8. Seksofon Dan Topi Perang
Keesokannya, Pengerusi JKKK Kampung Kangkung Kering didatangi oleh Dato’ Kontot bersama pemandunya. Pengerusi JKKK ini juga adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Parang Kangkung Jaya. Oleh itu, mereka berdua kenal rapat.
Dato’ Kontot menceritakan kejadian aneh bagaimana motosikal besarnya telah bertukar menjadi basikal buruk yang berlaku di kampung itu semalam. Dato’ Kontot meminta bantuan Pengerusi JKKK untuk menangkap pencuri motosikalnya kalau-kalau penduduk di situ yang melakukannya.
“Mengapa Dato’ tidak laporkan kepada polis sahaja?” tanya Pengerusi JKKK.
“Biarlah saya cari sendiri dahulu. Buat masa ini saya tidak mahu heboh-heboh sangat. Maklumlah, kau juga tahu bukan, pemilihan kepimpinan bahagian akan dibuat sebulan lagi. Saya tidak mahu nanti hal ini dijadikan modal hendak memburuk-burukkan saya oleh pihak yang lagi satu itu,” kata Dato’ Kontot.
“Kenapa pula Dato’? Macam mana mereka dapat burukkan Dato’ pula?” tanya Pengerusi JKKK lagi.
“Maklumlah motosikal itu orang yang hadiahkan, bukannya saya beli sendiri. Nanti kalau hal ini sampai ke pengetahuan mereka, pasti mereka memusingkan cerita dan hebohkan pada rakyat,” kata Dato’ Kontot dengan berbisik.
“Kalau begitu, saya ada satu cadangan. Ada baiknya kita meminta tolong daripada Nujum Pak Belukang. Dia memang handal dalam kerja mencari barang hilang ini,” kata Pengerusi JKKK.
“Di manakah ahli nujum ini tinggal?” tanya Dato’ Kontot.
“Nujum Pak Belukang tinggal di kampung ini juga. Rumahnya di pinggir sungai sana,” jelas Pengerusi JKKK.
“Sehebat manakah dia? Saya tidak pernah dengar pun nama Nujum Pak Belukang sebelum ini,” kata Dato’ Kontot ragu-ragu.
“Oh, dia memang low profile orangnya, tetapi tilikan hipnosisnya memang hebat. Baru beberapa hari lepas dia berjaya mendapatkan semula barang-barang orang kampung yang hilang di curi,” Pengerusi JKKK cuba meyakinkan ketuanya itu.
“Kalau begitu, mari kita pergi ke rumahnya sekarang,” ajak Dato’ Kontot.
“Baiklah,” sahut Pengerusi JKKK.
Mereka menuju ke rumah Pak Belukang dengan menaiki kereta Brabus Dato’ Kontot. Sebaik tiba, mereka mendapati rumah Pak Belukang senyap sunyi sahaja walaupun pintu besarnya terbuka.
“Ada orang tinggalkah di rumah ini?” tanya Dato’ Kontot. Dia sedikit hairan dengan keadaan rumah yang hanya tunggu masa hendak runtuh sahaja itu.
Pengerusi JKKK memberi salam beberapa kali, tetapi tiada berjawab. Dia naik ke beranda dan menjenguk ke dalam. Didapatinya Pak Belukang sedang nyenyak tidur. Dato’ Kontot dan pemandunya turut naik menjenguk sama.
“Pak Belukang,” panggil Pengerusi JKKK.
“Hmm… Seri Ayu…” balas Pak Belukang.
“Pak Belukang,” panggil Pengerusi JKKK lagi.
“Seri Ayu…” balas Pak Belukang dengan romantik.
“Ini bukan Seri Ayu. Ini Pak Husin. Kami datang nak mintak tolong dengan Pak Belukang,” kata Pengerusi JKKK.
Pak Belukang membuka matanya. Dia berkelip-kelip seketika.
“Seri… Eh, Opocot! Pak Husin!” kata Pak Belukang terkejut. “Apa ini ramai-ramai datang rumah saya?” Pak Belukang bangkit dari tidurnya.
