Sabtu, 10 September 2011

Madu Tiga Suku bab 3

(Nota: Novel Pirody ini sedang dalam proses akhir untuk diterbitkan.)

Pencopet Dompet

            Jamilkhir membuka pintu keretanya. Tempat parkir kederaan itu lapang sahaja. Hanya tinggal tiga empat buah petak parkir sahaja yang masih mempunyai kereta. Maklumlah, jam ditangan Jamilkhir sudah menunjukkan pukul enam sepuluh minit petang. Kebanyakan warga kerja di Wisma Dato’ Salladin itu sudah pun pulang.
            Jamilkhir mengatur langkah ke pintu masuk. Dia menyapa pengawal keselamatan yang ada di lobi. Jamilkhir sudah mengenalinya kerana dia sudah beberapa kali ke situ. Kali ini dia datang untuk menjemput Hasnina untuk keluar makan bersama sambil membincangkan rancangan perkahwinan mereka.
            Jamilkhir memanjat tangga untuk ke tingkat satu, di mana letaknya pejabat syarikat Lip Lap Sdn Bhd, tempat Hasnina berkerja. Dia menekan punat buzzer di tepi pintu. Daripada kaca lutsinar itu, dia dapat melihat Hasnina keluar dari biliknya lalu menuju ke pintu utama dengan tersenyum.
            “Assalamualaikum, maaf abang sampai lewat sedikit,” ucap Jamilkhir selepas pintu dikuak Hasnina.
            “Tak apa. Sebenarnya Nina pun belum dapat keluar lagi. Ada sedikit kerja lagi saya perlu selesaikan petang ini juga,” sambut Hasnina.
            Jamilkhir menjenguk ke dalam pejabat. Suasana dalam pejabat itu nampak lengang sahaja. “Orang lain sudah pulangkah?” tanyanya.
            “Semua sudah pulang. Tinggal Nina seorang saja sebab Nina sedang menunggu email pengesahan pesanan barang daripada satu pelanggan penting. Kalau kita berdua sahaja di sini, Nina bimbang nanti kalau-kalau ada penguatkuasa agama datang serbu kita,” kata Hasnina.
            “Jangan bimbang, orang-orang penguatkuasa agama itu semuanya abang kenal,” kata Jamilkhir dengan mengenyitkan sebelah matanya.
            “Kalau begitu, masuklah,” pelawa Hasnina. Jamilkhir pun melangkah masuk.
            “Abang Jamil duduklah dulu di sofa ruang pelawat ini, sementara Nina selesaikan kerja Nina di dalam ya,” kata Hasnina.
            “Berapa lama?” tanya Jamilkhir.
            “Tak lama. Mungkin dalam setengah jam lagi,” jawab Hasnina.
            “Baiklah. Nina pergi siapkan kerja dulu. Abang tunggu di sini,” kata Jamilkhir.
            “Terima kasih abang,” ucap Hasnina lalu berlalu ke biliknya.
            Jamilkhir menanggalkan baju kotnya lalu menyangkut pada satu cangkuk berhampiran dengan lampu dinding. Dia merebahkan badannya ke sofa. Untuk sementara waktu ni, dapatlah dia melepaskan penat seketika. Dengan meletakkan tangannya ke dahi, Jamilkhir merenung siling. Lima minit kemudian matanya mula melayu. Dia terus melayan angan-angan hingga terlelap.
            “Abang, bangun!”
            Jamilkhir tersentak setelah bahunya digoncang.
            “Abang, pegawai agama datang. Tengok CCTV tu,” kata Hasnina sambil menunjuk pada skrin yang terletak di atas pintu masuk.
            “Nasib baik pak gauard di bawah tu telefon beritahu cepat. Apa kita nak buat sekarang ni bang,” gesa Hasnina.
            Melalui kamera litar tertutup di ruang tangga, mereka mendapati sekumpulan pegawai penguatkuasa agama bersama dua orang pegawai polis bergerak naik menuju ke pejabat Lip Lap Sdn Bhd ini. Jamilkhir lantas mengenali pegawai-pegawai penguatkuasa agama itu. Namun dia terperanjat, salah seorang daripada mereka adalah Haji Razali, Ketua Pegawai Agama Daerah.
            “Mengapa pula Tuan Haji Razali ikut buat operasi.,” Jamilkhir bertanya sendirian. Sepengetahuannya, amat jarang sekali Haji Razali turun bersama melakukan operasi kecuali operasi besar-besaran ataupun atas arahan dari Pejabat Agama Negeri.
            Ini sudah tidak boleh jadi, detik hati Jamilkhir. Baru tengah hari tadi, semasa dalam satu mesyuarat, dia bertikam lidah dengan Haji Razali berkenaan dengan proses tuntukan nafkah satu pasangan. Memang salah Haji Razali sendiri kerana melengah-lengahkan urusan itu.
