Ahad, 25 Disember 2011

Cintan Si Cilik bab 9

9        Hilang Kerongkong

Penggal persekolahan sudah sampai ke penghujungnya. Minggu ini adalah minggu terakhir persekolahan bagi tahun ini. Lazimnya setiap sekolah akan mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Begitulah juga dengan Sekolah Kebangsaan Pulau Bahagia. Majlis Penyampaian hadiah akan diadakan pada hari terakhir nanti. Untuk lebih memeriahkan lagi majlis, acara jamuan akhir tahun turut digabungkan sekali. Pihak sekolah telah menjemput YB tuan wakil rakyat untuk hadir merasmikan majlis itu nanti.
Untuk meraikan YB tuan wakil rakyat nanti, pihak sekolah telah merancang untuk membuat persembahan pentas. Pihak sekolah juga telah memutuskan setiap kelas diwajibkan membuat sekurang-kurangnya satu persembahan. Mereka bebas memilih untuk membuat lakonan, nyanyian, ucapan atau apa sahaja dalam masa yang telah di tetapkan.
          Hari itu kelas Dua Cemerlang sibuk berbincang tentang apa jenis persembahan yang akan dibuat nanti. Dan yang lebih penting, siapa pula yang akan menjadi wakil kelas untuk menjayakan persembahan itu. Boleh dikatakan rata-rata murid di kelas ini pemalu, lebih-lebih lagi kalau membuat penampilan di hadapan khalayak ramai.
Pada mulanya Cikgu Zubaidah bercadang mahu anak-anak murid kelasnya mempersembahkan satu sketsa teladan. Namun dia hampir buntu kerana tiada siapa pun yang sudi menawarkan diri untuk acara lakonan yang dicadangkannya itu. Amat payah untuk mendapatkan lima orang pelakon apabila masing-masing menolak dan tuding-menuding antara satu sama lain. Akhirnya Cikgu Zubaidah memutuskan untuk membuat ucapan sahaja, yang mana hanya seorang sahaja yang diperlukan.
Dan apabila masih lagi tiada siapa lagi yang sudi memegang tanggungjawab itu, Cikgu Zubaidah terpaksa membuat pengundian. Salah seorang anak muridnya harus dipaksa mewakili kelas untuk mengelakkan kelas mendapat malu. Cikgu Zubaidah juga perlu menjaga maruahnya sebagai guru kelas Dua Cemerlang. Dia tidak mahu keupayaannya sebagai guru bahasa juga dipertikaikan.
“Ada sesiapa yang ingin membuat cadangan siapa yang layak memberi ucapan?” tanya Cikgu Zubaidah memecah kebuntuan.
Kedengaran banyak suara berbisik sesama sendiri. Seketika kemudian Fadli bangun.
“Saya cadangkan Suhaimi, cikgu,” kata Fadli. Imi terkejut dengan tindakan Fadli itu. Belum sempat dia membantah, Junaidi yang duduk di sebelah Fadli segera bangun.
“Saya menyokong Suhaimi jadi wakil kelas, cikgu,” katanya. Nampaknya mereka berdua telah berpakat untuk mengenakan Imi. Imi menyerigai marah. Fadli dan Junaidi hanya tersenyum simpul.
“Baiklah, selain Suhaimi ada cadangan lain?” tanya Cikgu Zubaidah.