“Kami datang nak minta tolong dengan Pak Belukang mencari barang hilang. Ini Dato’ Pengetua Parang Kangkung Jaya dan ini pula pemandunya,” jelas Pengerusi JKKK sambil memperkenalkan Dato’ Kontot dan pemandunya.
“Oh, Dato’ nak cari barang hilang. Sila masuk. Sila duduk,” kata Pak Belukang tergagap-gagap. “Kenapa Dato’ tidak cakap awal-awal nak datang?” Pak Belukang kelam-kabut menyarung baju dan membetulkan rambutnya yang kusut masai. Betul-betul tidak terfikir langsung Dato’ Kontot mahu datang bertandang ke rumah buruknya ini, apalagi secara mendadak begini.
Maka Pengerusi JKKK pun menerangkanlah maksud tujuan mereka datang ke rumah Pak Belukang itu dengan ditambah cerita panjang lebar oleh Dato’ Kontot sendiri. Terbahak-bahak Pak Belukang ketawa apabila Dato’ Kontot memberitahu motosikal besarnya telah bertukar menjadi basikal buruk.
“Agaknya penunggu di situ marah betul dengan Dato’ sebab buang air di kawasan taman permainan anak-anak mereka tanpa minta izin,” kata Pak Belukang.
“Taman permainan apa begitu. Di situ semua semak belukar, mana ada nampak macam taman permainan? Kalau anak rimau hendak bermain sembunyi-sembunyi dengan anak ular senduk, bolehlah bermain dalam semak macam itu,” ujar Dato’ Kontot.
“Taman permainan mereka memang begitu, Dato’. Semak belukarlah tempat permainan mereka. Saya masa kecil-kecil dulu pun main sembunyi-sembunyi dalam semak juga. Pernah juga jumpa rimau. Banyak kali pula saya jumpa ular,” kata Pak Belukang.
“Biarlah, itu tidak menjadi soal pada saya. Yang saya hendak tahu sekarang, bolehkah Pak Belukang mencari motosikal saya kembali?” tanya Dato’ Kontot.
“Kalau melibatkan penunggu ini, nampaknya sukar sedikit,” Pak Belukang buat-buat jual mahal.
“Saya sedia memberikan Pak Belukang ganjaran yang lumayan sekiranya Pak Belukang dapat menemui kembali motosikal saya itu,” pujuk Dato’ Kontot.
“Baiklah, pasal Dato’ yang minta tolong, saya mesti setuju. Tetapi Dato’ kena berikan saya masa dua hari untuk saya berunding dengan penunggu-penunggu di situ. Selain itu, saya perlukan sedikit deposit,” ujar Pak Belukang. Tempoh itu dipinta sebenarnya adalah untuk dia melarikan diri untuk bersembunyi dengan selamat.
“Itu tidak menjadi masalah,” ujar Dato’ Kontot lalu menyeluk poketnya yang berisi tebal itu.
Maka pada malam itu Pak Belukang bersiap-siaplah dengan sebungkus pakaian untuk lari bersembunyi. Dia berpakat dengan anaknya Belukang supaya merahsiakan pemergiannya.
“Jikalau sesiapa datang mencari abah, katakan pada mereka abah pergi bertapa di puncak Gunung Semanggol,” pesan Pak Belukang.
“Gunung Semanggol itu di mana Abah?” tanya Belukang.
“Gunung Semanggol itu… jauh nun di negeri Monggolia. Kalau pergi jalan kaki, tiga bulan baru sampai,” kata Pak Belukang.
“Jauhnya. Habis macam mana Belukang nak pergi hantar makanan?” soal Belukang walaupun dia tahu ayahnya cuma kelentong.
“Itu cuma tipu. Abah hanya pergi bersembunyi dalam gua di hulu sungai. Engkau mesti tau tempat gua itu, bukan?” tanya Pak Belukang.
“Tahu,” balas Belukang pendek.
“Hah, kalau tahu, jangan beri tahu sesiapa yang abah ada di situ, faham?” Pak Belukang mengulangi pesannya.
“Faham,” sahut Belukang.
