11. Depositkan Duit Dulu
Awal-awal
pagi lagi sebaik sahaja tiba di pejabat, Jamilkhir mencari Razi. Razi masih
belum kelihatan kerana kebiasaannya dia masuk pejabat apabila jam menghampiri
pukul lapan. Jamilkhir menyandarkan punggungnya di meja Razi. Dia
mengetuk-ngetuk pen dengan perlahan ke dagunya. Dia menunggu Razi dengan sabar.
Razi
muncul di muka pintu pejabat ketika jarum panjang jam di dinding menunjukkan
angka sebelas, iaitu lima minit lagi sebelum pukul lapan. Jamilkhir terus
menarik tangan Razi masuk ke biliknya. Sebaik kedua-duanya di dalam, Jamilkhir
mengunci pintu biliknya. Dia menyuruh Razi duduk di sofa.
“Apa hal
tuan?” tanya Razi yang kehairanan melihat gelagat pelik ketua unitnya pagi itu.
“Kau
mesti tolong aku, Razi. Kali ini kau mesti tolong,” ujar Jamilkhir bersungguh-sungguh.
“Tolong
apa tuan?” tanya Razi kaget.
“Aku
mahu kawin lagi satu,” kata Jamilkhir
“Ha?
Biar betul tuan,” Razi bertambah terkejut.
“Betul.
Aku sudah jatuh hati dengan perempuan yang datang semalam. Dia dan tunangnya
memutuskan pertunangan mereka di depan aku. Lepas itu dia ajak aku kawin. Rezeki
dah datang bergolek, takkanlah aku nak menolak,” jelas Jamilkhir.
“Tapi
bagaimana dengan Kak Fara dan Kak Nina? Mereka sudah bersetuju?” tanya Razi
lagi.
“Hah,
itulah yang aku nak minta tolong engkau ni. Kau sajalah orang yang paling rapat
dengan aku. Kau tolong uruskan perkawinan kami di Siam,” pinta Jamilkhir.
“Apa?
Tuan nak kawin di Siam?” Jamilkhir tersentak lagi. Pelbagai kejutan dia terima
pada pagi ini.
“Janganlah
bising-bising. Aku tidak mahu Liafara dengan Hasnina tahu. Kamu kena simpan
rahsia ini baik-baik. Nanti aku bayarlah upah kamu. Boleh?” desak Jamilkhir.
Razi
menggeleng-gelengkan kepala. “Bahaya tuan. Saya tengok Kak Fara dengan Kak Nina
masih macam anjing dengan kucing, belum berdamai lagi,” kata Razi.
“Itu
pasallah aku nak kawin lagi satu. Aku dah bosan tengok mereka asyik bergaduh.
Jiwa aku tak tenang. Bila aku pulang dari kerja, aku nak juga layanan isteri
yang ramah mesra. Ini tidak, nampak saja aku balik rumah, terus aku kena desak
supaya menceraikan yang seorang lagi. Kalau aku diam, mereka akan berleter,
sampailah ke tengah malam.,” luah Jamilkhir dengan kesal.
“Sekarang
tuan nak tambah lagi seorang. Nanti perang tiga penjuru pula,” Razi menyuarakan
kebimbangan.
“Usah
risau. Hanya aku dengan engkau saja yang tahu perkara ini. Boleh ya?” Jamilkhir
menepuk bahu pembantu setianya itu.
“Tapi
saya tak sedap hatilah tuan. Bukan tuan tak tahu, kita sudah banyak kendalikan
kes orang-orang yang kawin di Siam ini. Macam-macam masalah mereka hadapi. Ada
yang tidak dapat mendaftar semula perkawinan mereka di Malaysia sebab guna
jurunikah tidak bertauliah, tiada wali atau wali tidak sah. Kena turun naik mahkamah
dan kena bayar denda lagi. Penat tuan nak melayan karenah birokrasi ini,” kata
Razi yang cuba mengelak.
“Ah, itu
kamu usah risau. Kita buat betul-betullah, gunakan kadi dan wali yang dilantik
Majlis Agama Islam Thailand. Dapatkan sijil nikah dan pengesahan yang tulen.
