Dua puluh lima tahun kemudian…
Sebuah lagu berkumandang dari stesen radio Hut FM menghiburkan penghuni-penghuni kota Permaisuri di suatu malam yang dingin.
Ini kisah si jaga burung unta
Hal politik paling dia tak suka
Kocek kering perkara biasa
Tubuh sekeping zat mi segera
Walau yatim dia anak jantan
Terkahwin minah perawan
Kawin percuma baik punya tawaran
Lagi cantik dari Lindsay Lohan
Ahmad Alkebab anak mantap
Di gua berjumpa jin gagap
Si jaga nak kena waran tangkap
Nak masuk lokap
Ahmad Alkebab ibni Sediakawal
Ahmad Alkebab ibni Sediakawal
Ahmad Alkebab ibni Sediakawal
Bunyi radio itu semakin perlahan sehingga lagu habis. Di sebatang jalan di tengah-tengah deretan kedai, seoang lelaki muda turun daripada sebuah prebet sapu buruk lalu menegur sahabatnya yang sedang duduk enak-enak menghisap curut di sebuah bangku di tepi jalan.
“Assalamualaikum,” ucap lelaki muda itu.
“Waalaukummussalam, waalaikummussalam….sila duduk,” jawab sahabatnya ramah.
“Apa khabar kawan?” tanya lelaki muda.
“Khabar baik. Bila engkau sampai dari Golok?” tanya sahabatnya pula.
“Aku baru sampai. Separuh hari naik prebet sapu. Rasa letih sungguh,” jawab lelaki muda itu.
“MasyaAllah. Kau perlu berehat dulu. Nah, pekena ubat ini dulu, pasti engkau berasa segar,” sahabatnya menghulurkan sebatang curut baru kepadanya.
“Apa itu?” tanya lelaki muda sambil menunjuk ke arah papan tanda pada sebuah kedai yang bertulis dalam tulisan jawi.
“Oh… itu Fuusatun Karuuki,” kata lelaki menghisap cerut itu dengan ngalunkan dengungnya.
“Apa itu Fuusatun Karuuki?” tanya lelaki muda pula.
“Pusat karaokelah,” ujar sahabatnya.
“Oh, pusat karaoke. Ingatkan apa tadi. Bunyinya macam bahasa jepun saja, dah dekat nak jadi futsal punya kaki,” kata lelaki muda dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Futsal punya kaki lain tempatlah. Sini payah nak cari orang suka main futsal, tapi kalau orang suka cari pasal, banyakkkk…” kata sahabatnya.
“Ooo…” lelaki muda itu mengangguk-angguk.
Di atas pentas di dalam pusat karaoke itu, kelihatan seorang wanita muda yang cantik sedang menari dengan lemah gemalai sambil berkaraoke lagu cendol nyanyian Siti Nurvaganza. Dia yang berkebaya kilau kemilau mencerut di perut kelihatan seperti labu sayung. Wajahnya bermekap tebal dengan bibir digincu merah menyala serta alis kening buatan sendiri yang halus dan melengkung panjang.
Liuk lentok jari jemari berserta ayunan lenggok pinggangnya seiring dengan rentak lagu itu sungguh mempesonakan. Dia menyanyi dengan penuh perasaan. Betul-betul menghayati.
Tiba dirangkap korus…
“Hendaklah, hendak, hendak ku sawan, hai sayang,”
Sewaktu mengulangi perkataan ‘hendak’ itu beberapa kali, dia menghentak-hentakkan kakinya kuat-kuat ke lantai pentas juga beberapa kali. Berdebum-debum lantai berbunyi. Menghayati lagu dengan penuh perasaanlah itu kononnya.
“Tidaklah, tidak, tidak ku bayar, hai sayang,”
Dan sewaktu mengulagi perkataan ‘tidak’ itu pula, dia mengoncang-goncangkan bahunya dengan pantas pula. Tiba-tiba kelihatan aksesori wanitanya yang dipasangkan di dada sebelah kirinya melurut jatuh ke perut.
“Aww…” dia terkejut lalu segera menekup benda berbentuk seakan kon itu.
“Oh, sorry. Barang mahal I ni jatuh pulak,” keluhnya. Nada suaranya kini berubah menjadi besar, tidak lagi semerdu ketika menyanyi tadi.
Dia kemudiannya meletakkan mirofon di meja lalu berlari turun dari pentas dengan pantas seperti orang jantan. Tanpa dia sedari, rambut palsunya terjatuh lalu terserlahlah kepalanya yang botak berparut.
Bunyi muzik terus beralun. Nun di satu sudut tempat duduk yang eksklusif, kelihatan tiga orang lelaki separuh usia rancak bersembang sambil sesekali ketawa terbahak-bahak. Di celah-celah mereka kelihatan beberapa orang ‘wanita’ ayu yang bertubuh tegap.
“Tak boleh… tak boleh… saya tak setuju, tak setuju betul-betul,” kata lelaki tua berserban arab.
“Kalau pasal kawin, saya ada cadangan baru…” kata lelaki tua berkumis tebal.
