12 Korek Biji
Kiat
Petang
itu cuaca agak bagus. Langit mendung dengan angin bayu segar bertiup menjadikan
keadaan yang nyaman untuk aktiviti luar. Sewaktu datang mengaji di rumah To’ki
Wahid semalam, Imi telah bersepakat dengan Nia dan Fadli untuk memanjat pokok
kiat. Pokok kiat yang dimaksudkan itu terletak di pinggir Kampung Batu Hampar,
di kaki Bukit Pipit.
Imi
bersama Nia pergi beriringan dengan mengayuh basikal masing-masing. Sebaik
tiba, tanpa membuang masa mereka terus memanjat pokok kiat. Mereka memetik buah
kiat yang masak ranum berwarna kuning keemasan itu dengan girangnya. Buah kiat
kecil sahaja, lebih kurang sebesar hujung jari kelingking. Namun rasanya yang
lemak-lemak manis serta baunya yang harum sungguh mengecurkan liur.
Selepas dikupas,
buah kiat dikulum dan manisan isinya dikecap. Tak sampai lima minit, mulut
kedua-dua orang budak itu sebu dengan buah kiat. Mereka menelan terus bijinya
sebelum menyuap lagi biji kiat yang baru. Keseronokan memetik dan memakan buah
kiat menyebabkan mereka telah terlupa langsung akan Fadli.
“Hoi! Kau orang
tak tunggu aku. Kurang asam,” tiba-tiba kedengaran suara Fadli berteriak. Imi
dan Nia memandang ke bawah. Kelihatan Fadli termengah-mengah turun dari
basikalnya. Din Bisu pun ada bersama Fadli.
“Itulah kau,
lambat sangat. Dah nak habis buah kiat ni kami makan,” laung Imi.
Tanpa berlengah,
Fadli berebut-rebut memanjat dengan Din Bisu. Sudah kelazimannya dalam acara
apa pun, jika lebih ramai orangnya, susana lebih meriah. Begitulah juga dengan
pesta kenduri buah kiat, mereka leka bergayut dan melompat-lompat ke dahan lain
macam moyet. Lebih-lebih lagi Din Bisu.
Angin bertiup
kencang membuatkan keadaan jadi lebih seronok. Imi, Fadli dan Nia berbuai-buai
di dahan pokok sambil sahut menyahut menyanyikan lagu-lagu yang popular masa
ini. Dalam pada itu mereka terus makan buah kiat dengan banyaknya.
“Aku rasa macam
terbang dengan jet saja,” kata Imi. Dia duduk di satu dahan yang berbuai-buai
ditiup angin. Tangannya memegang cabang kecil di dahan itu seperti gaya
mengendali jet pejuang.
“Eh, aku pun nak
naik jet juga,” kata Fadli sambil melompat ke satu lagi dahan dan duduk bergaya
juruterbang seperti Imi.
“Aku pun nak
juga,” sahut Nia pula. Dia pun melakukan perkara yang sama. “Wah! Seronoknya…”
kata Nia sambil terlentok-lentok mengikut ayunan dahannya.
“Apa kata kita
main perang-perang dengan jet,” cadang Imi.
“Okey!” sahut
Nia dan Fadli serentak.
“Aku jadi
Presiden Amerika, naik Air Force One.
Nia jadi tentera Amerika naik pesawat pejuang Tom Cat. Dia escort aku…”
kata Imi.
“Aku?” tanya
Fadli pantas. Dia sudah tidak sabar lagi.
“Kau dengan Din
Bisu jadi tentera perisik Rusia naik pesawat perang MIG29. Nanti kau orang
kejar kami sebab tentera Rusia nak culik Presiden Amerika,” kata Imi lagi.
“Okey,” balas
Fadli. Fadli memberi isyarat pada Din Bisu supaya duduk sepertinya. Din Bisu
nampaknya faham dan menurut sahaja. Sebentar kemudian pokok kiat itu menjadi
riuh dengan suara budak-budak yang membuat bunyi jet, bunyi tembakan dan bunyi
ledakan bom.
Tiba-tiba
Din Bisu terjun ke tanah.
“Nampaknya
seorang tentera Rusia sudah ditembak jatuh!” jerit Imi.
“Kita
berjaya!” jerit Nia pula.
Din Bisu berlari
ke sebalik sebatang pokok kundang. Kemudian dia tergesa-gesa membuka seluarnya
dan terus duduk bertinggung di sebalik pokok kundang. Rupa-rupanya Din Bisu
mahu buang air besar.
Din
Bisu memastikan yang budak-budak bertiga itu tidak akan dapat melihatnya dari
atas pokok kiat. Dia cuba menyorok disebalik batang pokok kundang yang tidak
sebesar mana itu. Keseluruhan tubuh Din Bisu terlindung, kecuali punggungnya
yang menjunkit keluar. Tidak lama kemudian, ketiga-tiga budak dari atas pokok
dapat melihat Din Bisu menuang ‘gula icing’ dari acuannya menjadi kek cawan
berbentuk lingkaran pyramid bulat, serta ada puncak tajam yang sungguh cantik.