“Cadangan ditutup, cikgu,” kata Fadli tiba-tiba.
“Setuju cadangan ditutup?” tanya Cikgu Zubaidah.
“Setuju!” satu kelas menyahut. Imi menyembam mukanya ke meja menahan geram. Dia bertekad akan mengajar Fadli cukup-cukup nanti.
“Nanti!” jerit Harith. Semua murid berpaling padanya.
“Saya juga ingin jadi wakil kelas membuat ucapan tu,” katanya menawarkan diri.
“Woo…” murid-murid lain bersorak. Imi merasa lega semula. Harith hadir tepat masanya untuk menyelamatkan dirinya.
“Ok, murid-murid. Diam,” kata Cikgu Zubaidah. “Sekarang kita sudah ada dua orang calon. Ada sesiapa lagi yang berani tampil?” tambahnya lagi sambil tersenyum.
Setelah tiada lagi cadangan dikemukakan. Cikgu Zubaidah memutuskan untuk menguji kedua-dua calon ini supaya yang lebih bagus dapat dipilih dengan tepat. Kemudian Cikgu Zubaidah mengambil dua petikan rencana daripada failnya sebagai contoh teks ucapan dan memberikannya kepada Imi dan Harith.
Mereka berdua diberikan masa lima minit untuk membaca dan memahami dahulu teks rencana tersebut. Harith menawarkan diri untuk menunjukkan kebolehannya dahulu. Dia datang ke hadapan kelas dengan penuh yakin. Dia akan membaca rencana yang bertajuk penyakit asma. Dengan suara yang lantang, dia mula membaca teks ucapannya.
“Penyakit asmara ialah penyakit yang melibatkan sistem pernafasan,”
“Penyakit asma,” Cikgu Zubaidah membetulkan.
“Pesakit asmara akan mengalami sesak nafas, lelah ataupun semput,”
“Penyakit asma,” tegur Cikgu Zubaidah lagi.
“Penyakit asmara adalah penyakit keturunan,”
“Asma, bukan asmara,” tekan Cikgu Zubaidah
“Saluran pernafasan pesakit asma… menjadi lebih sempit berbanding manusia normal. Penyakit asmara boleh diubati,”
“Penyakit asma!” sergah Cikgu Zubaidah. Harith berhenti membaca teks ucapannya. Dia terundur selangkah ke belakang.
“Mengapa kamu suka sangat sebut penyakit asmara? Kamu tahu asmara tu apa?” tanya Cikgu Zubaidah.
“Saya tak tahu, cikgu. Tapi saya selalu dengar bapa mengadu sakit asmara pada mak kalau dia kena outstation lama-lama,” kata Harith.
“Aaa…?” mulut Cikgu Zubaidah ternganga tanpa kata-kata. Selepas itu dia meneguk air liurnya. “Teruskan ucapan kamu,” katanya untuk tidak melanjutkan hal sakit asmara itu.
Sebenarnya Cikgu Zubaidah menahan geli di hatinya. Dia yakin anak-anak muridnya tidak memahami perkataan asmara itu kerana mereka hanya mendengar sahaja ucapan Harith tanpa reaksi balas.
          Selepas Harith menamatkan ucapannya, giliran Imi pula menunjukkan kebolehan. Imi diberi teks rencana yang bertajuk bahaya merokok. Sebelum memulakan ucapannya, Imi mencongak-congak, cara dan gaya macam manakah yang paling bagus untuk membaca ucapan. Setelah yakin, dia pun memulakannya.