Bila balik ke Malaysia, aku daftarlah semula dan bayar dendanya yang tidak
banyak mana pun itu. Lima ratus ringgit seorang sahaja, mudah macam makan kacang!
Bukankah kita kerja di pejabat agama? Semua urusan dan prosedur dalam tanganlah,”
pujuk Jamilkhir.
“Pasal
kita kerja di pejabat agama inilah yang jadi masalaahnya, tuan. Kalau kita ini
kerja tempat lain, saya tidaklah kisah sangat. Bagaimana kalau Tuan Haji Razali
tahu nanti? Apa kita nak cakap?” tanya Razi.
“Dia tak
boleh halang. Lagipun aku nak kawin, bukannya nak buat maksiat. Tidak apa,
apa-apa hal yang berbangkit dengan Tuan Haji Razali nanti, biar aku yang selesaikan sendiri,” kata Jamilkhir.
“Tidak
sesenang itu, tuan. Tuan kena fikir juga akhibatnya nanti. Tuan kawin di Siam
sedangkan tuan sendiri berkerja dengan pejabat agama, bahagian penguatkuasaan
undang-undang keluarga lagi tu. Sudah tentu tuan akan dianggap
mempersenda-sendakan agama nanti. Tuan sudah menjatuhkan maruah pejabat agama
dan Tuan Haji Razali juga. Pasti Tuan Haji Razali mengambil tindakan.
Sekurang-kurangnya tuan akan ditukarkan ke daerah lain. Bonus, kenaikan gaji
dan faedah-faedah lain mungkin juga kena beku. Tuan fikirlah baik-baik,”
panjang lebar nasihat Razi.
“Tak
apalah, aku bayar upah engkau dua kali ganda daripada gaji engkau. Sekarang aku
mahu kau fikir dulu, hendak terima tawaran aku atau tidak,” Jamilkhir tetap
tidak mahu berganjak daripada pendiriannya.
“Saya
keluar dululah tuan. Nanti tengah hari saya berikan jawapan,” kata Razi lalu
membuka pintu dan keluar.
“Hmmm…”
balas Jamilkhir sepatah.
Jamilkhir
menyeluk saku dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia menaip satu pesanan
ringkas untuk Rudjini tentang perkawinan mereka bakal berlangsung di Siam.
Sebentar kemudian Jamilkhir menerima mesej balas daripada Rudjini yang
mengatakan dia perlu meminta persetujuan daripada keluarga dulu.
Menjelang
waktu rehat tengah hari, Jamilkhir belum lagi dihubungi Rudjini bagi menyatakan
persetujuannya. Lantas dia menelefon bakal isterinya yang ke tiga itu.
“Nenek
minta Abang Jamil dengan Rudjini datang berbincang dengannya di kampung dulu,”
pendek saja jawapan yang Rudjini beri memandangkan dia sedang sibuk.
Jamilkhir
mengeluh panjang. Banyak sungguh ranjau yang datang merintangi jalannya. Dia
pun tersilap langkah tadi. Sepatutnya dia bersemuka dengan Rudjini, bukannya
dengan menghantar pesanan ringkas untuk berbincang perkara sesulit itu. Rudjini
perlu dipujuk dan dibawa terus ke Siam tanpa melibatkan keluarga atau pun neneknya.
Sekarang perkara ini sudah terlanjur sampai ke pengetahuan neneknya pula.
Hendak
tidak hendak, petang itu Jamilkhir terpaksa mengikut Rudjini bersemuka dengan
neneknya di kampung. Kampung ini terletak di Pengkalan Berangan, agak jauh dari
Bandar Marang. Dari jalan besar ke rumah nenek Rudjini mereka melalui jalan tar
anak yang sempit sejauh kira-kira lima kilometer merentasi kebun getah, kebuh
kelapa sawit dengan tanah beralun.
“Nenek
tidak menghalang kamu hendak memperisterikan Rudjini, walaupun sebagai isteri
ke tiga. Tetapi biarlah kawin di sini. Nenek tidak benarkan kamu membawa Rudjini
berkawin ke Siam. Nenek faham perasaan Rudjini. Dia baru saja putus tunang
semalam. Untung juga ada kamu ganti tempat bekas tunang dia. Kamu berdua kawinlah
cepat-cepat. Teringin sangat nenek nak menimang cicit,” luah nenek Rudjini.
