakan tiga buah lagi motosikal biasa yang tinggal.
            Dato’ Kontot termanggu-manggu. Untuk memanggil Pak Belukang bagi menilik di mana motosikalnya, pasti sudah tidak sempat lagi. Lagipun belum tentu Pak Belukang mahu membantunya kerana dia sudah terikat dengan YB Sumbing sekarang. Jika Dato’ Kontot meneruskan pencarian motosikalnya, program perarakan bendera petang itu terpaksa ditinggalkannya. Ini sudah tentu satu kerugian besar baginya. Semangat anak-anak  muda yang berkobar-kobar hendak berarak itu tidak patut dirosakkan. Nanti Dato’ Kontot juga yang dicemuh pula. Usahanya hendak menarik sokongan akan menjadi sebaliknya.
            Dato’ Kontot perlu menangguhkan dulu usaha mencari motosikalnya ke satu waktu yang lain. Sebagai langkah penyelesaian yang sementara waktu, dua orang anak muda dengan rela hati tampil untuk meminjamkan motosikal masing-masing, bagi digunakan oleh Dato’ Kontot dan ketua polis pengiring itu berkonvoi. Dua anak muda itu pula membonceng motosikal lain. Akhirnya program perarakan bendera Malaysia itu pun dapat dimulakan seperti yang dijadualkan walaupun keghairahannya sedikit terganggu.
            Anak-anak muda yang berarak tetap bersemangat melaungkan merdeka. Yang membonceng pula sibuk mengibarkan bendera ke kiri dan kanan. Namun mereka tetap berhati-hati supaya tidak terkena pada peserta lain. Hampir setengah kilometer juga panjangnya deretan motosikal yang berarak ini menguasai jalan raya. Suara laungan mereka tenggelam timbul di antara bunyi deruan enjin-enjin motosikal mereka.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi bersemangat.
            Orang-orang kampung tertarik dengan laungan semangat itu berpusu-pusu keluar ke tepi jalan. Yang sedang memasak keluar dengan senduk dan botol kicap di tangan. Yang sedang mencuci kereta pula datang dengan buih sabun penuh di badan. Yang sedang menghambat kambing juga datang berpusu-pusu dengan kambing-kambingnya sekali. Semuanya teruja untuk melihat perarakan yang setahun sekali dibuat itu.
            Pasukan konvoi bendera Malaysia berarak mengelilingi Kampung Kangkung Kering satu pusingan lengkap. Sekarang mereka berarak lagi untuk pusingan kedua. Mereka mendapati, orang-orang kampung memenuhi tepi-tepi jalan di sepanjang laluan perarakan. Kali ini mereka nampaknya tertunggu-tunggu akan ketibaan konvoi motosikal itu melintasi tempat mereka. Apabila pasukan konvoi berteriak, mereka juga turut menjerit semangat bersama.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung.
            Tiba-tiba kedengaran deruman kuat dari belakang. Ada dua buah motosikal besar yang mahu memotong konvoi itu dengan lajunya. Motosikal-motosikal itu juga mempunyai bendera Malaysia. Sewaktu motosikal-motosikal besar itu sampai di depan konvoi, Dato’ Kontot mendapati salah sebuah motosikal itu adalah motosikal Kawasaki Vulcannya. Manakala sebuah lagi adalah motosikal peronda polis trafik. Kedua-duanya ditunggang oleh orang yang tidak dikenali.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung.
            Sebenarnya motosikal besar Dato’ Kontot itu sedang ditunggang oleh Penyamun Kuali, sementara rakan seperjuangannya, Penyamun Mata Cangkul pula menunggang motosikal peronda polis. Mereka berjumpa semula dengan motosikal Kawasaki Vulcan yang belum sempat mereka jual dahulu itu di tepi balairaya itu sewaktu merayau mencari besi tadi. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, mereka terus menyambar motosikal itu. Dan untuk pembahagian komponen yang lebih adil pada kali ini, mereka turut melarikan sebuah lagi motosikal besar, iaitu motosikal peronda polis dan bukannya basikal buruk lagi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung.
            Entah macam mana penyamun-penyamun ini terserempak dengan perarakan bendera ini. Yang peliknya, mereka juga terliur hendak berkonvoi, bagaikan terlupa yang mereka sedang menunggang motosikal curi. Boleh jadi laungan merdeka yang bergema turut menyemarakkan semangat patriotik di jiwa mereka lalu mereka memecut dan turut melaung sama.
            Boleh jadi juga mereka menyangkakan gerombolan anak muda bermotosikal itu sedang merempit beramai-ramai lantas mereka tampil untuk menunjukkan skil mereka pula. Ya, skil merempit mereka nampak macam hebat. Sekejap sahaja mereka sudah mendahului kepala konvoi itu. Pada hal, memang motosikal yang mereka tunggang itu lebih berkuasa.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung. Nampaknya peserta-peserta konvoi dan orang-orang kampung belum menyedari apa yang berlaku. Mereka terus melaung-laung dengan bersemangat.