“Marokak adalah satu amalan yang marugikan. Ia akan maningkatkan parbalanjaan sasaorang sarta manjajaskan kasihatannya. Gajala ini manular dangan pantasnya di Nagara kita, khasnya di kalangan para ramaja.
Jika parokak manghabiskan sakotak rokak sahari, sabulan dia talah manghabiskan kira-kira tiga puluh kotak dan dalam satahun dia talah manghabiskan tiga ratus anam puluh lima kotak, barsamaan dangan tujuh ribu tiga ratus batang rokak. Jika harga sabungkus rokak tujuh ringgit, maka parokak itu talah mambazirkan duit sabanyak dua ribu lima ratus lima puluh lima ringgit satahun.
Sabanarnya harga satinggi ini talah dibalanjakan oleh perokak untuk mambali panyakit. Kita samua sadia maklum bahawa rokak boleh mambawa palbagai janis panyakit. Sabahagiannya adalah panyakit kronik saparti kansar paru-paru dan lamah jantung yang amat sukar diubati. Di dalam tambakau rokok mangandungi lebih daripada saribu bahan kimia yang barbahaya,”

“Berhenti sekejap,” arah Cikgu Zubaidah. “Kenapa kamu baca macam itu?” tanyanya.
“Saya guna bahasa baku, cikgu,” jawab ini.
“Bahasa baku tidak seteruk itu. Kamu dah rosakkan bahasa baku. Suhaimi, kamu gagal dalam pemilihan ini. Cikgu pilih Harith jadi wakil kelas. Harith lebih berbakat dan ada karisma. Cuma Harith perlu berlatih lagi. Nanti cikgu carikan teks ucapan yang lebih sesuai,” Cikgu Zubaidah memberi kata putus. Imi terselamat nampaknya.
Tengah hari itu Imi terfikir semula tentang bacaan teks ucapannya di sekolah tadi. Baru dia tersedar yang dia telah terover pula menggunakan bahasa baku. Dia tersenyum sendirian. Bila Imi teringat pula betapa berkerutnya muka Cikgu Zubaidah semasa mendengar ucapannya, dia tergelak pula.
“Apa kena dengan kamu ni Imi? Dah buang tebiat?” tanya Mak Hendon. Imi terperanjat. Baru dia sedar, gelagatnya telah diperhatikan oleh emaknya yang duduk bertentangan dengannya.
Imi tidak menjawabnya. Dia terus tersenyum-senyum sambil menyuap nasi ke mulut. Mak Hendon menjegilkan mata.
“Kamu terkena sampukkah?” tanyanya ke hairanan.
“Taklah mak. Tadi di sakolah Cikgu Zabaidah minta Imi buat ucapan, tapi Imi tarsalah baca. Jadi Cikgu Zabaidah tidak Pilih Imi,” kata Imi dengan gaya bahasa bakunya.
“Eh, kamu cakap apa ni? Jangan main-main dengan mak,” kata Mak Hendon. Risau pula dia.
“Imi tak nak buat parsambahan pada majlis panyampaian hadiah nanti. Imi malu. Tapi Fadli sudah kanakan Imi. Dia cadang nama Imi. Nasib baik Cikgu Zabaidah pilih Harith,” terang Imi.
“Sah anak aku ni dah terkena sampuk. Entah kat tempat keras manalah kamu sudah lalu,” Mak Hendon menggerutu sendiri. Imi tergelak dengan reaksi emaknya terhadap bahasa baku ciptaannya itu. Mak Hendon terus menyuap nasi dipinggannya. Tak larat lagi nak melayan karenah anak bongsunya ini.
Imi selesai makan. Setelah mencuci tangan dan mulutnya, dia merapati Mak Hendon.
“Mak, mintak duit dua ranggit. Imi nak balanja Nia makan mama, eh, makan mamee,” pinta Imi.
“Nak mintak duit dengan mak cakap elok-elok,” ujar Mak Hendon.
“Bolahlah mak, dua ranggit aja,” rayu Imi lagi.
Tiba-tiba Mak Hendon menarik dan memulas telinga Imi. “Kamu tak reti bahasakah?” ujarnya dengan meninggikan sedikit suaranya.
“Alah mak ni, Imi nak cakap guna bahasa baku pun tak boleh,” Imi memuncungkan bibirnya.
“Bahasa bangku? Jangan nak mengada,” tingkah Mak Hendon.
“Bukan bahasa bangku, bahasa baku,” Imi membetulkan. Kini dia tergelak pula.
“Baku ke, bangku ke, mak tak suka. Karang mak hempuk dengan bangku, nak?” marah Mak Hendon.
“Tak nak bagi duit, tak apa,” Imi merajuk. Dia tahu ibunya hanya mengacah. Imi memeluk tengkuk Mak Hendon dan pura-pura hendak menangis. Begitulah dia lakukan setiap kali merayu atau memujuk ibunya. Mak Hendon pula sudah masak benar akan perangai Imi.
“Nah, ambil seringgit,” kata Mak Hendon sambil meletakkan not seringgit di atas meja.
“Terima kasih, mak,” kata Imi lalu mencium pipi Mak Hendon. Disebabkan terkejut dengan tidakan Imi itu, kepala Mak Hendon terdorong ke samping. Tangannya yang hampir menyuap nasi ke mulutnya itu tertonyoh masuk ke mulut Imi pula. Dan Imi terus sahaja memakan nasi di tangan ibunya itu. Akhirnya kedua-dua beranak itu ketawa kelucuan.
                                              *****

