Pagi-pagi lagi di hujung minggu ini Belukang sudah berada di tepi sebuah alur dalam belukar di pinggir kampung. Satu lubuk ikan terdapat di tengah alur yang dipenuhi dengan pohon rumbia itu. Pangkal rumpun-rumpun rumbia berselirat tindan-menindan sesama sendiri dan ditambah lagi dengan anak-anak rumbia yang kecil yang tumbuh merata mungkin menyeramkan sesetengah orang, tetapi tidak bagi Belukang walaupun dia baru berumur enam tahun.
Tempat ini agak tersorok dari pandangan orang ramai. Hanya sebilangan orang sahaja yang tahu akan kewujudan lubuk ikan di situ. Belukang sengaja datang seorang diri pagi itu agar dapat menggagau ikan seorang diri. Hasilnya nanti tidak perlu dikongsikan dengan sesiapa. Kebiasaannya orang lain akan datang menggagau ikan pada waktu petang.
“Aku akan tangkap ikan-ikan besar sahaja dulu. Ikan-ikan yang kecil akan aku tinggalkan untuk orang lain datang menggagau petang nanti,” kata Belukang sendirian dengan tersenyum. Hatinya dicemari dengan sedikit perasaan tamak. Tanpa berlengah lagi, dia turun ke dalam alur dan berhati-hati meranduk air ke lubuk ikan. Sambil itu dia mula mengagau-gagau di celah-celah pangkal rumpun-rumpun rumbia.
Belukang berasa pelik, puas dia menggagau-gagau di sekitar tepi lubuk itu. Jangankan ikan besar, anak ikan pun tidak kelihatan. Permukaan lubuk juga kelihatan tenang tanpa riak-riak atau kocakan ikan. Sebelum ini Belukang sentiasa tidak menang tangan menekup ikan-ikan yang berkejaran. Tidak pernah dia tidak mendapat ikan jika dia menggagau di situ selama ini. Hendak dikata lubuk itu sudah digagau dua tiga hari sebelum ini, tiada pula bekasnya.
“Ke mana pula ikan-ikan pergi hari ini?” rungut Belukang. “Nak kata pergi mesyuarat PIBG, anak-anak engkau orang bukannya pergi sekolah pun,” bebelnya lagi.
Belukang beranjak ke tengah lubuk. Dia terus menggagau dengan harapan terpegang barang seekor dua ikan haruan atau lampan yang besar. Ada ketikanya dia terpaksa menyelam ke dalam lumpur pekat itu untuk mencapai lubang-lubang tanah yang dalam.
Hampir seluruh lubuk itu kini bertukar seperti kubang kerbau. Belukang pula bagaikan seekor anak kerbau dengan lumpur memenuhi segenap tubuh, kecuali matanya sahaja. Matahari semakin tinggi walaupun bahang panasnya tidak terasa di lubuk itu dek kerana dilitupi oleh rimbunan rumbia dan pohon-pohon belukar yang lain.
Di dalam satu lubang tanah yang agak dalam, Belukang terpegang sesuatu yang amat dinanti-nantikannya, iaitu kepala ikan. Namun pegangannya terlucut apabila dia cuba menariknya ke atas. Ikan itu bagaikan tersangkut pada akar-akar sagu. Dia cuba menggagau semula, tetapi ikan itu sudah tiada di situ.
Belukang menyedut nafas panjang dan memejam mata lalu menyelam ke dalam lumpur untuk menggagau lubang itu lebih dalam. Sayang sungguh kalau ikan tadi terlepas. Kalau dapat sekurang-kurangnya seekor pun, jadilah. Tidaklah nanti dia pulang dengan tangan kosong. Sudah rapat ke lengan lubang itu digagau barulah Belukang terpegang dengan kepala ikan tadi. Kali ini dia mencengkamnya dengan kemas agar tidak terlucut lagi.
Agak sukar juga Belukang menarik ikan itu ke atas hinggakan dia sendiri hampir lemas. Ikan itu menyangkut-nyangkut ekornya pada benda di sekitarnya. Akhirnya dapat juga Belukang timbul dari lubuk itu dengan memegang ikan tersebut. Sebaik mencelikkan mata, Belukang mendapati ikan yang dipengangnya itu sungguh panjang dan licin. Ia melingkar-lingkar membelit tubuhnya sendiri.
