Petang keesokkannya, Imi keluar bermain seperti biasa. Sengal di tangannya sudah tidak terasa lagi. Sejak waktu di sekolah tadi lagi dia dan Nia sudah berpakat untuk mandi-manda di tali air. Tali air yang terletak di sepanjang pinggir sawah di Kampung Batu Hampar itu dipenuhi air setelah dipam masuk dari sungai sejak semalam.
Mungkin ianya lebih sesuai dikatakan berkubang kerana air di tali air itu menjadi keruh pekat apabila dikerjakan mereka. Namun mereka tidak pernah ambil kisah tentangnya. Mereka seronok membuat terjun tiruk dari atas jambatan kayu. Kemudian mereka berenang dan menyelam dengan pelbagai gaya.
Jambatan ini juga menyimpan banyak sejarah. Sewaktu ia baru-baru siap dibina dulu, pernah sekali Pak Kadir membuat luncur air. Namun bukannya dengan menggunakan papan luncur yang ditarik oleh bot, tetapi dengan menggunakan lajak yang terhasil daripada momentum kelajuan kapcainya.
Menurut cerita Pak Kadir sendiri, dia terkejut kerana melihat jambatan yang berubah rupa daripada jambatan batang kelapa suatu masa dulu kepada jambatan kayu. Yang sebenarnya, dia sedang mengelamun jauh ke zaman kecilnya semasa merempitkan kapcainya sejurus sebelum sempai ke jambatan itu.
Entah macam mana, akhibat gerunkan jambatan kayu yang baru itu, Pak Kadir mengelak ke tepi. Dan dalam kepanikan, Pak Kadir terlupa brek kaki motornya berada di sebelah kanan. Pak Kadir secara tidak sedar telah menekan pendikit gear yang berada di bawah kaki sebelah kirinya yang disangkakannya brek. Hasilnya, secara automatik gear kapcainya menjadi ‘free’ dan kapcainya meluncur dengan lebih lancar sekali.
Jusoh yang sedang menyabit rumput tidak jauh dari situ menjadi sungguh terpesona apabila terlihat akan sebuah ‘jet ski’ julung-julung kalinya meluncur di tali air di kampung yang terpencil ini. Namun aksi dramatik itu berlaku tidak sampai pun tiga saat, sebelum ‘jet ski’ itu lenyap ke dalam air. Rasa bangga Jusoh bertukar menjadi hairan serta-merta.
Dia terus berkejar ke situ apabila nampak pemandunya timbul semula terkapai-kapai. Pak Kadir pula apabila melihat sahaja Jusoh terjun dengan sabitnya, terus tidak jadi lemas. Serta merta dia mendapat kekuatan baru, walhal dia sudah pun tertelan air. Akhibat takutkan sabit si Jusoh, Pak Kadir terberenang macam mengkarung berjalan di atas air. Cebur! Cebur! Cebur! Sekelip mata sahaja Pak Kadir sudah berada di atas ban. Itulah secebis cerita lama, kisah benar yang masih menggeletek hati sesiapa sahaja yang mendengarnya hingga kini.
Nun tak berapa jauh di sana, seorang lelaki separuh usia sedang berjalan pantas menuju jambatan kayu. Lelaki itu kelihatan berserebeh dan kurang terurus. Di kepalanya diikat satu kain. Sebilah sabit terselit di belakang kilasan kainnya.
“Nia, Jusoh datang. Cepat sembunyi,” panggil Imi separuh berbisik.
Mereka pun segera membatukan diri di bawah jambatan kayu. Dengan penuh debaran, mereka menunggu Jusoh yang dianggap gila oleh kebanyakan orang-orang kampung melewati jambatan kayu itu.
Jusoh adalah seorang penternak lembu. Dia sentiasa membawa sabit bersamanya kemana-mana untuk menyabit rumput. Rumput-rumput yang telah disabit akan diisi ke dalam beg guni besar, yang turut dibawanya bersama, untuk dibawa pulang kepada lembu-lembunya. Sungguhpun Jusoh kurang waras akalnya, dia pandai hidup berdikari. Dia berkebun dan menternak binatang untuk menyara diri.