            “Hoi! Itu motosikal aku!” jerit Dato’ Kontot sambil menunjuk-nunjuk ke depan.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” kedua-dua penyamun itu menjerit balas.
            “Berhenti! Bagi balik motosikal aku!” jerit Dato’ Kontot lagi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” mereka menjerit balas lagi.
            “Tak guna! Kejar mereka! Kejar mereka!” teriak Dato’ Kontot pada peserta konvoi.
            Sekarang perarakan itu memasuki pusingan ke tiga. Perserta-peserta konvoi sudah melajukan motosikal mereka, tetapi penyamun-penyamun itu memecut dengan lebih laju. Orang-orang kampung yang menonton tidak menyangka itu adalah adegan kejar-mengejar. Mereka fikir dua biji motosikal besar yang mendahului perarakan itu adalah pemimpin perarakan. Ini kerana kedua-dua motosikal peronda polis dan motosikal Dato’ Kontot mempunyai bendera Malaysia yang besar. Pada hal kedua-duanya adalah penyamun.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” penyamun-penyamun itu melaung ke arah orang kampung.
            “Kejar mereka! Kejar mereka! Kejar mereka!” laung peserta-peserta konvoi pula. Namun suara-suara mereka sudah tidak serentak lagi, berterabur bagaikan pasar lelong.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung, tetap menyangka peserta-peserta konvoi melaungkan merdeka.
            Entah bagaimana pula penyamun-penyamun yang mengepalai perarakan bendera Malaysia hari itu. Sungguh melucukan lagi pelik. Sepatutnya perarakan ini dikepalai oleh para pemimpin yang disegani dan dihormati lagi disayangi rakyat, bukannya penyamun musuh negara. Walaupun peserta-peserta konvoi cuba mengejar mereka, apalah daya motosikal biasa berkuasa 120 cc itu berbanding dengan motosikal yang berkuasa 500 cc. Namun orang-orang kampung yang lambat menangkap pemikirannya tetap memberikan laungan sokongan pada kedua-dua pihak, penyamun dan juga peserta konvoi itu .
            Masuk pusingan ke empat, ada di antara orang-orang kampung yang perasan kedua-dua buah motosikal besar yang mengepalai perarakan itu ditunggang oleh orang asing yang mencurigakan.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” penyamun-penyamun itu melaung ke arah orang kampung.
            “Kejar penyamun! Kejar Penyamun! Kejar Penyamun!” teriak peserta-peserta konvoi. Sudah ada suara yang berbunyi parau, dek kerana berteriak terus-menerus.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” orang-orang kampung masih berteriak balas walaupun sesetengahnya sudah keliru dengan keadaan perarakan yang kelam kabut itu. Ada di antara mereka sudah tahu yang peserta-peserta konvoi sedang mengejar penyamun, tetapi mereka jadi kelu dan kaku, takut untuk mengambil apa-apa tindakan. 
            Pada pusingan kelima, sebahagian peserta konvoi memutuskan untuk berhenti dan menunggu di tengah jalan sementara sebahagian lagi terus menghambat penyamun-penyamun itu. Sekatan dibuat oleh pasukan yang menunggu dengan menyusun motosikal-motosikal merentangi jalan. Mereka turut dibantu oleh orang-orang kampung. Mereka juga bersiap sedia menghadapi apa-apa kemungkinan termasuk dirempuh.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung penyamun-penyamun.
            “Tangkap penyamun! Tangkap penyamun! Tangkap penyamun!” jerit peserta konvoi yang menghambatnya.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” orang-orang kampung tetap tidak berganjak. Menjerit sahaja yang mereka tahu. Apakah makna merdeka, langsung mereka tidak tahu dan tidak mahu tahu.
            Sekatan jalan raya yang mendadak selepas satu selekoh menyebabkan kedua-dua penyamun menekan brek kecemasan. Kedua-dua motosikal itu terseret dan berpusing ke arah bertentangan, satu langkah yang tepat untuk megelakkan diri daripada anak-anak muda yang sudah bersedia dengan batang-batang kayu di tangan. Namun penyamun–penyamun itu tidak dapat bergerak jauh kerana pasukan motosikal yang menghambatnya semakin hampir.
            Penyamun-penyamun tiada pilihan lain lagi kecuali memasuki simpang jalan anak yang ada di situ. Jalan kecil itu adalah jalan mati yang berakhir pada sebuah kawasan perkuburan. Mereka menyedari yang mereka terperangkap setelah berada dalam kawasan yang berpagar konkrit sekelilingnya itu. Anak-anak muda yang mengejar mereka segera menutup pintu pagar dan mengepung tanah perkuburan itu. Nampaknya penyamun-penyamun itu tidak dapat melarikan diri lagi.
