Ahad, 18 September 2011

Cintan Si Cilik bab 4


4          Polis Main Ping Pong

Di rumah, Imi merahsiakan kejadian yang menimpanya daripada pengetahuan ibu dan abahnya serta ahli keluarga yang lain. Walaupun dihatinya ada sekelumit rasa bersalah, Imi lebih suka Jusoh jatuh ke dalam perun sampah itu. Memang patut Jusoh menerima balasan sebegitu selepas berbuat bahaya padanya, yang boleh dikatakan cubaan bunuh juga. Imi tidak mengetahui apa nasib Jusoh selepas itu sehinggalah dia ke sekolah keesokkan harinya.
            Guru subjek pertama di awal pagi itu tidak dapat masuk ke kelas kerana ada mesyuarat tergempar yang melibatkan semua guru. Lazimnya keadaan ini amat digemari oleh murid-murid. Mereka tidak perlu melangut dengan mengadap guru berceloteh di depan kelas. Sebaliknya mereka berpeluang bermain dan membuat bising di dalam kelas pula.
            Sekumpulan budak-budak berkerumun di meja Fadli. Nampaknya Fadli ada cerita menarik hari ini. Dia memaklumkan yang ibunya telah terjumpa Jusoh di dalam lubang perun sampahnya sebelum waktu maghrib semalam.
“Ibu aku dengar ada suara orang menjerit marah apabila dia curahkan satu bakul besar sampah ke dalam lubang tu. Manalah ibu aku tahu ada orang duduk dalam lubang sampah tu,” cerita Fadli.
“Ibu aku pun apa lagi, terperanjat besarlah dia. Ibu aku menjerit ‘hantu!’. Bakul yang dipegang ibu aku terlepas jatuh menimpa Jusoh. Sebijik macam adegan Aziz Satar dalam filem Pendekar Bujang Lapok, sewaktu dia seru jembalang di dalam perigi buta. Habis kepala Jusoh berlumuran dengan sisa-sisa makanan dan perut ikan,”
“Selepas ibu aku perasan orang di dalam lubang itu adalah Jusoh, ibu aku pun memberitahu ayah. Kemudian ayah aku ajak orang kampung tolong menarik Jusoh keluar. Dia mendapat banyak luka di kaki dan badannya sebab terkena kaca. Nasib baik semalam emak aku tak ada bakar sampah dalam perun tu. Kalau tidak, dah tentu Jusoh sudah hangus rentung. Lepas tu ayah aku hantar Jusoh ke klinik,”
“Jusoh tak mengamuk ke?” tanya Imi tiba-tiba.
“Masa itu, Jusoh sudah lemah tak bermaya. Tapi mulut dia masih meracau-racau dan mencarut-carut,” kata Fadli.
 “Kenapa tak dibiarkan Jusoh mati sahaja dalam lubang sampah tu?” celah Sulaiman pula.
“Jahatnya engkau ni, Sulaiman. Jusoh pun manusia macam kita juga,” ujah Imi. Dia kini mula merasa bersalah. Namun dia masih belum berani membuka cerita bahawa dialah yang menyebabkan Jusoh jatuh ke dalam perun sampah itu. Mungkin juga Imi tidak tergamak untuk menghebohkan cerita pasal anunya yang dimasuki pacat, yang menjurus kepada kejadian itu.
“Tak baik kau cakap macam tu,” tiba-tiba terdengar suara Nia menyokong Imi. Dia yang tiba-tiba muncul tanpa disedari itu memberi isyarat kenyitan mata pada Imi. Dan Imi pula hanya tersenyum tersipu-sipu. Dia masih malu dengan peristiwa semalam.
“Macam mana kalau kau pula yang jatuh dalam lubang sampah tu, lepas tu orang biarkan kau mati dalam lubang itu,” Imi buat-buat menekan suara pada Sulaiman untuk menutup gabranya.
“Aku lainlah, aku tak gila. Jusoh tu orang gila. Dia jahat. Dulu dia nak bunuh aku,” tegas Sulaiman.
“Hah? Jusoh nak bunuh engkau?” tanya Imi dengan Nia serentak.
“Dulu ada sekali anak lembu dia datang merayau dalam laman rumah aku, makan pokok bunga. Aku pun halaulah anak lembu tu. Aku kejar hingga ke padang ragut Jusoh. Bila Jusoh tengok aku kejar lembu dia, dia pun kejar aku balik dengan sabitnya,” Sulaiman membuka ceritanya pula.
“Jusoh kejar kau dengan sabit?” soal Imi cemas.
“Nasib baik aku sempat lari ke kedai kopi Pak Yunus. Pak Yunus dengan orang kampunglah yang tolong halang Jusoh. Kalau tidak sudah tentu aku kena sembelih dengan sabitnya,” luah Sulaiman dengan nada kesal.
“Hah?” Imi ternganga. Rupa-rupanya ada orang lain yang terlebih dulu mengalami kejadian sepertinya.
