Jumaat, 9 Disember 2011

Cintan Si Cilik bab 8

8        Seng Ugut

          Waktu kian berlalu, kini penggal persekolahan sudah hampir ke kemuncaknya. Musim peperiksaan sudah pun bermula. Pagi tadi murid-murid darjah Dua Cemerlang telah selesai menduduki kertas Bahasa Melayu. Sekarang mereka sedang bertungkus lumus di minit-minit terakhir sebelum kertas jawapan Bahasa Inggeris mereka dikutip.
          Imi hanya duduk dengan tenang di tempatnya menunggu sisa-sisa waktu habis. Dia telah selesai menjawab semua soalan dalam masa empat puluh minit sahaja. Sememangnya Bahasa Inggeris adalah mata pelajaran kesukaan Imi. Soalan-soalannya tidaklah begitu sukar bagi Imi.
          Suhardi di sebelah cuba menjenguk kertas jawapan Imi dengan memanjangkan tengkuknya. Imi membiarkannya. Selepas beberapa ketika berbuat begitu, Suhardi nampaknya mengalami kesukaran. Dia memberi isyarat supaya Imi mengangkat sedikit kertas jawapannya.
          Imi mengangkat kertas jawapannya sambil pura-pura menyemak. Belum pun banyak jawapan yang dapat ditiru oleh Suhardi, tiba-tiba mejanya ditepuk. Suhardi terperanjat apabila melihat guru yang mengawasi peperiksaan berdiri di tepinya. Rupa-rupanya gelagat mereka telah diperhatikan.
          “Amaran untuk kamu berdua. Jangan meniru atau memberi kawan tiru lagi. Kalau sekali lagi saya nampak kamu buat, saya tak akan terima kertas jawapan kamu berdua,” kata guru itu dengan tegas.
          Cepat-cepat Imi melindungi kertas jawapannya. Dadanya berdebar-debar. Dia tidak mahu kertas jawapannya tidak diterima. Jikalau itu berlaku bermakna dia akan dapat kosong markah sahaja untuk kertas Bahasa Inggerisnya. Dia tidak sanggup membayangkan bala yang bakal menimpanya selepas itu. Imi tidak menghiraukan rakan-rakan di sekelilingnya lagi sehinggalah waktu menjawab tamat.
          “Huh, nyaris-nyaris kita kena tadi. Kau punya pasallah. Kalau nak tiru pun sembunyi-sembunyilah sikit. Ini tidak, terang-terang bagi cikgu nampak,” rungut Imi.
Suhardi hanya mengeluh. “Nak buat macam mana. Banyak sangat yang aku tak dapat jawab”.
“Eh, esok macam mana? Kertas matematik ni. Aku tak ingat banyak sifir ni,” keluh Imi.
Fadli tersenyum. “Jangan bimbang, aku pun tak ingat banyak sifir, tapi aku ada satu cara,” katanya.
“Cara macam mana tu?” tanya Imi.
“Cara ni senang aje, abang Fahmi aku yang ajar,” kata Fadli. Fahmi adalah abangnya yang bersekolah menengah di tingkatan dua.
Mereka pun berbincang akan taktik yang diperkenalkan oleh Fadli itu dengan penuh minat. Ianya sungguh mudah dan menyeronokkan pula.
          Sebaik sahaja pulang dari sekolah tengah hari itu, Imi segera menjalankan misinya. Hampir satu jam dia berkurung dalam bilik. Dia menulis sifir di bawah lengan baju unifomnya, terutamanya operasi pendaraban yang melibatkan angka-angka yang besar. Sifir itu ditulis dengan cermat sehingga cukup-cukup memenuhi ruang di bawah lengan baju kirinya.
