8. Tajam Menikam
‘Sayang… Kalau Fara marah abang lagi, abang tak nak balik. Kalau Fara janji tak nak marah lagi, abang sedia berpisah dengan Nina.’
Liafara membaca mesej di telefon bimbitnya yang baru sahaja di terimanya daripada Jamilkhir. Dia termanggu-manggu. Perasaan marah dan terkilan masih bersarang di hatinya. Jika diikutkan perasaan itu dan meneruskan tindakan memerangi Jamilkhir, bererti dia akan terlepas suaminya itu. Sedangkan dia masih cinta dan perlukan Jamilkhir.
Setelah membuat timbang-tara, Liafara sedar. Seterunya adalah madunya Hasnina, bukan suaminya. Jamilkhir tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya, walaupun dia memang berbuat salah. Hasninalah punca kepada semua masalah ini. Hasninalah yang memporak-perandakan mereka suami isteri.
Telefon bimbit Liafara berbunyi lagi menandakan ada mesej yang masuk. Dia segera memeriksanya. Mesej daripada Jamilkhir juga.
‘Taip MARAH kalau Liafara masih marah abang. Taip XMARELAH kalau Fara mahu abang berpisah dengan Nina dan balik rumah Fara.’
“Kirim mesej pun macam iklan nada dering pula,” kata Liafara lalu tersenyum. Itulah kelebihan pada Jamilkhir. Dia boleh memujuk sambil melawak. Liafara amat menyenangi sikap Jamilkhir yang satu ini. Tidak banyak lelaki yang bijak membuat lawak spontan ini.
Liafara harus menukar hala tuju serangan. Targetnya sekarang beralih daripada Jamilkhir kepada Hasnina. Untuk membawa Jamilkhir kembali kepadanya, Liafara harus juga menukar taktik daripada berkeras dan memaksa kepada memujuk secara halus. Lantas Liafara menaip mesej balasan kepada Jamilkhir.
‘XMARELAH. Sedangkan lidah lagi tergigit. Kalau Fara marah, sudah teruk abang Fara gigit’
Liafara membalas mesej dengan cuba melawak juga. Dia tidak sabar-sabar menunggu reaksi Jamilkhir seterusnya. Tidak sampai pun seminit, balasan mesej pun diterima.
‘Petang ni abang pulang. Teringin nak makan gulai nenas ikan masin Fara. Dah laman tak rasa air tangan Fara.’
Hati Liafara berbunga gembira. Entah macam mana perasaan marah dan sakit hatinya pada Jamilkhir lesap tiba-tiba.
‘Fara akan masakkan gulai nenas ikan masin yang paling istimewa untuk abang.’
Liafara menghantar mesej balasan itu sebelum dia bangun untuk bersiap-siap ke pasar. Dia akan mencari bahan dan ramuan terbaik untuk lauk kegemaran suaminya itu nanti.
Petang itu selepas waktu pejabat, Jamilkhir pulang ke rumah Liafara dengan berdebar-debar. Walaupun janji-janji Liafara melalui SMS manis-manis belaka, tetapi apa-apa juga boleh berlaku. Jamilkhir sudah bersedia dengan plan sendiri untuk menanganinya jika perkara sebaliknya berlaku. Namun segala igauan buruknya lenyap apabila melihat Liafara menyambutnya di pintu masuk dengan senyuman yang sungguh manis. Dia nampaknya siap berdandan dan bersolek lagi semata-mata nak menyambutnya pulang.
“Berikan pada Fara briefcase abang. Abang naik mandi dulu. Lepas tu kita makan malam bersama, ya?” kata Liafara manja.
“Ok, sayang,” balas Jamilkhir lalu mencuit hidung Liafara.
Sewaktu Jamilkhir masih lagi di bilik mandi, telefon bimbitnya berdering. Liafara yang berada tidak jauh dari situ menjenguk. Gambar seorang wanita dengan nama Hasnina terpapar di skrin telefon bimbit tersebut. Itulah gambar madu Liafara, Hasnina.
“Mesti betina ni nak pujuk balik laki aku,” kata Liafara sendirian. Dia pun mengambil telefon bimbit itu lalu menekan butang bercakap.