“Sebab itulah bila besar nanti aku nak jadi polis. Aku nak tangkap Jusoh dan masukkan dia ke dalam penjara. Lepas tu kita tak perlu takut lagi,” ujar Sulaiman bersemangat.
“Eh, aku pun nak jadi polis juga bila besar nanti,” celah seorang murid lain.
“Mana boleh! Pasal apa kau nak jadi polis juga?” bentak Sulaiman. Dia jadi bengang kerana ada orang lain mahu menirunya. Padanya, dia mahu dia seorang sahaja yang menjadi polis. Budak-budak lain tidak akan dibenarkannya.
“Sebab bila jadi polis nanti aku boleh main ping pong,” kata murid itu.
“Polis tak main ping pong. Polis main tembak-tembaklah,” kata Sulaiman sinis. Dia menggayakan jari telunjuknya ke atas dan membengkok-bengkokkan ibu jarinya, bagaikan pistol. “Bang! Bang!” katanya sambil mengacah pada murid itu.
“Adalah. Engkau yang tak tahu. Bila polis nak kejar orang jahat, kereta polis akan bunyi ping-pong piing-poong piiing-pooong piiiing-poooong…” murid itu menggayakan bunyi siren polis, yang menyebabkan budak-budak lain terlopong.
“Lepas tu semua kereta lain ke tepi beri laluan. Lepas tu, kereta polis kejar orang jahat dengan lajulah. Seronok tau,” sambungnya lagi.
            “Ping-pong ping-pong? Siren polis bukan bunyi ping-pong ping-ponglah. Hahahahaha…” Sulaiman ketawa terdekah-dekah, dan ia dituruti oleh budak-budak lain. Riuh rendah jadinya kelas itu. Ada juga yang turut bersorak-sorak mengajuk bunyi siren murid itu.
            “Ping-pong ping-pong bunyi hon motor Mat Kilat jaja ikanlah, hahahaha…” kata Sulaiman lagi.
Bam! Bam! Bam! Tiba-tiba bunyi meja diketuk tiba-tiba. Kumpulan budak-budak yang sedang seronok bercerita itu terperanjat lalu berpaling.
            “Diam! Oleh kerana kamu semua telah membuat bising, kamu telah dijatuhi hukuman berdiri di atas kerusi,” kata Suhardi lalu memukul meja dengan sebatang tukul kuku kambing.
Bam! Bam! Bam!
Entah dari mana Suhardi mendapat tukul itu. Di kepalanya pula ada ropol-ropol perca kain putih.
“Apa dah jadi pada kamu Suhardi? Nak jadi orang gila macam Jusoh ke?” tanya Imi.
“Aku nak jadi hakim. Kamu semua telah membuat salah. Kamu semua mesti kena hukum,” kata Suhardi tegas.
Bam! Bam! Bam!
“Apa kelas nak jadi hakim. Aku nak jadi polis. Aku akan tangkap kamu dan masukkan dalam penjara,” kata Sulaiman.
“Aku hakim. Aku lagi power. Polis tak boleh lawan aku,” tingkah Suhardi pula.
Bam! Bam! Bam! Dia memukul lagi meja dengan tukul.
“Siapa main ketuk-ketuk tu?” satu suara garau orang dewasa menjerkah. Serentak budak-budak menoleh. Cikgu Fuad!
“Siapa yang mengetuk tadi?” ulang cikgu Fuad.
“Suhardi, cikgu,” jawab Fatihah sambil menunding ke arah Suhardi.
Terpegun juga cikgu Fuad melihat Suhardi dengan tukul dan kepala beropol itu.
            “Apa yang kamu ketuk, Suhardi?” soal Cikgu Fuad.
“Saya nak jadi hakim, cikgu. Hakim boleh ketuk-ketuk,”
“Hah? Hakim apa? Hakim ketuk-ketuk?”
“Saya nak bela keadilan,”
“Sebut betul-betul, bĕla keadilan. Bukan bela keadilan. Bela dipakai kalau nak buat ayat orang bela ayam,”
Suhardi mengangguk-angguk sambil tersenyum bangga.
“Di mana kamu dapat tukul dengan topi hakim tu?”
“Ini tukul bapa saya punya. Topi ni saya buat dari perca kain emak saya,”
“Oh, pandainya kamu. Sungguh kreatif. Sekarang Cikgu nak kamu pergi ke pondok di tepi pagar sana. Bawa tukul dan topi kamu tu sekali. Lepas tu kamu ketuk lantai pondok itu sampai masa saya habis. Faham?”
“Faham cikgu,” kata Suhardi lambat-lambat. Mukanya merah.
“Ok, kamu bergerak sekarang. Yang lain-lain balik ke tempat masing-masing,” arah Cikgu Fuad. Semua murid-murid akur.
            “Hari ini kita masuk tajuk baru, makanan seimbang. Buka muka surat 26. Cikgu beri kamu masa lima minit untuk baca dahulu, sebelum kita bincang,” kata Cikgu Fuad lalu keluar kelas.
            “Apa yang kamu buat tu? Ketuklah” laung Cikgu Fuad bila melihat Suhardi hanya duduk termenung di pondok tepi pagar.