          Malam itu Imi tidur dengan senang hati. Dia tidak perlu risau lagi. Dia bermimpi dapat menjawab kertas peperiksaan matematik dengan lancarnya, dengan bantuan sifir yang ditulis di bawah lengan bajunya itu. Bila keputusan diumumkan, Imi mendapat markah penuh seratus peratus daripada kertas matematik. Seterusnya dia mendapat tempat pertama keseluruhan di dalam kelas. Dan sebab itulah juga Imi terjaga dari tidur pada keesokkan paginya dalam keadaan tersenyum.
          Tepat jangkaan Imi. Soalan-soalan matematik pada pagi itu banyak yang melibatkan angka-angka besar dalam operasi pendaraban. Imi menunggu sehingga tiba masa yang sesuai. Pada ketika guru yang mengawasi peperiksaan kelihatan leka di mejanya, Imi mula bertindak. Setelah sekali lagi memastikan keadaan sekeliling selamat, Imi pun menyelak lengan bajunya.
          Betapa terkejutnya Imi bila mendapati sifir-sifir yang ditulisnya semalam telah tiada. Puas dibelek-belek lengan bajunya itu, namun sifir-sifirnya telah ghaib sama sekali. Imi menyelak pula lengan baju sebelah kanan. Manalah tahu kalau-kalau dia telah tersilap menulisnya di situ.
          Imi tersenyum bila nampak ada tulisan pensil di situ. Namun dia merasa pelik kerana ianya hanya kelihatan sebaris ayat sahaja. Dia pun menelitinya dengan lebih dekat. Tulisan itu berbunyi ‘SELAMAT BERJAYA – EMAK & KAK MAIMUN’.
Imi terperanjat lagi besar kali ini. Berderau darahnya. Dia memegang kepalanya yang tiba-tiba berdenyut kencang. Dia mengeluh sendirian dan rasa hampir-hampir sahaja mahu menangis. Sudahlah tidak dapat meniru untuk menjawab kertas matematik, kini rahsianya telah bocor pula. Rupa-rupanya emaknya dan Kak Maimun sudah mengetahui taktik kotornya ini. Entah apalah hukuman yang dia akan dapat nanti.
Semasa Mak Hendon memasuki bilik Imi petang semalam, dia mendapati baju uniform sekolah Imi terperenyuk di atas meja tulis. Waktu itu Imi sudah keluar bermain. Sewaktu Mak Hendon mahu menggantungkan baju itu pada penyangkut baju, dia mendapati ada contengan tulisan pensil pada bawah lengannya.
“Ini apa kerja pulak conteng baju sekolah ni? Hai, budak bertuah ni tak habis-habis buat perangai,” rungut Mak Hendon sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Sambil berleter lagi seorang diri, Mak Hendon membawa baju itu untuk dicuci. Sempat juga Mak Hendon menunjukkannya pada Maimun. Maimun sudah maklum yang esok Imi akan menduduki peperiksaan kertas matematik. Sudah tentulah tulisan pada lengan baju ini adalah untuk tujuan menipu, dan ia bukanlah sengaja diconteng untuk suka-suka.
Setelah baju itu dicuci, tulisan sifir itu hilang. Mak Hendon telah menggantikan uniform lain untuk dipakaikan Imi ke sekolah esok. Sebenarnya Maimunlah yang secara curi-curi menulis ayat ‘SELAMAT BERJAYA – EMAK & KAK MAIMUN’ pada bawah lengan baju ganti Imi. Dia tidak sabar menanti untuk melihat reaksi Imi apabila pulang dari sekolah nanti. Dan pastinya adiknya itu akan ‘dibasuhnya’ cukup-cukup!
          Akhirnya Imi terpaksa memerah otak sendiri untuk menyelesaikan semua soalan kira-kira pada kertas peperiksaan matematik itu. Hatinya merasa sungguh kesal. Dia menghafal sifir sambil lewa sahaja semalam kerana yakin akan dapat meniru sifir yang ditulis pada lengan bajunya. Padahnya, ada beberapa soalan yang dia tidak pasti akan jawapannya sama ada betul atau salah.