          Maka tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Hari terakhir persekolahan tahun ini dimeriahkan dengan majlis penyampaian hadiah dan jamuan bagaikan kenduri kahwin, penuh warna-warni.
          Dimulakan dengan menyambut ketibaan YB tuan wakil rakyat dengan paluan kompang oleh murid-murid tahun enam. Diikuti pula pemeriksaan perbarisan hormat badan-badan beruniform sekolah oleh YB tuan wakil rakyat, sebelum beliau diiringi masuk ke dewan.
          Ucapan aluan dimulakan oleh pengerusi majlis sebelum diikuti oleh ucapan-ucapan guru besar, pegerusi PIBG sekolah dan YB tuan wakil rakyat yang mana merasmikan sekali majlis itu.
          Sebelum upacara penyampaian hadiah diadakan, majlis diserikan dengan acara selingan persembahan murid-murid dari setiap kelas.
          Dari awal pagi lagi Cikgu Zubaidah dan murid-murid kelas Dua Cemerlang resah. Ini kerana Harith yang sepatutnya mewakili kelas untuk persembahan tidak muncul-muncul. Harith telah berjanji untuk datang bersama ibu dan bapanya.
          Setelah hampir pukul sepuluh pagi bayang Harith masih belum kelihatan, Cikgu Zubaidah terpaksa menelefon ke rumah Harith. Ibu Harith yang menjawab panggilan itu memberitahu bahawa Harith telah dibawa bapanya ke klinik kerana dia mengalami cirit-birit pada awal pagi tadi.
Cikgu Zubaidah mengeluh panjang. Dia sungguh kesal. Sepatutnya Harith ataupun ibubapanya memaklumkan padanya lebih awal akan hal itu. Bukannya mereka tidak tahu Harith adalah orang yang amat penting kepada kelas hari itu.
          Terkocoh-kocoh Cikgu Zubaidah mengumpulkan anak-anak murid kelasnya. Masa sudah terlalu suntuk untuk membuat persiapan. Sekarang apa yang mampu dilakukannya ialah pakai tangkap muat saja. Daripada perbincangan pendek, mereka memutuskan Imi untuk menggantikan tempat Harith. Imi terpaksa menerimanya setelah dirayu oleh Cikgu Zubaidah.
Acara bidang terjun sebegini kadang-kadang menguntungkan seseorang itu. Tetapi bagi Imi, ianya satu masalah besar! Dia tiada persiapan apa pun. Cikgu Zubaidah memberikan salinan teks ucapan yang dibuat untuk Harith padanya. Ternyata Imi tidak dapat membawa ucapan yang berat itu.
          “Kalau Suhaimi tak boleh buat acapan, menyanyi boleh?” tanya Cikgu Zubaidah.
          “Boleh juga,”
          “Lagu apa Suhaimi boleh nyanyi?”
          “Emm… lagu M Nasir, Mustika,”
          “Ok, cikgu letakkan harapan pada Suhaimi. Berlatihlah dulu sementara ada sikit masa lagi ini. Ingat, jangan malukan kelas kita. Cikgu ada banyak kerja ni, cikgu kena pergi sekarang,” pesan Cikgu Zubaidah.
          “Ok, cikgu,” kata Imi.
          Selepas seorang budak perempuan tinggi lampai dari kelas Tiga Arif selesai mendeklamasikan syair yang bertajuk ‘Anak’, giliran Imi pun tiba. Namanya dipanggil untuk menaiki pentas oleh pengerusi.
Semasa Imi melangkah anak tangga pentas, para penonton bertepuk tangan dangan bergemuruhnya. Imi mendapatkan mikrofon di tengah pentas. Mirkrofon itu terlalu tinggi baginya hingga kakinya terpaksa menjinjit untuk memberi salam pada hadirin penonton. Ada penonton yang tertawa melihatnya terkial-kial mengimbangkan badannya itu.
Imi memaut tiang mikrofon untuk melaraskannya sama tinggi dengan mulutnya supaya dia selesa untuk mengalunkan lagu nanti. Mungkin disebabkan pemegang sendinya longgar, tiba-tiba tiang mikrofon itu terkulai lalu terbalik.
Imi terkejut lalu menjerit, “Alamak!”. Suaranya kedengaran ke seluruh dewan melalui pembesar suara. Seluruh penonton tergamam.
Imi cuba menyambar tiang mikrofon itu, tetapi dia sendiri hilang keseimbangan badan lalu jatuh tersembam ke bawah pentas. Bunyi merudum Imi jatuh bersama mikrofon juga kedengaran melalui pembesar suara, menyebabkan para penonton jadi gempar. Masing-masing berdiri dan menjenguk-jenguk ke depan.
Selepas Imi bangun, terserlahlah mukanya yang merah padam kerana amat malu. Nasib baik dia tidak cedera. Penonton ketawa gamat. Seorang guru menerpa dan menolong Imi naik semula ke atas pentas serta memasang kembali mikrofon dengan tiangnya itu. Keadaan dewan yang riuh-rendah itu menyebabkan Imi telah lupa apa yang perlu dinyanyikannya. Dia termanggu-manggu di depan mikrofon.
          “Mulakan persembahan anda,” kata pengerusi, yang juga masih ketawa.
“Saya akan…” Imi terhenti. Otaknya bekerja keras untuk mengingat semula lagu yang akan dinyayikannya, tetapi gagal. Akhirnya dia membuat keputusan untuk menyanyikan lagu lain yang dia yakin dapat ingat liriknya.
          “Saya akan menyanyikan lagu M Nasir, Kerongkong Untuk Ana,” kata Imi akhirnya. Keadaan riuh tiba-tiba jadi reda. Ada yang tertanya-tanya. Tanpa menghiraukan reaksi penonton, Imi terus mengalunkan lagunya itu.