            Apa yang lebih parah lagi, Jamilkhir telah memalukan Haji Razali di depan ketua-ketua unit yang lain. Dia terlepas cakap ‘kepimpinan melalui teladan’ tanpa sengaja kerana fikirannya telah dikuasai emosi. Haji Razali berasa sungguh tersindir. Tentu sekali marah Haji Razali padanya belum benar-benar reda lagi. Jamilkhir tidak sempat berbuat apa-apa untuk menjernihkan hubungannya dengan Haji Razali hari ini. Dia sudah bercadang untuk memujuk bosnya pada esok hari.
            Dan sekarang Haji Razali sendiri yang datang menyerbunya. Dalam keadaan berdua-duaan di tempat yang tertutup begitu dan boleh menimbulkan syak, Jamilkhir dan Hasnina boleh dituduh berkhalwat. Sudah tentu ini peluang keemasan Haji Razali memulangkan paku buah keras padanya.
            Jamilkhir faham benar dengan perangai Haji Razali. Walaupun dia suka mendengar pandangan orang lain, namun jarang sekali orang lain dapat mengubah apa-apa keputusan yang dibuatnya. Akan dibalasnya pula dengan seribu alasan dan sebab.
            Ini sudah tidak boleh jadi. Jamilkhir bingkas bangun lalu berlari ke tingkap. Nasib baiklah pejabat Hasnina itu hanya berada di aras dua, tidaklah tinggi sangat. Tanpa berfikir panjang, Jamilkhir terus memanjat tingkap lalu terjun ke bawah. Dia mendarat dengan kaki dahulu mencecah tanah lalu digulingkan tubuhnya untuk menyerap hentakan. Oleh itu dia tidak mendapat apa-apa kecederaan.
            Jamilkhir mendapatkan keretanya. Ketika mahu membuka pintu kereta, barulah dia tersedar yang kunci keretanya berada di dalam poket baju kot. Baju kotnya pula tertinggal di pejabat Hasnina. Dalam kelam-kabut menyelamatkan diri tadi, dia terlupa langsung akan baju kotnya itu. Turut ada bersama baju kotnya ialah dompet dan telefon bimbitnya. Jamilkhir melepaskan keluhan berat.
            Jika dia terus melarikan diri sekarang pun tidak berguna juga. Sudah tentu Haji Razali mengetahui yang dia telah berada di situ sebelum itu bepandukan dokumen-dokumen pengenalan diri yang ada di dalam dompetnya. Jamilkhir memerah otak mencari jalan untuk merungkai masalah yang terdesak ini.
            Maka terlintaslah di otak Jamilkhir akan satu idea yang agak kurang senonoh. Dia bertenang untuk mengumpul kekuatan diri. Dia juga menunggu masa yang terbaik untuk bertidak. Selepas benar-benar yakin dan bersedia, Jamilkhir pun masuk semula ke dalam Wisma Dato’ Salladin. Dia memberikan isyarat jari telunjuk ke bibir kepada pengawal keselamatan agar tidak memaklumkan akan kedatangannya kepada Hasnina. Jamilkhir memanjat tangga dengan penuh waspada.
            Dari luar pejabat, Jamilkhir melihat pegawai polis sedang memegang baju kotnya. Dengan segera dia menerjah masuk.
            “Ini baju kot lelaki. Di mana tuan empunya baju kot ini?” kedengaran pegawai polis itu bertanya pada Hasnina.
            “Oh, ini dia penyamun baju kot saya ya!” sergah Jamilkhir dengan segera, sebelum sempat Hasnina membuka mulut. Semua orang berpaling pada Jamilkhir. Masing-masing terpinga-pinga. Lebih-lebih lagi Haji Razali dan pegawai-pegawainya yang lain. Seorang pegawai polis lagi memegang pistolnya di pinggang sebagai langkah berjaga-jaga.
            “Abang Jamil?” terpancul dari mulut Hasnina. Dia kelihatan kaget.
            “Kamu kenal dia?” tanya Haji Razali.
            “Dia…” kata-kata Hasnina terputus.
            “Dialah yang meragut saya semasa saya makan di restoren tadi,” jerkah Jamilkhir segera memotong Hasnina. Hasnina terpinga-pinga. Lidahnya menjadi kelu. Dia sungguh keliru. Pakatan konspirasi apa pula ini? Hatinya bertanya-tanya.
            “Kamu siapa?” tanya Pegawai polis yang mamagang baju kot Jamilkhir.
            “Sayalah pemilik baju kot itu. Kalau tuan tidak percaya, periksalah dompet dan telefon bimbit yang ada di dalam poket sebelah dalam baju kot itu,” kata Jamilkhir dengan berani.
            Pegawai polis itu mengeluarkan telefon bimbit dan dompet daripada bajukot itu. Dia mengeluarkan beberapa keping kad dan menelitinya.
            “Apa nama kamu?”
            “Nama saya Jamilkhir bin Bedroom,”
            “Nombor kad pengenalan?”
            “730524-11-5573”
            “Alamat pada kad pengalan?”
            “435-T Jalan Mesra 5, Taman Mesra Jaya, 21600 Marang, Terengganu.
            “Apa jenis telefon bimbit kamu pakai?”
