Isnin, 26 September 2011

Madu Tiga Suku bab 4

(Nota: Novel Pirody ini sedang dalam proses akhir untuk diterbitkan.)

 Kawin Syarat Jaminan

            Kereta peronda model Proton Waja sedang meluncur laju menuju ke Balai Polis Marang. Jamilkhir duduk di depan sebelah pemandu sementara Hasnina bersama dengan seorang pegawai polis yang mengawalnya mengambil tempat duduk di belakang.
            “Tuan, tidak perlulah diperpanjangkan kes ini. Semua barang-barang saya yang hilang sudah pun dijumpai kembali. Saya sedia berunding dengannya di luar,” Jamilkhir memulakan bicara.
            “Ragut ini adalah jenayah serius. Kita kena siasat dulu,” kata pegawai pegawai polis yang sedang memandu.
            “Tuan, saya sudah memaafkan perempuan ini, tuan. Tidak perlulah dibuat laporan,” rayu Jamilkhir lagi. Sebenarnya dia tidaklah mahu dibawa ke balai polis sangat. Apa lagi membuat laporan kejadian ragut palsu rekaannya itu. Tujuannya adalah semata-mata untuk melarikan diri daripada Haji Razali sahaja.
            “Baiklah, kalau begitu sudah kata kamu. Tetapi kamu berdua akan dibawa ke balai juga. Saya mahu ambil salinan kad pengenalan kamu berdua sebagai langkah keselamatan, jika perbincangan kamu berdua gagal mendapat kata sepakat. Saya mahu kamu berdua berbincang di balai polis juga. Bukan di tempat lain,” tegas pegawai polis yang mengawal Hasnina di belakang.
            Jamilkhir berpaling kebelakang dan mengangguk-angguk. “Baiklah tuan,” katanya lega. Sempat juga dia memberikan sekuntum senyuman pada Hasnina. Hasnina cepat-cepat memandang ke arah lain.
            Sebenarnya di dalam diam, Hasnina sudah merangka rancangan tindak balas jika keadaan tidak memihak kepadanya nanti. Itulah kelebihan pada Hasnina. Sebagai orang yang terpelajar, dia tidak terus melenting dan bertindak melulu. Banyak baiknya jika bertindak bijak dan mencari masa yang tepat.
            Bila tiba di balai polis, mereka dibawa masuk ke sebuah bilik. Di bilik itu terdapat sebuah meja panjang dan dikelilingi dengan kerusi. Mungkin ini bilik mesyuarat ataupun bilik operasi. Gari di tangan Hasnina dibuka. Baju kot bersama dengan dompet dan telefon bimbit yang dikatakan barang ‘ragut’ dikembalikan kepada Jamilkhir.
            “Baiklah, kami akan tinggalkan kamu di sini untuk berbincang dahulu. Serahkan pada saya kad pengenalan kamu berdua,” pinta pegawai polis. Jamilkhir dan Hasnina akur memberi kad pengenalan masing-masing.
            “Jika sudah selesai nanti, beritahu pada kami. Dan jika ada apa-apa masalah juga, beritahu kami terus,” tambah pegawai polis itu lagi.
            “Baiklah, terima kasih tuan,” balas Jamilkhir.
            Setelah pegawai-pegawai polis keluar dari bilik itu, Jamilkhir segera melutut di kaki Hasnina. “Nina, maafkan abang.”
            Hasnina berpeluk tubuh. Dia memandang Jamilkhir di bawah dengan perasaan meluap-luap. Dia nampak Jamilkhir kecil sahaja sekarang, bagaikan seekor lipas yang boleh dipijak menjadi penyek.
            Jamilkhir mendongak ke atas. “Nina, mari abang hantarkan Nina pulang, ya?” ajaknya.
            “Abang sudah nak pulang ya? Ai, senangnya?” Hasnina mengejek.
            “Abang tahu abang salah, tapi abang terpaksa buat macam ini?” Jamilkhir bercakap macam berbisik pula.
            Hasnina mendegus. “Huh, siapa yang paksa abang buat?”
            “Nina, tolonglah faham keadaan abang ini?” Jamilkhir mahu memegang kaki Hasnina, namun Hasnina cepat-cepat berundur.
            “Keadaan abang saja nak Nina yang kena faham? Keadaan Nina macam mana?” Hasnina menempelak.
            Jamilkhir memejamkan mata. “Abang faham keadaan Nina. Abang tahu Nina marahkan abang. Maafkan abang, ok?” romantik sekali dia merayu.
            “I’m not ok, please! Can you explain to me, what was just happened?” keras sekali nada Hasnina meningkah.