“Kalau sudah faham, esok pagi jangan lupa hantarkan abah makanan. Kebuluran pula abah nanti,” pesan Pak Belukang lagi. Belukang hanya mengangguk.
Maka Pak Belukang pun turun ke tanah memulakan langkah pelariannya. Belukang hanya melihat ayahnya sehingga hilang dalam kepekatan malam.
Pada waktu yang sama, di sebuah rumah tinggal yang usang, dua penyamun sedang bertungkus-lumus meleraikan motosikal besar Dato’ Kontot kepada komponen-komponen sekecil yang boleh. Dua jam kemudian, tiada lagi rupa motosikal melainkan ketulan-ketulan besi, plastik dan getah berselerakan di serata lantai. Meraka mengasingkan barang-barang logam ke satu tempat.
Barang-barang logam ini akan dibahagikan sama rata di antara mereka berdua sebelum dijual kepada pemborong besi lusuh. Sementara barang yang selain logam akan ditinggalkan atau dicampak ke dalam sungai sahaja nanti.
“Hah, ini untuk engkau tiup seksofon,” kata Penyamun Mata Cangkul sambil menyangkut ekzos motosikal yang bercabang ke tengkuk Penyamun Kuali. Hujung yang kecil ekzos itu ditonyohkan ke dalam mulutnya.
“Sekali tengok macam Kassim Selamatlah engkau, hahaha…” Penyamun Mata Cangkul ketawa besar.
“Hah, ini pula untuk engkau,” kata Penyamun Kuali pula sambil menyarungkan mud guard hadapan motosikal model Kawasaki Vulcan 800 Drifter itu ke kepala Penyamun Mata Cangkul. Penyamun Mata Cangkul kelihatan seperti pahlawan purba Rom memakai topi besi, tetapi hujung hadapan dan belakang mud guard itu terlalu panjang menyebabkan rupa Penyamun Mata Cangkul nampak kelakar.
“Tuan-tuan dan puan-puan, inilah dia juara Gladiator tahun lepas sudah siap sedia masuk gelanggang Coliseum untuk bertarung! Hahaha…” jerit Penyamun Kuali berlawak.
“Hei, baik kita jangan buang masa lagi. Sekarang sudah awal pagi. Dua tiga jam lagi matahari akan timbul. Mari kita mulakan bahagi besi-besi ini,” kata Penyamun Kuali.
“Ok. Engkau lebih pandai kira sebab engkau ada sijil UPSR. Engkaulah yang bahagikan,” cadang Penyamun Mata Cangkul.
“Baik, mengira ini senang macam kacang. Hmm… ini apa?” tanya Penyamun Kuali sambil memegang piston motosikal.
“Hmm… Nampak macam tin sardin,” jawab Penyamun Mata Cangkul.
“Tin sardin untuk engkau. Ini apa?” tanya Penyamun Kuali dengan memgang cylinder head pula.
“Entah, ada rupa macam pemarut ubi kayu saja,” balas Penyamun Mata Cangkul.
“Pemarut ubi kayu untuk aku. Ini apa?” tanya Penyamun Kuali dengan memegang sprocket.
“Mungkin bintang ninja,” jawab Penyamun Mata Cangkul sambil menggaru-garukan kepala.
“Bintang ninja untuk engkau. Ini apa?” tanya Penyamun Kuali dengan memegang fork.
“Macam garfu besar,” balas Penyamun Mata Cangkul yang sudah bosan menjawab.
“Garfu besar untuk aku. Ini…” kata-kata Penyamun Kuali yang sudah memegang karburator itu terputus bila dipotong oleh Penyamun Mata Cangkul.
“Hei, kalau macam ini cara engkau bahagi, bilalah mahu siap? Minggu depan pun belum tentu habis. Mari sini biar aku sahaja yang bahagikan,” katanya lalu mengaut semula barang-barang itu menjadi setempat.
“Tengok, aku lagi pandai bahagikan sama rata. Nah, tayar basikal untuk engkau, tayar motosikal untuk aku. Handle basikal untuk engkau, handle motosikal untuk aku. Tongkat basikal untuk engkau, tongkat motosikal untuk aku. Tempat duduk basikal untuk engkau, tempat duduk motosikal untuk aku,” laju sahaja Penyamun Mata Cangkul membahagi.