“Hello abang Jamil,” kedengaran suara manja wanita dari corong suara telefon bimbit Jamilkhir.
“Padan muka kau. Kau ingat kau cantik sangat nak rampas laki aku? Sekarang kau rasakanlah betapa sedapnya bila kena cerai,” ejek Liafara.
Selepas itu Liafara cepat-cepat memutuskan talian. Seterusnya dimatikannya terus telefon bimbit itu agar tiada lagi panggilan madunya itu mengganggu mereka berdua malam itu.
Liafara ketawa sendirian. “Hahaha… rasakanlah wahai perempuan gedik yang bodoh. Sekarang baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah, hmm…”
Melalui telefon bimbit itu juga Liafara dapat mengesan kawasan di mana tempat Hasnina tinggal. Ianya tidak jauh dari tempat dia bersama rakan-rakan menjalankan aktiviti tarian poco poco saban minggu.
Hati Hasnina geram teramat, hingga menggigil tubuhnya. Lancang sungguh mulut madunya ini. Kalaulah perempuan itu ada di depannya sekarang, akan dilumurnya cili api ke mulutnya. Akan disumbat-sumbatkan juga lubang hidungnya dengan cili api itu. Kalaulah nak menghina pun, janganlah sampai menuduh dia diceraikan pula. Itu sudah melampaui batas. Hasnina tidak boleh menerimanya.
“Perempuan ini mesti diajar,” tekad Hasnina.
Pagi esoknya Hasnina menunggu tidak jauh dari rumah Liafara dalam keretanya. Dia mengetahui rumah madunya ini sejak belum berkawin dengan Jamilkhir lagi. Dia sudah beberapa kali datang menjemput ataupun menghantar pulang Jamilkhir dari tempat kerja dulu. Cumanya dia belum pernah menjejakkan kaki ke dalam rumah itu.
Tepat jam tujuh empat puluh minit pagi, kelihatan pintu pagar rumah Liafara bergerak menggelungsur ke tepi. Tidak lama kemudian keluarlah kereta Proton Perdana V6 Jamilkhir perlahan-lahan ke atas jalan dan terus meninggalkan rumah itu menghala ke arah jalan yang bertentangan dengan tempat di mana Hasnina menunggu. Kemudian kelihatan pintu pagar rumah Liafara bergerak menggelungsur tutup rapat semula.
Hasnina masih menunggu waktu yang sesuai dari dalam kereta. Waktu itu suasana masih sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang masih banyak. Masing-masing berkejar ke tempak kerja. Pelajar-pelajar sekolah pun masih berduyung-duyung menuju ke sekolah.
Ketika jam menunjukkan pukul lapan sepuluh minit, keadaan sudah reda. Kenderaan yang lalu hanya sesekali sahaja. Inilah waktu terbaik untuk Hasnina memulakan misinya. Dia pun keluar dari keretanya dengan membawa dua keping papan. Pada setiap papan itu terdapat berbelas-belas batang paku tajam yang berceracak.
Hasnina mendekati pintu pagar rumah Liafara dengan penuh waspada. Selepas mendapati tiada kelibat Liafara di situ dan juga tiada orang lain di sekeliling memerhatikannya, Hasnina meletakkan papan-papan berpaku itu setiap satunya di depan pintu pagar rumah Liafara, betul-betul di laluan tayar kereta. Kemudian dia cepat-cepat kembali ke keretanya. Sempat juga dia meligas ke sekeliling, takut-takut ada mata yang memandang.
Hasnina menunggu di dalam kereta untuk melihat hasil tindakan beraninya itu. Sekejap lagi jika Liafara mahu keluar ke mana-mana dengan keretanya, pasti tayar keretanya akan melenyek papan berpaku itu. Hasnina mahu melihat bagaimana reaksi Liafara apabila ke empat-empat tayar keretanya pancit dahulu. Selepas itu barulah dia akan beredar ke pejabat nanti.
Sewaktu tiba di pintu masuk utama pejabat agama, Jamilkhir telah bertembung dengan Haji Razali. Seperti kebiasaannya, Jamilkhir memberi salam. Dan salam itu dijawab dengan ramahnya oleh Haji Razali. Namun dengan tiba-tiba Haji Razali nampak semacam jelik sahaja apabila dia melihat Jamilkhir.