“Salah
seorang pengganas telah mendarat untuk buang air. Hahaha…” kata Imi.
“Din
Bisu berak! Woooo!... tak malu. Hahaha….” jerit Fadli. Mereka ketawa
beramai-ramai.
Apabila
melihat budak-budak bertiga itu mentertawakannya, Din Bisu mendapatkan basikal
stereng lorinya lalu pulang.
“Nampaknya
pengganas ada seorang lagi. Mari kita tembak sampai jatuh,” jerit Nia.
“Okey!
Tat tat trat tat trat tat…” sahut Imi dengan membuat aksi menembak.
“Tentera
Russia sedang menghampiri Air Force One.
Dan, Eyah… tentera Russia dapat memasuki pesawat Air Force One,” kata Fadli sambil melompat ke dahan yang diduduki
oleh Imi.
“Tentera
Rusia sedang mencabut enjin pesawat Air
Force One,” kata Fadli.
“Pengganas sudah
cabut satu enjin kapal terbang. Tom Cat,
bertindak sekarang!” jerit Imi.
“Hahaha… enjin
kapal terbang besar, mana larat nak cabut, hahaha…” sahut Nia lalu ketawa.
“Sekarang
tentera Rusia mahu menangkap presiden Amerika,” kata Fadli sambil memeluk Imi
dari belakang. Imi cuba melepaskan diri. Mereka bergelut di dahan pokok kiat
itu.
Melihat situasi
itu, Nia melompat ke dahan yang sama untuk membantu Imi. Dahan itu kini
melentur ke bawah kerana menanggung beban lebih berat.
“Air Force One mahu terhempas!” kata Imi
panik.
Nia menarik Imi
menyebabkan dia terlepas dari pegangan Fadli. Namun Imi tidak sempat mencapai
dahan untuk dipegang. Akhibatnya dia tidak dapat mengawal diri dan terhumban ke
depan. Pegangan Nia pada tangan Imi juga terlucut. Imi terus jatuh ke tanah.
“Air Force One akhirnya jatuh terhempas.
Tentera Rusia berjaya!” jerit Fadli bagaikan membalas dendam.
Imi jatuh
menjunam. Sedaya upaya dia cuba berpusing, tetapi dia hanya mampu mengangkat
kepala sahaja.
Debuk! Imi
terhempas dengan dadanya dahulu yang terhenyak ke tanah.
“Aghh!...” Imi
menjerit. Dadanya bagaikan mahu pecah. Nafasnya menjadi semput. Dia
merengkok-rengkok kesakitan di atas tanah.
“Presiden
Amerika sudah mati, hahahaha… misi berjaya,” jerit Fadli lagi.
“Fadli,
Imi sakit tu. Jom pergi tolong,” teriak Nia.
Fadli
dan Nia berkejar turun.
“Imi,
kau tak apa-apa?” tanya Nia.
Imi meradang.
Tak nampakkah orang tengah sakit ini, rungut hatinya.
“Apa kita nak
buat ni?” Nia menggelabah.
Imi mendapat
satu akal. Dia buat-buat pengsan. Namun setelah beberapa ketika kedua-dua
rakannya itu belum bertindak apa-apa, Imi buat-buat menggelupur seperti sedang
nazak mahu mati. Nia menjadi panik. Dia mengangkat kepala Imi lalu meribanya.
Seronoknya,
sorak hati Imi. Dia sengaja membuat kepalanya terkulai pula. Nia mula menangis.
Dia merayu-rayu supaya Imi buka mata.
Hati Imi
bagaikan digeletek-geletek, tetapi ditahannya. Kemudian mengeruh kuat seperti
mahu menghembus nafas yang terakhir. Nia semakin tak tentu arah.
“Imi,
mengucap Imi,” kata Nia dalam tangisannya terngongoi-ngongoi.
“Fadli,
cepat ajar Imi mengucap,” rayu Nia lagi. Fadli yang sejak tadi hanya membatukan
diri.
“Mengucap?”
kata Fadli menggaru-garu kepala.
“Ok,”
Fadli bersetuju lalu tunduk mendekatkan mulut ke telinga Imi.
“Maarobbuka…”
kata Fadli.
“Hei…”
marah Nia lalu menampar bahu Fadli. Imi yang sudah tidak tertahan lagi
menghamburkan gelaknya. Dia ketawa berdekah-dekah membuatkan Nia dan Fadli
tergamam melihatnya.
“Kau
orang berdua ni lawak betullah, hahahaha…”
“Nia
betul-betul percaya aku nak mati, menangis betul-betul tu. Hahahahaa…”
“Fadli
pula lagi dahsyat, terus tanya macam malaikat. Macamlah aku dah ditanam dalam
kubur. Hahahaha…”
“Oo,
kau tipu ya!” marah Nia lalu menolak kepala Imi ke tanah.
“Adoi!
Hahahaha… kau orang terkena, hahahaha…” Imi terus ketawa.
Puas
ketawa berguling di atas tanah, Imi bangkit berdiri. Sakit dadanya masih lagi
terasa, tetapi tidaklah sekuat tadi. “Sudahlah, mari kita balik,” ajaknya.
“Jomlah.