“Eh, pandainya engkau bahagi! Mengapa aku dapat semuanya barang basikal? Engkau punya semuanya barang motosikal? Ini tidak adil. Mari sini biar aku yang bahagikan,” bantah Penyamun Kuali. Dia mengaut semula barang-barang itu setempat.
“Apalah, baru sahaja mula bahagi, hendak ditukar cara. Kalau asyik sangat tukar cara, bila kita dapat bahagi besi-besi ini?” balas Penyamun Mata Cangkul.
“Tidak perlu bahagi-bahagi ikut jenis besi, susah sangat nak bahagi benda yang tidak serupa ataupun barang yang hanya ada satu ataupun tiga biji. Bukan kita nak guna pun besi-besi ini, kita mahu jual sahaja untuk dapat wang. Sekarang kita bahagi ikut saiz dan berat besi, tidak kiralah apa jenis pun. Tidak kisahlah besi basikal ataupun besi motosikal, janji nampak sama banyak. Ini barulah adil,” ujar Penyamun Kuali.
“Aku setuju!” balas Penyamun Mata Cangkul. Lantas mereka bersama-sama membahagikannya.
Mereka selesai membahagikannya ketika hari mulai siang. Sekarang mereka menghadapi masalah baru, iaitu bagaimana hendak mengangkut besi-besi yang banyak dan berat itu ke kedai pemborong besi buruk. Setelah berbincang, akhirnya mereka berpakat untuk membawa besi-besi bahagian Penyamun Mata Cangkul dulu semantara bahagian Penyamun Kuali pula akan diangkut selepas itu.
Seperti yang dijanjikan, pagi-pagi lagi keesokannya Belukang berjalan mennghulu sungai menuju sebuah gua di kaki bukit. Dia membawa ubi rebus sebagai bekalan makan untuk ayahnya. Entah macam mana, dia telah tersilap memilih lorong dan terlewat sampai ke gua itu. Namun bila dia tiba, dia gagal menemui ayahnya di gua itu. Lalu Belukang keluar semula dan melilau-lilau mencari ayahnya dalam hutan.
Pak Belukang yang semalaman tidak lena tidur dalam gua batu itu, keluar merayau-rayau sebaik sahaja hari terang untuk menghilangkan bosan. Dari semalam dia terfikir, berapa lama dia harus hidup dalam persembunyian macam itu. Sekonyong-konyong dia ternampak sebuah rumah usang di pinggir hutan. Nampaknya rumah ini lebih bagus kalau dibuat tempat persembunyian yang baru. Untung-untung ada katil untuk dijadikan tempat tidur yang lebih selesa.
Sebaik memasuki rumah itu, Pak Belukang menemui komponen-komponen motosikal berselerakan di atas lantai. Dengan rasa penuh tanda tanya, dia membelek-belek komponen-komponen itu. Berdasarkan keadaan lelehan minyak hitam di lantai, Pak Belukang mengandaikan yang motosikal itu baru sahaja dileraikan.
Di celah-celah timbunan komponen-komponen itu, Pak Belukang terpandang sekeping plat nombor pendaftaran. Dia memungut dan menelitinya. Nombor pendaftaran itu sama dengan apa yang Dato’ Kontot beritahu, iaitu nombor pendaftaran motosikal Kawasaki Vulcannya yang hilang. Pak Belukang melonjak gembira. Benda yang dicari sudah ada di depan mata.
Tanpa membuang masa lagi, Pak Belukang mengambil karung guni yang ada di situ lalu mengisikan ke dalamnya komponen-komponen yang kecil. Penuh dua biji karung diisi, hanya tinggal bahagian-bahagian yang besar sahaja iaitu rangka motosikal dan dua biji tayar. Waktu itu Pak Belukang baru tersedar yang kedua-dua biji roda itu berlainan saiz, sebiji roda besar bertayar kecil manakala sebiji lagi roda kecil, tetapi bertayar besar.
