Boleh didapati di sini: http://www.bookcafe.com.my/en/remaja/ahmad-al-kebab.html
Bab 8Di dalam bilik di sebuah rumah mewah, tiga orang gadis yang sebaya menghabiskan masa lapang masing-masing. Salah seorang daripadanya yang berpakaian kembang gantung sedang terkinja-kinja menari mengikut alunan lagu daripada sebuah radio. Seboleh mungkin dia menggerakkan badannya selaju rentak muzik Lady Gagap yang rancak itu. Gadis ini bernama Sakurakura
Seorang lagi gadis yang sedang duduk di depan meja solek melalak-lalak menyanyikan lagu sambil menggoyang-goyangkan badannya. Dia begitu asyik menghias wajahnya di depan cermin walaupun di mukanya sudahpun penuh dengan pelbagai tempekan bahan solekan. Sesekali dia menjerit, “Yabedabeduuu…” Gadis ini bernama pula Sihuruhara.
Sungguh kurang manis gelagat kedua-dua gadis itu. Berlainan pula dengan seorang lagi gadis di satu sudut. Gadis yang ini bernama Mergastura. Dia sedang duduk membaca majalah Mingguan Wanita di sebuah sofa. Keadaan bilik yang hingar-bingar itu sungguh mengganggu tumpuan bacaannya. Lantas dia bangun lalu keluar dari bilik untuk turun membaca di ruang tamu.
Seketika kemudian Siparipari datang dari dapur lalu duduk di sofa yang bertentangan dengan Mergastura.
“Belum tidur lagikah Mergastura?” tanya Siparipari.
“Macam mana nak tidur, umi. Sakurakura dengan Sihuruhara tu buat bising. Asyik memekak saja,” jawab Mergastura dengan mencemikkan mukanya.
“Itulah, umi pun hairan. Dari siang sampai ke malam asyik melalak saja. Anjing pun kalau melalak malam-malam, siangnya ada juga dia tidur,” balas Siparipari.
“Yelah umi, mereka berdua tu asyik cakap pasal kawin saja. Pasal nak cari suami kayalah, suami kacaklah, nak honeymoon di Brisbanelah, nak honeymoon di Hawaiilah dan entah apa-apa lagi mereka angan-angankan. Meraka itu sudah kena gangguan mental agaknya,” luah Mergastura.
“Mukaddam, ya habibi, buka pintu,” kedengaran satu suara berteriak dari luar. Dengan segera Mukaddam membuka pintu. Sheikh Majnun Al-Jerunga muncul dengan senyum lebar.
“Ha, Mergastura. Panggil Sakurakura dengan Sihuruhara turun. Bapak ada hal mustahak nak bagi tahu,” suruh Sheikh Majnun. Dia terus mengambil tempat duduk di sebelah isterinya.
“Baiklah abah,” kata Mergastura lalu bangun.dan memanjat tangga ke tingkat atas.
“Ada apa hal abang panggil budak-budak tu?” tanya Siparipari.
“Ini ada rundingan baik. Rundingan bisnes yang akan menguntungkan kita di belakang hari,” kata Sheikh Majnun sambil tersenyum mengangguk-angguk.
“Heh, kau orang berdua. Berhentilah. Abah panggil!” jerit Mergastura untuk mengatasi bunyi radio yang kuat itu. Kedua-dua adik dan kakaknya berpaling.
“Abah panggil?” tanya Sakurakura.
“Abah panggil? Eeee…” jerit Sihuruhara dengan gembira. Mereka berebut-rebut turun ke bawah.
“Abah,” tegur Sakurakura sebaik tiba di ruang tamu.
“Anak abah,” sahut Sheikh Majnun dengan tersenyum. Dia melirikkan matanya pada setiap anak gadisnya yang sudah besar panjang itu.
“Anak-anak abah pun dah besar-besar semua. Abah ada cadangan nak bagi kawin,” kata Sheikh Majnun.
“Kawin?” tanya Sakurakura dan Sihuruhara serentak.