“Hai, segak semacam hari ni. Ada apa-apa rancangan bagus ke?” tanya Haji Razali, yang semestinya Jamilkhir faham ianya ada maksud tersirat.
Walaupun terasa ganjil juga dengan soalan itu, Jamilkhir membalasnya secara berseloroh. “Tak adalah haji. Cuma hati senang, sebab bini pertama sudah tidak marah lagi.”
Haji Razali mengangguk-angguk. “Oh, macam itu. Tapi maksud saya, pakaian awak over sedikit nampaknya. Apa sudah jadi?”
“Kenapa dengan pakaian saya?” tanya Jamilkhir hairan. Dia menjenguk-jenguk baju dan seluarnya. Tiada apa yang tidak kena didapatinya.
“Kenapa dengan kasut awak itu? Fesyen barukah? Takkanlah senang hati sangat sampai terkawinkan kasut,” Haji Razali memuncungkan bibirnya ke arah kasut Jamilkhir.
Jamilkhir pun ikut memandang kasutnya.
“Astaghfirullahalazim…” Jamilkhir mengucap panjang bila mendapati kasut yang dipakainya berlainan pasangan. Sebelah kiri berwarna kelabu manakala sebelah kanan berwarna maroon. Bagaimana pula boleh jadi macam ini? Jamilkhir bertanya dalam hati.
“Tuan kasut berpoligami, kasut pun turut nak berpoligami sama,” ujar Haji Razali lalu tertawa.
Jamilkhir menahan malu. Dia benar-benar tidak sedar yang dia telah tersarung kasut yang berlaianan di rumah tadi. Waktu itu Liafara sibuk nak mencium tangan dan pipinya. Selepas itu dia langsung sahaja masuk ke kereta tanpa melihat kasut apa yang di pakainya.
Jamilkhir tergesa-gesa pulang semula ke rumah untuk menukar kasut. Hasnina yang nampak kereta Jamilkhir dari jauh menuju kembali ke rumah Liafara kelam-kabut keluar dari keretanya. Dia meluru ke depan pagar rumah Liafara untuk mengambil kembali papan berpakunya tadi. Dia tidak mahu suaminya pula yang menjadi mangsa.
Dalam langkah yang tidak berhati-hati dan kelam-kabut itu, tapak selipar kanan Hasnina tertujah ke celah jeriji besi penutup longkang dan tersepit di situ. Liafara menyentap kaki kanan dengan kuat menyebabkan tali seliparnya putus. Kakinya tercabut tetapi seliparnya tertinggal pada jeriji besi.
Hasnina berusaha menyeimbangkan badan daripada terjatuh. Kaki kanannya yang tanpa berselipar itu mendarat di atas salah satu papan berpakunya tanpa sempat dielak. Paku-paku panjang lagi tajam itu terus menikam tapak kaki Hasnina tanpa belas kasihan.
Kerana terkejut dan kesakitan, Liafara terpaksa menongkat dengan kakinya yang sebelah lagi segera. Malangnya, kaki kirinya tidak sempat hendak diluruskan dengan betul sewaktu mendarat ke atas jalan berjubin menyebabkan kaki kirinya itu terpelecok teruk.
Hasnina rebah terlipat dengan kedua-dua kakinya tercedera. Dia melolong kesakitan. Kebetulan sungguh di saat yang genting itu Jamilkhir tiba.
Alangkah terkejutnya Jamilkhir melihat Hasnina meringkuk di depan pintu pagar rumahnya. Bertambah pelik bila dia melihat darah berlumuran pada kaki Hasnina dan juga yang mengalir di atas jubin seramik. Segera dia membuka pintu kereta dan mendapatkan isteri ke duanya itu. Jamilkhir beristigfar panjang.
“Kenapa ni, Nina? Apa yang berlaku?” tanya Jamilkhir. Namun Hasnina tidak mampu menjawab selain dari mengerang kesakitan sahaja.