            Kung! Kung! Kung! Suhardi mula mengetuk.
“Kuat lagi, saya tak dengar!” laung Cikgu Fuad.
            Kung! Kung! Kung! Suhardi mengetuk lagi.
“Kuat lagi!” laung Cikgu Fuad lagi.
            Kung! Kung! Kung! bunyi ketukan makin kuat
“Ketuk terus. Jangan berhenti!”
Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Pagi itu Suhardi dapat menjadi hakim mahkamah majistret sepuas hatinya.
“Ok kelas, sudah habis membaca? Mari kita bincang sekarang,” kata Cikgu Fuad selepas beberapa ketika duduk di kerusinya.
“Tengok pada rajah piramid pada buku masing-masing. Piramid ini dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian paling besar berada di tapaknya dan bahagian paling kecil di puncaknya,”
“Perhatikan gambar di dalam bahagian paling bawah pyramid ini. Cuba sebutkan makanan apa yang kita perlu ambil paling banyak?”
“Nasi!”
“Roti!”
“Gandum!”  kata Rini.
“Engkau banyak makan gandumkah Rini?” tanya Fadli.
“Fadli, kamu cakap apa? Sila ulang, cikgu nak dengar,” suruh Cikgu Fuad.
“Rini suka makan jemput-jemput gandum cikgu. Sebab itulah dia gemuk gedempol,” kata Fadli. Seluruh kelas tergelak. Rini mengerlingnya dengan tajam.
“Fadli, kamu mari sini,” kata Cikgu Fuad dengan serius. Fadli datang menghampiri Cikgu Fuad dengan senyum sumbing.
“Kamu main-main haa…” kata Cikgu Fuad sambil menarik telinga kiri Fadli ke atas. Fadli menjinjit kakinya setinggi mungkin. Mulutnya menyerigai menahan sakit. Telinga Fadli menjadi merah.
“Pergi duduk. Lepas ni jangan main-main lagi. Kalau tidak cikgu akan sangkut telinga kamu pada kipas,” ujar Cikgu Fuad lalu melepaskan telinga Fadli.
“Baiklah murid-murid, gandum dan beras adalah daripada kategori makanan yang sama. Kedua-duanya kaya dengan karbohidrat yang amat perlu pada badan. Cuma di negara kita kurang menggunakan gandum, tidak seperti negara di barat, di mana gandum adalah makanan utama mereka,”
“Ok, tengok apa yang ada dalam bahagian kedua piramid ini,”
“Sawi,”
“Tomato,”
“Betik,”
“Lobak,”
“Ya, makanan yang kedua banyaknya kita perlu ambil ialah dari kumpulan buah dan sayur. Buah dan sayur akan membekalkan tubuh kita dengan vitamin dan serat,”
Seorang murid mengangkat tangan.
“Cikgu, rumput dalam kumpulan ke dua jugakah? Dalam rumput ada zat apa?”
“Rumput? Siapa pula yang makan rumput? Dalam rumput mana ada zat?” soal Cikgu Fuad kaget.
“Kalau tak ada zat, kenapa lembu makan rumput saja? Dia tak perlu ikut piramid makanan pun?” tanya Sulaiman lagi.
“Kamu cakap apa ni, Sulaiman?” marah Cikgu Fuad. Hatinya menyingga dengan soalan bodoh anak muridnya itu.
“Kalau rumput tak ada zat, macam mana pula lembu jadi lebih besar dari kita? Lembu pun jauh lebih kuat dari kita,” ujar Sulaiman.
Cikgu Fuad mengerutkan dahi pula.
“Mengapa orang tak makan rumput saja, cikgu? Tak payah beli. Tak perlu masak lauk,” Sulaiman terus berhujah, yang membuatkan kepala Cikgu Fuad menjadi pening.
“Kamu buat loyar buruk pula ya? Mahukah kamu makan rumput?” marah Cikgu Fuad.
“Tak mahu. Tapi saya pernah tengok Jusoh makan rumput,” kata Sulaiman. Murid-murid lain tertawa.
“Sebab lembu makan rumputlah dia jadi bodoh, tak pergi sekolah, beri makan rumput cukup-cukup biar gemuk. Dah besar boleh dijual dan disembelih. Kamu nak jadi bodoh macam lembukah? Kalau gitu tak payah datang sekolah lagi. Besok kamu pergi makan rumput bersama-sama Jusoh dan lembunya,” ujar Cikgu Fuad.
“Cikgu,” satu suara memanggil. Semua mata tertumpu pada pintu kelas.
“Tangan saya sudah kebas,” kata Suhardi sambil menangis tersedu-sedu. Buruk betul wajahnya yang bergigi rongak itu apabila menangis, tak padan dengan topi beropol-ropol putih yang dipakainya. Teman-teman sekelasnya tertawa lagi, lebih-lebih lagi budak-budak perempuan, sampai terjerit-jerit. Macam mana seorang hakim yang menjatuhkan hukuman pada orang boleh menangis pula?