            Jamilkhir termanggu-manggu. “Abang sudah menuduh Nina ragut abang…”
            “And why?” potong Hasnina dengan cepat.
            Jamilkhir bagaikan cicak tertelan kapor. “Abang tak tahu macam mana nak jelaskan…”
            “Ok, kalau abang tak tahu, biar Nina yang jelaskan. Nina sudi terima pelawaan abang untuk keluar makan sebab Nina percayakan abang. Tapi entah konspirasi apa yang abang buat, abang bawa orang pejabat agama dan polis datang serbu pejabat Nina. Kemudian abang tuduh Nina ragut abang, lepas tu suruh polis tangkap Nina dan bawa ke balai. Abang fikir abang mahu buat apa dengan Nina? Buat lawak?” bertalu-talu Hasnina meluahkan amarahnya.
            “Sabar dulu Nina, bawa bertenang. Kita keluar dulu dari balai polis ini dan kita bincang di luar, ok?” Jamilkhir memujuk lagi.
            “No! Abang fikir abang boleh lari selamatkan diri macam itu saja?” bantah Hasnina.
            Jamilkhir menggeleng-gelengkan kepala. “Bukan menyelamatkan diri. Tapi menyelamatkan Nina daripada ditahan polis.”
            “No way! No such thing on rescueing me. I’ll tell the truth to the police officer and you will take over my place as a prisoner,” Hasnina mengugut pula.
            “Tolong jangan pecahkah rahsia, Nina. Matilah abang. Nina pun akan dapat malu juga. Baiklah, abang mengaku, abang buat salah. Abang akan tebus kesalahan abang, abang janji. Tapi kita mesti keluar dari sini dulu dengan segera,” rayu Jamilkhir lagi.
            “Tidak boleh. Semuanya abang kena selesaikan di sini juga. Muktamad!” Hasnina terus berkeras.
            Kesabaran Jamilkhir sudah sampai ke kemuncaknya. “Nina, jikalau kita tidak lari dari Haji Razali tadi. Sudah tentu kita akan di tuduh berkhalwat. Malu kita nanti, Nina. Di mana kita nak sorokkan muka kita ini?”
            “Biarlah dituduh berkhalwat. Kita kawin terus sahaja. Bukankah abang sudah berjanji nak berkawin dengan Nina?” jawapan Hasnina membuatkan Jamilkhir terpegun.
            “Ya, memang betul abang sudah berjanji nak kawin dengan Nina, tapi bukan sekarang. Abang belum bersedia lagi. Sekurang-kurangnya berilah abang masa dua tiga bulan lagi. Kita buat majlis kawin bagus-bagus. Bukannya kawin tergesa-gesa sebab ditangkap khalwat,” Jamilkhir memberikan pertimbangan yang waras. Padanya perkahwinan ini mesti dibuat dengan rapi agar tidak dapat dihidu oleh Liafara. Dia sedia maklum, Liafara tidak akan sekali-kali membenarkan dia berkahwin lain.
            Hasnina mencebik bibir. Dia memandang ke arah lain. Alasan Jamilkhir itu tidak akan dibenarkan masuk ke dalam otaknya.
            “Nina sepatutnya sudah berterima kasih pada abang sebab menyelamatkan Nina dari Haji Razali tadi,” ujar Jamilkhir. Kali ini tiada lagi nada merayu pada suaranya.
            “Abang memang pentingkan diri sendiri. Abang sanggup menjadikan Nina kambing hitam semata-mata untuk menyelamatkan diri. Apalah yang abang takut sangat dengan Haji Razali tu?” Hasnina menghambur marah semula.
            “Abang bukannya takut pada Haji Razali. Tapi kalau berita kita ditangkap khalwat sampai ke telinga Liafara isteri abang, matilah abang,” jelas Jamilkhir.
            “Nina tak kira. Itu masalah abang. Yang Nina mahu sekarang abang kena bayar ganti rugi,” bentak Hasnina.
            Jamilkhir terkejut. “Alamak… ganti rugi macam mana? Apa yang Nina mahu?”
            “Good question. Dah lama Nina tunggu soalan itu. Ok, sekarang Nina mahu dalam masa seminggu ini, abang mesti kawin dengan Nina,” Hasnina bersuara lunak manja pula.
            “Abang…” Jamilkhir terbatuk lalu tersedak tiba-tiba.
            “Nanti dulu, Nina belum habis cakap lagi. Lepas kawin, abang kena belikan Nina sebuah rumah dan sebiji kereta. Muktamad. Sebarang rayuan tidak akan dilayan. Adil, bukan?” Hasnina senyum mengerepot.