                                                        *****

          Lima hari telah berlalu. Hari ini hari khamis. Murid-murid sudah pun merasa bebas setelah hampir seminggu menduduki peperiksaan. Hanya kertas subjek pendidikan islam sahaja diduduki hari ini. Itu pun sudah selesai pada pagi tadi. Selepas waktu rehat mereka berkumpul dalam kelas kerana Cikgu Zubaidah mahu berjumpa dengan mereka.
          “Cikgu ada berita baik untuk kamu semua. Sekolah akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Negeri Melaka masa minggu ke dua cuti sekolah nanti,”
          “Wow! Saya nak pergi,” jerit Fadli.
          “Sesiapa yang berminat nak sertai lawatan ini, bolehlah minta kebenaran daripada ibu bapa masing-masing,”
          “Berapa banyak kena bayar, cikgu?” tanya Harith.
          “Oh ya, bayarannya sebanyak dua ratus sahaja,”
          “Mahalnya,” rungut satu suara.
          “Sesiapa yang berminat sila ambil borang ini dulu. Minta ibubapa isikan dan tandatangan. Kemudian hantar semula borang ini bersama bayaran dua ratus ringgit pada cikgu minggu depan,” terang Cikgu Zubaidah lagi sambil mengedarkan borang.
          “Siapa yang cakap mahal tadi?” tanya Cikgu Zubaidah. Murid-murid saling memandang antara satu sama lain, tetapi tiada yang mengaku.
          “Sebenarnya Cikgu ada berita lagi baik. Sesiapa yang dapat nombor satu dalam peperiksaan akan dapat mengikuti lawatan ini secara percuma…” kata Cikgu Zubaidah.
          “Siapa yang dapat nombor satu, cikgu?” tanya seorang murid perempuan memintas tiba-tiba. Kelas mula menjadi hinggar-binggar.
          “Siapa dapat nombor satu? Nanti sekejap cikgu semak,” kata Cikgu Zubaidah sambil menyelak-nyelak helaian bukunya.
          “Cikgu tak boleh umumkan sekarang,” kata Cikgu Zubaidah lalu menutup bukunya.
          “Kenapa?” tanya seorang muridnya.
          “Sebab cikgu perlu laporkan dulu keputusan peperiksaan kamu kepada guru besar sebelum mengumumkannya pada kamu,” kata Cikgu Zubaidah.
          “Bolehlah cikgu,” rayu seseorang.
          “Cikgu tak berani. Nanti guru besar marah pada cikgu,”
          “Guru besar tak akan tahu punya. Cepatlah beritahu, cikgu,” desak Harith.
          “Baiklah, tapi kamu kena janji akan merahsiakan keputusan ini dulu,” kata Cikgu Zubaidah lalu membuka bukunya kembali.
          “Kami janji!” sahut beberapa orang.
          “Ok, tempat pertama jatuh kepada…” kata-kata Cikgu Zubaidah terhenti. Dia tersenyum melihat anak-anak muridnya memberikan tumpuan sepenuhnya padanya sambil menahan nafas. Sengaja Cikgu Zubaidah meninggalkan ayatnya tergantung untuk seketika.
          “Cakaplah, cikgu,” teriak seseorang dari belakang yang nampaknya tidak dapat bersaabar lagi.
          “Syarifah Marini binti Syed Elyas!” kata Cikgu Zubaidah.
          “Ha…?” dua tiga orang murid ternganga. Rini Setan? Mustahil. Rini Setan selalu mendapat nombor corot sebelum ini.
          Mata Rini Setan terbeliak. “Betul ke? Eee… seronoknya!” teriaknya yang tiba-tiba  bangun melompat-lompat sambil bertepuk tangan. Gelagatnya itu menjengkelkan rakan-rakan sekelasnya yang lain.
Cikgu Zubaidah tersenyum. “Sebenarnya cikgu acah-acah aje. Saja buat surprise, nak tengok kamu terkena,” katanya. Murid-murid lain tertawa kuat, lebih-lebih lagi budak-budak lelaki. Rini Setan memuncungkan bibir sambil duduk berteleku di mejanya.