                    Ke mana hilangnya kerongkong
Percintaan yang kita nyanyikan bersama
Ataupun aku yang belasah
Hanya bertepuk tangan sebelah saja
Aaaaana… aaaaaana… aaaaana…
Ana…

Ke mana hilangnya kerongkong
Percintaan yang kita nyanyikan bersama
Ataupun aku yang belasah
Hanya bertepuk tangan sebelah saja
Aaaaana… aaaaaana… aaaaana…
Ana…

Ke mana hilangnya kerongkong
Percintaan yang kita nyanyikan bersama
Ataupun aku yang belasah
Hanya bertepuk tangan sebelah saja
Aaaaana… aaaaaana… aaaaana…
Ana…

“Sekian, terima kasih,” ucap Imi.
Cepat-cepat Imi melangkah turun dari pentas. Entah di mana silapnya, Imi hanya mengulang rangkap korus sahaja berkali-kali. Rangkap-rangkap lain di awal dan di akhir lagu itu langsung tidak terlintas di kepalanya.
          “Terima kasih adik Suhaimi dari kelas Dua Cemerlang. Nyanyian yang sungguh hebat. Disebabkan adik Suhaimi terjatuh dari pentas, dia telah hilang kerongkong. Lepas itu dia belasah terus!” kata pengerusi majlis melawak. Dewan gamat dengan ketawa.
Apapun, penonton sungguh terhibur dengan gelagat dan persembahan Imi yang spontan itu!