“Ah, ular!” Belukang terjerit lalu dengan spontan dia membaling ular itu jauh-jauh. Tanpa membuang masa lagi, dia terkocoh-kocoh naik dari lubuk.
Rasa seram sejuk menjalar ke seluruh tubuhnya. Dia terketar-ketar dengan nafasnya yang turun naik dengan kencang. Semangatnya hendak menggagau ikan mati terus. Melihat ke lubuk itu pun dia sudah terasa seriau yang amat. Terbayang-bayang lagi ular air yang dipegangnya tadi di depan mata. Belukang memutuskan untuk pulang sahaja. Agaknya inilah balasan perasaan tamak halobanya sebelum turun menggagau tadi. Akhibatnya seekor ikan pun tidak dapat, malah dapat ular air pula.
Untuk menenangkan hatinya yang kecewa, Belukang memanjat sebatang pokok yang ada banyak akarnya berjurai-jurai lalu duduk termenung di atas satu dahannya yang landai.
*****
Sementara itu, di sebuah gerai kosong di tepi simpang. Dua orang lelaki sedang terhendap-hendap mengintai ke dalam kabinet kayu bahagian bawah gerai itu. Gerai pisang goreng itu hanya di buka pada waktu petang, jadi semua alatan memasak disimpan dalam kabinet tersebut.
Mereka mengumpil selak pintu yang bermangga itu dengan tukul. Setelah pintu dibuka, mereka hampa kerana tidak banyak barang besi yang didapati. Hanya tong gas dan kuali sahaja barang besi besar yang ada, selain hanya sudu, senduk dan sebilah pisau.
“Ingat, kita ambil besi sahaja. Benda lain jangan ambil,” pesan salah seorang penyamun.
“Okey,” balas seorang penyamun lagi.
Tong gas terlalu berat untuk mereka bawa. Jadi mereka hanya ambil sebiji kuali sahaja dan beredar.
“Sebiji kuali mana cukup? Kita kena cari banyak lagi besi, barulah kita jual dan dapat duit banyak,” kata seorang penyamun.
“Mari kita ke situ. Mungkin ada banyak besi di dalamnya,” cadang penyamun seorang lagi sambil menunjukkan sebuah bangsal di tepi bendang.
Mereka sekali lagi hampa bila mendapati bangsal itu kosong, kecuali kain-kain buruk dan sampah yang menimbun.
“Hah, itu dia besi,” kata seorang penyamun bila terlihat sebatang cangkul terbiar di pangkal tiang bangsal. Dia segera mendapatkannya.
“Ambil besi dahaja. Yang lain tinggalkan,” penyamun yang memegang kuali mengingatkan.
Batang cangkul itu diperbuat daripada kayu. Oleh itu ia tidak berharga dan tidak patut diambil. Lalu batang cangkul itu pun dicabut daripada matanya. Mata besi cangkul itu pasti dapat dijual mahal memandangkan ianya agak berat.
Sekarang setiap penyamun itu ada barang besi masing-masing untuk dijual.
“Hoi!” tiba-tiba mereka mendengar suara jeritan. Mereka menoleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki tua mengayuh basikal dengan laju ke arah mereka.
“Lari!” penyamun yang memegang mata cangkul menjerit. Maka bertempiaranlah kedua-dua penyamun itu melarikan diri menuju semak belukar nun jauh di pinggir bendang. Mereka menyelinap ke dalam semak-samun dan hilang dari pandangan lelaki tua berbasikal tadi. Setelah memastikan lelaki tua tadi tidak lagi mengejar mereka, penyamun-penyamun itu merebahkan badan ke atas tanah untuk melepaskan penat.
“Kita selalu saja dapat barang besi. Sudahlah besi ini berat, kalau kita selalu kena kejar macam ini, boleh mati kita. Mana terdaya kita nak lari sambil pikul besi,” luah penyamun yang memegang kuali dengan termengah-mengah.
“Aku rasa, lagi bagus kita curi duitlah. Duit tidak berat macam besi. Lagipun, besi ini kita bawa berat-berat, bila jual dapat duit tidak banyak sangat,” kata Penyamun Mata Cangkul pula.
“Macam mana kita nak curi duit ya? Di mana orang-orang kampung simpan duit?” tanya Penyamun Kuali.
“Aku dengar ada orang cakap, ramai orang kampung simpan duit dalam ASB,” kata Penyamun Mata Cangkul.
“ASB itu apa?” soal Penyamun Kuali.