            “Tidak adil. Berilah abang kelonggaran masa. Abang sudah ada isteri. Bukan mudah nak berkawin ke dua ni. Nina, tolonglah dengar rayuan abang,” gesa Jamilkhir.
            “Tadi sewaktu abang tuduh Nina dan suruh polis tangkap Nina, ada abang nak dengar rayuan Nina?” jerit Hasnina kuat dengan tiba-tiba. Tentu sekali suaranya dapat didengari dari luar bilik itu.
            Jamilkhir menarik nafas panjang untuk meredakan hatinya yang makin panas. “Abang tidak boleh terburu-buru berkawin dengan Nina…”
            Hasnina terus sahaja meningkah sebelum sempat Jamilkhir habis bercakap. “Kalau abang mahu berdolak dalih lagi, ok, fine. Nina akan buat report polis dan akan tuntut saman malu di mahkamah!” semakin keras dan lantang jeritan Hasnina. Muka Jamilkhir terkedu.
            Benar jangkaan Jamilkhir, beberapa saat kemudian kedengaran derap sepatu berkejar mendekati bilik itu. Pintu bilik terkuak dan mucullah pegawai polis yang menangkap Hasnina tadi.
            “Ya, ada apa-apa masalah? Boleh saya bantu?” tanya pegawai polis itu.
            Cepat-cepat Jamilkhir bangun lalu menarik pegawai polis itu ke luar sebelum sempat Hasnina membuka mulut. Mereka mengambil tempat duduk di depan kaunter pengaduan. Waktu itu tempat itu lengang, tiada orang ramai yang datang membuat laporan, hanya ada seorang lagi anggota polis yang bertugas di kaunter.
            “Biarkan dia tuan pegawai polis. Dia marah sedikit dengan saya,” kata Jamilkhir.
            “Apa susah-susah kamu mahu bincang dengan dia lagi? Kamu buat saja laporan polis. Kemudian dia akan didakwa di mahkamah dan kena hukum penjara, habis cerita,” balas pegawai polis itu.
            “Tidak perlulah tuan. Masalah kecil saja, tidak perlulah diperbesar-besarkan,” Jamilkhir mempertahankan tindakannya.
             “Mengapa kamu tidak mahu buat laporan polis? Bukankan polis ada untuk selesaikan masalah kamu. Kita ada undang-undang. Undang-undang juga akan bantu kamu dapatkan keadilan,” saran pegawai polis lagi.
            “Saya sudah jatuh hati padanya tuan. Kalau boleh saya nak kawin dengan dia tuan,” kata Jamilkhir dengan tersipu-sipu. “Saya sudah cakap pada dia, kalau dia bersetuju kawin dengan saya, dia akan dibebaskan.”
            “Kamu mahu kawin dengan orang yang meragut kamu? Apa kamu sudah gila?” sanggah pegawai polis dengan air muka yang sangat terkejut.
            “Cinta itu buta, tuan. Ia boleh datang di mana sahaja dan pada sesiapa sahaja,” Jamilkhir bermadah cinta pula.
            “Ada pepatah orang-orang tua yang biasa saya dengar, diberi madu dibalas tuba. Tetapi kamu ini terbalik pula. Dia beri kamu tuba, kamu balas madu pula,” pegawai polis itu menggeleng-gelengkan kepala.
            “Ya, benar sekali, tuan. Kalau tuan sudah sebut madu, itu memang tepat sangat. Saya akan jadikan dia sebagai madu untuk isteri pertama saya nanti,” kata Jamilkhir dengan tersenyum simpul.
            “Yakah? Hahaha…” pegawai polis itu ketawa. Jamilkhir turut ketawa, ketawa ada makna, bisik hatinya.
            “Adakah perempuan itu sudah tahu yang kamu sudah ada isteri?” tanya pegawai polis setelah ketawanya mereda.
            “Dia sudah tahu, sebab itulah dia berat sikit nak setuju,” balas Jamilkhir.
            “Kalau dia terus tidak setuju, bagaimana?” tanya pegawai polis lagi.
            “Biasalah orang perempuan ini tuan. Dia berdalih mula-mula bukannya kerana tidak mahu, tapi malu nak mengaku. Dia buat-buat jual mahal itu,” kata Jamilkhir lalu tertawa.
            Jamilkhir bangun dari kerusi. “Sekarang saya hendak pergi memujuknya semula,”
            Namun pegawai polis itu menegahnya. “Sekarang dia masih agresif, baik kamu pulang dulu. Biarlah dia bertenang dulu, beri masa dia berfikir malam ini. Esok kamu datang semula pujuk dia lagi.”