Malas hendak memikirkan hal itu lama-lama, Pak Belukang segera mengangkut semuanya ke dalam gua untuk disembunyikan terlebih dahulu. Selepas itu nanti, dia akan mengangkutnya satu persatu pulang ke rumah.
Sementara itu, Belukang yang masih lagi merayau-rayau mencari ayahnya terserempak dengan Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Mereka yang sedang memikul karung berat serta membimbit sebiji roda setiap seorang itu nampaknya sungguh tergesa-gesa. Belukang mengintipnya dengan penuh minat. Rasa ingin tahunya membuatkan dia mengekori kedua-dua penyamun itu secara senyap-senyap. Tujuan asalnya hendak mencari ayahnya ditangguhkan dahulu.
Apa yang bermain di fikiran Belukang ialah karung yang sedang dipikul oleh kedua-dua penyamun itu. Kemungkinan besar ia berisi barang-barang besi untuk dijual kepada pemborong besi lusuh, seperti yang dilakukan mereka sebelum ini. Setelah mereka keluar ke jalan raya, tekaan Belukang nampaknya semakin tepat apabila kedua-dua penyamun itu menuju ke kedai barang lusuh.
Oleh kerana kedai barang lusuh belum dibuka kerana masih di awal pagi, kedua-dua penyamun itu memutuskan untuk kembali ke rumah usang tadi. Mereka akan mengangkut barang-barang besi bahagian Penyamun Kuali pula. Mereka tergesa-gesa meninggalkan dua biji karung dan roda-roda yang dibawa itu di belakang sebuah tong sampah besar kepunyaan majlis perbandaran.
Belukang berasa pelik dengan tindakan penyamun-penyamun itu menunggu sehingga mereka hilang dari pandangan sebelum pergi memeriksa isi karung-karung itu . Tepat tekaannya bila dia mendapati isinya adalah barang-barang besi. Sudah tentu ini adalah barang curi yang pastinya boleh menjadi rezeki tilikan hipnosis ayahnya nanti. Dengan menggunakan modus operandi yang sama dengan tilikan hipnosis kuali dan mata cangkul dulu, barang-barang besi ini dapat memajukan lagi bisnes ayahnya.
Tiba-tiba Belukang terkejut apabila melihat sebuah lori menghampiri tong sampah itu. Tong sampah itu sebenarnya adalah sebahagian daripada badan lori. Tong Sampah besar mudah alih itu boleh dimuatkan di belakang lori itu . Belukang tidak sempat lagi melarikan diri. Dia masuk bersembunyi ke dalam salah satu karung itu.
Pekerja majlis bandaran mengangkat kedua-dua biji karung dan roda itu ke dalam tong sampah. Setelah lori menurunkan tong sampah yang baru, tong sampah lama yang sudah tiga suku penuh itu diangkat ke atas belakang lori dengan menggunakan kren hidrauliknya. Selepas itu, lori itu bergerak menuju ke destinasi seterusnya.
Setelah selesai mengangkut komponen-komponen motosikal Dato’ Kontot ke rumah, Pak Belukang segera memaklumkannya kepada Pengerusi JKKK. Pengerusi JKKK terus menelefon Dato’ Kontot. Walaupun menerima berita gembira, Dato’ Kontot tidak dapat datang dengan segera kerana sekejap lagi dia perlu hadir mesyuarat parti. Namun Dato’ Kontot meminta pemandunya sebagai wakil datang melihat.
Selepas pemandu Dato’ Kontot mengesahkan barang-barang besi itu komponen-komponen motosikal Kawasaki Vulcan Dato’ Kontot, mereka mengangkutnya ke bengkel motosikal untuk dipasang semula.
“Macam mana nak pasang ni, Pak Belukang? Separuh barang motosikal, separuh lagi barang basikal?” tanya mekanik bengkel.
“Engkau pasanglah macam mana pun, janji siap. Asal ada rupa macam motosikal, jadilah,” kata Pak Belukang. Mereka meninggalkan bengkel selepas mekanik memberitahu yang dia memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk memasangnya.