“Entah, aku pun tak tahu. Mungkin Atas Sarang Burung?” teka Penyamun Mata Cangkul.
“Bodoh. Mana ada orang simpan duit atas sarang burung?” sanggah Penyamun Kuali. “Kalau burung itu curi, habislah duit itu. Aku rasa ASB ini maknanya Atas Sayup Bumbung,” dia meneka pula.
“Kalau atas bumbung, macam mana kita hendak ambil? Aku tidak pandai memanjat. Engkaulah yang kena panjat,” ujar Penyamun Mata Cangkul.
“Aku pun tidak pandai memanjat,” balas Penyamun Kuali.
“Habis, macam mana kita hendak ambil duit itu?” Penyamun Mata Cangkul mengerutkan kening.
“Apa kata kita pakai toyol. Toyol memang handal dengan kerja-kerja mencuri duit ini,” cadang Penyamun Kuali.
“Di mana kita nak dapatkan toyol?” soal Penyamun Mata Cangkul.
“Kita tangkaplah,” balas Penyamun Kuali pendek.
“Pandaikah engkau menangkap toyol? Aku tidak pandai,” kata Penyamun Mata Cangkul.
“Ya tak ya juga. Kita beli sajalah,” cadang Penyamun Kuali.
“Di mana kita nak beli toyol?” soal Penyamun Mata Cangkul.
“Pasti ada orang jual toyol. Mungkin kita dapat beli di ladang ternak,” ujar Penyamun Kuali.
“Ladang ternak toyol? Tak pernah aku dengar ada orang ternak toyol. Ladang ternak kambing adalah tepi bukit di hulu kampung sana. Kita pakai kambing boleh?” cadang Penyamun Mata Cangkul.
“Kambing nak buat apa? Kambing tidak reti mencuri duit. Curi pucuk ubi, tahulah dia,” bantah Penyamun Kuali.
Kedua-duanya pun termenung mencari idea bagaimana hendak mendapatkan toyol.
“Masalah betul. Di mana ada orang ternak toyol ya?” kata Penyamun Mata Cangkul sambil menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
“Orang tidak ternak toyol beratus-ratus ekor, tetapi orang bela toyol seekor dua sahaja,” kata Penyamun Kuali.
“Siapa yang bela toyol? Engkau kenalkah?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
“Payah nak kenal orang bela toyol ni. Kalau ada pun mereka tidak akan mengaku,” kata Penyamun Kuali.
“Kalau aku tahu siapa ada toyol, aku akan culik toyol dia,” Penyamun Mata Cangkul bertekad lalu menumbuk tanah.
“Warghh… Ini dia toyol! Hahahaha…” sergah Belukang yang tiba-tiba terjun dari dahan tempatnya termenung dan jatuh betul-betul di depan kedua-dua penyamun itu. Sejak dari tadi lagi dia memerhatikan gelagat dan mendengar perbualan kedua-dua penyamun itu dari atas. Dia yang masih diselaputi lumpur kelihatan betul-betul macam toyol.
“Eh, toyol!” jerit penyamun yang memegang kuali.
“Lari! Lari!” jerit penyamun yang memegang mata cangkul pula. Mereka terus lari litang pukang meninggalkan barang-barang curian mereka di situ. Belukang tertawa besar setelah mereka hilang di celah-celah semak.
Belukang memungut barang-barang curian penyamun-penyamun itu dan membawanya pulang ke rumah. Sebelah tangannya memegang kuali yang dijunjung, Sementara sebelah lagi tangannya membimbit mata cangkul.
*****
Di bawah sinaran bulan purnama di sebuah taman bunga yang indah, sepasang dua sejoli sedang leka memadu kasih. Si dara riang duduk di buai yang digantung pada pohon beringin rendang, manakala si uda menghayun buai itu dengan perlahan dari belakang. Itulah pasangan kekasih yang paling bahagia di dunia, iaitu Pak Belukang dan Seri Ayu.
“Udara malam ini sungguh nyaman ya, kanda?” Seri Ayu memecah kesunyian.
“Ya, dinda. Udara nyaman, uda dan daranya pun aman. Suasana indah sekali,” balas Pak Belukang.
Seri Ayu ketawa manja. Kemudian dia menjual pantun dengan malu-malu.
Gulai masin sekawah hangit,
Ramai berebut mencecah roti,
Kasihnya dinda setinggi langit,
Sudikah kanda sehidup semati?