Cuma yang merisaukan penduduk kampung hanyalah jika Jusoh bertindak luar kawalan, walaupun jarang-jarang sekali dia berbuat begitu. Biasanya Jusoh amat peramah dan suka bercakap apabila berjumpa dengan sesiapa sahaja, walaupun percakapannya banyak merepek-repek tidak tentu hala. Namun bagi kebanyakan orang, mereka cukup terhibur bila bercakap dengan Jusoh.
Dan sudah tidak menjadi perkara pelik lagi pada penduduk Kampung Batu Hampar jika terserempak Jusoh berbual-bual dengan lembu-lembunya di sekitar padang ragut. Mereka hanya mampu tersenyum, malah ada juga yang tak ambil kisah langsung. Sudah biasa sangat.
Mungkin itulah keistimewaan Jusoh. Walaupun dianggap gila, tetapi kemampuan luar biasanya boleh berinteraksi dengan lembu tiada siapa yang dapat tandingi. Buktinya? Setiap kali lembunya mengeboh, dia akan cepat-cepat menjawab dengan petah sekali.
Jadi, hampir setiap waktu padang ragut itu meriah dengan acara berdialog di antara dua jenis makhluk yang berbeza dari segi spesis, habitat, bahasa pertuturan dan warna kulit. Cuma mereka mungkin saling memerlukan antara satu sama lain di dalam satu ekosistem yang sama.
Bunyi berdetak-detak lantai kayu jambatan yang semakin lama semakin kuat menandakan Jusoh sudah tiba. Kedua-dua orang budak itu dapat melihat Jusoh melewati jambatan kayu itu dengan langkah yang pantas.
“Jusoh gila!” jerit Nia mengejek tiba-tiba. Dia menganggarkan yang Jusoh tidak dapat mencari kedudukan mereka.
Imi membeliakkan mata dengan muka yang cuak pada Nia. Tapi Nia menutup mulutnya menahan ketawa. Imi mengetapkan bibirnya dengan geram. Dia mengacah-ngacah tangannya seperti mahu memukul Nia. Namun Nia ketawa makin kuat pula.
“Hoi! *$&%#^$&*! Jaga kamu!” Jusoh menyergah dengan marah. Dia mengendap dari celah-celah lantai jambatan kayu. Tangan kanannya memegang sebilah sabit!
Jusoh terjun ke dalam parit. Bercebur air jadinya macam tahi bintang jatuh ke bumi. Imi dan Nia pun apalagi, terus bertempiaran berenang menyelamatkan diri. Mereka dengan mudah memanjat tebing tali air dengan memaut pada pokok-pokok senduduk yang banyak di situ.
Jusoh mengejar mereka dengan memekik-mekik marah. Dia berenang bagaikan seekor biawak geriang yang membuat gaya bebas. Nasib baik pokok senduduk yang dicapainya tercabut umbi. Dia tergelincir semula dan jatuh dari tebing. Ini dapat melengahkan masa. Imi dengan Nia di waktu itu sudah hilang dari pandangannya.
Imi dan Nia lari litang pukang tanpa sempat memungut pakaian mereka. Mereka akhirnya bersembunyi di dalam semak, meniarap di bawah rumpun resam. Sedaya upaya mereka menahan nafas yang mendesah, akhibat penat berlari laju tadi.
“Kau memang tak gunalah. Apa pasal kau ejek Jusoh tadi?” bisik Imi dengan keras.
“Aku ingat dia tak nampak kita,” balas Nia.
“Kau nampak tak sabit di tangan Jusoh? Kalau dia sauk pada tengkuk engkau, terus putus, tau tak?” ujar Imi.
“Syyyh! Jusoh datang,” kata Nia.