            Anggota polis menyerbu ke dalam dengan pantas dengan mengacukan pistol.
            “Jangan bergerak! Kamu sudah dikepung! Tinggalkan motosikal, berdiri tegak dan angkat tangan ke atas!” arah ketua polis pengiring. Penyamun-penyamun itu akur. Maka kedua-duanya dapat ditangkap dengan mudah.
            “Bukankah senang kalau kamu menyerah diri begini dari tadi? Tidaklah kami perlu penat-penat mengejar kamu,” herdik ketua polis pengiring.
            “Apa lagi tunggu, tuan. Alang-alang kita ada di kawasan kubur, apa kata kalau kita gali satu lubang kubur untuk mereka, lepas itu kita tanam terus manusia yang menyusahkan orang macam ini,” hambur seorang anak muda yang agak celupar.
            Memanglah, siapa yang tidak geram dengan penyamun. Apa lagi kalau berjaya di tangkap. Kalaulah tiada anggota polis di situ waktu itu, sudah pasti dua orang penyamun itu lunyai dikerjakan anak-anak muda beramai-ramai.
            Dato’ Kontot menghampiri penyamun-penyamun itu. “Apa pasal kamu berdua mencuri motosikal saya? Tentu kamu berdualah juga yang mencuri motosikal saya sebelum ini, bukan?” tanyanya keras.
            “Kami bukannya mahu mencuri motosikal Dato’. Kami hanya hendak pinjam sebentar untuk menyertai konvoi bendera Malaysia tadi,” kata Penyamun Kuali.
            “Jangan buat loyar buruk. Kami tiada masa hendak ketawa,” herdik ketua polis pengiring. “Mari kita bawa mereka ke balai,” katanya lagi.
            “Tunggu!” kata Dato’ Kontot. Semua orang memandang Dato’ Kontot dengan hairan.
            “Kita selesaikan di sini sahaja. Tidak perlu dibawa ke balai,” kata Dato’ Kontot lagi.
            “Selesaikan di sini? Apa maksud Dato’?” tanya ketua polis pengiring.
            “Saya maafkan mereka,” kata Dato’ Kontot selamba.
            “Apa?” beberapa orang bertanya serentak.
            “Ya, saya maafkan mereka, tetapi saya akan beri nasihat dan merundingkan sedikit perkara dengan mereka secara tertutup nanti. Saya akan selesaikan dengan cara baik, jangan bimbang,” jelas Dato’ Kontot. Suasana senyap seketika dengan masing-masing saling memandang antara satu sama lain.
            “Baiklah, kalau Dato’ sudah kata begitu,” ketua polis pengiring akhirnya bersuara. “Tetapi bagaimana pula dengan kecurian motosikal peronda polis? Itu kesalahan besar, mencuri harta kerajaan,” tegasnya pula.
            “Kita sudah mendapat semula motosikal yang diambil mereka, jadi selesailah hal ini. Tidak perlulah diperpanjang-panjangkan lagi. Saya rasa motosikal peronda itu tidak rosak apa-apa, cuma minyak sahaja yang kurang. Kalau ada pun, saya akan tanggung ganti ruginya,” pujuk Dato’ Kontot.
            Akhirnya setelah rundingan dijalakan, penyamun-penyamun itu pun selamatlah daripada sebarang tindakan undang-undang. Begitulah kuasa dan pengaruh yang ada pada Dato’ Kontot. Yang bersalah boleh dinafikan hukumannya. Sebenarnya Dato’ Kontot berakal panjang. Jika dia menghukum penyamun-penyamun itu, dia tidak akan dapat apa-apa. Tetapi jika dia mengeksploitasi kelebihan mereka, ada juga hasilnya nanti. Sebenarnya Dato’ Kontot merancang sesuatu untuk kedua-dua penyamun itu. Mereka ada kebolehan dalam memutar belit cakap  dan pandai meraih simpati.
            Tindakan Dato’ Kontot itu membuatkan kebanyakan peserta-peserta konvoi dan orang-orang kampung geram. Walaupun mereka jelik dengan tindakan pemimpin mereka itu membela penjenayah, mereka tidak berani menentangnya. Yang lebih tidak wajar, Dato’ Kontot nampaknya membuat penyamun-penyamun itu seperti kawannya pula.
            “Eh, penyamun pun boleh jadi kawan rapat Dato’ Kontot? Apa sudah jadi? Dunia mahu terbalikkah?” tanya seorang anak muda.
            “Apa yang peliknya? Zaman sekarang apa saja boleh jadi. Bukan setakat berkawan, malah ada penyamun yang berebut-rebut nak jadi menteri. Yang terbaliknya pula, alim ulama yang hebat-hebat belum tentu sanggup menjadi mufti,” jawab seorang kawannya.