Pak Belukang tersenyum dengan mata menyorot jauh ke depan. Kemudian dia menjawab.
Kerbau bergusti hidung melecur
Itik berlaga patah sendi
Biar pun mati jasad hancur
Kita ke syurga cinta abadi
Sebelum sempat Seri Ayu membuka mulut untuk menjual pantun lagi, sebuah pantun lain dijual oleh orang ke tiga tanpa diduga.
Kambing rebah masuk guni,
Tungau sesat celah bulu,
Cis! bedebah kalau berani,
Mari langkah mayat aku dulu.
Pak Belukang dan Seri Ayu berpaling ke samping, didapati ada seorang pemuda sedang menuding jari kepadanya dengan lagak yang kurang ajar. Bersama pemuda itu adalah lelaki yang amat dikenali Pak Belukang, iaitu YB Sumbing. Dengan berangnya Pak Belukang membalas,
Panggang kambing dengan lembing,
Anak pepijat dalam mi,
Pemuda asing YB Sumbing
Apakah hajat mengganggu kami?
YB Sumbing kelihatan mahu menjawab tetapi ditegah oleh pemuda itu. Pemuda itu mara untuk berdepan dengan Pak Belukang sehingga jarak diantara mereka kira-kira dua langkah sahaja.
Mata kuyu tiga suku,
Sudah lama mabuk pinang,
Seri Ayu milik aku,
Cukup purnama kami bertunang.
Kesabaran Pak Belukang sudah sampai kemuncaknya. Dia mencabut keris dari sarung yang tersisip dipinggangnya. Serta-merta pemuda itu mencabut kerisnya juga. Dengan lantangnya Pak Belukang membalas,
Dua tiga lebai berlari,
Mana nak sama si lebai malang,
Wahai durjana tak sedar diri,
Sekejap lagi nyawa kau hilang.
Pak Belukang dan pemuda itu pun membuka langkah silat dan bertarung dengan sengitnya. Namun Pak Belukang kelihatan lebih pantas menyerang serta menangkis serangan pemuda itu. Dalam satu serangan balas, Pak Belukang berjaya menikam rusuk kiri pemuda itu. Pemuda itu menjerit kesakitan lalu rebah ke tanah.
Melihatkan Pak Belukang begitu handal bertarung dan dalam masa yang singkat sahaja dapat menewaskan pemuda itu, YB Sumbing mula berubah fikiran. Dengan takut-takut dia berpantun,
Jangan gagap jawab periksa,
Makan puyu kuat memori,
Pak Belukang wira gagah perkasa,
Ambillah Seri Ayu buat isteri
Pak Belukang ketawa bangga. Kemudian dia memandang buah hatinya, Seri Ayu. Seri Ayu pula tersenyum gembira melihat ‘prince charming’nya adalah seorang pahlawan yang hebat bertarung. Pak Belukang membalasnya dengan senyuman yang lebar sekali. Hatinya puas sungguh.
“Abah…” Seri Ayu memanggil. Hati Pak Belukang berbunga kembang. Belum pun dia berkahwin dan menjadi bapa kepada anak Seri Ayu, buah hatinya itu sudah memanggilnya dengan nama timangan yang sungguh manja iaitu, ‘abah’.
Belukang terus memanjat tangga setibanya di rumah. Dia melihat ayahnya masih bergulung dalam selimut, asyik amat melagukan irama dengkur. Kebetulan Pak Belukang tidur mengiring dan menghadap muka pintu. Jadi Belukang dapat melihat muka ayahnya tersenyum lebar itu. Tidur dalam imankah? Tanya Belukang dalam hati. Tetapi berdengkur sambil senyum ini satu keadaan yang menarik juga.
“Abah,” panggil Belukang dengan lembut.
Pak Belukang tersengih menampakkan gigi pula, tetapi matanya tetap terkatup.
“Itu tengah mimpi apa-apalah tu,” rungut Belukang sendirian. “Hm… biar aku kenakan si pemalas ini,” katanya lagi.
“Hahahaha…” Belukang buat-buat ketawa seram sambil mencakar-cakar pintu rumah.
Muka Pak Belukang yang sedang senyum itu tiba-tiba bertukar menjadi keruh.
“Hahahaha…” Belukang ketawa bertambah kuat.
Pak Belukang membuka mata. Matanya berkelip-kelip seketika sebelum menjadi luas terbelalak bila melihat sesuatu yang sungguh menyeramkan.