Jusoh datang melewati tempat mereka bersembunyi dengan membebel geram. Walaupun apa yang disebutnya litang pukang sekali, telinga Imi dan Nia dapat menangkap perkataan ‘budak sial’, ‘celaka’, ‘bunuh’ dan ‘sembelih’ disebut-sebut Jusoh. Jelas sekali dia dalam keadaan sangat marah. Paling menggerunkan, sabit ditangannya diacah-acahkan kehadapan bagaikan mahu menyerang sesiapa sahaja yang melintas di depannya.
Jikalaulah Jusoh melihat ke kirinya dengan teliti, sudah pasti dia akan dapat melihat dua orang budak itu sedang mengecilkan tubuh masing-masing. Setelah Jusoh berlalu agak jauh, Imi mengurut nafas lega. Tiba-tiba Imi terlihat seekor pacat besar sedang bertenggek di peha Nia. Kerana terkejut, Nia hampir menjerit, namun segera mulutnya ditekup Imi. Imi menjentik pacat yang mula menjangkau-jangkau laju itu.
“Mari cepat kita keluar,” gesa Imi.
“Aku tak takut pun pacat,” kata Nia.
“Jangan cakap besar, nanti pacat tadi masuk balik dalam seluar engkau, baru tahu,” kata Imi lalu menarik tangan Nia untuk bangun.
Tiba-tiba Nia menyentap balik tangan Imi.
“Nanti! Jusoh datang balik tu,” bisik Nia.
Mereka segera meniarap di atas tanah yang penuh dengan tahi cacing yang lembik. Tahi-tahi cacing yang sebenarnya gumpalan-gumpalan kecil tanah itu melekat-lekat pada badan mereka.
Tiba-tiba Imi rasa gatal dan perit pada anunya. Dia mengaduh perlahan.
“Mengapa?” tanya Nia berbisik. Imi tak menjawab.
Imi sudah tidak tertahan lagi. Anunya semakin perit. Dia pun bangkit lalu duduk membelakangi Nia. Dia menarik getah seluar lalu memeriksa anunya. Sangkaannya tepat apabila mendapati ada seekor pacat berada di dalam mulut anunya. Dia cuba mengepit pacat itu dengan kukunya untuk ditarik keluar. Namun terlepas kerana badan pacat itu amat licin dan lembik. Lagipun badan pacat yang timbul keluar sedikit benar.
Imi menjeguk ke luar dari celah-celah daun. Didapati Jusoh semakin hampir. Mustahil dia dapat keluar, nahas nanti dikerjakan Jusoh dengan sabitnya. Imi mula menangis dengan bunyi yang tenggelam timbul. Dia terus cuba menarik keluar pacat itu.
Rasa bimbangnya bukan kepalang lagi. Entah apa akan jadi kalau pacat itu masuk ke dalam perutnya. Pasti ia membuat sarang dan beranak-pinak di situ. Huh, ngeri sungguh! Keluh hati Imi. Imi pernah mengalami kecacingan semasa kecil-kecil dulu. Hampir setengah pengsan dia meraung apabila melihat cacing kerawit menguit-nguit keluar bersama-sama najisnya.
Tanpa Imi sedari, Nia menjenguk melihatnya sedang bertarung dengan pacat itu. Nia menutup mulutnya kerana terkejut.
“Mari aku tolong,” kata Nia.
“Eh, mana boleh!” kata Imi lalu menekup anunya. Namun peritnya pacat itu menghisap darah membuatkan Imi terketar-ketar. Esakannya pun bertambah kuat.
Nia cuba menarik tangan Imi. Pada mulanya Imi enggan. Malulah jika Nia melihat anunya. Namun akhirnya dia mengalah bila anunya semakin perit. Dia sudah terlalu panik dan tidak berdaya membuat apa-apa. Dia hanya duduk terlunjur dengan bertongkatkan tangan di belakang, menyerah sahaja pada Nia untuk melakukannya. Dadanya terus berdegup-degup kencang.