“Peperiksaan baru saja selesai hari ini. Kertas jawapan kamu belum lagi disemak. Markah kamu pun cikgu tak tahu lagi. Macam mana nak tentukan siapa yang dapat nombor satu dulu,” terang Cikgu Zubaidah lagi.
          “Marini, cikgu minta maaf ya,” kata Cikgu Zubaidah. Rini Setan cuma mengangguk.
          Rini mendapat gelaran Setan sejak dari darjah satu lagi. Ada seorang cikgu lelaki yang nakal telah memulakan memanggilnya Rini Setan untuk membezakan daripada murid-murid lain. Ini disebabkan tubuh Rini yang gempal kerana masalah obesiti itu telah dianggarkan secara lawaknya oleh cikgu lelaki tersebut seberat satu tan. Lama-kelamaan gelaran setan lekat pada Rini.
          Selepas Cikgu Zubaidah keluar dari kelas, budak-budak lain terus menggelakkan Rini Setan. Suhardi meniru-niru cara Rini Setan melompat-lompat sembil bertepuk tangan.
          “Betul ke? Eee… seronoknya!” Suhardi menjerit dengan menghaluskan suaranya seperti perempuan. Rakan-rakannya yang lain terus tertawa sakan. Maka makin menjadi-jadilah Suhardi mengulangi aksi gembira Rini Setan itu.
          Fadli pula memanjat meja di depan Rini Setan lalu membuat aksi seperti ahli sumo yang mahu memulakan perlawanan. Fadli mengangkangkan kakinya. Kemudian dia menepuk pehanya. Selepas kedua-dua tangannya menongkat ke peha, Fadli menyenggengkan badan ke kiri sehingga kaki kanannya terangkat. Kemudian dia menyenggengkan badan ke kanan sehingga kaki kiri pula terangkat.
Selepas itu Fadli membongkokkan sedikit badannya sambil merenung mata Rini Setan dengan serius, bagaikan ahli sumo yang sudah bersedia dan akan meluru untuk merempuh lawannya bila-bila masa sahaja. Aksinya Fadli ini menggamatkan seluruh kelas Dua Cemerlang dengan ketawa dan jeritan.
Tidak puas dengan itu, Fadli membuat aksi seperti bina badan pula. Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya lalu mengepalnya. Kejang-kejang muka Fadli kerana berusaha keras untuk menimbulkan otot-ototnya. Kemudian Fadli mengangkat tangan kiri melepasi kepala, manakala tangan kanannya diluruskan ke belakang punggung. Serentak dengan itu dia berpusing ke belakang dengan gaya yang sungguh mempesonakan. Keadaan kelas Dua Cemerlang sudah tidak terkawal lagi.
Cikgu Fuad yang berada di blok bangunan yang bertentangan tertarik dengan keadaan-bilau di kelas Dua Cemerlang itu. Dia segera datang secara senyap-senyap dan memerhatikan gelagat Fadli untuk beberapa ketika. Kemudian dia mengetuk pintu kelas itu dengan kuat.
Fadli berhenti beraksi tatkala melihat Cikgu Fuad di muka pintu. Begitu juga dengan budak-budak lain, tiba-tiba sahaja diam dan terus menikus ke tempat masing-masing.
“Kamu mari sini,” Cikgu Fuad memanggil Fadli. Fadli menurutnya.
“Kamu nampak tak pokok angsana besar tu?” tanya Cikgu Fuad.
Fadli hanya mengangguk. Lidahnya kelu.
“Sekarang kamu pergi ke bawah pokok itu, dan buat seperti mana yang kamu buat tadi,” Cikgu Fuad mengarahkan.
Tanpa sebarang bantahan, Fadli terus menuju ke bawah pokok angsana itu dan meneruskan aksi bina badannya.
“Yang lain-lain duduk dalam kelas diam-diam,” kata Cikgu Fuad pada murid-murid kelas Dua Cemerlang sebelum berlalu pergi.