“Cadangan bagaimana?” tanya lelaki tua gendut.
“Saya punya anak sudah besar…” kata lelaki tua berkumis tebal.
“Anak tuan besar mana?” tanya lelaki tua gendut.
“Lebih besar dari saya. Saya tak mau dia kawin di rumah. Saya lebih suka dia kawin lari,” kata lelaki tua berkumis tebal.
“Kawin lari bagai mana?” tanya lelaki tua gendut lagi.
“Kawin di Siam,” kata lelaki tua berkumis tebal.
“Silap itu. Itu bukan kawin lari. Itu lari kawin,” ujar lelaki tua gendut.
“Pasal apa pula?” tanya lelaki tua berkumis tebal pula.
“Anak tuan kena lari dulu ke Siam, baru dia boleh kawin. Itu pasallah kita panggil lari kawin,” kata lelaki tua gendut.
“Oo… begitu. Betul juga,” lelaki tua berkumis tebal mengangguk-angguk.
“Pasal apa tuan mahu anak lari kawin?” tanya lelaki tua berserban arab.
“Tak payah saya tanggung. Jimat belanja,” kata lelaki tua berkumis tebal.
“Masalah besar itu nanti,” sampuk lelaki tua gendut.
“Besar atau kecil itu bukan masalah saya. Kalau mereka bikin susah, saya saman saja menantu saya sebab dia yang melarikan anak saya. Dapat duit berpuluh-puluh ribu nanti, saya juga yang kaya. Hahaha…” kata lelaki tua berkumis tebal lalu ketawa terbahak-bahak.
“Saya ada cara lain kalau mahu jimat belanja,” kata lelaki tua gendut pula.
“Macam mana?” tanya lelaki tua berserban arab.
“Saya akan ambil perempuan dari Pusat Pemulihan Baitul Ehsan untuk dikahwinkan dengan anak saya,” kata lelaki tua gendut.
“Pusat batu nisan? Apa tuan mahu ambil orang sudah matikah mahu dikahwinkan dengan anak tuan?” tanya lelaki tua berserban arab.
“Bukan pusat batu nisanlah. Pusat Pemulihan Baitul Ehsan,” tegas lelaki tua gendut.
“Pusat apa itu?” tanya lelaki tua berserban arab.
“Itu tempat budak-budak perempuan hamil luar nikahlah. Bila mereka hamil luar nikah, harga mereka sudah jatuh jadi murah. Jadi, kawin pun murah belanja,” terang lelaki lelaki tua gendut.
“Karut. Karut,” kata lelaki berserban arab dengan menggeleng-gelengkan kepala. “Tak boleh. Tak boleh. Itu perempuan sudah rosakkan diri sendiri buat apa dijadikan menantu. Bikin malu saja. Bodoh…” tambahnya lagi.
“Tuan Misai punya cadangan dengan Tuan Belon punya pendapat tak boleh dipakai. Tak boleh memajukan rumah tangga. Cara itu akan jadi bahan ketawa orang. Saya ada cara yang bagus untuk mengahwinkan anak-anak saya. Saya orang yang punya kedudukan di kota ini. Saya mesti jaga standard,” kata lelaki tua berserban arab lagi.
“Bagaimanakah cara tuan itu?” tanya lelaki tua berkumis tebal pula.
“Saya mahu buka tender. Saya letak iklan di surat khabar. Siapa yang mahu kawin dengan anak saya, mesti beli borang tender dulu. Saya akan cetak borang itu seribu set. Setiap satu borang berharga seribu ringgit,” terang lelaki berserban arab.
Lelaki tua berkumis tebal dan lelaki tua gendut terlopong.
“Mereka mesti isi borang itu dan hantar bersama proposal projek atau bisnes yang bagus-bagus. Orang kerja buruh kontrak dengan atendan pam minyak saya tak akan layan. Saya mahu anak-anak perempuan saya berkahwin dengan orang-orang kaya seperti saya sahaja. Barulah hidup senang dan bahagia,” tambah lelaki berserban arab lagi.
“Tuan ada anak perempuankah?” tanya lelaki tua berkumis tebal.
“Saya ada tiga orang anak perempuan,” kata lelaki berserban arab itu sambil tersenyum besar. Sambil mengurut-ngurut misainya, dia berangan-angan akan keuntungan yang bakal dia perolehi nanti.
Lelaki tua berserban arab ini sememangnya dikenali oleh seluruh penduduk di setiap pelusuk kota Permaisuri itu. Siapa tidak kenal dengan Sheikh Majnun Al-Jerunga yang kaya raya itu. Dia memilki gedung-gedung perniagaan yang besar di merata ceruk kota. Itu belum lagi termasuk dengan ladang-ladang dan lain-lain harta kepunyaannya di luar kota.
Namun begitu, Sheikh Majnun Al-Jerunga juga amat terkenal dengan sifat sombongnya. Dia percaya kebahagiaan dan kesenangan hidup terletak kepada kekayaan yang dimilikinya. Dia juga beranggapan bahawa dia dapat menentukan kebahagiaan dan kesenangan hidup anak-anak gadisnya nanti.