            “Sony Ericsson W910i warna emas. Ada pelekat nama saya di bahagian belakang telefon bimbit itu,” kata Jamilkhir dengan lancarnya.
            “Ya, semua maklumat kamu bagi sungguh tepat. Tetapi nanti dulu. Sekejap tadi perempuan ini menyebut nama kamu. Adakah kamu mengenali dia dan sebaliknya?” tanya pegawai polis itu lagi.
            “Sudah tentu dia tahu nama saya sebab dia sudah lihat kad pengenalan di dalam dompet saya itu, tapi saya tidak mengenali dia,” Jamilkhir mengenyit mata pada Hasnina sebagai isyarat jangan berkata apa-apa, sewaktu orang lain tertumpu pada dompet yang dipegang oleh pegawai polis.
            “Jika benar dia meragut baju kot ini daripada kamu, ceritakan bagaimana dia melakukannya. Bukannya senang orang lain nak cabut baju kot ini daripada badan kamu. Apa lagi kalau seorang perempuan yang melakukannya,” kata seorang lagi anggota polis.
            “Selepas makan tengah hari tadi, tubuh saya berasa panas. Saya pun menanggalkan baju kot ini dan mengepitnya dengan tangan. Tiba-tiba ada seorang wanita datang terus merentap baju kot saya,” terang Jamilkhir.
            Anggota polis itu merenung mata Jamilkhir. “Dan bagaimana pula kamu tahu baju kot kamu berada di sini?”
            Jamilkhir terpana. Apa pula jawapan munasabah yang harus diberikannya? Sungguh bijak pegawai polis ini menyelidik. Satu persatu maklumat dikoreknya, walaupun perkara kecil yang tidak sempat dijangka oleh Jamilkhir.
            Nasib baiklah dalam keadaan genting itu melintaslah satu idea di otak Jamilkhir. “Telefon bimbit saya itu ada fungsi GPS. Saya menghubungi syarikat operator rangkaian yang saya pakai pada telefon bimbit itu. Mereka dapat mengesan telefon saya ada di sini kerana telefon saya itu tidak dimatikan. Sudah tentu akhirnya saya dapatlah menjejakinya hingga ke sini,” katanya dengan berani.
            Pegawai polis itu mengangguk-angguk. “Betulkah, begitu?” dia bertanya pada Hasnina. Jamilkhir segera memberikan isyarat mata dan menyerigai gigi pada Hasnina membuatkan dia teragak-agak untuk bercakap. Hasnina yang baru sahaja mahu membuka mulut terdiam kembali.
            “Tidak perlulah cerita panjang lagi, tuan. Bawa saja dia ke balai,” Jamilkhir menekan. Dia mahu situasi konflik di depan Haji Razali itu cepat-cepat berakhir. Lagi lama dia berada di situ, lagi bahaya akan kedudukannya.
            “Baiklah, kamu juga perlu ikut ke balai untuk di ambil kenyataan,” kata Pegawai Polis itu.
            Sebelum bergerak pergi, Pegawai polis itu berpaling pada Haji Razali. “Tuan Haji, kes khalwat sudah bertukar kepada kes jenayah ragut pula sekarang. Saya kira Tuan Haji dan pegawai-pegawai tuan tidak terbabit lagi. Terima kasihlah pada usaha Tuan Haji setakat ini. Biarlah pihak polis sahaja mengendalikan kes ini seterusnya,” katanya.
            “Eh, Tuan Haji Razali. Tuan Haji buat operasikah?” Jamilkhir pura-pura baru menyedari yang Haji Razali ada di situ. Sapaan Jamilkhir itu disambut degusan sinis oleh Haji Razali.
            Sekali lagi Jamilkhir mengenyit matanya pada Hasnina. Hasnina masih tidak faham benar apakah maknanya, namun dia beranggapan yang Jamilkhir sedang berusaha melakukan sesuatu. Oleh itu, Hasnina bertindak menurutnya dahulu dan mahu melihat sejauh mana akan lakonan Jamilkhir itu.
            Haji Razali berdehem sekali. “Saya…”
            Kata-kata Haji Razali terputus apabila Jamilkhir terus memotongnya, “Terima kasih banyaklah Tuan Haji. Berkebetulan sungguh pula operasi Tuan Haji bertembung dengan usaha saya mendapatkan kembali baju kot, dompet dan telefon bimbit saya ini.”
            “Nasib baiklah Tuan Haji membawa pegawai polis bersama. Kalau tidak mungkin perempuan ini melarikannya lagi ataupun dia memanggil kawan-kawannya untuk membelasah saya. Jasa tuan ini akan saya kenang sampai mati. Terima kasih sekali lagi tuan Tuan Haji,” Jamilkhir mencapai tangan Haji Razali lalu menggenggamnya.
            “Tuan pegawai polis, mari kita ke balai sekarang,” gesa Jamilkhir.
            Tangan Hasnina pun digari ke belakang. “Kamu diminta supaya ikut sahaja arahan kami. Jangan cuba melawan,” ujar pegawai polis memberi amaran pada Hasnina.