Menurutnya
lagi, dia tinggal di rumah kampung itu hanya berdua dengan Rudjini. Rudjini
dipeliharanya sejak berumur setahun selepas anak dan menantunya, iaitu ayah dan
ibu kepada Rudjini berpisah. Ayah Rudjini terus meninggalkan mereka tanpa
khabar berita semenjak itu. Ibu Rudjini pula berhijrah ke Kuala Lumpur mencari
kerja setahun kemudian dan lenyap tidak pulang-pulang hinggalah sekarang. Sejak
dari kecil lagi Rudjini menganggap ayah dan ibunya telah meninggal dunia.
Ibu Rudjini
kecewa kerana bekas suaminya tidak bertanggungjawab dengan tidak memberi nafkah
kepada anaknya. Ibu dan nenek Rudjini berusaha untuk membuat tuntutan nafkah di
mahkamah, namun terpaksa berhenti separuh jalan kerana masalah taraf perkawinan
mereka. Mereka tidak memiliki sijil perkahwinan yang diiktiraf kerajaan
Malaysia kerana mereka kawin lari ke Siam dahulu. Sijil perkawinan mereka di
Siam pun hilang entah kemana. Mungkin telah dihanyutkan banjir tidak lama
selepas itu. Mereka tiga beranak hidup teraniaya. Kemiskinan juga menyebabkan
mereka tidak mampu meneruskan prosedur rumit tuntutan itu lagi.
Untuk
mendaftar kelahiran Rudjini juga mereka menghadapi masalah besar kerana
ketiadaan sijil pernikahan yang sah. Apabila Rudjini memasuki usia tujuh tahun,
dia terpaksa dihantar ke rumah saudara di Siam dan bersekolah di sana. Ini
kerana Rudjini gagal didaftarkan di sekolah rendah di Malaysia kerana ketiadaan
sijil kelahiran.
Ketika
usia Rudjini dua belas tahun barulah dia berjaya mendapat sijil kelahiran yang
telah sekian lama dipohon. Seterusnya dia juga berjaya mendapatkan kad
pengenalan. Semua ini adalah dengan bantuan penghulu mukim dan wakil rakyat.
Waktu itu Negara akan mengadakan pilihanraya umum. Dan wakil rakyat itu sempat
berpesan, “cukup umur dua puluh satu tahun nanti, jangan lupa jumpa saya lagi.
Saya akan daftarkan awak sebagai pemilih.”
“Begitulah
kisah kami anak beranak. Susahnya hanya tuhan saja yang tahu. Sebab itulah
nenek tidak mahu kamu berdua kawin di Siam. Cukuplah kesusahan yang kami alami
dulu. Yang sedapnya hanya orang lelaki, boleh lepaskan tanggungjawab dan
larikan diri tanpa bimbang langsung didakwa,” tegas nenek Rudjini.
“Saya
tidak akan berbuat begitu nenek. Saya berjanji akan menjaga Rudjini dengan
baik. Saya tidak akan mempersia-siakan dia. Saya tinggal di Bandar Marang dan
berkerja tetap di sana. Keluarga dan harta benda saya juga ada di situ. Tidak
mungkin saya akan lari ke mana-mana lagi,” pujuk Jamilkhir.
“Nenek
tetap tidak benarkan. Takkanlah kamu berdua mahu menghantar anak-anak
bersekolah di Siam nanti,” nenek Rudjini masih berkeras.
“Saya
kerja di pejabat agama, nek. Saya tahu bagaimana nak uruskannya. Saya akan
daftar semula pernikahan kami di Malaysia kelak. Perkawinan kami nanti sah dan
tiada lagi masalah timbul selepas itu,” jelas Jamilkhir lagi.
“Nenek
tetap tidak setuju dengan cara itu. Ini kata putus nenek,” tegas Nenek Rudjini.
Akhirnya
Jamilkhir terpaksa beralah dan menyatakan persetujuannya mengikut kehendak
nenek Rudjini. Walaupun begitu, hatinya masih berbelah bahagi. Namun Jamilkhir
bertekad, dia akan tetap membawa Rudjini berkawin di Siam. Nenek Rudjini yang
sudah lanjut usia ini tidaklah sesukar mana untuk ditangani. Dia akan meminta
maaf semula dengan nenek Rudjini selepas selesai kawin nanti. Akan diberikannya
buah tangan apa yang patut, cairlah hatinya nanti.