            Jamilkhir kaget. “Bagaimana pula dengan dia? Di mana dia tinggal malam ini?” tanyanya.
            “Dia tidur di lokap sajalah,” ujar pegawai polis selamba.
            Jamilkhir menggaru-garu kepala. “Tidak sampai hati saya tinggalkan dia di sini, tuan,” katanya risau.
            “Tak perlulah kamu berlembut sangat dengan penjenayah seperti dia. Biarlah dia dapat pengajaran sikit dengan tidur di lokap ini. Dia tidak akan kebuluran atau dianiaya di sini. Kami ada pegawai perempuan yang akan mengawasi dia,” tegas pegawai polis itu.
            Jamilkhir mati akal. Jika dia terus mendesak, dibimbangi akan menjurus kepada kebocoran rahsianya pula nanti. Itu lebih teruk akhibatnya. Dia ragu-ragu dengan arahan pegawai polis itu, tetapi dia tiada pilihan lagi. Dia terpaksa beralah dengan Hasnina dan juga pihak polis.
            “Tuan, berikan saya masa dua minit untuk saya berjumpa dengannya. Saya ingin mengucapkan selamat malam dan memaklumkan padanya yang saya akan datang mengambilnya esok pagi,” pinta Jamilkhir.
            “Baiklah. Silakan masuk,” balas pegawai polis itu.
            “Terima kasih tuan,” Jamilkhir segera masuk kembali ke bilik mesyuarat.
            “Baiklah Nina, abang setuju dengan semua permintaan Nina. Tapi dengan satu syarat. Abang kena datang esok pagi untuk ambil Nina hantar pulang. Pegawai polis itu mahu memantau Nina untuk sementara waktu. Tapi Nina usah khuatir. Nina tidak akan diapa-apakan. Sementara ada masa semalaman di sini, Nina fikir dulu masak-masak untuk bermadu ini. Abang tiada masalah untuk menerima Nina sebagai isteri. Kita akan kawin dalam minggu ini juga,” kata Jamilkhir.
            Hasnina menghela nafas lega. “Baiklah, jika abang tidak sampai sebelum pukul lapan pagi esok, Nina akan buat laporan polis dan dakwa abang. Ingat tu,” pesannya.
            “Abang janji akan datang sebelum pukul lapan pagi esok. Bye,” ucap Jamilkhir lalu berlalu keluar.
            Jamilkhir pulang dengan penuh sesalan. Tidak dijangkanya masalah ini akan meleret hingga keadaan seperti sekang. Tak pasal-pasal Hasnina pula terpaksa bermalam di lokap polis. Nampaknya nasib Jamilkhir diibaratkan seperti terlepas dari mulut harimau, mahu jatuh pula ke mulut buaya. Terselamat daripada Haji Razali, sekarang tersangkut dengan pihak polis pula.
            Kedudukan yang sungguh bahaya. Bila-bila masa sahaja Hasnina boleh membuka mulut menceritakan perkara sebenar. Malah dia mungkin akan menuduhnya lebih daripada itu. Menculik ataupun cuba membunuh misalnya.
            Malam itu Jamilkhir gelisah. Dia tidak dapat melelapkan mata walaupun jam sudah menunjukkan pukul tiga pagi. Dia bimbang sekiranya Hasnina berpaling tadah dan membocorkan rahsia mereka kepada pihak polis. Liafara kelihatan begitu enak berdengkur di sebelahnya. Tiada siapa tempat Jamilkhir dapat mengadu sekarang. Nak minta bantuan dari Liafara? Samalah seperti memetik suis bom jangka. Kalau meledak, satu bandar akan hancur!
            Begitu juga dengan keadaan Hasnina di dalam lokap polis. Dia pun tidak dapat melelapkan mata. Selain keadaan yang tidak selesa, dia juga bimbang sekiranya Jamilkhir memungkiri janji untuk tidak datang esok pagi dan terus melarikan diri. Namun dia sudah bertekad, walau apa pun terjadi, Jamilkhir tetap dalam genggamannya.
            Pagi esoknya, seperti yang dijanjikan, Jamilkhir sudah terpacak di depan balai polis sebelum tanah betul-betul terang lagi. Sebaik sahaja balai polis di buka, dia terus masuk untuk mengambil Hasnina. Mujurlah Hasnina setia pada janjinya tidak membocorkan rahsia.
            Hasnina pun di hantar Jamilkhir pulang ke rumah. Dia hendak mengambil cuti sakit hari itu kerana ingin berehat.