“Ya, kawin,” jawab Sheikh Majnun. Sakurakura dan Sihuruhara menjerit gembira. Kemudian mereka menerpa abah mereka.
“Bila nak kawin, abah,” tanya Sakurakura tidak sabar-sabar.
“Bila boleh kawin abah,” Sihuruhara mendesak Sheikh Majnun sambil menggoncang-goncangkan bahu dan pehanya.
“Sabar. Sabar,” kata Sheikh Majnun. “Kalau iye pun sabarlah,”
“Kami dah tak boleh sabar lagi,” rengek Sakurakura.
“Abah, dah dua tiga bulan kami dah asyik cakap pasal kawin saja,” kata Sihuruhara pula.
“Yelah abah,” sokong Sakurakura.
“Bagus kalau dah setuju,” Sheikh Majnun turut gembira.
“Cepatlah abah,” desak Sihuruhara
“Sabar. Sabar. Sakurakura dah setuju. Sihuruhara pun dah setuju. Bagus. Bagus,” kata Sheikh Majnun yang turut gembira.
“Yang kau pula macam mana Mergastura?” tanya Sheikh Majnun pada Mergastura.
“Saya tak setujulah abah,” jawab Mergastura.
“Kamu tak setuju? Kamu tidak mahu kawinkah?” tanya Sheikh Majnun lagi.
“Saya belum bersedia untuk kawin, abah,” kata Mergastura.
“Memang kau degil. Dalam rumah ini kau selalu membantah cakap aku. Aku suka, kau tak suka. Apa yang aku suka, kau mesti tak suka. Huh, aku ni nak bagi kau kawin supaya kau senang, kau tahu tak?” marah Sheikh Majnun.
“Yelah, kalau dia tak dah suka jangan dipaksa,” celah Siparipari.
“Awak mana tahu? Awak tu kalau tak kawin dengan lelaki yang kaya macam saya tak akan dapat pakai subang berlian, tahu tak?” herdik Sheikh Majnun pada isterinya.
“Hei, aku bagi kau kawin supaya kau senang. Jodoh kebahagian rumah tangga yang kaya-raya tu terletak di tangan abah. Abahlah yang akan menentukan kamu hidup senang atau tidak. Kalau kamu mahu hidup miskin melarat juga abah boleh buat,” tegas Sheikh Majnun.
“Ah, abah ni. Selalu sangat bercakap takbur. Abah sudah lupakah yang tuhanlah yang akan menentukan hidup seseorang itu bahagia atau tidak, bukannya manusia,” bantah Mergastura.
“Aku bukan cakap takbur. Aku cakap benda logik. Kalau kamu dah hidup miskin melarat, macam mana nak bahagia? Tak ada orang yang nak pandang kamu kalau kamu miskin, tahu tak?” Sheikh Majnun berkeras mempertahankan pendapatnya. Mergastura tidak meningkah lagi, tetapi air mukanya yang teduh itu menunjukkan dia masih melawan.
“Baik, kalu kau berdegil juga tak apa. Aku akan tunjukkan bukti. Jodoh kakak dan adik engkau akan aku carikan orang yang kaya. Orang yang berjaya. Biar dia hidup senang-lenang. Kalau kau nak terus kebulur, nak mampus kurus kering, kau punya pasal,” kata Sheikh Majnun dengan angkuh. Mergastura berpusing ke belakang dan terus berlari naik ke bilik.
“Kau tengok. Dia buat eksyen dengan aku, meliuk pada aku hah, melawanlah tu. Degil!” seranah Sheikh Majnun lagi.
“Dia memang degil, abah,” cemuh Sakurakura.
“Dia degil,” sokong Sihuruhara.
“Tak apalah abah. Biarkan dia,” kata Sakurakura lagi.
“Bila kami nak kawin abah?” tanya Sihuruhara.
“Cepatlah…” desak Sakurakura pula.
“Sabar, sabar. Kalau kau nak kawin sangat, esok abah akan carikan laki,” kata Sheikh Majnun akhirnya.