Aku dah tak ada selera nak makan buah kiat lagi. Bau tahi Din Bisu makin kuat
ni. Naik loya tekak aku,” kata Nia pula.
Budak-budak
bertiga itu pun mendapatkan basikal masing-masing dan mula mengayuh
perlahan-lahan pulang ke rumah.
*****
Imi
tersentak. Matanya terkebil-kebil seketika. Dia meraup muka dengan tangan
sebelum menggeliat melentik-lentik macam cacing. Serta merta perutnya terasa
senak menyengat-nyengat. Ada stok lama yang perlu dibuangnya. Sebenarnya rasa
senak perut itulah yang membuatkan dia terjaga tadi.
Lantas
Imi bangkit dan mencampakkan selimutnya ke tepi. Dia terjun dari katil lalu
mencapai tualanya dan terus berlari ke bilik air.
Setengah
jam berlalu, Mak Hendon mundar mandir di depan bilik air.
“Ini
siapa dalam bilik air lama sangat ni. Imi! Kamukah di dalam?”
“Ya, mak,” sahut
Imi.
“Apa yang kamu
buat lama sangat kat dalam tu? Kamu tidur dalam bilik airkah?”
Pintu bilik air
dibuka. Terpancul Imi dari dalamnya.
“Mak, Imi tak
boleh nak buang air. Tahi tak boleh keluar. Buntut sakit,” kata Imi. Matanya
merah dan berair, tandanya sudah sekian waktu dia menangis tanpa suara.
“Tak boleh buang
air? Kenapa?”
“Tak tahu,”
“Mari mak
tengok,”
Imi duduk
mencangkung di atas mangkuk tandas dan mula meneran. Sambil meneran dia
mengerang sakit. Dia meneran dan mengerang bersilih ganti, namun najisnya tidak
mahu keluar juga. Mak Hendon mengurut-ngurut perut dan pinggang Imi. Sambil itu
dia mengagah-ngagah memberi semangat pada Imi.
Setelah usahanya
itu tidak berhasil, akhirnya Mak Hendon meraba pintu dubur Imi dengan hujung
jarinya.
“Keras.
Entah-entah buasir ni,” kata Mak Hendon sambil menekan-nekannya.
Mak Hendon
bangun dan berlalu mendapatkan Pak Brahim di beranda. Sebentar kemudian Mak
Hendon datang semula bersama Pak Brahim.
“Kecik-kecik dah
dapat buasir?” sergah Pak Brahim sebaik sahaja melihat Imi berteleku sayu di
atas mangkuk tandas. Pak Brahim memeriksa dubur Imi.
“Tak ada buasir
pun. Tapi tahi kamu yang keras. Sebab tulah payah nak keluar,” ujar Pak Brahim
kemudiannya.
Imi
tersedu-sedu. Dia tidak tahu nak cakap apa sekarang. Entah bila seksa ini akan
berakhir, tak tertahan lagi azabnya ini.
“Kamu makan apa
semalam?” tanya Pak Brahim.
“Makan nasi
dengan lauk ikan singgang,”
“Lagi?”
“Petang semalam
Imi makan buah kiat,”
“Buah kiat?
Bijinya kamu telan?”
Imi mengangguk.
“Patutlah.
Banyak mana kamu telan biji kiat,”
“Banyak…”
Pak Brahim
menyuruh Imi masuk dalam sebiji besen yang berisi air. Dengan harapan air akan
menyerap masuk dan seterusnya melembutkan najisnya, Imi dipaksa terus berendam
di dalam besen itu. Sambil berendam Imi menangis tersedu-sedu. Tak disangkanya
buah kiat yang sedap dimakan memberikannya azab sebegini rupa akhirnya.
Sementara itu Pak Brahim dan Mak Hendon pergi bersembahyang subuh.
Sehinggalah
matahari sudah segalah tingginya pagi itu, najis Imi tak dapat keluar-keluar
juga. Puas sudah Imi meneran, namun tidak berhasil langsung. Najisnya masih
keras macam batu.
“Sudah. Mari
sini,” Pak Brahim menarik Imi keluar dari besen.
Punggung Imi
ditunggingkan di atas lutut Pak Brahim. Sambil berleter Pak Brahim mengorek
dubur Imi. Dengan menggunakan minyak masak sebagai pelicir, sebiji demi sebiji
biji kiat dikeluarkannya. Dalam pada itu, kerap kali juga Pak Brahim terbersin
hingga merah hidungnya.
“Tau sajalah
baunya, hui… macam apa entah!” Pak Brahim merengus sambil mengesat air
hidungnya.
Hampir
penuh sebiji bekas tin susu pekat manis diisi dengan biji kiat yang dikeluarkan
daripada buntut Imi. Sebaik habis semua biji kiat dikeluarkan, Pak Brahim
melepaskan geramnya menepuk punggung Imi dengan kuat.
“Hari ini kalau
kamu telan lagi biji kiat, abah tak akan korek buang lagi. Biar biji kiat itu
buruk dalam buntut kamu saja,” Pak Brahim memberi amaran.
Imi
terus menangis tersedu-sedu sambil mengesat air mata dan air hidungnya dengan
lengan baju.