Belum pun lama Fadli beraksi bina badan di bawah pokok angsana, kelihatan seorang lagi murid berjalan menuju ke situ. Murid itu adalah Seng! Rupa-rupanya dia juga telah didenda oleh Cikgu Fuad.
          Seng dikenakan denda membuat aksi anjing sedang merangkak dan membunyikan lolongan panjang, seperti bunyi anjing nampak hantu di malam hari.
“Auuuuuuu...” Seng melolong selepas merangkak dan meligas-ligas ke sana ke mari.
“Auuuuuuu…”
“Auuuuuuu…”
          Rupa-rupanya Seng didenda sebegitu kerana dia telah menyorak dan mengejek Fadli yang sedang membuat aksi bina badan di bawah pokok angsana sebelumnya itu dengan melolong bagaikan bunyi anjing. Hukuman denda yang melucukan kedua-dua murid lelaki itu dapat ditonton oleh semua murid lain daripada kedua-dua blok bangunan kelas yang bersebelahan itu.
          Semasa menjawab kertas peperiksaan pagi tadi, Seng juga telah ditangkap kerana meniru Anis, kakak kepada Nia. Anis telah mengadu kepada guru yang mengawasi peperiksaan apabila Seng cuba mengambil kertas jawapannya di atas meja. Seng terus diberi amaran keras. Dia juga hampir-hampir disingkirkan daripada menduduki peperiksaan itu. Akhibat daripada kejadian itu, Seng menyimpan dendam pada Anis.
          Sewaktu menjalani denda membuat aksi lolongan anjing di bawah pokok angsana itu, Seng sempat menjeling ke arah kelasnya. Dia mendapati rakan-rakan sekelas sedang memerhatikannya, termasuklah Anis. Anis tersenyum lebar sambil menunjukkan isyarat bagus dengan ke dua-dua tangan padanya. Hati Seng menjadi semakin sakit.
Seng bukanlah seorang pelajar berbangsa cina. Dia juga berbangsa melayu seperti pelajar-pelajar lain di Sekolah Kebangsaan Pulau Bahagia itu yang seratus peratus mempunyai pelajar melayu. Seng adalah nama gelaran yang diberikan padanya oleh kawan-kawan sekumpulan dengannya. Dia juga telah diangkat sebagai ketua kumpulan yang mereka menganggapnya sebagai geng samseng di sekolah itu. Dan di kalangan mereka, Senglah yang dilihat paling samseng.
Sewaktu pulang dari sekolah, seperti biasa Imi akan mengayuh basikal beriringan dengan Fadli. Nia dan Anis juga menuruti mereka dari belakang. Imi mendapati muka Anis muram sahaja. Sesekali kelihatan dia menekan-nekan perutnya seperti menahan sakit. Dia memperlahankan kayuhan basikalnya dan untuk berada seiring dengan Anis.
“Kenapa dengan awak ni?” tanya Imi.
“Sakit perut,” jawab Anis pendek.
“Kenapa tak buang air dulu di sekolah tadi?”
“Bukan nak buang air,”
“Habis tu awak sakit perut sebab tersilap makankah?”
“Tak juga,”
“Kak Anis kena senggugut,” celah Nia di belakang.
“Seng ugut? Dia tumbuk kat perut awakkah?” tanya Imi yang sedikit terkejut.
“Bukan. Aduh…” Anis menekan-nekan perutnya lagi.
“Habis tu dia cubit perut awak?”
“Bukan Seng ugutlah. Senggugut,” ujar Nia lagi.
“Oo.. sesungut. Yang macam ada kat mulut rama-rama tu. Sesungut nak tumbuh kat perut awakkah?” tanya Imi.
“Bukan sesungutlah. Awak tak akan faham. Sudahlah, kami nak balik ni,” kata Anis lalu melencongkan basikal memasuki lorong yang menuju ke rumahnya.
Kedua-dua beradik itu meninggalkan Imi dan Fadli yang masih tertanya-tanya.