“Nina, cakap pada abang, siapa yang lakukan pada Nina?” gesa Jamilkhir lagi. Saspek pertama yang terlintas di fikiran Jamilkhir ialah Liafara. Melihatkan Hasnina masih tidak memberi jawapan, Jamilkhir memanggil Liafara.
“Fara! Fara!” laung Jamilkhir. Dia menerpa butang loceng di tiang pintu pagar dan menekannya bertubi-tubi.
Liafara menjenguk keluar bila mendengar loceng dibunyikan bertalu-talu. Kemudian dia berkejar keluar setelah melihat Jamilkhir sedang cuba mengangkat seorang wanita di depan pintu pagar rumahnya. Sebaik sampai di pintu pagar, Liafara mendapati Jamilkhir sudah pun meletakkan wanita tersebut di tempat duduk belakang keretanya.
“Abang!” segah Liafara. Jamilkhir berpaling.
“Apa yang Fara sudah lakukan pada Nina?” soal Jamilkhir marah. Barulah Liafara tahu yang wanita itu adalah madunya Hasnina. Serta-merta rasa cemburunya datang tatkala melihat Jamilkhir sedang menenangkan Hasnina dengan romantiknya.
“Lakukan apa?” soal Liafara pula. Dia bengang kerana dia yang tidak tahu hujung pangkal tentang apa yang berlaku itu, tiba-tiba dimarahi pula.
“Bukan masanya abang nak bertegang leher sekarang, Fara,” ujar Jamilkhir lalu masuk ke dalam keretanya dan menutup pintu.
Kereta Jamilkhir mula bergerak dan terus memecut laju. Jamilkhir mahu sampai ke klinik secepat mungkin. Jamilkhir terpaksa memohon cuti separuh hari pada hari itu untuk menguruskan Hasnina. Panggilan daripada Liafara terus-menerus masuk ke telefon bimbit Jamilkhir, tetapi tidak di pedulikannya. Apa pun yang Liafara mahu kata, biarlah dia pulang dulu ke rumah nanti.
Oleh kerana hari itu juga adalah giliran Jamilkhir bermalam di rumah Liafara, Jamilkhir terpaksa menghantar Hasnina ke rumah mertuanya. Dalam keadaan cedera seperti itu, Hasnina tidak boleh dibiarkan berseorangan. Perlu ada orang lain yang memantaunya.
Malam itu Liafara tidak lagi menunggu Jamilkhir dengan gulai nenas ikan masin, tetapi dengan dua keping papan yang berpaku yang di pungutnya di depan pintu pagar. Tiba sahaja di rumah, Jamilkhir terus di asak oleh Liafara dengan soalan yang bertubi-tubi. Jamilkhir tidak berdaya menjawabnya kerana amat penat.
Jamilkhir tidak banyak bercakap dan terus sahaja masuk mandi seterusnya bersolat. Akhirnya Jamilkhir terbaring di atas sofa sambil mengadap berita di televisyen. Namun dalam kepalanya berserabut dengan pebagai hal yang terjadi sepanjang hari itu.
Liafara yang belum berpuas hati datang mendesak Jamilkhir menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Dan Jamilkhir tiada pilihan lagi melainkan terpaksa menceritakan pengakuan yang dibuat oleh Hasnina padanya. Jamilkhir juga terpaksa mengaku yang dia belum lagi menceraikan Hasnina apabila Liafara mengugut untuk membuat kacau lagi di pejabat Jamilkhir.
Hati Liafara membara setelah mengetahui madunya cuba melakukan khianat padanya. Tindakan keterlaluan Hasnina itu tidak mencerminkan dia mahu menghormati dirinya sebagai isteri pertama. Sudahlah berkawin pun curi-curi dengan suami orang. Selepas kawin, isteri pertama pula mahu dianggap sebagai musuh.
Liafara nekad akan membalas dendam. Jika perang yang dimahukan madunya, ya, dia juga mengishtiharkan perang. Orang sudah menjual, kita sedia membeli, tekad hatinya.
“Jangan salahkan aku bila kau terima akhibatnya nanti sebab kau yang mulakan dulu,” Liafara memberi amaran keras. Sebetulnya dia sedang bercakap seorang diri melepaskan geram.