Nia dengan sabar menunggu waktu yang tepat untuk bertindak. Apabila nampak sahaja ekor pacat itu terjulur keluar, dia cuba menyepitnya dengan kuku, tapi terlucut juga. Sudahlah kecil, badan pacat itu lembik dan licin pula. Imi sudah mati akal. Dia mula terngongoi-ngongoi menangis. Tiba-tiba Nia mendapat satu idea.
“Kau pejam mata,” suruh Nia. Imi menurut sahaja, bagaikan redha sahaja dengan apa yang bakal berlaku. Sebentar kemudian dia rasa sesuatu benda keras menyentuh anunya. Selepas itu dia merasakan pacat itu direntap. Imi pun membuka mata.
Kelihatan Nia tersengih lebar di depannya. Ada darah di sekitar mulut dan giginya. Seekor pacat menguit-nguit digigitnya. Berderau darah Imi. Seriau seluruh tubuhnya. Bagaimana seorang budak perempuan di depannya ini begitu berani mencabut pacat dengan giginya? Dia sendiri pun tak akan buat begitu, walaupun diupah sepuluh ringgit!
“Kau…” kata-kata Imi terputus apabila mendengar bunyi semak di belakang mereka dirempuh. Jusoh datang!
“Lari!” jerit Imi.
Mereka terus bangun dan belari litang pukang. Tidak sukar untuk Jusoh mengejar kerana langkahnya sudah tentu lebih panjang daripada langkah budak-budak itu. Lagipun pohon-pohon senduduk yang merintangi tidak mendatangkan masalah padanya. Tubuh Jusoh sememangnya lasak, sebab itulah dia boleh merempuh semak samun bagaikan badak sumbu.
Di waktu Jusoh hampir menangkapnya, Imi tersadung kakinya sendiri. Dia sempat memaut dahan seduduk sebelum jatuh berguling. Apabila dahan senduduk itu terlepas dari tangannya, ia terus membidas muka Jusoh. Jusoh tidak sempat memejam matanya menyebabkan matanya senak dan berpinar dilibas daun senduduk yang miang itu.
Imi mengambil kesempatan ini untuk bangun semula. Jusoh terus mengejarnya, namun dia sudah tidak dapat melihat dengan betul lagi apa yang ada di depannya. Dalam menyerbu laju itu, bahunya terlanggar sebatang pokok bacang. Tubuh Jusoh menjadi mereng ke kiri menyebabkan dia terbabas dan jatuh ke dalam lubang perun sampah sebesar telaga. Lubang perun sampah ini adalah kepunyaan rumah keluarga Fadli.
Imi yang sempat menoleh dan melihat Jusoh terjerumus ke dalam lubang itu terus berhenti berlari. Dia ketawa berdekah-dekah pula dalam keadaan termengah-mengah itu. Kedengaran suara Jusoh menengking-nengking marah. Imi tidak berani mengampiri lubang perun sampah itu untuk menjenguk.
Nia pula sudah hilang entah ke mana. Pasti dia sudah pulang ke rumahnya. Kali terakhir dia melihat Nia tadi ialah semasa darah dan pacat berada di mulutnya, sebelum diserbu Jusoh. Imi tidak tahu sama ada Nia sempat meludah kembali pacat itu atau tidak. Jangan-jangan Nia tertelan pula dalam masa kelam kabut tadi, naya!
Tiba-tiba Imi terasa gatal kembali pada anunya. Setelah diperiksa, anunya cuma berdarah sedikit, tetapi tiada lagi pacat.
Akhirnya Imi memutuskan untuk pulang juga. Dia kembali sebentar ke jambatan kayu untuk mengambil bajunya. Dia terus ketawa sendirian dalam kelegaan setelah terselamat daripada serangan Jusoh. Nyaris-nyaris dia menjadi mangsa sabit si Jusoh tadi.
Rasa gatal-gatal pada anunya berlarutan hingga ke malam hari. Namun Imi merahsiakan kejadian itu dari pengetahuan sesiapa.