Masalah
yang ayah dan ibu Rudjini hadapi dulu adalah berpunca daripada perkawinan
sindiket yang tidak sah. Mereka tidak tahu apa yang mereka buat, main redah
sebarangan saja, kata hati Jamilkhir.
Selepas
melihat nenek Rudjini berpuas hati, Jamilkhir pun meminta diri untuk pulang
memandangkan petang sudah pun lewat benar. Nanti bising pula si Liafara di
rumah.
Kesokannya,
Jamilkhir menelefon Ayahda untuk menetapkan tarikh pernikahan dan merundingkan
harga pakej. Apa yang mengejutkan Jamilkhir ialah Ayahda menyuruhnya mendepositkan
dahulu duit sebanyak tiga ribu ringgit ke dalam akaunnya.
Jamilkhir
mula berasa tidak sedap hati. Belum pun buat apa-apa lagi sudah mahu bayaran
penuh. Kalau mahu separuh bayaran sebagai deposit, itu boleh lagi diterima
akalnya. Dia mengesyakki ada sesuatu yang tidak kena. “Eh, dua hari lepas
ayahda cakap lain, hari ini cakap lain pula,” katanya.
“Hari
itu Ayahda ajak Jamil berbual-bual kosong saja. Hari ini Ayahda cakap
terus-terang. Kita straight to the point sahajalah ya,” kata Ayahda berdalih.
Menurut Ayahda
lagi, Selepas menerima bayaran itu, dia akan menghantar sijil perkawinan
berserta surat pengesahan konsulat Malaysia di Bangkok terus ke tangan.
Jamilkhir juga tidak perlu bersusah-susah pergi ke Siam untuk bernikah.
Segala-galanya akan selesai dengan cepat tanpa menunggu lagi. Ayahda menekankan
bahawa cara ini adalah cara yang paling mudah.
Apa yang
perlu dilakukan oleh Jamilkhir ialah menghantar salinan faks kad pengenalan
dirinya dan Rudjini, berserta dengan sedikit maklumat diri yang lain selepas
membuat bayaran tersebut. Itu saja.
Terkedu
Jamilkhir mendengarnya. Terdiam dia tanpa mengatakan ya atau tidak. Tiada terduga
olehnya, Ayahda yang disangka professional ini juga menjalankan sindiket
pernikahan palsu. Sudah tentulah pernikahannya dengan Rudjini nanti tidak sah.
Malah tidak boleh dianggap bernikah pun kerana tiada akad yang akan
dilaksanakannya.
Jamilkhir
terfikir yang Ayahda mahu mengenakannya. Daripada membiarkan diri menjadi
mangsa. Lebih baik dia memerangkap manusia petualang itu pula. Jika tidak,
ramai lagilah yang akan menjadi mangsa sindiket durjana ini. Makin banyaklah
masalah serupa akan diadukan padanya di pejabat agama nanti. Sindiket ini akan
membebankan pegawai-pegawai agama sepertinya. Yang lebih parah sudah tentunya
masyarakat yang wujud hasil daripada pernikahan palsu sindiket-sindiket seperti
ini.
Mulanya
Jamilkhir terfikir mahu melaporkannya kepada polis, tetapi bila menyedari yang
tidakannya itu bakal menjadi heboh dan sensasi, dia membatalkan niatnya. Sudah
tentu Liafara dan Hasnina akan mengetahui yang dia terbabit sama dengan nikah
lari di Siam. Bersiap sedia sajalah menunggu ledakan ‘bom atom’ kedua-duanya
nanti.
“Baiklah
Ayahda, saya akan telefon sejam lagi untuk memberi kata putus. Saya kena pergi
mesyuarat ini. Maaflah ya, bos saya sudah panggil itu. Assalamualaikum,” kata
Jamilkhir lalu mematikan telefon bimbitnya. Dia terpaksa menipu begitu untuk
melengahkan masa baginya merancang sesuatu untuk mengenakan Ayahda dan
juak-juaknya pula.